BAB 2

KERANA tidak mampu menghadapi Rash, aku menyumbat baju-bajuku masuk ke dalam beg pakaian. Aku mengambil keputusan untuk keluar dari rumah ini hari ini juga. Aku rasa, Rash pun tidak mampu untuk memandang wajahku saat ini. Aku amat pasti dia membenciku dan tidak menginginkan kehadiranku dalam hidupnya.

Katil kosong kupandang. Rupanya dah lama aku dan Rash membawa haluan masing-masing. Tiada gurauan, tiada kasih sayang, tiada perhatian. Fikirku kesibukan kami menyebabkan aku dan dia kurang berkomunikasi. Tapi hati kami berdua yang telah berpaling arah.

Berhari-hari aku menangis dalam senyap. Rash langsung tak perasan. Pulang dari kerja, dia membersihkan diri dan duduk di bilik kerjanya. Masuk ke bilik lebih kurang pukul 12 malam hanya untuk melelapkan mata.

Sedarlah aku bahawa kami sudah jauh dari landasan cinta. Tanpa cinta, apa lagi yang mampu kusandarkan pada hubungan sehambar ini?

Malah apabila cuba kukenang cerita 8 tahun yang lalu, ingatanku sangat kabur. Entah bagaimana aku dan dia bercinta dan mendirikan rumah tangga.

Selama 8 tahun ini, aku tidak ingat kali terakhir aku merasa bahagia. Tiga tahun lepaskah? Atau lima tahun yang lepas? Adakah hubungan kami mula tidak bermakna selepas dia dinaikkan pangkat? Atau selepas aku bergaduh dengan arwah ibunya gara-gara gagal melahirkan zuriat?

Mungkin...

Lima tahun lepas, aku keguguran. Kemudian selepas itu, aku banyak makan hati gara-gara diperli tidak mampu melahirkan zuriat buat Rash. Aku dikatakan mandul... diketawakan kerana kematian anak... Dan ibu Rash menghantar mesej agar aku membenarkan anaknya berkahwin lain. Tipikalnya, aku tidak mahu mengalah malah sanggup melawan.

Aku memberontak secara terang-terangan. 

Bukan aku tidak mahu mengalah. Cuma kesabaranku sudah sampai ke tahap tertinggi. Adakalanya aku bukan aku, yang menyebabkan aku benci membiarkan orang lain merendah-rendahkan diriku. Arwah ayahku telah memasak dalam kepala, biarlah tiada apa-apa dalam hidup ni, tapi jangan bagi peluang kepada orang lain untuk memijak martabat kita. Aku hidup berpuluh tahun dengan prinsip itu.

Sehingga satu saat, aku melenting dan bergaduh besar dengan arwah ibunya. Rash yang tidak tahu apa-apa tentang perkara itu hilang peluang untuk bertindak. Dan tidak lama selepas pergaduhan kami, ibunya meninggal dunia dalam kemalangan. Rash jadi pemurung dan pendiam.

Tapi aku biarkan saja untuk memberikan peluang dia bertenang. Sebulan... dua bulan... empat bulan...


boleh beli kat shopee rcpublication ❣️


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top