Weird Village
BAB 43 : PERKAMPUNGAN ANEH
Izzudin kini melakukan sesuatu yang hanya dia seorang sahaja dapat terangkan. Dia seolah-olah sedang menumbuk sesuatu di atas sebuah batu seolah-olah dia ingin membuat rancangan memasak di tempat aneh itu. Dayah, Yuna, Tasnim, Khairul dan Hisham bersedia di tempat masing-masing penuh gementar. Mereka berada dalam kumpulan yang paling bahaya setakat ini.
Sepanjang perjalanan, mereka tidak berhenti bertanya dengan Izzudin mengenai peranan mereka. Dan lelaki bermata biru semulajadi itu hanya menerangkan entah sudah berapa kali setakat ini. Hanya dia seorang sahaja yang kelihatan tenang dalam misi itu, manakala yang lain seperti ingin tarik diri serta-merta.
"Kamu dah bersedia??" Izzudin memandang setiap orang yang berada di situ satu-persatu.
"Saya tak pasti." Dayah mengaku sambil menjilat bibirnya yang kini sudah mula kering.
Izzudin mendengus perlahan lalu segera berdiri menghadap mereka dengan wajah yang tenang. "Kita kena lakukan ini. Ada sebab kenapa saya kumpulkan kamu semua dalam kumpulan ni."
"Jadi..." Tasnim bersuara sambil berfikir seketika masih ragu-ragu. "Saya akan tinggalkan jelmaan serigala saya nanti?"
"Ya." Izzudin mengangguk-angguk. "Pastikan semua jelmaan awak menjadi pelindung awak. Dan pastikan mereka terus sahaja menyerang apa sahaja yang akan menyerang kita."
Tasnim mengangguk-angguk bagaimanapun riak wajahnya masih kelihatan tidak yakin sama sekali.
"Khairul..."
Khairul mengangkat keningnya memandang Izzudin. Jantungnya juga berdebar-debar ketakutan.
"Awak kena salurkan kuasa awak pada semua." Izzudin mengingatkan walaupun perkara itu sudah dimaklumkannya kepada lelaki berlesung pipit itu. "Pastikan tiada sesiapa yang cedera."
Khairul menelan air liurnya kemudian mengangguk. Tanggungjawab itu nampak mudah tetapi amat berat baginya.
"Dayah..."
Dayah hanya memandang Izzudin.
"Awak, Yuna dan juga saya akan pergi cari Huruf U." Izzudin memberitahu. "Hisham..."
Hisham hanya memandang Izzudin dengan wajah yang tenang. Dia seorang sahaja yang sepertinya tiada apa-apa ketakutan.
"Awak serang."
Hisham menelan air liurnya tanpa dia sedari. Tidak tahu kenapa dia diletakkan pada peranan itu seorang diri.
"Awak akan serang kalau mereka dah perasan apa yang berlaku." Izzudin menghabiskan ayatnya membuatkan Hisham mengangguk. Lelaki bermata biru itu segera menarik nafas panjang. "Kamu dah bersedia??"
Semua orang kini mula menarik nafas. Berdoa di dalam hati untuk apa sahaja yang berlaku. Ada yang berpandangan dengan wajah yang hampir menangis masih ingin menarik diri daripada misi itu.
Izzudin tidak menunggu lama lagi. Dia mengambil benda yang asyik ditumbuknya pada batu tadi dan kini sudah menjadi debu. Dia meniup debu berwarna kelabu itu perlahan-lahan. Lama-kelamaan, sesuatu yang mengejutkan mereka telah berlaku. Sedikit demi sedikit mereka dapat melihat sebuah kawasan yang dipenuhi dengan rumah aneh diperbuat daripada batu yang tidak rata. Unggun api marak di beberapa kawasan walaupun hari masih siang. Tempat itu seperti sebuah lukisan.
Kelihatan ramai orang yang berjalan ke sana sini. Apa yang membuatkan mereka ternganga, semua orang-orang itu berkepala botak dengan banyak corak pada tepi mata mereka. Sepertinya mereka melakukan sesuatu mengikut perkara yang telah ditetapkan dan ditugaskan kepada mereka.
"Bergerak sekarang." Izzudin memberi arahan apabila membahagikan dirinya kepada beberapa klon. Yang lain hanya tercengang melihat betapa tenangnya lelaki itu untuk berada dalam situasi bahaya.
Dayah segera menyalurkan kuasanya kepada Yuna dan Izzudin yang asal. Mereka kini sudah tidak kelihatan. Tasnim sudah menjelmakan empat ekor serigala sebelum melepaskan semuanya ke dalam hutan. Dia, Khairul dan Hisham berpandangan seketika sebelum mula bergerak secara menyelinap.
"Hati-hati." Bisik Izzudin.
Yuna dan Dayah tidak menjawab. Mengangguk juga mereka tidak mampu. Mata mereka kini bergenang apabila memikirkan bahaya yang menanti mereka sekarang ini. Tidak tahu sama ada mereka dapat kembali masih bernafas ataupun tidak.
Izzudin tidak menunggu apa-apa balasan. Dia tahu apa jawapan yang bakal diberikan oleh kedua-dua gadis itu. Jadi dia memutuskan untuk tidak menanti. Dia mula bergerak perlahan-lahan diikuti dengan Yuna dan Dayah. Langkah mereka penuh berhati-hati. Mereka mencuba sedaya-upaya untuk tidak mengeluarkan bunyi.
Semakin mereka berjalan masuk, semakin dekat dan jelas penglihatan mereka kepada kawasan itu. Ia seperti perkampungan orang asli. Seperti orang yang tinggal di zaman batu kerana rumah mereka diperbuat daripada batu. Sepertinya ia sebuah gua yang luas. Tetapi diukir dan dibentuk untuk menjadi sebuah perkampungan.
"Apa yang mereka buat?" Yuna bertanya dalam keadaan berbisik apabila ketiga-tiga mereka berhenti berjalan ketika ternampak sesuatu yang menarik perhatian mereka di bahagian tengah kawasan itu.
Izzudin tidak mampu menjawab. Dia hanya mampu menggeleng sekali. Matanya tidak lari dan tidak berkelip daripada melihat situasi itu. Lebih kurang dua puluh orang yang memakai pakaian serba hitam dengan penyelubung kepala yang tetap menampakkan rambut mereka yang langsung tiada sedang berdiri menghadap unggun api yang besar dalam bulatan. Mereka sedang mengucap sesuatu secara serentak dan kuat.
"Ia mengerikan." Dayah menyapu bulu romanya yang kini sudah meremang. Entah kenapa, ada makna tersirat disebalik apa yang mereka ungkapkan itu walaupun tidak dapat difahami.
"Awak tak faham ke?" Yuna memandang Izzudin.
Izzudin yang masih lagi memandang kejadian itu hanya menggeleng perlahan. "Ia bahasa mereka. Saya tak tahu."
Yuna dan Dayah hanya mengangguk-angguk. Tiba-tiba sahaja, satu lolongan yang kuat bergema kedengaran dari segenap arah. Seorang lelaki dan seorang perempuan yang diikat pada sebatang kayu yang dijulang tinggi menjerit dan meraung sambil menangis kuat meminta dilepaskan.
"TOLONG!!!!"
"JANGAN!!!"
Yuna, Izzudin dan Dayah hanya memandang kejadian itu dengan wajah yang terkejut bercampur bingung. Kedua-dua orang tadi kini dibawa ke tengah-tengah bulatan itu lalu diturunkan.
"Tolong lah lepaskan saya..." perempuan itu merayu dengan keadaan yang kusut masai seperti sepuluh hari tidak makan. Badan mereka penuh dengan calar dan darah kering. Air mata mereka sudah tidak keluar lagi. Sepertinya sudah habis dikeluarkan sebelum ini. Mereka kelihatan lemah dan terketar-ketar.
"Tolong lah..."
Rayuannya itu tidak dipedulikan. Tiba-tiba sahaja mereka dimasukkan ke dalam satu kurungan besi sebelum dihumban secara terus ke dalam unggun api yang besar itu menyebabkan Izzudin, Yuna dan Dayah ternganga dengan mulut yang terbuka luas. Mereka langsung tidak menyangka perkara itu.
Pekikan dan jeritan itu semakin kuat. Semakin lama ia kedengaran semakin mengerikan. Sepertinya kesakitan itu dapat digambarkan daripada jeritannya. Ketika jeritan itu sudah berhenti selama hampir seminit, kurungan itu ditarik semula. Dayah hampir mengeluarkan bunyi bagaimanapun mulutnya ditekup oleh Izzudin. Yuna pula sudah hampir pengsan.
Kedua-dua orang yang berada dalam kurungan itu sudah hangus terbakar tidak bergerak. Walaupun wajah mereka sudah tidak dapat dilihat lagi, bentuk fizikal mereka masih dapat dikenalpasti. Semua orang yang berada di situ bersorak kegembiraan sebelum kurungan itu dibuka. Kedua-dua mayat tadi dikeluarkan sebelum mereka semua mengerumuninya seperti singa yang kelaparan. Satu-persatu daripada bahagian jasad mereka dicabut dan dirobekkan untuk dimakan.
Dayah sudah mengeluarkan bunyi hendak muntah, manakala Yuna sudah termuntah beberapa saat sebelum ini. Izzudin hanya mengalihkan pandangannya tidak sanggup melihat kejadian itu. Mereka tidak dapat membayangkan apa rasanya berbuat demikian. Bagaimana mereka kekal hidup dalam kehidupan seperti itu.
"Jom kita pergi." Izzudin bercakap dalam keadaan masih rasa loya. Matanya berair seperti tidak dapat menahan lagi. "Nanti saya termuntah."
Dayah yang masih menekup mulutnya bagi menahan daripada muntahnya terkeluar hanya mengangguk terdesak. Yuna pula baru selesai membetulkan dirinya selepas mengeluarkan apa yang ada di dalam perutnya.
Mereka mula berjalan tanpa berbahas panjang lebar lagi. Tidak sanggup untuk berada di tempat itu dengan lebih lama lagi. Walaupun hanya berjalan tanpa dilihat dan tidak mengeluarkan bunyi langsung, ia sepertinya lebih sukar. Mereka berusaha untuk tidak memandang benda-benda yang menggelikan.
Semakin banyak benda aneh yang mereka lihat. Apa yang mereka lakukan hanya berusaha mengalihkan pandangan daripada benda-benda yang boleh membuatkan mereka muntah dan pengsan serta-merta. Mereka berjalan penuh berhati-hati dalam keadaan tidak dilihat oleh orang-orang di situ.
Setelah lama berjalan, mereka kini berada di paling hujung tempat itu kerana hanya ada satu pintu pagar besi dengan iringan dua obor api di bahagian kiri dan kanannya. Terdapat sekumpulan orang-orang aneh itu berada berdekatan sambil bergelak tawa atas sesuatu yang tidak dapat dipastikan. Melihat wajah mereka secara dekat seperti itu, baru lah mereka perasan terdapat banyak tanda dan simbol pada kepala mereka yang botak tidak kira lelaki atau perempuan. Mata mereka marak menyala.
"Saya rasa ini jalan ke tempat kurungan tu." Izzudin berbisik sambil matanya memerhati orang-orang aneh itu.
Yuna dan Dayah tidak membalas. Mereka hanya memandang pagar besi berkarat yang bersambung dengan batu itu.
"Mereka akan perasan kalau kita buka pagar ni." Bisik Dayah.
"Sebab tu kita perlukan Yuna kat sini." Izzudin memandang Yuna yang hanya mengangkat keningnya. "Awak perlu bawa kami ke dalam."
Yuna tidak berkata apa-apa. Dia hanya memegang kedua-dua bahu mereka dan dengan sekelip mata sahaja, mereka sudah berada di bahagian dalam betul-betul di belakang pagar besi itu. Mereka memandang sekeliling seketika sebelum Izzudin mula berjalan di susuli oleh mereka.
Tempat itu hampir sama sahaja dengan gua-gua yang menyimpan bebola kristal. Bezanya adalah udara. Udara di tempat itu penuh dengan bau busuk dan hanyir. Sesiapa sahaja yang masuk ke tempat itu pasti ingin keluar dengan cepat. Simbol-simbol aneh dapat dilihat pada sekeliling dinding. Terdapat banyak mangkuk yang berisi pelbagai benda pelik dan hangus terbakar.
Semakin mereka berjalan masuk, semakin kedengaran sayup-sayup suara orang merintih. Ia semakin jelas apabila mereka tiba di suatu sudut. Terdapat beratus-ratus kurungan di situ. Setiap daripadanya mempunyai rintihan dan bunyi mengerekot kesakitan. Ada yang berkata sesuatu yang sudah tidak jelas kedengaran lagi.
"Mereka semua manusia biasa..." ujar Izzudin setelah memeriksa beberapa kurungan yang mempunyai orang-orang yang berbeza di dalamnya. Ada yang baring dan ada yang duduk bersandar. Masing-masing mengerang kesakitan dengan badan yang penuh darah. Mereka seperti orang yang tidak makan selama sebulan.
"Kita kena selamatkan mereka!"
Izzudin mula menghancurkan kurungan pertama dan cuba membantu seorang perempuan keluar dari situ. "Kumpulkan mereka dan saya nak awak..." Izzudin memandang Yuna. "Bawa mereka ke tempat yang selamat."
Yuna mengangguk tidak membantah. Dayah turut membantu Izzudin mengeluarkan semua tahanan di situ.
"PENCEROBOH!! PENCEROBOH!!"
Dayah membesarkan matanya. Izzudin pula terhenti seketika sebelum meneruskan apa yang dia lakukan. Yuna pula entah berada di mana. Dia kini berusaha menghantar semua tahanan itu ke hospital menggunakan kuasanya.
Pekikan dan lolongan mula kedengaran dari luar sana. Bunyi serigala menyalak turut bergema kuat diiringi dengan gegeran perlahan. Letusan dapat didengar dari segenap arah. Ketiga-tiga mereka tidak berhenti melakukan apa yang mereka sedang lakukan. Mereka berusaha menyelamatkan semua.
"Ini yang terakhir." Dayah memberitahu ketika dia menyerahkan seorang kanak-kanak kepada Yuna yang segera menghilang.
Izzudin mengerutkan dahinya. Dia memandang sekeliling cuba mencari jika ada apa-apa kurungan yang lain lagi. "Saya tak jumpa Huruf U lagi."
Dayah mengangkat bahunya dengan wajah yang risau. "Saya pun tak jumpa. Saya periksa setiap lengan mereka."
"Habis tu di mana..."
"Pergi ke hujung..."
Izzudin berhenti bercakap apabila terdengar suara yang selama ini sering menghantui mereka.
"Pergi ke tempat paling hujung..."
Suara itu kedengaran semakin serak dan lemah.
"Hati-hati!!" pekik Dayah apabila salah satu orang aneh itu berjalan perlahan-lahan mendekati Izzudin.
Belum sempat dia berbuat apa-apa, salah satu klon Izzudin sudah mematahkan lehernya dari belakang.
"Saya lupa yang kita dah boleh dilihat." Selamba Izzudin mengangkat bahunya kemudian mula berjalan menuju ke hujung tempat itu.
Dayah hanya menyusul dengan mulut masih ternganga melihat apa yang klon Izzudin lakukan sebentar tadi.
"Kat sini ke?" Izzudin mengerutkan dahinya memandang sebuah pintu batu yang penuh dengan ukiran yang berlingkar dan mengelirukan.
"Macam mana nak buka?" Dayah meraba-raba pintu batu itu cuba mencari tombol atau benda yang sama dengan itu. "Saya tak jumpa apa-apa."
Izzudin tidak membalas. Dia juga berusaha untuk mencari sesuatu yang membolehkan pintu itu dibuka.
"Buat..."
Izzudin dan Dayah terhenti seketika untuk fokus pada suara itu.
"Bentuk bulat... Dengan lima titik mengelilinginya pada tengah-tengah pintu ini dengan menggunakan tiga jari."
Izzudin dan Dayah berpandangan seketika kemudian cuba berfikir. Izzudin tidak membuang masa. Dia hanya mengikut apa yang suara itu beritahu sebentar tadi. Dia melakukannya dengan gerak perlahan dan penuh berhati-hati dengan perasan ragu-ragu. Tiba-tiba sahaja ia terbuka apabila Izzudin selesai melakukan apa yang baru sahaja suara itu arahkan.
Kedua-dua mereka melangkah masuk. Tempat itu tidak seperti yang mereka sangkakan. Ia penuh dengan rangka dan tulang yang entah milik siapa. Dayah mula rasa loya semula, manakala Izzudin cuba menahan dirinya sambil memandang sekeliling. Matanya terhenti pada sekujur tubuh yang diikat di tengah-tengah ruang bilik itu. Ia sedang baring menghadap ke atas di atas sebuah meja batu.
Mereka segera mendekatinya apabila ia mengerekot sedikit. Suaranya seperti tidak dapat dikeluarkan. Badannya penuh dengan calar dan darah kering. Rambutnya kusut masai dan matanya berair.
"Huruf U..."
Tubuh gadis itu yang mana mereka hampir tidak dapat mengecamnya cuba bergerak memberitahu sesuatu tetapi gagal. Suaranya juga tidak dapat dikeluarkan.
"Kita perlu pergi." Izzudin mula membuka ikatan pada tubuh gadis itu setelah memastikan dia adalah Huruf dengan melihat parut di lengan kanannya.
Gegaran masih lagi terasa. Pekikan dan lolongan masih lagi kedengaran di luar sana membuatkan Izzudin mempercepatkan apa sahaja yang dia lakukan. Yuna tiba tepat pada masanya setelah penat mengalihkan tahanan-tahanan yang lain.
"Semua dah selesai?" Dayah bertanya.
Yuna hanya mengangguk sambil memandang badan gadis yang kini berada dalam tangan Izzudin. Lelaki bermata biru itu memberi isyarat untuk Yuna bertindak dan gadis itu segera melakukannya. Mereka kini muncul di pertengahan pertempuran di luar tempat kurungan tadi.
Tembakan dan serangan mula dilontarkan dari segenap arah. Mereka kebingungan seketika tidak tahu apa yang berlaku. Jeritan marah mula kedengaran bercampur-campur tidak tahu mana yang harus didengar.
"Dah ke?" Tasnim muncul entah dari mana sambil menjerit kuat kerana suaranya hampir tenggelam.
Izzudin mengangguk kemudian memandang sekeliling. "Panggil Khairul dan Hisham sekarang!"
Tidak sampai seminit, kedua-dua lelaki itu muncul lalu melutut untuk bersedia beredar. Hisham menembakkan panahan petirnya ke arah sekumpulan orang-orang aneh yang ingin menyerang sebelum mereka ghaib dari tempat itu.
A/n: Akhirnya, Huruf U dapat diselamatkan!! Fuh~ Lengkap pun. Hahaha. Saya berusaha nak habiskan cerita ni cepat. Tak banyak lagi. Tak lebih sepuluh bab lagi pun. Lepas tu saya nak publish cerita saya 'HUMANOIDS'. Kali ni genre sci-fi. Harap korang akan support nanti macam cerita ni. Hehehe. Leave me your feedback. :)
> VOTE & COMMENT <
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top