Scar
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> Jyra's cast. (Anna Kendrick)
Bab 22
Hadha berjalan terhuyung-hayang seperti orang mabuk di koridor kampus itu. Keadaan sememangnya sunyi di bahagian itu membuatkan tidak banyak perkara yang dirisaukannya. Dia kini sedang bergelut di dalam mindanya sendiri sama ada hendak membatalkan niatnya ataupun tidak. Memikirkan kenapa dia yang terpilih untuk pergi ke tempat itu. Tempat yang entah kenapa bahaya baginya.
Dia menderam sendirian. Kakinya seperti lemah untuk berdiri dan berfungsi. Bukan kerana sesuatu yang membuatkan dia sakit atau masalah pada kakinya itu. Tapi kerana emosinya yang mempengaruhi sistem badannya saat ini. Buat seketika, ingin sahaja dia berpatah balik. Akan tetapi, dia tidak tahu alasan apa yang harus diberikan jika dia berbuat demikian.
Dia menarik nafas panjang. Berhenti seketika cuba memujuk dirinya sendiri. Apa yang perlu dirisaukan? Dia yakin tiada apa-apa akan berlaku. Tapi bukan itu permasalahannya. Dia tahu sesuatu akan berlaku pada dirinya. Secara automatik tanpa dia sendiri yang mahu ia berlaku.
Dia berhenti di hadapan sebuah pintu. Satu pintu yang biasa pada hakikat. Tetapi tidak pada dirinya. Di sebalik pintu itu banyak perkara yang akan memberi kesan pada dirinya. Kesan yang dia sendiri tidak faham kenapa ia berlaku. Kenapa hanya dia yang diberi kesan seperti itu? Adakah sebab ini semua takdir?
"Masuk."
Hadha tersentak serta-merta. Suara dalam itu seperti menghantar renjatan elektrik pada dirinya. Dia menelan air liur tanpa disedari. Memandang sekeliling untuk mencari jika ada kamera perakam berdekatan tempat itu bagaimanapun gagal menemuinya. Dia menarik nafas panjang kemudian membuka pintu itu perlahan-lahan kerana arahan sudah pun diberikan padanya.
Kelihatan lelaki berambut ikal itu sedang duduk di sebuah kerusi agak tinggi betul-betul berada dekat dengan sebuah rak buku kecil di sudut bilik itu. Lelaki itu tidak memakai kot berwarna putih yang melambangkan jawatannya. Dia kini sedang memegang sebuah buku yang tidak dapat dipastikan bagaimanapun matanya terus menuju kepada Hadha yang sedang berdiri di pintu.
Gadis itu sepertinya mengeras tidak mampu berbuat apa-apa. Lidahnya kelu dengan mulutnya yang terbuka bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang suara. Kakinya kini duah mengeras tidak mahu bergerak. Jantungnya berdegup pantas seolah-olah dia sendiri boleh mengira bersama. Ini lah perkara yang ditakutinya. Perkara yang berlaku pada dirinya sejak kebelakangan ini. Kesan yang ada hanya pada dirinya. Sesuatu yang dia tidak mahu ianya berlaku.
"Awak okey ke?"
Hadha menggenggam buku limanya secara automatik kerana tangannya terketar-ketar. Hanya mendengar suara lelaki itu sahaja, jantungnya seperti hendak meledak. Ini perkara yang mahu dielakkannya. Kesan yang lelaki itu berikan padanya. Kesan yang dia tahu apa maksudnya tetapi berusaha meyakini dirinya bahawa itu tiada apa-apa.
"Hadha..."
Hadha memandang lelaki itu yang sedang berkerut memandangnya. Menyumpah seranah di dalam hati untuk tidak memandang tepat ke mata lelaki itu lagi.
"Ada apa?" tanya Rizal serta-merta ketika menutup buku yang berada ditangannya dan memandang serius ke arah gadis itu.
"Macam mana awak tahu saya berada di luar?" Hadha menarik nafas lega kerana berjaya membuatkan suaranya berfungsi semula.
Rizal ketawa kecil. "Pintu saya yang ada cermin separuh lutsinar kat bawah tu membantu rasanya."
Hadha memandang sekali imbas cermin empat segi yang terletak tidak sampai ke paras lutut itu. "Oh."
"Jadi..." Rizal bingkas bangun dari tempat duduknya bagaimanapun masih memegang buku yang dibacanya tadi. "Ada apa-apa yang boleh saya bantu?"
Hadha berfikir seketika sambil mengerutkan dahinya. Dia hampir terlupa apa tujuannya ke situ. "Oh... Saya perlukan minyak angin."
Rizal mengangkat sebelah keningnya.
"Um..." Gadis itu mengelipkan matanya seketika. "Puan Katherine yang minta saya ambil. Dia kat pejabat. Sakit kepada katanya."
Rizal mengangguk tidak perlu bertanya siapa pemilik nama itu kerana tahu orang itu adalah salah satu pensyarah di situ. Dia segera berjalan menuju ke rak ubat-ubatan dan mengambil sebotol kecil minyak angin itu sebelum menghulurkannya kepada Hadha yang menyambut dengan wajah merah padam.
"Awak pasti awak tak apa-apa?"
Hadha memandang lelaki itu bagaimanapun menyumpah sekali lagi di dalam hati. Setiap kali dia memandang wajah lelaki itu, setiap kali itu juga jantungnya seperti hendak meletup. "Saya tak apa-apa."
Rizal mengangguk tidak mahu bertanya lagi. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena pada gadis itu bagaimanapun memutuskan untuk tidak bertanya lagi.
"Terima kasih." Hadha mula berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu. Kakinya kembali terasa berat. Kali ini bukan sebab tidak mahu pergi ke tempat yang dituju. Tetapi tidak mahu meninggalkan tempat itu.
Rizal hanya berdiri memandangnya. Cuba meneka apa yang sedang bermain dalam fikiran gadis itu.
"Kenapa?"
Rizal tersentak. Hampir tidak mendengar dengan jelas apa yang gadis itu katakan padanya.
Hadha menoleh perlahan-lahan. "Kenapa?"
"Kenapa...?" Rizal sepertinya tidak memahami soalan yang tiba-tiba itu.
"Kenapa awak pilih saya untuk awak sakat?" Wajah tidak senang gadis itu kini bertukar dengan kerutan. "Kenapa awak pilih saya untuk awak kacau dengan segala permainan emosi awak tu?"
Rizal memejamkan matanya berusaha menahan senyuman. "Saya tak mainkan emosi awak."
"Kenapa saya?!" Hadha menutup mulutnya dengan tangan serta-merta apabila perasan nadanya sudah meninggi.
Rizal faham apa yang gadis itu cuba maksudkan. Gadis itu sudah salah faham. Ataupun berusaha untuk membuatkan dirinya sendiri salah faham. Mereka bertentang mata seketika sebelum lelaki itu tunduk memandang mejanya.
"Jelas sebab saya berkenan pada awak kan."
Hadha bersumpah bahawa jantungnya saat ini sudah mengeras.
"Saya suka pada awak."
"Kenapa??" Gadis itu hampir sahaja memintas.
Rizal menarik nafas panjang kemudian duduk bersandar pada meja itu dan memandang Hadha. "Tempat awak bekerja sekarang ni... Kedai buku tu. Sebelum awak bekerja kat sana pun saya memang selalu kunjungi tempat tu."
Hadha mengerutkan dahinya hampir bertanya bagaimanapun memutuskan untuk berdiam diri sahaja.
"Ada seorang gadis..." Rizal mula mengingati saat itu. "Yang saya suka sangat pada masa tu. Seorang gadis misteri pada pandangan mata saya sama macam awak. Tapi hati gadis tu dah dimiliki."
"Jadi saya ada pengganti?" Hadha mengangkat keningnya.
Rizal tergelak sedikit. "Bagi saya awak adalah penawar."
Hadha mengerutkan dahinya sekali lagi. "Apa maksud awak?
"Awak ubat semuanya kembali pada sediakala." Rizal bersuara tenang. "Buatkan saya sedar yang sememangnya saya ada kebahagiaan saya sendiri."
"Awak pilih saya untuk teruskan?" teka Hadha.
"Saya hanya mencuba sebelum terlambat." Rizal mengangkat bahunya. "Memandangkan saya terlambat sebelum ni."
Hadha menggigit bibirnya. Dia merasakan dia seperti hendak menangis sahaja pada saat ini.
"Saya tak paksa awak." Rizal menyedari ketidakselesaan gadis itu. "Ia terpulang pada awak sendiri."
"Kenapa saya?" Hadha memandang lelaki itu. Memikirkan bagaimana kehidupannya yang tidak boleh fokus pada benda seperti itu. Bagaimanapun, dia tidak mahu lelaki itu berhenti.
"Kalau lah saya boleh jawab soalan tu." Rizal tergelak kecil. "Perasan memainkan peranan sendiri. Bukan kita yang kawal."
"Saya tak normal, Rizal."
Rizal segera memandang gadis itu. Bukan kerana Hadha hanya memanggil namanya tanpa perkataan 'doktor' selaku pangkatnya. Tetapi kerana gadis itu mengakui dirinya sendiri tidak normal.
"Saya tak normal macam orang lain."
"Apa maksud awak?" Rizal mengerutkan dahinya memandang gadis itu dengan wajah yang serius.
Hadha memejamkan matanya seketika. "Kalau awak nak hubungan yang normal, awak tak boleh teruskan dengan saya. Saya tak normal sama macam gadis lain. Kehidupan saya tak membenarkan perkara macam ni terjadi. Jadi baik awak lupakan."
Serentak itu, Hadha terus sahaja berlalu pergi. Dengan perasaan yang berat, langkahnya diatur perlahan-lahan.
"Percayalah, Hadha..."
Langkahnya terhenti seketika.
"Saya pun tak normal macam yang awak sangka."
--------------------------------------------------------------------
Shahran berjalan keluar daripada kampus itu sambil memandang sekeliling penuh berhati-hati. Kebelakangan ini, setiap langkah mereka seperti sedang diperhati. Serangan tanpa diduga akan muncul pada bila-bila masa sahaja tanpa diketahui. Mereka perlu bersedia. Memandangkan apa yang mereka cari saat ini adalah perkara yang merbahaya. Mereka harus bersedia untuk apa jua kemungkinan.
Langkahnya terhenti apabila dia terpandang satu kelibat. Seorang gadis sedang duduk di atas sebuah kereta sambil melakukan sesuatu dengan beberapa kepilan kertas. Gadis yang mereka temui itu. Entah kenapa, dia merasakan ada sesuatu yang menarik perhatiannya pada gadis itu. Sesuatu yang membuatkan dia bukan semakin menjauh. Malah mendekati gadis itu. Sesuatu yang tidak dapat dipastikan.
Tanpa disedari, kakinya mula menukar arah dan melangkah berjalan mendekati gadis itu. Satu perkara yang seolah-olah bukan dikawal oleh dirinya sendiri. Dia agak kehairanan bagaimanapun tidak menghentikannya.
"Oh.... Shahran?"
Shahran memberhentikan langkahnya kemudian memandang gadis itu cuba mengukir senyuman. "Hai, Jyra."
Gadis itu mengukir senyuman manis tanpa ada apa-apa yang mencurigakan pada tindak-tanduknya.
"Apa awak buat kat sini?" tanya Shahran serta-merta.
"Tengah tunggu Rizal." Jawab gadis itu tanpa berselindung.
Shahran berkerut tanpa dia sedari. "Tunggu Rizal? Kalau bukan teman lelaki..." Dia merenung gadis itu curiga. "Mesti ada perkara penting yang diperlukan."
Jyra segera memandang lelaki itu kemudian tergelak kecil. "Ada lah juga. Saya nak minta dia hantar saya balik. Kereta saya rosak."
Shahran mengecilkan matanya. "Atau ada benda lain lagi."
Jyra tersengih. "Mungkin. Siapa tahu. Sesuatu yang hanya kami berdua sahaja boleh tahu."
Shahran mengukir senyuman sinis. "Jadi betul lah kamu ada rahsia?"
"Sebagaimana pentingnya rahsia awak?"
Shahran tersentak serta-merta. Darah menyirap di dalam badannya. Dia menelan air liur agak takut. Kelakuan gadis ini amat sukar untuk dijangka.
"Lambat betul Rizal ni." Jyra melihat jam ditangannya. "Kata dah nak balik tadi. Tak dapat nak balik awak lah macam ni."
"Kalau awak nak saya boleh hantarkan." Shahran menawarkan diri entah bagaimana dia boleh melakukannya.
Jyra segera tersenyum. "Tempat tinggal saya bukan sembarangan orang boleh datang tahu."
Shahran memandang gadis itu. Memang ada sesuatu. Ada sesuatu yang aneh pada gadis ini. Sesuatu yang dia cuba korek bagaimanapun akan memakan dirinya sendiri setiap kali dia berbuat demikian. Dia merenung gadis itu kemudian terhenti apabila terpandang parut berbentuk huruf pada lengan kanan gadis itu lagi.
"Awak sendiri yang toreh parut tu ke?"
Jyra memandang Shahran sambil mengangkat keningnya. "Apa?"
"Parut tu..." Shahran menuding ke arah parut berbentuk huruf J pada lengan kanan gadis itu. "Awak sendiri toreh ke?"
"Awak rasa ada keperluan untuk saya buat macam tu ke?" Jyra mengerutkan dahinya memandang lelaki itu.
"Tapi parut pada badan bukan jenis yang akan terbentuk secara semulajadi." Shahran membalas. "Ia tak akan terbentuk sempurna menyerupai huruf kalau tak ditoreh dengan baik oleh seseorang."
Jyra segera mengukir senyuman sinis. "Percaya lah cakap saya. Tak ada sesiapapun toreh parut ni kat lengan saya."
Shahran mengelipkan matanya ingin bertanya lagi bagaimanapun memutuskan untuk berdiam diri. Dia memandang apa yang gadis itu sedang lakukan cuba untuk mengubah topik agar dia tidak terjerat dalam situasi yang lebih dalam.
"Apa awak buat ni?"
"Memeriksa kertas." Selamba Jyra menjawab masih meneruskan kerjanya tanpa mendongak.
"Memeriksa kertas??" ulang Shahran.
Jyra hanya mengangguk. "Kertas jawapan pelajar saya."
Shahran membesarkan matanya serta-merta. "Awak... Awak ni cikgu ke??"
Jyra memandang lelaki itu kemudian mengemas barang-barangnya. "Iya. Dah selamat berkenalan."
"Tapi..." mata lelaki itu masih lagi dibesarkan. "Awak nampak... Macam pelajar. Malah nampak lebih muda dari saya."
Jyra segera tergelak. "Saya ambil tu sebagai pujian."
"Maaf terlambat."
Serentak kedua-dua mereka menoleh. Kelihatan Rizal sedang berdiri dengan beg kerjanya memandang mereka dengan dahi berkerut.
"Datang pun awak!" Jyra merenung lelaki itu tajam. "Dah lambat tahu tak. Saya nak masak ni."
Rizal mengangkat keningnya. "Awak jenis yang makan je. Bukannya masak."
Shahran memandang kedua-dua mereka silih-berganti. Dari cara mereka berdua berbual, jelas menunjukkan mereka sudah kenal lama. Dia tidak tahu bagaimana hendak membuat kesimpulan untuk kedua-dua orang ini. Wajah mereka tidak sama untuk disimpulkan mempunyai kaitan kekeluargaan.
Tidak semena-mena sahaja dia tersentak. Darahnya yang menyirap kini semakin deras di dalam tubuhnya. Dia kini memandang sesuatu sambil membesarkan matanya. Sesuatu yang membuatkan kecurigaannya semakin bertambah. Parut yang berada di lengan kanan doktor muda itu. Parut yang sama seperti di lengan Jyra. Akan tetapi, huruf yang terukir berbeza kali ini. Ia berbentuk huruf R seiring dengan nama lelaki itu.
"Awak okey, Shahran?"
Shahran tersentak kembali ke dunia asal. Rizal dan Jyra kini sudah memandangnya agak risau. "Ya. Saya okey."
Tiada sebarang balasan yang diterima daripada mereka.
"Baiklah." Shahran kembali berundur. "Saya balik dulu. Dah lewat ni. Hati-hati memandu."
Dengan pantas lelaki itu berpaling dan terus sahaja berlalu pergi meninggalkan Jyra dan Rizal yang masih berdiri teguh.
"Rizal... Awak dedahkan parut awak."
Rizal memandang lengannya sekali imbas. "Saya tak rasa awak sembunyikan parut awak tu juga."
"Ya." Jyra membalas. "Tapi berada di tempat yang sama dengan parut kita terdedah bukan benda yang normal."
Rizal menggolekkan bebola matanya. "Apa-apapun... Tolong turun dari kereta saya. Awak duduk kat situ bukan nak ganti kalau tercalar."
A/n: Jeng, jeng, jeng!! Hahaha. Bagi pulak part mendebarkan ni. Tak nak lah bagi lama sangat. Hunters pun tak gerak lagi ni. Biar bagi Shahran tahu dulu pasal parut yang legend tu. Hehehe. Anyway... Saya sekarang ni macam ada jugak aura nak buat cerita ninja. Tapi jangan risau. Memang tahan diri habis jugak ni nak buat. Hahaha. Nanti lah pulak k. Btw, leave me your feedback. :)
> VOTE & COMMENT <
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top