Guest
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> Julianne Moore as Puan Shanty.
BAB 30
Sudah hampir seminggu berlalu sejak mereka tahu semua kebenaran. Masing-masing masih cuba memproses perlahan-lahan apa yang mereka perlu hadamkan. Segala maklumat yang mereka punyai saat ini masih tergantung separuh jalan. Hanya tinggal tugas mereka lagi untuk melengkapkannya.
Shahran berjalan kembali ke ruang tamu itu sambil mendengus perlahan sebelum merebahkan diri di sofa. Dia masih lagi menggenggam erat telefon bimbit yang berada di tangannya. Baru sahaja selesai bertengkar dengan Asyraf dan Mikha di talian. Dia tidak tahu hendak memberitahu apa kepada kedua-dua orang itu.
"Mereka call lagi?" Anas bertanya tanpa mengalihkan pandangan dari skrin komputer di hadapannya itu. Hadha yang memandang ke arah komputer ribanya turut menjenguk sedikit.
"Mereka nak sangat tahu saya kat mana dan sebagainya." Shahran mengeluh. "Mereka hampir nak jejak guna GPS. Nasib baik saya tak hidupkan benda tu. Kalau tak habis lah kita kat sini."
Anas hanya mengangkat bahu sebelum kembali memandang ke arah skrin komputer itu. Tidak begitu peduli dengan kedua-dua orang tersebut memandangkan dia hanya bergerak sendiri sebelum ini.
"Awak tipu lah mereka sikit." Hadha cuba memberi cadangan.
"Cuba lah awak buat bila berhadapan dengan kekasih awak dan kawan baik awak sendiri." Shahran menggolekkan bebola matanya.
Hadha hanya mampu mengelipkan mata sebelum kembali memandang komputer ribanya.
"Kita tak boleh nak buat apa." Ujar Anas. "Puan Shanty tak benarkan sesiapa yang lain terlibat. Termasuk mereka."
"Saya tahu." Shahran mendengus lagi. "Tapi benda ni..."
Belum sempat lelaki itu menghabiskan kata-katanya, pintu depan rumah usang itu dikuak perlahan. Rizal muncul bersama Puan Shanty dalam keadaan yang sedikit basah. Buat seketika, mereka langsung tidak tahu di luar sana sudah hujan. Kawasan rumah Puan Shanty yang agak tertutup itu membuatkan mereka tidak dapat memastikan apa yang berlaku di luar sana.
"Semuanya baik?" tanya Puan Shanty sedikit tercungap-cungap ketika membuka jaket tebal berwarna hitam yang dipakainya itu.
Ketiga-tiga remaja itu hanya mengangguk serentak.
"Ada jumpa apa-apa?" tanya Rizal.
"Dah seharian saya main permainan ni..." Anas mengelipkan mata cuba membetulkan pandangannya yang sudah sedikit kabur. "Ceritanya terlalu panjang. Dan sudah semestinya saya main watak saya sendiri."
"Mana Jyra?" Shahran memandang Rizal sambil mengecilkan matanya. Agak pelik kerana gadis itu tiada bersama.
Doktor muda itu hanya tersengih. "Dia pun ada kerja lain yang dia nak buat. Dan mungkin dia akan terus ke markas hari ni."
"Markas??" ulang Hadha yang sebenarnya sedang memerhati gelagat lelaki itu dari tadi.
Rizal segera memandang gadis kecil molek itu. Tersengih sedikit ketika Hadha berpaling terus dengan wajah yang merah padam. Anas yang ternampak adegan itu hanya menggolekkan bebola matanya.
"Markas adalah kawasan utama untuk puak kami." Rizal menggantung jaketnya di salah satu kerusi sebelum duduk. "Ianya terlindung. Majoriti daripada kami mempunyai kerja biasa dan selalunya akan balik ke sana."
Hadha hanya mengangguk-angguk. Tidak mahu memandang wajah lelaki itu lagi untuk saat ini.
"Nampaknya semua masih tak ada peningkatan." Ujar Puan Shanty sambil berfikir seketika.
"Mana Adrian?" tanya Rizal serta-merta setelah perasan ketiadaan robot yang satu lagi itu.
"Dia cuba menceroboh masuk ke dalam makmal itu lagi." Jawab Anas. "Hanya dia yang tahu selok-beloknya."
Rizal mengangguk-angguk. "Tapi pastikan dia berhati-hati. Mereka dah tahu kita bawa dia."
Anas hanya mengangguk. "Macam mana dengan kami? Maksud saya... Mak saya dah call saya banyak kali ni. Apa saya nak jawab?"
Puan Shanty menarik nafas panjang. "Dia masih belum tahu pasal awak dan kegiatan ayah awak."
Anas hanya mengangguk. Walau bagaimanapun, itu adalah keluarga yang menyaranya selama ini.
"Lagipun saya tak rasa ayah awak terlibat secara langsung." Beritahu Puan Shanty. "Dia bukan salah seorang daripada saintis terdahulu. Saya rasa dia hanya menjadi pengeluar. Ataupun digunakan sebagai jambatan untuk mereka merealisasikan apa yang mereka rancang sejak dulu."
"Saya hanya mampu beritahu ibu dan ayah saya untuk berhati-hati. Tapi mereka tak soal apa-apa." Shahran mengangkat bahunya. "Seolah-olah dah tahu apa yang tengah saya lakukan sekarang."
Hadha hanya mampu mendengar. Buat seketika, dia bersyukur dia tinggal sendirian sampai saat ini.
"Lagipun..."
Sekali lagi kata-kata Shahran terhenti apabila pintu depan dikuak lagi. Adrian masuk dalam keadaan pucat juga agak basah kerana hujan.
"Saya ada berita untuk awak Anas."
Anas mengerutkan dahinya memandang lelaki itu kemudian membetulkan kedudukannya. "Apa dia?"
"Mereka akan dapatkan ayah awak."
Kenyataan itu membuatkan Anas terkedu seketika. Tidak pasti sama ada dia patut takut, risau, gembira atau sebagainya.
"Apa yang terjadi??" Shahran merenung Adrian.
"Saya hanya dengar mereka bercakap." Jawab lelaki itu. "Mereka akan dapatkan ayah awak. Tapi saya tak tahu untuk apa."
Serentak mereka semua berpandangan.
"Saya rasa saya perlu balik dulu."
*
Puan Shanty baring di katilnya dalam keadaan yang gelap dan sunyi pada malam itu. Entah kenapa, dia benar-benar merasa tidak senang. Semua orang sudah balik menguruskan hal masing-masing. Dia hanya mampu berharap semuanya akan kembali kepada sedia kala selepas ini. Dia hanya berniat untuk membantu mengungkapkan kebenaran. Walaupun dia seharusnya boleh hidup lebih tenang. Tapi dia lebih memilih untuk meneruskan apa yang ayahnya tinggalkan.
PLANG!
Bunyi sesuatu yang jatuh dari luar membuatkan dia memandang tepat ke arah pintunya yang masih bertutup rapat. Cuba untuk memastikan sama ada ia benar-benar berlaku ataupun tidak.
DUK!
Kali ini bunyinya sedikit lain yang kedengaran. Wanita berumur itu bangun perlahan-lahan tanpa mengalihkan pandangannya dari pintu bilik itu. Dia berusaha sedaya-upaya untuk tidak membuat sebarang bunyi. Apa yang berlaku? Mustahil untuk angin bertiup kerana dia tidak pernah membuka tingkap rumah itu.
KLANG!
Puan Shanty menelan air liurnya. Tidak pasti sama ada dia perlu meneruskan untuk menjenguk luar atau tidak. Dia memulas tombol pintu biliknya perlahan-lahan. Keadaan di luar sepertinya sunyi sepi. Dia masih berdebat dengan dirinya sendiri. Bagaimanapun dia menggagahkan diri untuk melangkah keluar.
Perlahan-lahan langkahnya di atur. Cuba membuka mata seluas-luasnya agar dia dapat menangkap sebarang benda yang bergerak di sekelilingnya. Dia cuba melihat setiap sudut. Dapat menangkap beberapa benda yang sepertinya bukan di tempat asal lagi. Dia berhenti seketika. Cuba untuk memastikan apa yang menyebabkan semua barang-barang itu teralih. Adakah hanya kebetulan atau sebaliknya.
Wanita itu cuba untuk mengesan jika ada sesuatu yang aneh. Jika ada kehadiran benda asing di dalam rumah yang hanya disewanya itu. Dia sudah mula rasa tidak selesa. Seolah-olah ada yang bakal menantinya di situ. Seolah-olah dia bukan berdiri berseorangan di ruang tamu yang gelap itu.
"Shanty..."
Suara garau itu membuatkan dia mengeras. Seolah-olah ia menusuk masuk ke telinganya dan akan menghantui seumur hidupnya.
"Si... Siapa... Awak?"
Kedengaran suarah mengekeh garau seorang lelaki. Puan Shanty berusaha untuk mengesan dari pada datangnya suara itu.
"Nampaknya awak masih tak tahu kewujudan saya di dunia yang penuh dengan benda menarik ini."
Wanita itu cuba untuk mengenal pasti jika dia pernah mendengar suara itu di mana-mana sebelum ini bagaimanapun gagal. Dia tidak tahu. Sepertinya itu pertama kali dia mendengar suara seperti itu.
"Saya berharap awak berhenti untuk masuk campur, Shanty." Suara garau itu kedengaran lagi entah dari mana.
Pada saat itu, dua kelibat datang dari kiri dan kanan wanita itu dan menahannya sebelum seseorang lagi datang dari belakang dan menekup mulutnya. Dia cuba untuk meronta-ronta bagaimanapun gagal. Wajah kelibat yang berada di sisinya itu tidak dapat dilihat memandangkan mereka memakai topeng.
"Tapi awak degil." Suara garau itu menyambung. "Awak masih nak cari jawapan mengenai apa yang ayah awak tinggalkan."
Puan Shanty membesarkan matanya.
"Tapi... Terima kasih pada awak. Saya dah pun jumpa apa yang saya cari selama bertahun-tahun ini."
Wanita itu dapat melihat sesuatu yang tinggi dan besar bergerak di hadapannya bagaimanapun tidak begitu jelas dengan keadaan yang gelap.
"Dan saya... Tak suka dengan pengacau."
Mata wanita berumur itu terbeliak luas apabila dia merasakan sesuatu yang tajam ditusuk di perutnya dari belakang. Dia ingin menjerit dan meraung kesakitan. Bagaimanapun, mulutnya seolah-olah sudah tidak dapat digerakkan lagi. Dia jatuh ke lantai apabila kelibat-kelibat tadi sudah melepaskannya. Rasa sakit itu sudah mula menular ke seluruh badannya. Dia hanya mampu bergerak sedikit bagaimanapun tiada guna.
"Awak tahu tak..." kedengaran derapan tapak kaki seiring dengan suara garau itu. "Ayah awak tinggalkan kami dengan sesuatu yang menyusahkan. Dia tak beritahu sesiapa dan pergi macam tu je."
Puan Shanty berusaha untuk bergerak. Apa yang ada di hadapan matanya kini adalah gambar tiga beradik yang disimpannya selama ini. Entah sejak bila ia terletak di situ dia sendiri juga tidak tahu.
"Dia tak nak buka mulut." Suara garau itu sepertinya sudah semakin dekat. "Dan saya hapuskan dia sebelum dia berpeluang untuk lakukan apa-apa lagi."
Wanita itu membesarkan matanya.
"Saya harapkan kamu semua mati sekaligus. Tapi tak. Hanya dua yang mati. Dan saya terpaksa menjejaki kamu." Suara garau itu masih kedengaran jelas. "Bertahun-tahun saya tunggu tiada apa-apa tindakan. Saya sangkakan kamu dah tak masuk campur. Robot yang tinggal tu pun saya buang macam tu je. Tapi dikutip oleh orang."
Puan Shanty tahu siapa yang dimaksudkan. Anas. Itu adalah robot yang dia maksudkan.
"Tapi sekarang awak jadi pengacau dan ganggu semua rancangan saya. Awak... Dan sekumpulan robot awak."
Puan Shanty dapat merasakan kesakitan itu benar-benar sudah memakan badannya. Dia benar-benar tidak dapat bergerak lagi.
"Dan awak tahu tak apa yang saya buat pada pengacau macam awak?"
Wanita itu langsung tidak menjawab.
"Saya hapuskan mereka."
Bisik suara garau itu sebelum dia memegang kepala wanita itu menyebabkan mata Puan Shanty terbeliak luas. Dia merasakan ada bahang yang menjalar dalam tubuhnya. Otaknya dirasakan mendidih sebelum jasad wanita itu meletup membuatkan darah bertempiaran di seluruh ruang tamu rumah itu.
"Geledah rumah ni. Apa sahaja benda yang boleh dijadikan kunci atau maklumat bawa kepada saya." Ujar suara garau itu sebelum menghilang entah ke mana dalam keadaan yang gelap itu.
Ketiga-tiga kelibat tadi tidak membantah. Mereka terus melakukan apa yang diarahkan sebentar tadi. Rumah itu mula digeledah. Darah-darah yang bertempiaran tadi langsung tidak dipedulikan. Mereka mengambil segala benda yang dirasakan mempunyai rahsia tersendiri meninggalkan yang lain.
Bagaimanapun, sebelum mereka dapat meninggalkan tempat itu, pintu depan direntap kuat sebelum cahaya kemerahan terpancar keluar meletupkan mereka satu-persatu tanpa belas kasihan. Lampu berusaha untuk dihidupkan bagaimanapun gagal entah kenapa membuatkan mereka terpaksa menggunakan lampu suluh dari telefon bimbit.
"Nampaknya kita dah terlambat, Zal." Ujar Jyra apabila melihat kawasan sekeliling rumah itu.
Rizal kehilangan kata-kata melihat kawasan rumah itu. Tiada satu pun yang boleh dijadikan bukti pembunuhan. Segala-galanya hancur. "Saya perlu beritahu yang lain mengenai perkara ni."
A/n: Damn! I manage to update twice today!! Maigaddd!! Tepuk sikit. Hahaha. Anyway. Korang ada insta tak?? Jum follow I. Farra_Peutter. Search je nama tu. Akan keluar lah akaun saya.
Berbalik kepada cerita, apa pendapat korang. Tak boleh lah semua hidupkan? Kena ada yang mati. Rasa-rasanya siapa pemilik suara garau tu?? Hmmm... Lepas ni terpaksa lah diorang bergerak tanpa Puan Shanty.
> VOTE & COMMENT <
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top