No Choice

Bab 24


Shahran fokus menulis nota pada buku nota di hadapannya itu. Dahinya berkerut dengan tangannya sibuk memegang pen yang sentiasa menari-nari di atas kertas putih itu. Matanya fokus memandang setiap ayat yang ditulis sambil cuba memahami dengan penutup pen digigit di mulutnya. Perkara yang banyak berlaku padanya belum cukup untuk membuatkan dia lupa kehidupannya sebagai seorang pelajar.

Kehadiran seseorang yang sedang berdiri di sebelahnya membuatkan dia berhenti melakukan kerja itu kemudian mendongak perlahan-lahan. Agak terkejut melihat gadis di hadapannya itu. Mikha. Buat seketika, dia lupa dia ada teman wanita selama ini. Gadis yang amat dicintainya.

Mikha memandangnya dengan mata yang seperti sedang berkata-kata. Shahran boleh membaca apa yang bakal berlaku ataupun apa yang bakal dikeluarkan daripada mulut gadis itu.

"Lama tak jumpa, Shahran."

Penutup yang digigit di mulut lelaki itu terlepas tidak dipedulikan. Dia menelan air liurnya.

"Apa kata..." Mikha berjalan perlahan-lahan sebelum duduk di kerusi betul-betul di hadapan lelaki itu. "Awak buat penerangan pada saya sebelum sesuatu diputuskan antara kita."

Shahran memandang sekeliling. Dia berada di kafeteria bagaimanapun ia agak lengang membuatkan dia menarik nafas lega.

"Awak nak putus ke?"

"Apa ni??" Shahran mendengus perlahan lalu membetulkan kedudukannya. "Sampai macam tu pula awak fikir."

Mikha ketawa menyindir. "Apa yang perlu saya fikir?"

"Awak kena faham..." Shahran mengeluh panjang. "Saya ada banyak perkara yang saya perlu selesaikan. Tolong faham keadaan saya."

Mikha memandang lelaki itu dengan pandangan hilang percaya. "Jadi awak kena faham saya juga."

Shahran membalas pandangan gadis itu.

"Apa awak rasa perasan saya selama ni?" Mikha mengetap giginya cuba mengawal segala emosi yang ada. "Mendengar semua cerita yang saya tahu hanya andaian daripada semua orang mengenai awak. Hanya menerima balasan pesanan ringkas pada waktu malam. Bercakap kat kampus pun tak. Apa awak rasa?"

Shahran terkedu tidak mampu menjawab. Mendengar semua permasalahan yang tidak pernah menjadi isu padanya. Cuba meletakkan dirinya pada kedudukan gadis itu. Baru dia tahu apa rasanya.

"Tolong jangan fikir hanya pada pihak awak." Mikha bersuara langsung tidak dinaikkan nadanya.

"Mikha..."

"Kalau betul awak nak putus... Awak dah memang nak tamatkan semuanya..." Mikha memandang lelaki itu serius. "Cakap je."

Shahran menggenggam buku limanya tidak tahu hendak berbuat apa. Dia tahu, tidak sepatutnya dia mengetepikan gadis itu. Apa yang dia lakukan selama ini bukan sepatutnya dilakukan pada gadis itu. Semua salahnya sendiri. Dia mengabaikan Mikha. Seolah-olah dia membuang gadis itu.

"Awak jangan risau." Gadis itu bersuara tenang. "Saya tak akan pernah salahkan awak dalam perkara ni."

Shahran memandang wajah gadis itu sedalam-dalamnya. "Awak kena tahu satu perkara pasal saya."

Mikha mengerutkan dahinya memandang lelaki itu. "Perkara pasal awak??"

"Ya." Shahran mengangguk diiringi dengan dengusan yang panjang.

Ya. Dia akan memberitahu semuanya dengan gadis itu. Dia dan Asyraf adalah orang yang paling dipercayainya. Dan tidak menjadi masalah jika semuanya didedahkan pada Mikha. Dia seperti Asyraf. Orang yang penting dalam hidupnya. Dan ini adalah keputusannya.

"Tapi awak kena sedia untuk terima semuanya."

Mikha hanya memandang lelaki itu. Shahran tidak membuang masa lagi. Dia terus sahaja menceritakan semuanya. Semuanya. Segala apa yang terjadi pada dirinya. Bagaimana ia membawa kepada pertemuannya dengan Hadha. Bagaimana Asyraf turut terlibat dalam perkara ini. Dia sudah tidak peduli lagi. Dia tidak mahu mengetepikan gadis itu lagi. Semuanya perlu diberitahu.

Pada sudut gadis itu, dia hanya terkaku. Ingin mempertikaikan lelaki itu bagaimanapun ditahan apabila melihat kesungguhan Shahran menceritakan segalanya. Dia lebih mengenali lelaki itu. Tiada unsur penipuan pada setiap apa yang dikatakannya sampai saat ini.

"Sebab tu saya terlupa kehidupan normal saya."

Mikha hanya terkedu tidak mampu menjawab. Dia ingin bertanya lebih lagi bagaimanapun tahu tiada jawapan memandangkan Shahran dan yang lain juga masih sedang mencari semuanya.

"Sekarang awak dah faham kan?"

Mikha memandang tepat ke mata lelaki itu kemudian mengangguk. "Terima kasih sebab dan terus terang pada saya."

"Shahran!!"

Serentak kedua-dua mereka menoleh sebelum sempat gadis itu menjawab. Kelihatan Asyraf berdiri di pintu kafeteria itu agak tercungap-cungap. Dia agak terkejut memandang kedua-dua mereka bagaimanapun meneruskan apa yang dia ingin lakukan datang ke situ pada asalnya.

"Awak dah lambat masuk kelas lebih dua puluh minit."

Shahran membesarkan matanya serta-merta lalu memandang jam di tangannya. Memang benar. Dia sudah terlupa dia ada kelas pada saat ini. Dia terus sahaja mengemas barang-barangnya dalam keadaan kelam-kabut. Mikha turut berdiri bagaimanapun tergelak kecil melihat keadaan lelaki itu.

"Saya akan jumpa awak nanti." Ucap Shahran dalam keadaan kelam-kabut itu membuatkan dia tidak sedar Mikha mengangguk.

Asyraf hanya mampu memandang kedua-dua mereka.

"Baiklah. Saya pergi dulu." Shahran menyikut begnya serta-merta lalu berlari bersama Asyraf.

Mereka terus sahaja berlari tanpa berbual kerana ia sememangnya sudah lambat. Tiba di hadapan pintu kelas, semua orang yang berada di situ memandang mereka termasuk pensyarah.

"Tahniah kerana berjaya datang." Sindir pensyarah itu.

"Saya minta maaf." Ucap Shahran malu.

Pensyarah itu mendengus perlahan kemudian mengarahkan mereka masuk. Kedua-dua lelaki itu berjalan masuk laju menuju ke bahagian belakang berdekatan Hadha yang sedang duduk tegak berpeluk tubuh.

"Baiklah kita sambung cerita tadi." Pensyarah itu bersuara semula.

"Apa yang kamu buat sekarang?" bisik Shahran pada Hadha.

"Mereka bercerita mengenai kejadian di kampus ni beberapa tahun yang lalu." Hadha menjawab juga dalam keadaan berbisik.

Serentak kedua-dua lelaki itu mengerutkan dahi.

"Kejadian aneh??" Asyraf mengangkat keningnya.

Hadha mengangguk-angguk. "Menurut dari Encik Hilmi..." Dia memandang pensyarah yang masih bersemangat bercerita di hadapan itu. "Tempat ni pernah kena serangan aneh."

"Serangan aneh macam mana?" Shahran merenung gadis itu.

Hadha mengangkat bahunya. "Dia kata dia tak dapat nak cakap apa yang menyerang. Macam pengganas pun ada. Tapi letupan banyak berlaku di mana tempat. Tak ada siapa yang boleh terangkan apa bentuk serangan atau musuh."

Kedua-dua lelaki itu hanya memandang gadis itu tidak berkelip.

"Dia kata lagi..." Hadha menarik nafas seketika. "Pernah juga mereka jumpa makhluk aneh yang dah tak bernyawa. Tak tahu sejauh mana kebenaran."

Mereka memandang ke hadapan perlahan-lahan.

"Tak boleh nak terangkan macam mana ke?" tanya seorang lelaki yang duduk di sudut hujung bahagian hadapan.

Pensyarah itu hanya menggelengkan kepala. "Sebab saya belum mengajar di sini masa tu. Jadi saya tak tahu. Hanya ada beberapa orang pensyarah di kampus ni je yang tahu keadaan sebenar."

-----------------------------------------------------------------------

Rizal mengunci pejabat ataupun lebih dikenali sebagai klinik kampus itu. Baginya itu adalah pejabat kerana dia bekerja sepenuh masa di tempat itu sehingga selesai waktu pembelajaran. Dia segera berjalan merentasi koridor itu setelah menyimpan kunci itu di dalam kocek seluarnya. Sepertinya dia sudah biasa dengan tempat itu. Walaupun agak baru padanya, tapi tidak terlalu teruk.

Dia melangkah keluar perlahan-lahan dari kawasan bangunan terus sahaja menuju ke tempat letak kereta. Tangannya sudah sedia meraba-raba kocek seluarnya yang lagi satu sebelum mengeluarkan kunci kereta.

Kaki lelaki berambut ikal itu terhenti apabila terpandang beberapa orang yang sentiasa ada dalam pemerhatiannya. Shahran, Hadha dan Asyraf sedang berjalan sambil berbual mengenai sesuatu yang serius. Sesuatu yang dia sendiri dapat jangka apa yang dibincangkan. Akan tetapi, sesuatu menarik perhatiannya. Sepertinya mereka menambah ahli baru. Bukan sudah bertiga, tetapi berempat.

Rizal kekal berdiri pada posisinya tidak berganjak. Tidak bersembunyi tetapi tidak juga menunjukkan diri. Kumpulan pelajar itu sepertinya tidak menyedari kehadirannya di situ. Mereka terlalu sibuk berbual mengenai sesuatu. Menaiki kereta masing-masing sebelum meluncur laju meninggalkan tempat.

Lelaki itu menarik nafas panjang kemudian kembali berjalan menuju ke arah keretanya yang diletakkan sedikit jauh dari tempat dia berdiri tadi. Dari kejauhan, dia sudah dapat melihat seseorang berada di atas keretanya.

"Cikgu Jyra..." Rizal mendengus perlahan. "Tolong jangan duduk atau menanda kertas pelajar awak di atas kereta saya."

Gadis berkulit putih itu menurunkan kacamatanya serta-merta. "Saya buatkan kereta awak ni berbakti untuk generasi akan datang."

"Jangan nak buat teori pula untuk kereta saya." Lelaki itu menggolekkan bebola matanya lalu membuka kunci kereta.

Jyra terus mengemas barang-barangnya dan masuk ke tempat duduk penumpang hampir serentak dengan Rizal yang masuk ke tempat duduk pemandu. Lelaki itu tidak berkata apa-apa ketika menghidupkan enjin kereta dan terus memandu pergi meninggalkan kawasan tempat letak kereta itu.

"Macam mana hari awak, Doktor Rizal?"

Rizal menjeling tajam ke arah gadis yang sudah tersengih-sengih itu. "Macam biasa je kot."

Jyra tergelak kemudian bersandar pada tempat duduknya sambil berpeluk tubuh. "Nampaknya mereka tambah satu lagi ahli baru."

Rizal tidak membalas kerana sudah maklum mengenai perkara itu. Dia melihatnya sendiri tadi.

"Siapa pula perempuan tu?" Jyra memandang lelaki yang hanya fokus pada pemanduannya.

"Teman wanita Shahran." Selamba Rizal menjawab. "Saya tak pasti kenapa dia dah sertai kumpulan mereka tu."

"Lihat dari ekspresi muka mereka tadi..." Jyra menarik nafas panjang. "Itu perbincangan yang selalu."

"Awak nak cakap gadis tu pun dah tahu pasal mereka?" Rizal memandang gadis itu sekali imbas.

"Kemungkinan pada keadaan tu lebih besar kan?" Jyra mengangkat bahunya. "Itu je yang saya dapat simpulkan."

"Well..." Rizal menarik nafas panjang ketika mengetatkan pegangan pada stereng keretanya. "Mungkin mereka menganggap remeh rahsia mereka. Tak macam kita yang akan pegang rahsia dengan kuat."

Jyra mengangguk bersetuju. "Habis tu macam mana dengan misi awak? Masih berjalan?"

Rizal membelokkan keretanya sebelum menjawab. "Masih. Saya masih diberi arahan. Tapi nampaknya keadaan semakin bahaya."

"Bahaya??" ulang Jyra. "Apa maksud awak dengan tu?"

"Keadaan musuh nampaknya dan semakin suntuk." Selamba Rizal menjawab. "Mereka perlu bertindak cepat sebelum semuanya terlambat."

Jyra mengangguk-angguk kemudian memandang jalan di hadapannya. "Ada jangkaan bila akan berlaku?"

Rizal menggelengkan kepalanya. "Hanya perlu bersedia bermula sekarang. Tak ada jangkaan."

"Habis tu apa yang awak nak buat?" Jyra memandang lelaki yang hanya duduk tenang di sebelahnya itu.

"Tunggu arahan." Ringkas jawapan Rizal.

"Awak akan jumpa dia lepas hantar saya ke?" tanya Jyra serta-merta kembali memandang ke hadapan.

"Tak." Rizal membelokkan lagi keretanya. "Saya akan jumpa dia bersama awak sekali."

Jyra mengangkat keningnya. "Saya sekali??"

Rizal mengangguk-angguk. "Sebab saya rasa saya perlukan sedikit bantuan daripada kamu suatu hari nanti."


A/n: Surprise!!!! Hahaha. First time bagi scene diorang ni. Hahaha. Nampak macam dah makin jauh kan. Tolong doakan supaya saya buat cepat. Hahaha. Tak banyak sangat lagi bab ni. Sebab musuh pun dah nak bertindak. Rasa-rasanya apa kejadian aneh kat kampus tu dulu?? Hehehe. Mesti korang boleh teka kan? Anyway... Saya hold dulu Hunters k. Nak habiskan ni dulu. Leave me your feedback. :)

> VOTE & COMMENT <

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top