Everything Is Change

BAB 30 : SEMUA BERUBAH


Pagi itu seperti biasa suram keadaannya. Sejak Aieyn meluahkan segala yang terbuku di hatinya, keadaan di markas itu agak tegang dari biasa. Masing-masing kini sudah mula rasa kekok antara satu sama lain walaupun tidak semua yang terlibat secara langsung. Latihan untuk mereka tidak dibuat lagi. Mereka hanya diberi kepercayaan untuk berlatih sendiri jika mereka mahu. Mereka juga tidak berkumpul bersama-sama lagi. Masing-masing membuat hal sendiri.

Aieyn dan Farra selalu sahaja menghilang entah ke mana. Tiada siapa pun yang tahu di mana mereka selalu bersendirian termasuk Sheronica sendiri. Tiada di tempat latihan atau di mana-mana pun di kawasan yang mereka cari. Markas itu terlalu besar untuk mereka cari di setiap tempat. Noorizan, Hisham, Miezza, Jyra, Lily dan Danish selalu berlatih di tempat latihan tanpa ada arahan seolah-olah sudah menjadi rutin mereka. Ia sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan.

Noorizan dan Hisham sesekali akan cuba menjejaki kedua-dua orang gadis itu bagaimanapun gagal dan tidak dapat menemui apa-apa. Izzudin pula sering bersendiri di biliknya membaca buku-buku sejarah mereka cuba mencari sesuatu yang baru. Dia kini sudah jarang ke dapur untuk berbual dengan Sheronica. Gadis kecil molek itu pula seperti biasa akan sentiasa bekerja di dapur langsung tidak meninggalkan rutin itu. Zulfiqar kini sudah menjadi pembantunya menggantikan tempat Izzudin.

Zulfiqar membuka pintu bilik itu perlahan-lahan. Kelihatan Izzudin kini sedang duduk membaca di sebuah meja dengan fokus. Lelaki itu langsung tidak menoleh untuk melihat siapa yang masuk.

"Izzudin..."

Izzudin tersentak seketika kemudian segera mendongak memandang Zulfiqar yang kelihatan teragak-agak bagaimanapun kembali memandang buku yang berada di atas meja itu. "Zul... Ada apa?"

Zulfiqar melabuhkan punggungnya perlahan-lahan di atas katil berdekatan lelaki itu. "Dah makan ke?"

"Saya belum lapar lagi."

Zulfiqar berdiam diri seketika merenung wajah lelaki itu. Izzudin kini sudah menjadi dingin. Tidak seperti sebelumnya. Lain daripada pertama kali mereka berjumpa. Buat seketika, dia merasakan itu bukan Izzudin yang sebenar.

"Kenapa, Zul?" Tanya Izzudin tanpa memandang wajah lelaki itu dengan wajah yang berkerut.

Zulfiqar menarik nafas panjang kemudian tunduk seketika. "Sheron... Dia risau sebab awak belum makan."

"Dia sentiasa risau pasal orang." Izzudin bersuara serius.

Zulfiqar merenung lelaki itu sedalam-dalamnya. "Tak boleh ke kalau awak bercakap dengan dia walaupun sekejap?"

Izzudin mendengus perlahan kemudian menutup bukunya. Dia segera memandang Zulfiqar.

"Awak... Farra, Aieyn... Semuanya dah lain." ujar Zulfiqar dengan berani. "Farra dan Aieyn entah ke mana je. Sekali nampak bila nak tidur. Kalau ada peluang mendengar suara mereka dah kira nasib baik."

Izzudin langsung tidak bersuara sebaliknya memandang lelaki itu cuba untuk membaca apa Zulfiqar ingin lakukan.

"Kamu dah berkawan sama-sama dari kecil lagi kan..." Zulfiqar membalas pandangan lelaki bermata biru semulajadi itu sayu. "Jangan lah macam ni. Kamu penaung puak ni. Banyak yang kamu kena fikir."

Izzudin segera tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu. Senyuman yang tidak dapat dipastikan apa maksudnya. Yang pasti, ianya bukan senyuman yang biasa. "Saya pun tak tahu kenapa kami jadi macam ni."

Zulfiqar hanya memandang lelaki itu tidak bersuara. Dia langsung tidak menjangkakan balasan seperti itu akan keluar daripada mulutnya. Dia tidak membuat persediaan untuk membidas semula.

"Banyak perkara yang kami risaukan kot." selamba Izzudin bersuara. Mata birunya tetap nampak cantik bila dipandang dalam keadaan apa sekalipun. "Masing-masing tak tahu nak buat apa."

"Tapi jangan lah abaikan Sheron." pujuk Zulfiqar. "Dia pun sebahagian daripada kamu kan."

"Kamu pun sebahagian daripada kami." ujar Izzudin.

"Maksud saya... Sebagai penaung."

Izzudin menarik nafas panjang. "Siapa penaung sekarang ni dah tak penting lagi, Zul..."

Zulfiqar terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Dia tidak dapat membaca apa yang ada di fikirannya saat ini.

"Sekarang kita hanya tengok siapa yang dapat bertahan sampai habis."

"Apa maksud awak?" Zulfiqar mengerutkan dahinya.

Izzudin tersengih tiba-tiba. "Pertempuran yang bakal kita lalui nanti ni tak seperti yang kamu bayangkan pun. Sedangkan sebelum ni... Semua Huruf ada. Dua puluh enam Huruf lengkap. Tapi tak mampu nak selamatkan puak ni. Apa lagi kita yang tak sampai separuh pun."

Zulfiqar hanya mampu memandang lelaki itu.

"Sekarang ni kami dah tak tahu nak buat macam mana lagi." ujar Izzudin. "Cuma boleh bergantung pada diri sendiri."

"Tapi kita boleh bergabung..."

"Ya." Pintas Izzudin. "Sebab tu saya cakapkan tadi... Sekarang ni kita tengok siapa yang boleh bertahan."

Zulfiqar terdiam lagi.

"Tak lama lagi pelindung tempat ni akan terbuka." Izzudin bersuara lagi. "Kena bersedia dari sekarang."

"Tapi sekurang-kurangnya..." Zulfiqar memandang lelaki itu. "Cuba bercakap dulu dengan Sheron."

Izzudin terdiam seketika. Dia hanya merenung wajah Zulfiqar tanpa membalas apa-apa.

***

Sheronica memandang pokok buah-buahan yang tumbuh ranum di kawasan itu. Sayur-sayuran juga tumbuh segar menghijau di setiap tempat dengan cantik sekali. Dia meneliti setiap tumbuh-tumbuhan itu dengan mata sepetnya. Semuanya nampak indah entah sampai bila ia akan bertahan.

"Yang tu, Noorizan!" pekik Sheronica sambil menuding ke arah seikat sayur sawi yang tumbuh segar dan masih tertanam ditanah.

Noorizan merenung sayur itu tajam. Hanya dengan renungan matanya sahaja sudah boleh membuatkan ia tertarik dari akarnya kemudian melayang ke arah bakul rotan yang berada di sebelah Sheronica.

"Bagus." Sheronica tersenyum memandang lelaki itu dengan senyuman manis yang tidak pernah berubah.

"Mungkin lepas ni saya akan jadi petani kan?" Noorizan memandang Sheronica sambil tersenyum.

"Ya." Sheronica membalas pandangan lelaki itu.. "Saya dah boleh bayangkan awak pakai topi sawah, kasut but dan baju lusuh. Awak akan bawa cangkul dan menyikut bakul di belakang awak."

"Amboi..." Noorizan tergelak mendengar kata-kata gadis itu. Wajah tampannya dengan kulit putih gebu serta matanya yang bersinar jelas kelihatan. "Saya baru cakap sikit dah banyak awak bayangkan ya."

Sheronica segera ketawa menampakkan kecomelan pada wajahnya. Gadis itu tidak ubah seperti pelajar sekolah menengah jauh dari umurnya yang sebenar. "Awak je yang saya boleh harapkan dalam bab-bab ni, Noorizan."

Noorizan hanya memandang gadis itu sambil tersenyum manis dan mengangguk perlahan.

"Saya nak minta tolong Farra..." wajah gadis itu tiba-tiba bertukar sayu. "Saya tak tahu dia ke mana."

Noorizan hanya mampu tunduk memandang seluruh tanaman itu seketika cuba mengelak dari terpandang wajah Sheronica.

"Tapi dia okey lagi..." Sheronica tersenyum kembali yang tidak dapat dipastikan sama ada dibuat-buat atau tidak. "Jangan Aieyn. Memang tak boleh harap langsung. Langsung tak pandai dalam bab-bab nak masak ni."

Noorizan ketawa mendengar kata-kata gadis itu.

"Nampaknya kalau kamu kahwin nanti ni... Saya rasa awak yang akan masak di dapur."

Noorizan terkedu mendengar kata-kata Sheronica kemudian merenung gadis itu sambil membesarkan matanya. Hampir sahaja dia melepaskan batuk. "Hah?? Apa pula maksud awak?"

Sheronica merenung lelaki itu sinis. "Awak ingat saya tak tahu ke... Awak suka pada Aieyn."

Noorizan tergamam kemudian menelan air liurnya tanpa disedari. Kulitnya yang putih kini mula kemerahan tanpa dapat ditahan. Dia tergelak tanpa sebab masih tercengang. "Awak ni..."

"Cara awak pandang dia..." Sheronica memintas. "Awak tenangkan dia... Saya boleh tahu."

Noorizan tersenyum kemudian tunduk seketika. "Nampaknya saya akan dibakar setiap hari kan?"

Sheronica segera tersenyum. "Aieyn tak lah pemarah sangat. Hanya pada situasi tertentu je."

"Kalau lah dia suka juga pada saya." Noorizan memandang Sheronica dengan wajah tanpa harapan.

Sheronica tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu. "Saya pun sebenarnya tak tahu lelaki jenis macam mana yang dia nak. Kami tak pernah berbincang pasal benda-benda macam ni."

Noorizan tergelak serta-merta. "Tak perlu fikir lah. Banyak benda lagi yang kita kena fikirkan."

"Saya nak buah." ujar Sheronica menukar topik. Dia juga tahu, ia sesuatu yang bukan senang untuk dibincangkan.

"Buah apa?" Noorizan mengangkat keningnya.

"Buah limau dan pisang."

Noorizan tersenyum kemudian segera mengangguk-angguk. Tidak semena-mena, beberapa biji buah limau dan sesikat pisang melayang entah dari mana menuju ke bakul yang berada di sebelah gadis itu.

"Segarnya!" Sheronica bersuara teruja memandang buah-buah itu dengan wajahnya yang manis.

"Tak ada buah kat sini yang tak segar." ujar Noorizan sambil memandang seluruh tumbuhan yang ada di situ.

"Ya." Sheronica hanya mengangguk-angguk.

"Awak kutip sayur dan buah kat sini selalunya macam mana?" Noorizan berkerut memandang gadis itu.

"Macam biasa." jawab Sheronica. "Guna parang."

"Sendiri??" Noorizan membesarkan matanya memandang gadis itu.

Sheronica menggelengkan kepalanya. "Izzudin akan bantu saya. Dia akan gunakan klonnya."

Noorizan mengangguk-angguk tanda faham.

"Sekarang nampaknya awak lebih berguna."

Serentak Noorizan dan Sheronica menoleh ke belakang apabila terdengar suara itu. Kelihatan Izzudin berdiri di belakang mereka dengan mata biru bersinarnya sambil memasukkan tangan kanannya ke dalam kocek seluarnya.

"Mungkin kelebihan saya pada ini." Noorizan bersuara dengan wajah gembira memandang lelaki itu di situ.

Izzudin hanya mengangguk-angguk kemudian memandang Sheronica yang kini sudah berubah air mukanya. "Noorizan..."

Noorizan yang masih dalam proses merenung sayur-sayuran di situ segera menoleh memandang Izzudin yang kini langsung tidak memandangnya.

"Boleh awak tinggalkan kami sekejap?" Ujar Izzudin dengan matanya masih merenung Sheronica yang buat-buat tidak tahu tentang kehadirannya di situ.

Noorizan tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu kemudian segera berjalan mendekati Sheronica. Dia mencapai bakul yang berisi sayur-sayuran itu lalu memandang gadis itu. "Saya bawa yang ini... Nanti bawa yang bakul buah ni."

Sheronica hanya mendengus perlahan dan menjeling ke arah lelaki itu yang hanya tersenyum-senyum. Noorizan segera berlalu pergi sambil menepuk bahu Izzudin ketika berselisih dengan lelaki itu. Lelaki itu hanya tersenyum tawar langsung tidak mengalihkan pandangannya.

"Apa khabar?"

Sheronica tergelak mendengar kata-kata lelaki itu. "Masih peduli juga dengan khabar saya ya?"

Izzudin tersenyum lalu berjalan mendekati gadis itu. Dia segera duduk di sebelah bakul yang berisi penuh dengan buah. "Marah nampak."

"Tak." Sheronica tersenyum selamba. "Saya tak kisah pun kalau awak tak bercakap dengan saya. Saya tak kisah juga kalau Aieyn dan Farra menghilang selalu entah ke mana. Saya tak kisah langsung."

Izzudin menarik nafas panjang mendengar kata-kata Sheronica.

"Kenapa dengan kamu ni??" Sheronica segera memandang lelaki itu. "Apa yang dah jadi? Kenapa kamu berubah??"

"Awak kena faham yang segalanya dah berubah pun sekarang, Sheron." Izzudin bersuara perlahan.

"Oh, sebab semuanya berubah... Kamu pun ikut berubah??"

Izzudin berdiam diri seketika.

"Takkan disebabkan Rusdi seorang je kita jadi macam ni, Izzudin?" Suara gadis itu kini sudah mula serak.

Izzudin masih tidak bersuara.

"Saya benci situasi ni!" mata gadis itu kini sudah mula berkaca. "Kalau macam tu lebih baik kita tak payah satukan puak ni. Biar kita berempat je hidup sama-sama. Saya lebih bahagia macam tu."

"Sheron..." Izzudin bersuara perlahan.

Sheronica tidak menjawab sebaliknya mengesat airmatanya yang kini sudah mula berguguran.

"Saya minta maaf." ucap Izzudin kemudian memandang ke tempat lain. "Saya yang bahagikan kumpulan untuk misi mencari hari tu. Dan saya tak sepatutnya letakkan Rusdi dengan Jyra dan Danish."

"Tak ada siapa yang salahkan awak..."

"Saya tahu." pintas Izzudin dengan suara yang lembut. "Tipu lah kalau saya tak rasa bersalah langsung."

Sheronica berdiam diri.

"Sekarang saya cuba nak cari cara bagaimana nak hapuskan budak tu kalau betul dia dah terpengaruh." Izzudin bersuara lagi.

"Mustahil dia terpengaruh." Sheronica memandang Izzudin. "Jangan pula kita sama kan dia dengan ibu Aieyn."

Izzudin menarik nafas panjang. "Kita tak tahu apa yang akan berlaku. Aieyn kini dah bersedia untuk berlawan dengan dia. Takkan nak biarkan je?"

Sheronica tidak membalas.

"Ingat tak apa yang Aieyn cakap..." Izzudin memandang Sheronica dengan mata biru bersinarnya. "Dia dapat rasakan yang ibunya tu masih hidup. Dan kalau betul benda tu... Pasti mereka nakkan Aieyn terlebih dahulu."

Sheronica membalas pandangan Izzudin dengan wajah yang sayu. "Jadi apa yang kita nak buat?"

Izzudin mendengus perlahan kemudian tunduk memandang ke bawah. "Saya pun tak tahu. Saya dah cuba cari dalam buku-buku sejarah Huruf. Tak ada apa-apa yang saya boleh gunakan."

Sheronica hanya mengangguk-angguk kemudian tunduk ke bawah. "Tapi saya tak nak kita berterusan macam ni..."

Izzudin tersenyum mendengar kata-kata gadis itu.

"Saya rindu dengan kamu." mata Sheronica mula berkaca lagi. "Saya rindu nak jadi pengadil. Tengok kamu bermain."

Izzudin tergelak kemudian tersenyum mengingati perkara itu sendiri. "Dah! Jom balik."

Sheronica tersenyum riang kemudian bingkas bangun. Bercakap dengan lelaki itu sudah cukup membuatkan dia gembira.

"Biar saya bawa benda ni..." Izzudin segera mengangkat bakul berisi buah itu.

"Memang awak pun yang selalu bawa kan?" Sindir Sheronica.

"Ya." balas Izzudin tergelak kecil. "Memang saya lah ni. Nasib baik Noorizan ada. Berguna juga."

Sheronica hanya ketawa. Dia memeluk lengan lelaki itu dengan senyuman ceria sebelum mereka berjalan pulang.


A/n: Well, nampaknya keadaan berubah. Banyak benda yang berubah. Aieyn dan Farra selalu menghilang entah ke mana dan waris yang lain pun seperti hilang arah. Huhu~ Tinggal sikit je lagi. Sabar korang. Sikit je lagi Huruf II akan di post. Doa-doakan semoga cepat sikit. Leave me your feedback. :)

> VOTE & COMMENT <

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top