Blue
BAB 39 : BIRU
Semua kumpulan berlepas serentak di awal pagi itu. Pelbagai kerenah terpaksa dihadapi sebelum semuanya bertolak. Ada yang ingin tarik diri daripada keluar dan ada juga tidak henti-henti bertanyakan soalan. Pelbagai masalah mula timbul sehingga menyebabkan Izzudin terpaksa menerangkan semuanya satu-persatu.
Miezza, Pikah dan Qushairy kini sudah berjalan jauh. Sepanjang perjalanan, mereka terpaksa menenangkan lelaki itu kerana terlalu merisaukan keadaan Yuna. Mereka tidak menyalahkannya memandangkan Yuna berpuluh-puluh kali ganda lebih penting daripada yang lain padanya.
"Kamu rasa mereka akan selamat ke?"
Miezza segera mendengus apabila mendengar soalan itu yang dia sendiri sudah tidak ingat kali ke berapa.
"Qushairy..." Pikah memandang lelaki itu sambil menggolekkan bebola matanya. "Ini dah kali ke sembilan belas awak tanya benda yang sama. Satu je lagi dah dua puluh. Nak lengkapkan ke?"
"Kamu rasa mereka akan selamat ke?" Qushairy menyakat. "Dah sampai dua puluh kali dah."
Pikah menggenggam buku limanya hampir menumbuk lelaki itu sambil mengetap giginya kegeraman.
"Awak tanya sampai awak dah tak boleh bercakap pun..." Miezza segera mencelah. "Jawapan kami tetap sama."
Qushairy melepaskan keluhan panjang.
"Bertenang lah. Semuanya akan okey." Pikah cuba untuk menyenangkan hati lelaki itu walaupun dia tahu tidak akan berjaya.
"Tapi tempat yang mereka nak pergi tu bahaya sangat." Qushairy menyatakan pendapatnya mengenai perkara yang dirisaukannya itu. "Yuna tak boleh buat apa-apa untuk melindungi dirinya sendiri."
"Saya bukan nak cakap apa lah, tapi..." Pikah memandang lelaki itu. "Awak boleh buat apa-apa ke untuk lindungi dia?"
"Sekurang-kurangnya saya boleh bawa dia lari terus." Qushairy cuba untuk membela diri.
"Kuasa dia teleportasi." Pikah memberitahu dan menggolekkan bebola matanya lagi. "Dia pun boleh pergi sendiri."
Qushairy mengelipkan matanya seketika tidak mampu untuk membalas lagi. Ada benarnya juga.
"Lagipun Khairul ada bersama mereka."
"Jangan risau, Que." Miezza bersuara perlahan cuba menenangkan lelaki itu. "Izzudin mesti ada sebab kenapa dia bagi Yuna masuk dalam kumpulan tu. Dia dah rancang semuanya baik-baik."
Qushairy hanya mengangguk tidak bersuara lagi. Dia sudah berputus asa tidak mahu berdebat.
"Awak yang mencari kristal biru ni ke sebelum ni, Miezza?"
Miezza segera memandang Pikah yang sudah memandangnya tanpa berhenti berjalan kemudian mengangguk-angguk masih ingat mengenai itu. "Saya, Izzudin... Dan seorang lagi. Lily."
"Lily??" Ulang Pikah dan Qushairy hampir serentak.
"Ya." Miezza mengangguk sambil memandang jalan di hadapannya. "Dia orang yang berkuasa cahaya macam awak."
Serentak kedua-dua mereka terkejut.
"Nampaknya saya gantinya dalam kumpulan ni." Pikah mula berfikir sendirian sambil tersenyum sinis.
"Maaf tanya, tapi..." Qushairy berdehem seketika sambil cuba berdebat jika dia perlu menghabiskan soalan itu atau tidak. Ia seperti sesuatu yang agak sensitif. "Dia mati sebab apa?"
"Dalam pertempuran." Miezza menjawab ringkas.
Qushairy dan Pikah tidak bertanya lagi. Mereka merasakan bahawa topik itu agak sensitif untuk dibincangkan.
"Majoriti daripada Huruf yang ada generasi lepas mati dalam pertempuran kecuali Aieyn dan Sheronica."
"Mereka mati..."
"Dibunuh oleh Huruf sendiri." Selamba Miezza memintas sebelum sempat Pikah menghabiskan ayatnya.
Pikah hanya memandang Qushairy sekali imbas. Mereka sudah sedia maklum mengenai sejarah hitam itu.
"Teruk ke pertempuran kamu sebelum ni?"
Miezza segera memandang Qushairy. Lelaki itu kelihatan tidak yakin dengan pertanyaan itu dan ingin sahaja menarik balik. Tidak tahu kenapa dia terlepas cakap mengenai hal itu.
"Teruk." Miezza menjawab tenang. "Memang teruk."
"Awak rasa mana teruk..." Pikah memandang gadis itu. "Pertempuran dulu ke... Atau kali ni."
"Well..." Miezza menarik nafas panjang. "Saya tak tahu pertempuran kali ni macam mana sebab kita belum mula lagi. Tapi dari segi kuasa... Mungkin kali ni teruk sikit. Sebab mereka menggunakan sihir. Dari segi kuantiti dan keadaan... Pertempuran lepas memang teruk sangat lah."
Qushairy dan Pikah mengangguk-angguk.
"Memikirkan kami hanya sembilan orang masa tu sebab Aieyn dan Sheronica dah tak ada..." Miezza mengangkat bahunya sambil menarik nafas panjang. Pahit untuk ditelan. "Memang teruk."
Kedua-dua mereka segera tunduk. Tidak tahu sama hendak bersyukur kerana tidak terpilih pada generasi lalu atau macam mana.
"Habis tu macam mana kamu tamatkan?" Pikah bertanya lagi.
"Kan Farra yang tamatkan?" Miezza mengangkat keningnya. "Dia letupkan semua kuasa yang ada dalam diri dia."
"Kenapa dia buat macam tu sebenarnya?" Pikah mengerutkan dahinya cuba mengejar langkah gadis itu.
"Sebab dah tak ada jalan lain?" Miezza menjawab yang mana bunyinya lebih kepada menyoal. "Itu perbincangan mereka. Tapi salah satu sebabnya... Saya rasa dia nak ada yang tinggal sebagai penaung."
Qushairy dan Pikah masih kebingungan.
"Kalau kami teruskan lagi pertempuran masa tu..." Miezza berfikir seketika. "Ada kemungkinan kami akan mati macam yang lain."
"Ah..." serentak Qushairy dan Pikah mengangguk-angguk. Mereka kini faham mengenai perkara itu.
"Sebab tu dia buat macam tu." Miezza mengangkat bahunya. "Supaya ada penaung untuk teruskan generasi ni."
"Oh." Kedua-dua mereka mengangguk faham sekali lagi.
Mereka tidak berbual lagi selepas itu. Hanya meneruskan perjalanan dengan tenang. Miezza masih mengingati dengan jelas jalan itu membuatkan perjalanan mereka singkat tidak seperti sebelumnya. Oleh kerana dia dapat mengingati semuanya, tiada masalah untuk mereka menuju ke tempat itu.
"Jauh lagi ke?" Pikah berhenti berjalan lalu memandang Miezza. Dia sudah kepenatan kerana mereka berjalan tanpa henti.
Miezza tidak menjawab sebaliknya memandang sekeliling. Dia cuba mengingati sesuatu. Tempat itu seperti sudah pernah dilihatnya. Tempat yang masih segar dalam ingatannya.
"Kita dah sampai."
Pikah dan Qushairy tersentak lalu memandang sekeliling. Cuba mencari jika ada apa-apa tempat yang boleh dimasuki.
"Dah sampai??" Qushairy mengerutkan dahinya masih memandang sekeliling. Matanya sudah terbuka luas. "Saya tak nampak apa-apa gua pun. Izzudin cakap benda tu kat gua kan?"
Miezza tidak membalas. Dia hanya memerhati tempat itu dengan teliti. Memang benar. Dia yakin itu adalah tempatnya. Di situ lah mereka diserang oleh musuh suatu masa dahulu. Itu adalah tempat mereka berlawan buat kali pertama setelah tamat latihan dan keluar dari markas.
"Saya yakin ini adalah tempatnya."
Pikah dan Qushairy memandang sekeliling sekali lagi. Tiada apa-apa pintu atau tempat yang boleh dimasuki.
"Kalau macam tu..."
Kata-kata Pikah segera terhenti apabila mereka merasakan gegaran secara tiba-tiba. Qushairy kelihatan gelabah dengan mata terbuka luas tidak tahu apa yang sedang terjadi. Miezza hanya berdiri tenang seolah-olah sedang menunggu sesuatu.
"Apa dah jadi??!" Pikah mendongak sambil cuba berpaut pada Qushairy tanpa dia sedari.
"Gempa bumi ke??!" Qushairy memekik sambil cuba mengimbangkan badannya dalam keadaan itu.
Miezza masih tidak menjawab seolah-olah dia tahu apa yang berlaku tetapi tidak mahu menjawab soalan itu. Dia hanya menunggu persoalan itu terjawab sendiri setelah semuanya selesai. Lagipun, agak payah untuk dia membuka mulut dalam keadaan yang bergegar itu. Dia turut cuba mengimbangkan badannya agar tidak terjatuh.
Pikah dan Qushairy kini sudah berpaut antara satu sama lain. Terlalu cemas dengan apa yang sedang berlaku. Mereka dapat merasakan bahawa hayat mereka terhenti di situ kerana tanah itu akan terbuka pada bila-bila masa sahaja untuk menelan mereka. Mata mereka asyik sahaja memandang ke bawah.
Tiba-tiba sahaja, bukit yang berada betul-betul di sebelah mereka itu bergerak seperti ingin runtuh tidak lama lagi. Batu-batu dari bukit itu mula bergelincirian. Tanahnya turut jatuh seperti ada air yang menolaknya jatuh ke bawah. Gegaran itu semakin kuat membuatkan Qushairy dan Pikah semakin cemas. Timbunan batu-batu besar terbentuk betul-betul dari situ secara tersusun.
Serentak kedua-dua mereka ternganga dengan mata terbeliak tidak berkelip. Apa yang berada di hadapan mata mereka kini benar-benar sukar untuk dipercaya. Batu-batu yang bergerak tadi kini sudah membentuk sebuah gua yang mana mereka sendiri tidak tahu hendak menerangkan bagaimana kejadiannya.
"Apa... Dah... Jadi?" Pikah masih lagi tercengang.
Qushairy pula tidak bersuara sebaliknya hanya memandang Miezza dengan mata yang dibesarkan. Banyak persoalan ingin ditanyakan tetapi tidak dapat dikeluarkan dari mulutnya saat ini.
"Ini lah guanya." Miezza tersenyum puas. Dia sedikit lega kerana kali ini mereka tidak diserang seperti sebelumnya.
"Ah..." Qushairy memandang ke arah gua itu. "Tak hairan lah awak cakap dah sampai tadi."
Miezza menarik nafas panjang lalu mula berjalan masuk sambil memberi isyarat pada mereka. "Jom."
Qushairy dan Pikah tidak bercakap banyak lagi. Mereka terus sahaja menyusul Miezza masuk ke dalam. Udara di dalam gua itu terasa sejuk entah kenapa. Ia amat gelap menyebabkan mereka memerlukan bantuan kuasa Pikah sebagai penyuluh jalan untuk mengelak daripada apa-apa yang bahaya.
"Gua ni ada selok-belok yang mengelirukan lagi ke?" Tanya Qushairy memandang sekeliling penuh berhati-hati.
"Tak ada." Miezza menjawab selamba. "Satu jalan je yang ada. Terus ke tempat kristal tu tersimpan."
"Tapi kan..." Qushairy tiba-tiba memandang ke arah Miezza. "Kenapa gua ni terbentuk secara tiba-tiba? Maksud saya... Ia terlindung kan. Kenapa tiba-tiba terbentuk pula?"
"Bebola kristal tu adalah milik puak Huruf." Miezza menarik nafas panjang. "Hanya puak Huruf yang boleh mengambilnya. Gua ni akan segera terbentuk jika orang-orang dari puak kita ada berdekatan tanpa apa-apa ancaman."
"Maksudnya ia terbentuk macam tu je?" Tanya Pikah memandang gadis itu di dalam cahaya yang samar.
Miezza mengangguk-angguk. "Puak Huruf tak akan mengambil bebola kristal ni kalau ia tak diperlukan. Musuh pula tak akan berjaya ceroboh masuk melainkan kita sendiri yang membawa."
"Oh." Serentak Pikah dan Qushairy mengangguk-angguk mula faham mengenai semuanya.
"Jadi maknanya..."
Belum sempat Qushairy menghabiskan ayatnya, bunyi sesuatu yang bingit membuatkan mereka memandang sekeliling. Bunyi itu agak kecil bagaimanapun kedengaran kuat dan banyak.
"Apa tu?" Pikah bertanya dalam keadaan berbisik yang mana dia sendiri tidak sedar dia melakukan perkara itu.
Miezza masih lagi memandang sekeliling. Dia sepertinya dapat mengagak perkara itu. "Pikah..."
Pikah dan Qushairy memandang gadis itu serentak walaupun hakikatnya hanya Pikah seorang sahaja yang dipanggil.
"Hidupkan..."
"Aaa!!!!!"
Tidak sempat Miezza menghabiskan apa yang ingin diarahkannya kerana beratus-ratus kelawar kini menyerang mereka. Pikah dan Qushairy sudah menjerit kuat agak terkejut dengan kejadian itu.
"Kenapa mereka menyerang?!!" Pikah bertanya dalam keadaan menjerit cuba emukul kelawar yang kini mengerumuninya.
Qushairy berlari ke sana sini dengan pantas diikuti dengan kelawar-kelawar yang lain. "Mereka tetap kejar!!"
"Pikah!!!" Miezza menjerit sambil cuba menahan rambutnya daripada ditarik. "Keluarkan cahaya awak!!"
Pikah tidak membuang masa. Mendengar arahan itu, dia terus sahaja membuka kedua-dua tapak tangannya lalu menghidupkan cahaya yang amat terang. Oleh kerana sudah tidak tahan, dia menghidupkan kuasanya tanpa dapat mengawalnya langsung. Cahayanya kini menerangi seluruh tempat itu. Kesemua ratusan kelawar tadi mengerekot terbang lari dari situ jelas tidak tahan dengan cahaya yang seolah-olah boleh membutakan mata sesiapa sahaja yang melihat.
Keadaan menjadi reda semula dan Pikah segera mematikan kuasanya. Ketiga-tiga mereka agak tercungap-cungap masih dalam keadaan terkejut dengan apa yang baru sahaja terjadi.
"Jom kita teruskan!" Miezza segera berjalan lagi. "Sebelum kelawar-kelawar tu menyerang lagi."
Pikah dan Qushairy tidak membantah. Mereka turut bersetuju mengenai perkara itu. Mereka berjalan sehingga ke hujung sebuah selekoh. Tempat itu satu-satunya yang diterangi cahaya. Serta-merta mulut Pikah dan Qushairy ternganga. Miezza pula hanya tersenyum puas. Satu bebola kristal berwarna biru berkilauan sambil terapung di atas satu batu yang amat tinggi.
"Jom, kita ambil!" Qushairy sudah berlari dalam keadaan teruja. Seolah-olah mereka sudah berjaya dalam pertempuran.
"Nanti!" Miezza segera menahannya kemudian beralih memandang Pikah. "Cuma awak je yang boleh ambil."
"Saya??" Pikah kelihatan terkejut.
Miezza mengangguk-angguk. "Awak fikir kenapa Izzudin letakkan awak dalam kumpulan saya.?"
Pikah membesarkan matanya dengan mulut ternganga. "Cuma saya je yang boleh ambil dari tempatnya??"
Miezza mengangguk-angguk sambil cuba memberi semangat dan keyakinan pada gadis itu. Pikah memandang ke arah bebola kristal itu sebelum berjalan mendekatinya. Perlahan-lahan dia mencapai benda bulat itu membuatkan cahaya di sekelilingnya terpadam serta-merta.
"Tinggal tugas Qushairy untuk bawa kita balik dengan cepat."
A/n: Kali ni saya tak lah buat misi dorang adventure sangat macam yang lepas. Kali ni saya tak buat serangan. Dah tahu jalan tak lah lama sangat dorang nak cari. Hehehe. Leave me your feedback. :)
Oh, lepas ni saya rasa mungkin saya akan makin busy. Tapi saya tetap cuba update dengan cepat. Saya terikat dengan komitmen lain utk saya buat. Hehehe~
> VOTE & COMMENT <
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top