The Power Of Water II

BAB 8 : KUASA AIR (BAHAGIAN II)


Keempat-empat lembaga berkelubung yang sedang berjalan mendekati Rusdi itu segera berpaling apabila terdengar jeritan Farra.

"A... Apa... Apa awak buat??" Rusdi menjerit kuat memandang Farra dengan mata yang terbuka luas. Buat seketika dia merasakan gadis itu sudah kurang waras kerana memunculkan dirinya dalam keadaan yang sangat bahaya seperti itu. Dia sepatutnya melarikan diri.

Farra langsung tidak mempedulikan lelaki yang sedang menjerit memintanya berundur itu malah keluar dari tempat persembunyiannya dan berdiri ditengah-tengah menjadi perantaraan Rusdi dan lembaga berkelubung itu.

"Apa awak nak buat?!!" Pekik Rusdi yang kini sudah mengesahkan bahawa gadis itu benar-benar gila. "Pergi dari sini!!"

Farra tidak menjawab sebaliknya memandang lembaga berkelubung yang berada betul-betul di hadapannya saat itu.

"Budak bodoh yang berani!" lembaga berkelubung itu ketawa mengekeh dengan suara yang sangat besar.

"Kita tengok siapa yang patut cakap macam tu." gumam Farra dengan senyuman yang sedikit mengerikan.

Lembaga itu terdiam kemudian merenung Farra. Serta-merta gadis itu mengangkat tangan kanannya lalu dihalakan kepada lembaga berkelubung yang kini berdiri tercengang di hadapannya itu. Satu pancaran cahaya keperakan keluar dari tangannya dan terkena tepat ke arah lembaga tersebut. Ia kelihatan meronta-ronta seperti terkena renjatan elektrik lalu meletup menjadi cecair berwarna biru.

"Euwww!! Apa pula ni??" Rungut Farra ketika terkena cecair itu bagaimanapun segera membuka kedua-dua tapak tangannya apabila dua lembaga berkelubung yang berada di kiri dan kanan cuba berjalan mendekatinya. Sebelah tangannya menghadap ke kanan, manakala yang sebelah lagi menghadap ke kiri. Serta-merta kuasa petirnya meletus dan menyebabkan kedua-dua lembaga itu meletus menjadi cecair berwarna biru yang menggelikan itu.

Farra mendengus kuat apabila sekali lagi cecair itu terkena padanya. Rusdi yang masih merangkak di lantai hanya ternganga memandang Farra sambil membesarkan matanya yang sepet. Dia hanya terduduk kaku tidak bergerak. Apa yang baru saja dilihatnya benar-benar tidak disangka.

Farra menghalakan tangan kanannya ke arah lembaga yang terakhir itu. Serta-merta cahaya keperakan keluar dari tangannya dan terkena tepat ke arah lembaga itu. Kedengaran raungan lembaga itu sebelum ia meletup menjadi cecair yang berwarna biru itu.

"Ughhh!!" Farra menderam panjang apabila melihat cecair berwarna biru yang penuh di badannya kini. "Menyampah betul!"

Rusdi yang masih dalam keadaan merangkak di atas lantai itu berdiri dalam keadaan teragak-agak. Dia terpinga-pinga hampir rebah semula seolah-olah tulang kakinya kini patah. Dia memandang Farra agak takut tanpa berkelip. "Si... Siapa awak??"

Farra agak tersentak kemudian memandang Rusdi. Dia hampir terlupa tentang kewujudan lelaki itu di situ..

"Ke... Kenapa awak... Boleh keluarkan..." Rusdi terkedu tidak dapat meneruskan ayatnya sambil memandang tangan gadis berlesung pipit itu yang baru sahaja mengeluarkan kuasa petir.

Farra hanya mengukir senyuman di bibirnya dan berpaling untuk memandang lelaki itu dengan jelas. "Saya Huruf F."

Rusdi terkedu mendengar kata-kata gadis itu. "Hu... Huruf F??"

Farra hanya mengangguk-angguk. Rusdi masih lagi kelihatan bingung sambil memandang parut berbentuk huruf 'R' yang jelas terukir di lengan kanannya itu. Gadis itu hanya memandang gelagatnya.

"Nanti..." Rusdi memandang Farra semula.

Gadis itu hanya membalas apa yang dilakukan oleh lelaki itu. Dia sudah terlupa akan cecair biru yang menyelaputi badannya itu.

"Maknanya saya tak keseorangan." ujar Rusdi agak bersemangat sambil merenung Farra. Senyuman bahagia sudah mula terukir pada bibirnya.

"Macam ni lah, Rusdi..." Farra menarik nafas panjang. "Apa kata awak ikut saya dulu."

***

Jyra membuka matanya perlahan-lahan kemudian memegang kepalanya yang seolah-olah terasa sakit walaupun kenyataannya tidak. Dia kini sedang terbaring di atas sebuah sofa yang terasa sangat empuk membuatkan dia tidak mahu bangun dari situ. Lily, Miezza dan Aieyn yang turut berada di situ hanya memandangnya.

Tidak semena-mena sahaja gadis itu tersentak seperti baru dihempap dengan batu yang amat besar. Dia segera bangun dan memandang sekeliling bagaimanapun terkejut memandang Lily, Aieyn dan Miezza yang duduk di situ. Dia sudah mula menganggap ketiga-tiga gadis itu adalah penjahat yang muncul dalam mimpinya. "Jangan kamu cuba buat apa-apa!!"

Aieyn mendengus kuat lalu bersandar semula. Ternyata gadis itu belum lagi sedar dan kembali ke dunia asal.

"Cuba bawa bertenang." pinta Lily agak penat melayan kerenah gadis itu. "Kami tak akan apa-apa kan awak lah."

"Bohong!!" tempik Jyra cuba berundur bagaimanapun gagal. "Kamu hanya mimpi ngeri!"

"Awak nak saya bakar awak macam kertas-kertas tadi tu ke?" Aieyn bersuara selamba bagaimanapun cukup menakutkan.

Jyra terkedu mendengar kata-kata gadis berambut perang itu. Miezza dan Lily hanya berpandangan risau. Mereka takut Aieyn akan mengotakan apa yang dikatakannya tadi. Tidak pasal-pasal mereka akan terkena tempiasnya.

"Tenangkan diri awak tu." arah Aieyn selamba lalu kembali menyandar.

Jyra menarik nafas sedalam-dalamnya cuba menenangkan diri kemudian memandang Aieyn lagi. "Betul ke awak ada kuasa?? Ataupun saya salah pandang. Ataupun saya masih bermimpi?"

"Awak tak salah pandang pun, Jyra." Miezza bersuara. "Kami semua sama seperti awak."

"Sama??" ulang Jyra mula tercengang. Lily dan Miezza memandang Jyra risau kerana takut gadis itu akan pengsan sekali lagi.

"Maksudnya... Kamu semua ni..."

"Huruf!" pintas Aieyn tegas.

"Huruf??" Ulang Jyra.

"Kami pasti awak ada parut macam ni kan?" Miezza memandang Jyra sambil menunjukkan parut berbentuk huruf 'M' yang berada di lengannya. Jyra agak terkejut kemudian menyelak lengan bajunya.. Dia menunjukkan parut berbentuk huruf 'J' yang terukir di situ.

"Apa maknanya semua ni?" Jyra masih lagi terpinga-pinga.

"Kita adalah Huruf, Jyra." Aieyn bersuara kemudian menampakkan parut dilengannya. "Saya Huruf A."

Jyra kini semakin ternganga sambil membesarkan matanya. Mulutnya terlopong tidak terkata. "Jadi kamu semua sama macam saya?"

Serentak mereka semua mengangguk.

"Saya Huruf M." sampuk Miezza kemudian menuding ke arah Lily yang duduk selamba. "Dan dia Huruf L."

Belum sempat Jyra mengeluarkan pertanyaan lagi, tiba-tiba sahaja daun pintu depan direntap dengan kuat. Serentak kesemua mereka menoleh memandang ke arah pintu itu. Farra melangkah masuk dalam keadaam muka yang masam mencuka. Cecair berwarna biru yang menyelaputi badannya kini sudah agak hilang kerana terkena hujan bagaimanapun dia kini basah kuyup. Lily, Miezza dan Aieyn hanya memandangnya agak tercengang. Jyra pula mengerutkan dahinya memandang gadis itu.

"Saya harap lawan awak lagi teruk." Aieyn tersengih sedikit melihat keadaan Farra seperti itu.

Farra mendengus perlahan. "Kami diserang."

"Diserang??" Serentak Lily dan Aieyn bersuara. Jyra hanya terpinga-pinga memandang situasi itu.

"Kami??"

Semua orang memandang ke arah Miezza. Gadis itu hanya tertarik pada perkataan 'kami' berbanding 'diserang'.

"Kami..." Farra memandang belakang bagaimanapun terkejut kerana tiada sesiapa di situ. Dia mendengus perlahan kemudian berjalan menjenguk ke luar pintu. Rusdi kini sedang berdiri di sana dalam keadaan takut dan terketar-ketar agak pucat.

"Masuklah!" arah Farra.

Kesemua yang berada di dalam rumah itu terjenguk-jenguk cuba melihat dengan siapa Farra sedang bercakap. Perlahan-lahan Rusdi berjalan masuk ke dalam rumah itu. Jyra masih dengan perasaan bingungnya memandang situasi itu. Lily dan Miezza agak terkejut bagaimanapun tercengang kerana keadaan Rusdi lebih kurang sama dengan Farra. Aieyn pula hanya merenung lelaki itu. Merasakan ada satu aura. Aura yang tidak begitu disenanginya. Pandangannya agak tajam pada lelaki itu.

"Siapa ni?" Lily mengangkat keningnya memandang Farra.

Gadis itu hanya memandang Rusdi sekali imbas yang hanya membalas pandangannya sayu. "Huruf."

Kesemua mereka hampir terkjut. Farra pula terus sahaja berjalan masuk ke ruang tamu itu. Rusdi hanya menyusulnya dengan lagak sebagai seorang hamba abdi yang mengikut tuannya ke mana-mana sahaja. Miezza berlari ke bilik dengan pantas dan muncul semula sambil membawa dua helai tuala lalu menghulurkannya pada Rusdi dan Farra

"Apa dah jadi?" tanya Aieyn kerana perasaan ingin tahunya mengenai perkataan 'diserang' itu belum terjawab.

"Kami diserang oleh makhluk-makluk tu lagi." Farra menjawab sambil cuba mengelap bajunya. "Hampir sama je dengan lembaga yang serang kita waktu selamatkan Alex dulu."

"Nampaknya mereka memang dah tahu ada di antara kita berada di sini." Aieyn bersuara serius sambil mengangkat bahu selamba.

"Menurut Rusdi... Ini bukan kali pertama. Dah banyak kali dia diserang." beritahu Farra.

Serentak Aieyn, Lily, Miezza dan Jyra memandang Rusdi yang semakin tidak senang duduk sambil mengelap badannya.

"Ini Rusdi." Farra memperkenalkan lelaki itu kepada kawan-kawannya tanpa berhenti mengelap. "Dia Huruf R."

"Apa kuasanya?" Tanya Lily serta-merta.

Farra memandang Aieyn sekali imbas kemudian menarik nafas panjang. "Dia berkuasa air."

Aieyn tersentak memandang Farra. Dia beralih merenung Rusdi tajam. Lelaki itu kini tunduk semakin takut.

"Nampaknya musuh saya dah tiba."

Serentak semua orang memandang Aieyn. Farra hanya mampu mendengus perlahan. Rusdi pula terkejut apabila gadis itu berkata seperti itu.

"Jadi kamu berdua juga dari kalangan Huruf?"

Serentak Farra dan Rusdi menoleh memandang Jyra. Mereka baru perasan gadis itu berada di situ bagaimanapun rasa bersyukur kerana dia mencelah pada waktu yang tepat meleraikan ketegangan itu.

"Siapa ni?" Farra mengerutkan dahinya.

"Ini Jyra." Miezza menjawab sambil menarik nafas panjang. "Dia Huruf J. Berkuasa pasir."

Rusdi sedikit terkejut mendengar kenyataan itu. Dia menyangka bahawa dia seorang sahaja yang mempunyai kuasa seperti itu selama ini. Ternyata ada ramai lagi yang berkebolehan sepertinya.

"Rusdi..." Farra memandang lelaki itu yang hanya membalas pandangannya dengan mulut ternganga. "Itu Miezza. Huruf M dan berkuasa angin." Dia kini sedang menuding ke arah Miezza dan kemudiannya beralih ke arah Lily pula. "Itu Lily. Huruf L dan berkuasa cahaya."

Rusdi hanya mengangguk masih dengan mulut yang ternganga. Dia agak teruja mendengar semua itu.

"Itu Farra, Jyra..." Miezza pula bersuara. "Huruf F dan berkuasa petir."


A/n: You know... Masa saya edit part ni and saya baca ayat saya masa tu... Hahaha. Memang lucu. Tak dapat feedback. Saya masih ingat lagi cerita ni dah berbulan-bulan saya post. Tak sampai 1k pun readers. Tapi Alhamdulillah. Makin banyak. Hehehe. Leave me your feedback. :)

> VOTE & COMMENT <





Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top