Ready For It
BAB 35
Hadha memandang Shahran yang kini sedang duduk dengan tenang di sebelahnya. Tiada siapa yang tahu apa yang ada di dalam fikiran lelaki itu saat ini. Mereka langsung tidak bersuara. Berbual atau berbalas walaupun sepatah kata. Apa yang bakal berlaku nanti lebih merunsingkan daripada keadaan itu.
Hadha mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Mengeluh dan merungut di dalam hati. Kenapa dia? Kenapa dia yang terpilih untuk menjadi salah seorang yang harus berada di situ. Kenapa?
Ada banyak lagi orang di dalam dunia ini. Kenapa dia yang terpilih? Dia hanya seorang gadis biasa. Yang ingin hidup normal. Mempunyai kehidupan yang sederhana. Tapi ini yang berada dalam hidupnya.
"Awak mengeluh terlalu banyak, Hadha."
Gadis itu tersentak balik ke dunia nyata. Dengan pantas dia memandang Shahran yang sudah sedia memandangnya.
"Awak asyik mendengus." Shahran merenung gadis itu. "Saya boleh dengar dengan jelas."
"Maaf." Gumam Hadha masih dengan dengusan. Dia langsung tidak perasan dia mengucapkan apa yang difikirkannya.
"Rasa menyesal bersetuju dengan benda ni?"
Hadha mengangkat bahunya Tidak tahu hendak menjawab apa. "Hanya mengeluh kenapa jalan hidup saya ke sini."
Shahran tergelak kecil. "Tak ada siapa sangka. Nak cakap hidup kita adalah paling teruk pun tak boleh juga." Dia menarik nafas panjang. "Kalau tengok Rizal, rasanya dia boleh ceritakan lebih banyak perkara buruk daripada ni. Jadi, kita betul-betul tak boleh nak merungut sangat."
Hadha berdiam diri tidak membantah. Apa yang lelaki itu katakan memang benar. Setiap kali dia memandang wajah doktor muda itu, dia dapat merasakan banyak benda yang tersirat disebaliknya. Perkara-perkara yang tiada siapa dapat jangka. Yang tiada siapapun dapat bayangkan.
"Kadang saya rasa nak hidup normal."
Shahran tersengih mendengar perkara itu. "Kita semua nak. Walaupun ada sesetengah orang bermimpi nak ada kuasa macam ni."
"Mereka tak tahu betapa teruknya terperangkap dalam situasi ni." Hadha mendengus perlahan. "Awak rasa kita akan selamat ke?"
Shahran menarik nafas panjang. "Saya tak tahu. Saya harap lah. Tapi tak ada jaminan untuk benda ni."
Hadha mengangguk. Dia tahu perkara itu adalah benar. Tiada jaminan. Walaupun harapan setinggi gunung, tapi jaminannya tetap senipis kertas. Mungkin lebih tipis dari itu.
Tiada apa yang boleh dilakukan kerana ini adalah pertarungan pertama mereka. Tanpa apa-apa bantuan dan pertolongan. Hanya mereka. Ingin mengeluh juga tidak berguna. Ini jalan hidup mereka.
Minit-minit seterusnya dipenuhi dengan mereka yang hanya berdiam diri. Masing-masing tenggelam dengan dunia sendiri. Masih berdebat dengan diri. Masih cuba merungut mengenai jalan hidup yang tidak boleh dipatah balik itu. Akan tetapi, semuanya sudah terlambat untuk dikesalkan.
BOOM!
Bunyi letupan itu mengejutkan mereka berdua. Segala khayalan, rungutan dan keluhan yang bermain di minda segera hilang dan kini ketakutan serta kerisauan mula menyelubungi. Mereka membetulkan kedudukan dengan segera.
BOOM!
Letupan bergema lagi. Bagi orang lain, mereka akan mencari tahu apa yang terjadi. Tapi bagi mereka, itu adalah isyarat. Isyarat untuk mereka bergerak dan bertindak. Itulah rancangan mereka. Yang sudah dirancang bersama selama beberapa malam mereka tidak tidur.
"Jom!"
Shahran segera keluar dari kereta sambil membetulkan jaket kulit yang dipakainya. Hadha menyusul dengan wajah yang semakin ketakutan. Dia memandang sekeliling. Beberapa bunyi letupan kedengaran lagi membuatkan mereka mula berlari. Ketakutan tidak pernah meninggalkan mereka.
Perlahan-lahan pintu utama yang mempunyai kawalan ketat itu digoncangkan. Dan seperti yang mereka jangka, ia berjaya dibuka. Mungkin orang yang sepatutnya bertugas untuk mematikan kawalan itu sudah berjaya.
Shahran menendang salah satu pengawal di situ dengan pantas sebelum dia dapat melakukan apa-apa. Mujur hanya seorang sahaja. Mungkin yang lain sudah pergi dari situ menuju ke tempat letupan. Tidak menjangka pintu itu boleh terbuka. Bagaimanapun, itu memang rancangan mereka.
"Terus berjalan." Ujar Shahran penuh berhati-hati ketika meneruskan perjalanan sambil memandang sekeliling.
Keadaan yang sepatutnya terang benderang itu kini sudah berwarna merah. Lampu amaran sudah dihidupkan di merata tempat. Bunyi loceng bercampur jelas menunjukkan keadaan semakin huru-hara.
Beberapa lagi orang lengkap berpakaian aneh yang sepertinya sebuah perisai pada mereka datang meluru menyebabkan Shahran mula menyalurkan kuasa elektrik yang berada di dalam badannya sebelum menembak keluar. Hadha turut melakukan hal yang sama. Mereka perlu melindungi diri.
Tempat itu kini mula huru-hara. Tidak semua orang yang ada berpakaian seperti perisai. Ada juga yang hanya menjerit berlari melintasi mereka. Jelas tidak tahu apa yang sedang berlaku.
"Mana mereka?!" Hadha memekik dalam keadaan bising itu.
Shahran tidak mampu menjawab ketika bunyi letupan kedengaran lagi dari segenap arah. "Ikut saya!"
Mereka terus berlari mengejar arah letupan itu. Oleh kerana tahu ia angkara siapa, mereka tidak membuang masa lagi. Hadha hampir sahaja terbatuk. Bukan kerana sesak nafas sebab asap. Tapi kerana berusaha untuk mengekalkan pandangan matanya. Dia perlu melihat dengan jelas.
"Adrian!!" Shahran memekik.
Lelaki itu kini sedang menembakkan kuasa yang dikeluarkannya ke arah orang yang cuba menyerangnya.
"Anas mana?" Tanya Shahran tercungap-cungap ketika penyerang sudah tewas.
Baru sahaja Adrian membuka mulut untuk menjawab, Anas yang muncul dari satu sudut berlari terus melintasi mereka.
"Lari!!"
Ketiga-tiga mereka tidak membantah apabila mendengar arahan itu. Mereka terus berlari menyusulnya sebelum satu letupan berlaku lagi.
Ya. Letupan itu angkara Anas. Itu adalah rancangan mereka. Adrian akan pergi ke bilik kawalan untuk mematikan semua alat keselamatan di tempat itu. Anas pula bertugas untuk mengalihkan tumpuan musuh dengan kerjanya. Dia akan meletupkan tempat secara rawak. Salah satu tujuan itu juga adalah untuk menghalau orang-orang yang tidak berkenaan keluar dari situ.
"Awak nak letupkan seluruh tempat ni ke??" Shahran merenung lelaki itu tajam dengan dahi yang berkerut.
"Jangan banyak cakap!" Anas menempik ketika menyusul Adrian ke suatu tempat. Tempat yang boleh dikatakan sebagai tempat larangan untuk orang lain. Tempat di mana organisasi musuh sebenar bekerja. Tempat yang sama Adrian di seksa dulu. Tapi ini lebih jauh ke hujung.
"Harap-harap semua yang lain tu dah keluar." Ujar Hadha dalam keadaan berlari. Dia tidak mahu orang awam terbunuh.
"Gila lah kalau mereka tak keluar dari sini." Anas menderam.
Semakin lama keadaan semakin sunyi. Bukan kerana orang semakin berkurangan. Tapi kerana mereka sudah semakin jauh dari tempat di mana mereka berada sebentar tadi. Mereka kini sedang melalui satu koridor panjang yang amat gelap meneruskan perjalanan. Koridor yang akan menghubungkan satu tempat. Tempat yang mereka rasa di mana musuh sebenar berada.
Mereka berhenti di hadapan sebuah pintu. Pintu yang amat besar tidak tahu apa di dalamnya. Kawasan itu kelihatan gelap seolah-olah ia adalah bangunan yang tidak digunakan lagi.
"Kamu yakin nak masuk?" Adrian memandang mereka semua silih-berganti.
"Takkan nak patah balik?" Anas merenung lelaki itu tajam.
"Tak. Tapi kita tak pernah tahu apa kat dalam." Ujar Adrian selamba. Dia juga sebenarnya masih takut.
"Jom. Kita akan tahu kalau kita masuk." Shahran membalas sebelum menolak pintu itu perlahan-lahan.
Sedikit mengejutkan kerana ia tidak berkunci. Tiada kawalan diletakkan padanya. Buat seketika, mereka merasakan tempat itu sememangnya tidak digunakan. Perlahan-lahan mereka masuk dalam keadaan yang penuh berhati-hati.
Langkah mereka segera terhenti apabila lampu terpasang secara tiba-tiba. Membuatkan mereka dapat melihat dengan jelas kawasan itu. Ia seperti satu dewan yang amat luas. Tapi tiada siapa mengutarakan apa-apa komen. Kerana di hadapan mereka kini ada beratus-ratus orang yang berdiri tegak memandang mereka.
"Apa..." Hadha tidak mampu menghabiskan kata-katanya.
"Mereka..." Shahran memerhatikan mereka satu-persatu untuk cuba mengenalpasti. "Adalah robot."
"Robot?" Ulang Anas. Dia ingin bertanya lagi bagaimanapun segera tahu apabila ternampak lampu merah di leher mereka. "Wow."
Kesemua robot-robot itu langsung tidak bergerak. Hanya memandang mereka dengan wajah yang tiada apa-apa reaksi. Muka mereka sama dengan manusia biasa. Akan tetapi, beratus-ratus robot itu berwajahkan satu rupa sahaja.
"Mereka hidup atau tidak?" Tanya Hadha dalam keadaan berbisik tanpa mengalihkan pandangannya.
Shahran mengangkat bahunya juga tidak mengalihkan pandangan. Dia cuba memastikan perkara itu hanya dengan pemerhatian bagaimanapun sia-sia. Dia perlu memastikan perkara itu.
"Hanya ada satu cara nak pastikan."
Serentak mereka memandang Adrian yang kini kelihatan sedang membuka langkah perlahan-lahan maju ke hadapan. Dia mengatur langkah penuh berhati-hati cuba untuk melintasi mereka. Belum sempat dia membuka lebih langkah lagi, salah satu robot di situ mengacukan jari telunjuknya ke arah Adrian. Lelaki itu tidak sempat memberi sebarang reaksi ketika satu pancaran kuasa elektrik terkena tepat di badannya membuatkan dia terhumban jauh ke belakang.
"Well, sekarang kita tahu mereka hidup." Gumam Anas selamba.
Hadha segera berlari membantu Adrian untuk bangun. Ternyata, sebarang pergerakan yang mereka lakukan akan membuat robot-robot itu memerhatikan mereka bersedia untuk menyerang lagi.
"Nampaknya kita kena lawan untuk melintasi mereka." Shahran bersuara ketika terpandang sebuah lagi pintu berada di belakang robot-robot itu. "Kita perlu tahu apa yang ada di sebalik pintu sana tu."
"Hanya nak beri amaran..." Adrian kembali mendekati mereka. "Elektrik yang mereka tembak pada saya bukan sembarangan. Ia pelemah."
Serentak mereka membesarkan mata memandang lelaki yang sedang menahan sakit itu.
"Tak terus mematikan. Tapi ia mengurangkan tenaga." Adrian berusaha untuk meningkatkan tenaganya.
"Kita tetap kena lawan." Anas kini sudah bersedia. "Tolong berhati-hati. Saya tak nak ada yang mati."
Hadha menjeling tajam ke arah lelaki itu. Belum sempat sesiapa lagi bersuara, Anas sudah menghidupkan kuasa elektrik melalui tangannya. Kesemua robot itu sepertinya dapat menghidu apa yang bakal berlaku ketika mereka merenung lelaki itu bersedia untuk menyerang.
Anas menembakkan kuasanya sebelum berlari bertempiaran cuba mengalihkan perhatian. "Bertindak!"
Shahran, Adrian dan Hadha tidak membantah. Mereka terus sahaja bertindak. Kuasa elektrik sudah dihidupkan dan ditembakkan ke sana-sini. Masing-masing mengambil tempat yang berbeza membuatkan kesemua robot-robot itu berbahagi mengikut kumpulan untuk fokus pada satu sasaran.
Shahran menembakkan kuasanya penuh berhati-hati. Kepantasannya benar-benar memuaskan. Dia tidak kisah untuk menghempaskan diri memandangkan itu bukan punca untuk mereka berasa sakit. Dia menumpukan perhatian penuh. Sasarannya kena tepat seperti yang dijangka.
Hadha mengatur langkah penuh berhati-hati. Dia masih menggunakan mindanya untuk merancang setiap pergerakan. Dia tidak sepantas Shahran. Oleh sebab itu, setiap pergerakannya perlu dirancang dengan baik untuk mengelakkan dia terkena serangan yang akan melemahkannya.
Adrian sepertinya agak lemah berbanding yang lain. Sudah dua tembakan terkena padanya walaupun hanya sedikit. Akan tetapi, itu juga sudah membuatkan dia agak lemah. Mujur sahaja dia dapat mengembalikan sebarang tenaga yang dia perlukan untuk terus berlawan.
Anas tidak seperti yang lain. Kepantasannya sama seperti Shahran. Akan tetapi, dia tiada perancangan untuk setiap pergerakannya. Dia melepaskan tembakan merata tempat. Bagaimanapun, itu sudah cukup untuk tidak memberi apa-apa kecederaan atau serangan yang terkena.
"Fuh..." Anas tercungap-cungap memandang semua robot yang sudah hancur di di lantai. "Perlawanan ni tak seperti yang kita jangka."
"Tak sesukar mana." Hadha tersengih.
Memang benar. Perlawanan yang melawan beratus-ratus robot itu tidak begitu sukar. Ianya tidak sekuat mana. Kuasa elektrik mereka sudah mampu untuk menghancurkan kesemua mereka.
"Jom teruskan." Ujar Shahran.
Mereka semua tidak membantah ketika menyusul Shahran. Pintu yang menjadi fokus utama itu dibuka perlahan-lahan. Ianya gelap tiada cahaya. Tidak dapat dipastikan apa yang berada di dalamnya.
"Gelapnya." Gumam Hadha.
"Macam kosong... Argh!!"
Belum sempat Shahran menghabiskan kata-katanya, terasa seperti satu renjatan meresap masuk ke badannya. Dia tidak dapat memastikan apakah ia. Yang pasti, ia memang mematikan segala benda yang berfungsi dalam badannya. Jeritan yang lain turut jelas kedengaran dan bunyi seperti sesuatu jatuh dengan kuat kedengaran sebelum matanya tertutup rapat perlahan-lahan.
A/n: Kill me now! Lama tak update woyyy!! Adoii. Sorry, guys. Entah banyak sangat masalah mendatang ni. Terpaksa settle kan dulu. Baru dapat update. Fuhh! Berbalik kepada cerita, dah nak settle guys. Ni dah bertempur ni. Tapi tak lah grand sangat macam Huruf memandangkan kuasa mereka pun tak besar mana. Lawan pun robot. Tapi next chapter mungkin ada grand sikit lah. Hahaha. Anyway, leave me your feedback. :)
> VOTE & COMMENT <
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top