New Phase

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> Noorizan's cast is Lucas Till.


BAB 1 : FASA BARU


Kadangkala, sesuatu yang berlaku dalam hidup kita tanpa kita duga akan membawa satu perubahan besar untuk kita menghadapi masa-masa yang akan datang. Sesuatu yang bukan keinginan kita sendiri. Mahu atau tidak kita perlu menerimanya dan terus berada di situ untuk memainkan peranan yang sepatutnya dipegang. Walaupun ia akan mempertaruhkan nyawa kita sendiri.

Perkara yang berlaku beberapa tahun sebelum ini benar-benar memberi impak yang besar buat mereka. Peperangan dan pertarungan yang mengorbankan banyak nyawa. Termasuklah ketua mereka sendiri. Puak Huruf. Itu adalah keluarga baru mereka dan mereka harus meneruskan semua tradisi yang mereka pelajari sebelum ini. Segala apa yang diajar, mereka titikberatkan satu-persatu. Itu pesanan terakhir ketua mereka. Teruskan apa jua misi yang akan datang.

Hisham melangkah keluar dari bilik batu itu sambil menggosok-gosok muka dengan tangan kanannya. Tangan kirinya pula sedang memegang satu buku tebal lama dengan lapik berkulit yang unik bagaimanapun sudah kelihatan usang. Dia memandang sekeliling tempat itu. Ruang yang selalunya akan menjadi tempat mereka berkumpul, berbincang dan sebagainya.

Dia terpandang Noorizan yang sedang membaca surat khabar di meja makan sambil minum secawan kopi. Lelaki itu benar-benar memainkan peranan Aieyn. Dia sentiasa keluar dari markas untuk mencari apa-apa petunjuk. Hanya beberapa kali sahaja dia akan keluar bersama Hisham. Dia selalunya akan pergi sendiri. Tidak mahu berteman dengan sesiapapun dari mereka.

Miezza pula kini sedang melakukan kerjanya di dapur menggantikan tugas Sheronica sebelum ini. Mujur dia mampu melakukannya. Jyra pula hanya berdiri di sebelahnya sambil memerhatikan setiap pergerakan gadis itu. Dia pernah sekali cuba untuk bekerja di dapur ketika Miezza tiada di markas dan hampir menyebabkan dapur itu terbakar. Sejak itu, mereka tidak mahu Jyra melakukan apa-apa di sana.

Noorizan segera mendongak apabila Hisham menyertainya di meja dengan meletakkan buku tersebut di situ.

"Macam mana? Dah dapat apa-apa atau belum?"

Hisham mendengus perlahan. "Saya benar-benar tak boleh baca tulisan dalam buku ni. Terlalu purba."

"Tapi..." Miezza bersuara ketika dia dan Jyra menyertai dua lelaki itu di meja makan sambil menghulurkan secawan kopi kepada Hisham. "Saya tak rasa tulisan di dalam buku tu adalah tulisan purba."

"Apa maksud awak?" Hisham mengerutkan dahinya.

"Saya tak rasa semua tulisan dalam ni purba ataupun wujud di mana-mana sebelum ni." Miezza memandang sekali imbas buku yang berada di atas meja itu. "Saya rasa ia memang dibuat secara terperinci oleh puak kita."

"Kenapa pula macam tu?" Giliran Jyra untuk bertanya selepas menghirup kopi yang berada di hadapannya.

"Saya dah cari benda ni dari dulu sampai sekarang." Miezza bersuara serius. "Saya tak jumpa apa-apa tulisan jenis ini. Ia tiada dicatat dalam mana-mana sejarah. Dan saya rasa ia hanya dibuat oleh puak Huruf."

Jyra mendengus perlahan sebelum bertongkat dagu. "Kita sepatutnya belajar benda ni dari Izzudin."

"Kalau kita belajar pun rasanya ambil masa." Noorizan mengeluh sambil menggolekkan bebola matanya. "Lagipun masa tu kita sibuk dengan latihan perang dan tak ada masa nak fikir pasal ni."

"Ya." Sokong Miezza. "Dan kita tak tahu pula tak ada seorang pun penaung yang tinggal."

Kenyataan itu membuatkan keadaan menjadi sunyi sepi. Pelbagai perkataan sensitif sentiasa mematikan perbualan mereka. Benar. Mereka benar-benar hilang arah tanpa seorang pun penaung puak Huruf yang tinggal. Menjadi penaung baru tanpa tahu apa-apa mengenai sejarah puak itu cukup merumitkan keadaan. Sehingga kini mereka juga tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Siapa lawan mereka juga tidak dapat dikenal pasti. Selama beberapa bulan tinggal bersama di situ, keadaan menjadi lebih kekok dari biasa. Apa yang mereka tahu, mereka perlu mengumpulkan semua ahli puak Huruf yang baru.

Hisham menarik nafas panjang. Dia dapat merasakan beban yang ditanggungnya selama ini semakin berat. Menggantikan tempat Farra yang sebelum ini adalah ketua puak itu benar-benar merunsingkannya. Oleh kerana Farra meninggalkan pesan padanya, dia terpaksa bertindak untuk memberi arahan sehingga mereka menemui ketua yang sebenarnya dari pemilik rantai itu. Ketua untuk semua kuasa mereka. Yang akan menjadi pemimpin mereka untuk semua yang dihadapi nanti.

"Saya pergi mencari hari ni." Noorizan meneguk habis kopinya kemudian bingkas bangun dan melipat surat khabar yang dibacanya sebentar tadi. Dia kelihatan tergesa-gesa seperti selalunya.

"Awak perlu teman ke?" Jyra mengerutkan dahinya merenung lelaki itu agak risau dengan keadaannya.

"Tak." Balas Noorizan. "Tak perlu."

"Noorizan..." panggil Hisham. "Awak dah keluar lima hari berturut-turut. Biar kami yang pergi lagi."

"Tak mengapa." Bantah Noorizan sedikit keras. Dia sudah mengetap giginya tanpa disedari. "Saya okey."

"Noorizan..."

"Saya okey, Hisham!" bentak Noorizan tiba-tiba membuatkan ketiga-tiga mereka terdiam.

Itu bukanlah perkara yang mengejutkan mereka kerana perangai Noorizan benar-benar berubah seperti itu sejak mereka balik ke markas. Apa sebabnya tiada siapa yang tahu. Dia menjadi pemarah, dingin, pendiam dan suka bertindak sendiri tanpa apa-apa perbincangan. Bila ditanya, tiada apa-apa jawapan yang diberi.

Noorizan mengemas barang-barangnya lalu dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Dia mendengus ketika menggalas beg tersebut.

"Noorizan, berhenti." Gumam Hisham sambil berusaha sedaya upaya untuk mengawal kemarahannya.

"Hisham..." Jyra memberi amaran pada lelaki itu untuk tidak menghalang Noorizan meneruskan perjalanannya.

Noorizan masih tetap tidak peduli. Dia kini sudah bersedia untuk beredar langsung tidak menghiraukan apa-apa.

"Noorizan, berhenti." Gumam Hisham lagi kali ini sedikit keras. Dia sudah menggenggam erat buku limanya.

Miezza memandang Hisham dan Noorizan silih-berganti. Dia sudah rasa tidak senang mengenai keadaan ini. Jyra masih lagi berbisik kepada Hisham agar membiarkan sahaja lelaki itu bertindak mengikut kehendaknya. Noorizan masih tidak peduli seolah-olah tiada siapa bercakap dengannya.

Hisham bingkas bangun ketika Noorizan berjalan ke pintu utama kemudian menghalakan tangan kanannya ke arah lelaki itu. Satu panah berwarna keperakan bersalut cahaya keperakan yang kelihatan seperti urat elektrik keluar dari tangannya dan meletus ke arah batu betul-betul di sebelah Noorizan.

Noorizan berhenti berjalan kemudian memandang Hisham yang kini tercungap-cungap menahan marah. Miezza pula hanya mampu membesarkan matanya agak terkejut dengan tindakan lelaki itu.

"Apa awak buat?!" Pekik Jyra yang sudah berdiri di sebelahnya sambil merenung lelaki itu tajam.

Hisham tidak membalas sebaliknya merenung Noorizan yang kini sedang membalas renungannya tajam. Kedua-dua mereka kini sedang menahan kemarahan yang membuak-buak dalam diri mereka. Masing-masing cuba untuk tidak melakukan apa-apa yang merbahaya dan mencederakan.

"Awak dah gila ke??" Jyra memekik lagi. "Awak akan bunuh dia! Kenapa dengan awak ni?!"

"Kenapa awak tanya?" Hisham tersengih tiba-tiba seperti orang kurang siuman. "Kalau awak perasan... Macam ni lah cara Farra selalu menghalang kemarahan dalam diri Aieyn."

Jawapan Hisham membuatkan semua orang tersentak termasuklah Noorizan yang masih berdiri kaku di tempat dia berdiri.

"Saya tak tahu apa jadi dengan kita sekarang." Hisham mendengus perlahan kemudian memejamkan matanya seketika. "Saya tahu kamu tak pernah anggap saya sebagai ketua walaupun kamu sendiri yang lantik sebelum ni."

Jyra duduk semula di kerusinya. Mengigit bibirnya cuba menahan air matanya dari jatuh berlinangan. Miezza hanya mampu merenung meja itu, manakala Noorizan masih dengan posisi yang sama.

"Saya pun tak berminat nak jadi ketua." Gumam Hisham yang kini sudah mula bercekak pinggang dengan wajah yang kelihatan letih. "Saya tak mampu nak jadi sehebat Farra, Aieyn atau Izzudin. Apa yang saya nak hanya meneruskan kerja-kerja mereka. Dan tengok lah apa yang jadi pada kita sekarang??"

Jyra menundukkan kepalanya sambil memejamkan mata. Dia berusaha sedaya-upaya untuk menahan air matanya daripada mengalir keluar. Dia sudah terlalu penat menangis untuk perkara yang tidak boleh diubah.

"Betul kita tak dapat nak tandingi apa sahaja kehebatan yang mereka ada." Ujar Hisham sambil meraba-raba rambutnya sendiri. "Tapi sekurang-kurangnya kita cuba gunakan kerjasama yang mereka ada."

Noorizan mendengus kuat kemudian bersandar pada dinding sambil memejamkan matanya. Dia kini sedang bergelut dengan dirinya sendiri. "Saya pun tak tahu apa dah jadi pada kita."

Miezza segera tunduk apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Jyra pula sudah mengesar airmatanya. Akhirnya ia jatuh mengalir juga walau bagaimana kuat untuk cuba menahan.

"Saya tak boleh terima..." suara Noorizan kedengaran sedikit bergegar. "Saya tak dapat selamatkan Aieyn langsung."

Hisham memalingkan wajahnya seketika kemudian menggeleng tanpa sebab. "Saya pun tak dapat selamatkan Farra, Noorizan." Wajahnya kini sudah mula merah padam. "Apa yang saya boleh buat sekarang adalah buat apa yang dia nak saya buat. Itu je. Kita tak boleh putar balik masa."

"Berada di sini buat saya ingat segala-galanya." Gumam Noorizan. "Sebab tu saya sentiasa tawarkan diri untuk keluar."

"Macam ni lah..." Miezza bersuara setelah lama berdiam diri. "Kita buat macam mana mereka buat."

Serentak semua mata memandang gadis itu.

"Dua daripada kita akan keluar mencari." Miezza menarik nafas panjang. "Dua lagi akan tinggal kat sini. Setakat ni... Belum ada rantai yang berkurangan. Maknanya semua Huruf masih hidup."

Jyra mengangguk-angguk dengan wajah yang bengkak. "Yang tinggal mungkin boleh cuba siasat atau cari maklumat untuk apa sahaja yang bakal kita lalui. Cuba cari apa sahaja petunjuk."

Hisham mengangguk-angguk. "Sekarang kita dah jadi penaung... Saya harap kita tak hampakan sesiapa."

Miezza tersenyum mendengar kata-kata Hisham kemudian mengangguk. Begitu juga dengan Jyra. Noorizan pula hanya tunduk bagaimanapun tidak berkata apa tanda bersetuju dengan perkara itu.

"Kita patut mula." Ujar Hisham kemudian memegang rantai yang kini tergantung dilehernya. Akan tetapi, dia bukan memegang rantai berbuah huruf 'H' miliknya. Sebaliknya, dia memegang rantai berbuah huruf 'F' milik ketua mereka sebelum ini. Dia berniat untuk memakai rantai itu sehingga pemiliknya yang baru dijumpai.

"Hisham..."

Hisham tersentak kemudian segera memandang Noorizan. Lelaki itu sudah memandangnya dengan mata yang bersinar.

"Kita berdua keluar."

Hisham tersenyum kemudian mengangguk-angguk.

***

"Saya tak tahu macam mana nak cari mereka guna internet atau apa-apa petunjuk..." Noorizan bersuara ketika dia berjalan bergandingan dengan Hisham di tengah-tengah pusat bandar itu. "Silapnya itu pun kita tak belajar."

"Miezza ada belajar." Hisham bersuara sambil memandang orang ramai di sekeliling mereka. "Tapi tak guna. Tak ada apa-apa serangan. Jadi tak ada akhbar atau artikel pasal semua ni."

Noorizan mendengus kuat. "Kalau macam tu kita dalam masalah yang besar. Mereka tak akan cari kita sendiri. Mereka tak tahu apa-apa."

Hisham turut mendengus. "Tu lah. Saya pun tak tahu mana nak mula."

"Tapi kenapa tak ada artikel pasal ni?" Noorizan memandang Hisham sambil mengerutkan dahinya. "Maksud saya... Tak kan tak ada apa-apa berita yang menyatakan perkara ni. Mereka tak diserang ke??"

"Saya pun rasa pelik juga pasal tu." Hisham hampir sahaja terlanggar orang yang jalan dari arah bertentangan. "Biasanya ada. Sebab tu senang untuk mereka cari kita dulu. Tapi ini masalah sekarang."

"Sebab tu saya rasa..."

"Tolong!!!"

Serentak Noorizan dan Hisham berhenti berjalan seolah-olah ada sesuatu yang menahan mereka.

"Tolong saya!!"

Hisham segera memandang Noorizan. Suara itu seolah-olah berlegar di dalam kepalanya. Noorizan pula memandang sekeliling. Melihat apa sahaja yang boleh dijadikan suspek.

"Apa yang jadi dengan saya??"

"Noorizan..."

"Hmm??"

"Suara tu saya dengar dari telinga..." Hisham menarik nafas panjang. "Atau bermain dalam kepala saya je?"

"Saya baru nak tanya awak benda yang sama." Noorizan membalas selamba. "Sebab saya dengar. Tapi saya rasa ia dalam kepala saya."

Hisham segera memandang sekeliling. Melihat kawasan bandar yang penuh sesak itu. Cuba memerhati jika ada sesiapa yang bercakap dengan mereka sama ada dari jarak dekat atau jauh.

"Saya dah tak tahan!!"

"Tak guna!" Noorizan menyumpah sambil menderam. "Siapa tu?? Kenapa ia ada dalam kepala kita??"

Hisham masih lagi cuba meneliti suara itu. Dia hanya mampu mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

"Dia bercakap dengan kita ke?" Tanya Noorizan lagi.

"Tak tahu." Sekali lagi Hisham mengangkat bahunya. "Tapi dari ayatnya macam bukan juga."

Noorizan berdiam diri. Begitu juga dengan Hisham. Cuba memikirkan jika ada lagi suara itu. Akan tetapi, ia sudah tidak kedengaran lagi. Mereka memandang sekeliling lagi cuba memastikan tiada sesiapa yang mencurigakan.

"Saya rasa benda ni ada kaitan dengan kita." Hisham mendengus perlahan. "Sama ada mereka musuh atau apa pun."

Noorizan mengangguk bersetuju. Dia kini sedang bercekak pinggang tanpa dia sedari dia berbuat demikian.

"Pencuri!! Pencuri!!"

Serentak Noorizan dan Hisham menoleh apabila mendengar jeritan itu. Seorang wanita pertengahan umur sedang menuding ke arah sesuatu yang kini sedang bergerak laju dan tidak dapat dipastikan.

"Apa..."

Belum sempat Noorizan menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba sahaja dia tertolak ke arah Hisham tanpa sebab menyebabkan dia menoleh ke belakang. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang bergerak laju melanggarnya.

"Apa tu??" Noorizan tercengang seketika.

"Tak tahu." Hisham turut tercengang. Sepertinya dia juga dapat menangkap bayangan 'benda' yang laju itu.


A/n: Hola, guys!!! Sooooo, this is the first chapter. Hope you guys can warm up with it. They're still need to build up everything. Oleh sebab mereka bukan pure. Rasa macam lain sikit kan bila dah penaung baru ni. Tapi tak apa la. Kita bagi peluang la. Hahaha~ Leave me your feedback. :)

> VOTE & COMMENT <

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top