Chapter 10 - Swords Battle [Part 1]

BAB 10 - LAWAN PEDANG [PART 1]





Kereta besar berwarna hitam itu meluncur laju menyusuri jalan raya yang amat lengang itu. Di kiri dan kanan jalan hanya dipenuhi hutan belukar dengan kehijauan yang merimbun.

Semakin lama mereka memandu ke depan, semakin tinggi kawasan yang mereka tuju itu dan kemudiannya akan mencuram kembali. Ia seperti sedang balik ke kampung halaman yang berpuluh-puluh batu jauhnya.

Mark memandu kereta itu dengan tenang sekali tanpa sebarang keluhan. Perjalanan mereka terasa amat jauh berbatu-batu dan amat memenatkan bila difikirkan. Sudah sebelas jam mereka memandu tanpa henti. Pada dua jam pertama, Yuta yang memandu kereta itu kemudian digantikan oleh Taeyong yang memandu selama lima jam. Setelah itu, baru lah Mark menggantikan tempatnya kerana risau memandang lelaki tampan itu yang semakin lemah akibat mengantuk.

Mark memandang cermin tengah itu sekali imbas untuk melihat orang-orang yang berada di dalam kereta itu sama ada masih hidup atau pun tidak.

Yuta dan Taeyong yang duduk di kerusi paling belakang sekali hanya merebahkan kepala di kerusi sambil memandang ke luar tingkap tidak bersuara. Lee Know dan Jungwoo yang duduk di kerusi tengah pula mengeliat baru bangun dari tidur yang lena sambil cuba memandang sekeliling. Hyunjin yang duduk di sebelahnya hanya berdiam diri sambil memandang ke luar tingkap langsung tidak bersuara sejak mereka bertolak lagi. Lelaki itu langsung tidak tidur sepanjang perjalanan. Entah apa yang difikirkannya.

"Taeyong!"

Taeyong segera memandang Mark dari belakang kerana lelaki itu kini sedang memandu dan tidak dapat untuk melihat wajahnya. Dia hanya mampu memandang Taeyong melalui cermin tengah itu sahaja.

"Kenapa?"

"Ini ke tempatnya?" tanya Mark serta-merta dengan dahi yang berkerut memandang sekeliling.

Taeyong segera mengalihkan pandangannya ke luar tingkap sambil membetulkan kedudukannya untuk melihat. Mendengar pertanyaan itu, yang lain juga turut melakukan hal yang sama. Mark kini sudah memberhentikan keretanya di sebuah kawasan berumput hijau yang amat cantik dan luas.

Terdapat sebuah perkampungan kecil berada di hadapan mereka yang mana setiap inci tempat di situ diperbuat daripada kayu, papan dan juga daun nipah. Tempat itu sangat terpencil jauh daripada kota dan sukar untuk ke situ. Ia memerlukan masa berjam-jam untuk sampai ke tempat itu.

"Saya rasa ini lah kot." Taeyong menjawab dalam keadaan mengguman masih memandang sekeliling walaupun hakikatnya dia sendiri sebenarnya kurang pasti dengan jawapannya itu.

Satu-persatu mereka turun dari kereta itu sambil memandang sekeliling dalam keadaan bingung bagaimanapun udaranya amat nyaman sekali membuatkan mereka merasa amat tenang.

"Kita masih dalam negara kan?" Tanya Jungwoo tiba-tiba dengan dahi yang berkerut.

Tiada seorang pun yang menjawab soalan itu kerana masing-masing tidak tahu apa jawapan sebenarnya. Mereka hanya mampu mengikut peta yang mereka dapat daripada laman sesawang yang mereka jumpa sebelum ini.

"Ia nampak macam perkampungan orang asli." komen Lee Know sambil cuba menjenguk untuk melihat apa orang-orang di situ tengah buat.

Bentuk rumah mereka amat unik dengan rekaan tersendiri. Pakaian mereka juga sangat pelik dan agak ganjil bagi zaman moden seperti sekarang bagaimanapun ia kelihatan sedikit menarik. Aktiviti yang sedang mereka lakukan juga sangat jarang dilakukan di negara ini.

"Ah..." Yuta menghirup udara di situ yang terasa amat segar sekali dengan senyuman lebar. "Udara seperti ini lah yang sangat baik untuk didiami."

Taeyong hanya menggelengkan kepalanya kerana lelaki itu asyik membebel semasa mereka tinggal di kawasan sebelum ini yang asyik hujan tidak berhenti. Sekurang-kurangnya telinganya tidak perlu mendengar leteran memanjang dari lelaki berambut perang itu dan mereka boleh tinggal dengan tenang.

"Dah, turun kan barang-barang." arah Lee Know serta-merta.

Hyunjin membantu Jungwoo dan Mark menurunkan barang-barang mereka semua dari kereta. Taeyong dan Lee Know hanya menggelengkan kepala melihat gelagat lelaki berambut perang itu yang masih lagi dengan lagak sebagai seorang pelancong yang sedang menghirup udara segar. Jungwoo pula segera menghulurkan beg yang diturunkannya kepada Lee Know.

"Thanks!" ucap Lee Know ketika menyambutnya.

Taeyong segera mencapai beg yang dihulurkan oleh Mark kepadanya tanpa apa-apa ucapan pun. Hyunjin yang menawarkan dirinya sendiri segera berjalan perlahan-lahan mendekati Yuta sambil menghulurkan beg sandang yang dipegangnya kepada lelaki itu dengan wajah yang penuh harapan.

Lelaki berambut perang itu tersentak memandang Hyunjin yang kini sudah berdiri di sebelahnya. Serta-merta senyuman lebarnya yang sedang menghirup udara segar itu tadi hilang. Tidak semena-mena sahaja dia menolak lelaki itu dengan kuat dan menyebabkan Hyunjin jatuh terjelepuk ke tanah.

"Jangan dekatkan diri awak tu dengan saya!!" Yuta menempik agak kasar lalu menyambar beg sandangnya yang masih dipegang oleh Hyunjin sebelum berjalan pergi dari situ.

"Yuta!!"

Mark dan Lee Know terus sahaja mengejar Yuta sambil melemparkan pandangan simpati ke arah Hyunjin yang hanya tunduk dengan wajah yang sayu. Mereka tidak mampu berkata apa-apa lagi mengenai hal itu.

Sejak hari Yuta mengamuk di rumah sewa sebelum ini, Hyunjin benar-benar diselubungi rasa bersalah yang teramat sangat. Dia cuba memperbaiki hubungannya dengan lelaki berambut perang itu yang sememangnya dingin sejak pertama kali mereka bertemu lagi bagaimanapun Yuta langsung tidak berminat. Dia tidak tahu apa salahnya.

Taeyong membantu Hyunjin untuk bangun perlahan-lahan. Jungwoo juga turut berdiri di situ kerana kasihan melihat lelaki itu.

"Awak okey tak?" Tanya Taeyong agak risau.

Hyunjin menarik nafas panjang kemudian mula mengukir senyuman semula lalu mengangguk perlahan walaupun lain pada hakikatnya.

"Jom!"

Mereka bertiga segera berjalan menyusul Yuta, Mark dan Lee Know yang sudah mendahului mereka.

"Apa khabar, semua?" sapa seorang lelaki tua dengan rambut putih yang semakin sedikit di kepalanya sambil tersenyum ceria menyambut kedatangan mereka. Di belakangnya, ada dua orang lelaki sebaya mereka dengan baju agak pelik seperti seorang tukang gaji kelihatan teruja memandang mereka. Perkampungan itu kelihatan sibuk dengan aktiviti harian masing-masing.

"Kamu yang datang ke sini nak melawat tu kan?" tanya lelaki tua itu masih dengan senyumannya.

"Ya." Mark menjawab pantas apabila kawan-kawannya yang lain mula kebingungan dan berpandangan sesama sendiri. Hanya dia dan Taeyong yang tahu mengenai rancangan 'lawatan' itu. "Saya yang hantar permohonan tu."

"Baik! Mari ikut saya." arah lelaki tua itu segera kemudian mula berjalan. Serentak mereka semua berpandangan seketika sebelum menyusul bersama dua orang lelaki sebaya yang bersamanya tadi.

"Bila pula awak hantar permohonan?" Bisik Jungwoo yang kini sudah berjalan di sebelah Mark.

Lelaki itu hanya menyigungnya. "Ada lah."

Mereka mula berjalan melintasi orang ramai yang kini sedang memandang mereka pelik seolah-olah mereka adalah makhluk asing yang datang dari planet Pluto. Terdapat segelintir orang yang sedang memotong kayu, mengangkat air dan sebagainya. Ada juga yang mengasah pedang menyebabkan mereka semua sedikit ternganga. Di zaman sekarang, sukar untuk melihat pedang seperti itu.

"Ini bilik kamu." lelaki tua itu menuding ke arah sebuah khemah yang agak besar berada dalam kawasan berdekatan. Di sekelilingnya juga ada banyak khemah yang sama. Serentak mereka semua mengangguk-angguk tidak menyoal. Mereka hanya ingin melihat dan meninjau dengan lebih lagi kawasan tempat itu.

"Di sini... Kamu tidak dibenarkan berpakaian seperti ini." lelaki tua itu memandang mereka satu-persatu dari atas ke bawah dengan tangannya yang menuding ke arah mereka semua.

Serentak mereka berpandangan lalu memandang diri masing-masing untuk melihat apa yang tidak kena pada pakaian mereka.

"Maksud saya ia terlalu moden." beritahu lelaki tua itu setelah perasan riak muka yang ingin membantah. "Di sini kami ada pakaian khas. Dan saya rasa ia berguna untuk kamu sebagai pelawat."

"Pakaian khas??" Ulang mereka semua hampir serentak.

Lelaki tua itu hanya mengangguk-angguk. "Kalau kamu nak gambar sebagai contoh dalam laporan pun boleh."

"Pakaian yang macam mana. tu?" tanya Yuta dengan dahi berkerut.

Lelaki tua itu segera memandang dua lelaki yang bersamanya sejak tadi lalu memberi satu isyarat yang hanya difahami oleh mereka.

Tidak lama kemudian, dia memandang semula ke arah Yuta dan yang lain. "Kamu semua boleh ikut dua lelaki ni."

Kesemua mereka tidak membantah ketika lelaki tua itu berlalu pergi. Mereka segera masuk ke dalam khemah yang dikatakan sebagai bilik mereka sebentar tadi dan menyusul dua lelaki yang hanya berdiam diri seperti orang bisu itu. Keluasannya di bahagian dalam sememangnya besar dari yang mereka sangkakan.

"Hai, saya Changbin. Dan ini Sungmin." lelaki yang agak tinggi itu bersuara. "Kamu semua kena pakai pakaian yang kami sediakan untuk mengelakkan orang kampung memandang aneh pada kamu."

"Mana pakaian tu?" Lee Know mengangkat keningnya.

Changbin dan Sungmin segera menuding ke arah katil yang tersedia lima di situ. Buat seketika, mereka agak kagum dengan kebesaran khemah yang boleh memuatkan enam buah katil. Mark bersyukur kerana memberitahu berapa bilangan mereka.

"Kamu boleh ambil baju di katil masing-masing mengikut kesesuaian." ujar Changbin sambil tersenyum ceria.

Mereka berjalan perlahan-lahan menuju ke katil masing-masing seolah-olah tahu yang mana satu katil yang disediakan untuk mereka. Mereka langsung tidak berminat dengan posisi katil itu tapi tidak sabar untuk melihat jenis baju yang macam mana mereka harus pakai. Baju yang terlipat kemas itu segera dicapai lalu segera dibelek. Terlalu banyak lipatan padanya.

"Kamu boleh tukar sekarang." beritahu Changbin dengan senyuman manisnya yang tidak pernah lari. "Kami akan tunggu di luar. Dah siap nanti... Keluar je. Kita buat tinjauan kat sana lagi."

"Baiklah, terima kasih." ucap Jungwoo ceria. Kedua-dua lelaki itu hanya melemparkan senyuman manis kemudian berjalan keluar dari khemah itu.

Mark memandang baju yang ada ditangannya seketika baru teringat akan sesuatu. "Patut lah mereka tanya saiz waktu saya hubungi mereka hari tu."

"Macam mana awak hubungi mereka sebenarnya?" Tanya Jungwoo masih tidak puas hati mengenai perkara itu.

"Guna emel."

"Emel??" Jungwoo membesarkan matanya. "Mereka ada emel ke? Maksud saya kat kampung ni?"

"Jungwoo..." Taeyong mencelah dengan dengusan lembut. "Hanya budaya mereka je yang berbeza. Mereka juga manusia dari abad kita. Tak ada beza. Cuma mereka lebih nak hidup dengan alam sekitar dan cara mereka sendiri di sini. Dan mereka tetap tahu bagaimana dunia luar."

Jungwoo hanya mengangguk-angguk faham.

"Dah. Jom tukar!" ujar Lee Know agak bersemangat langsung tidak berminat mengenai perbualan ketiga-tiga lelaki itu.







______________________________________

Bersambung~

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top