Bab 9
HADI mengelap cermin kereta sehingga berkilat. Sesekali mulutnya berzikir. Memang itulah rutin harian dia bekerja sebelum memulakan tugasnya sebagai pemandu kereta. Hampir dua bulan dia bekerja bersama Dato' Rosli, ternyata tanggapannya salah sama sekali.
Dato Rosli seorang yang sangat bertimbang rasa. Malah tidak pernah memberikan dia tekanan semasa bekerja. Tak sangka masih ada lagi orang kaya yang bersikap merendah diri seperti Dato' Rosli. Malah gaji yang diterima sangat lumayan.
Nampak sahaja kelibat majikannya keluar dari pintu utama, bergegas Hadi mendapatkan orang tua itu. Beg kerja Dato' Rosli diambil.
"Awal awak datang hari ni?"
"Eh, macam biasa aje Dato'." Dia pandang jam di tangan. Tetap sama seperti biasa.
"Biasanya awak datang pukul 7.45 pagi. Ni pukul 7.30 awak dah sampai. Saya perasan kelibat awak tadi."
Hadi tersenyum kecil.
"Ooo... saya keluar awal sebab nak masukkan duit ke akaun adik saya, Dato'. Selesai kerja saya, terus ke sini."
Ternaik kening orang tua itu. Langkahnya terhenti seketika.
"Adik awak belajar?"
"Belajar lagi. Dia baru masuk maktab. Saya ni anak sulung. Mak saya pula setakat buat kerja kampung. Itu pun dia tak berapa sihat. Jadi sayalah yang perlu cari rezeki."
Dato' Rosli bangga dengan anak muda ini. Bahu Hadi ditepuk lembut.
"Alhamdulillah. Baguslah. Anak saya tak sama macam perangai awak. Kerja nak menyakitkan hati saya aje. Tiap-tiap bulan asyik minta duit. Nak kata dia tak kerja, kerja aje," bebel orang tua itu.
Hadi membuka pintu kereta. Dato' Rosli masuk ke dalam kereta di tempat duduk belakang. Bergegas Hadi masuk ke dalam kereta.
"Saya sendiri tak tahulah bila anak saya tu nak berubah." Lemah nada suara orang tua itu.
Hadi melirik sekilas ke arah cermin pandang belakang. Pertama kali dia mendengar lelaki itu merungut tentang anaknya.
"Anak Dato' ada di mana sekarang?"
Tegak terus tubuh orang tua itu. Dahinya ditepuk kuat. Terkejut Hadi dengan reaksi majikannya.
"Ya Allah! Nasib baiklah kita bercakap pasal dia. Macam manalah saya boleh lupa ni?"
"Kenapa Dato'?"
"Lepas awak hantar saya, awak terus ke KLIA. Ambil anak saya."
Tercengang Hadi.
"Budak bertuah tu tiba-tiba balik mengejut. Ikut suka dia aje nak balik, dia balik. Harap kali ni dia tak akan pergi ke sana lagi." Dato' Rosli mengeluh perlahan.
Sudah berbelas tahun perkara itu berlaku. Sehingga kini, Elly masih enggan memaafkan dirinya yang dianggap sebagai pembunuh arwah isterinya.
Hadi memulakan pemaduannya.
"Adik awak tu lelaki atau perempuan?"
"Perempuan."
"Mesti perangai dia baik. Macam abang dia."
Hadi tersenyum malu.
"Tak adalah. Kalau datang angin merajuk dia, pening juga saya nak memujuk. Adik saya tu manja juga orangnya. Lepas arwah ayah saya meninggal, dengan sayalah dia bermanja."
Dato' Rosli angguk faham. Berbeza dengan dia. Elly jauhkan diri selepas dia dan isterinya bercerai. Malah hubungan mereka semakin teruk selepas arwah mama Elly meninggal.
Disebabkan rasa bersalah, dia sengaja memberi ruang kepada anaknya mencapai cita-cita di luar negara. Sanggup dia habiskan wang kepada si anak agar Elly gembira. Namun dia sedih Elly tak pernah bertanya khabar tentang dirinya di sini.
"Saya ni dah tua. Banyak perkara saya dah capai cuma saya nak sangat anak saya dapat maafkan saya."
"Bunyi macam serius aje." Pelik pula Hadi mendengarnya. Nak menyoal, rasanya dia tidak layak bertanya. Lebih-lebih lagi tentang isu masalah keluarga orang lain.
"Boleh dikatakan berat juga. Dah berbelas tahun anak saya tu anggap saya ni macam orang asing. Mungkin dia akan bencikan saya sampai bila-bila agaknya."
Hadi hanya memasang telinga saja. Pernah juga dia berbual dengan Mak Ros. Orang gaji di rumah itu. Kata wanita itu, Dato' Rosli mempunya seorang anak. Bekerja di luar negara.
"Dato' teruskan berdoa. Insya-Allah, anak ni akan berlembut juga dengan ibu dan ayah."
Dato' Rosli menggeleng lemah.
"Kes saya ni lain, Hadi. Jujurnya saya banyak rahsiakan dari anak saya. Semuanya demi nak jaga aib seseorang."
Makin pelik pula Hadi mendengarnya. Hendak bertanya lagi, dia tidak mahu dikatakan menjaga tepi kain orang lain. Lebih baik dia mengambil langkah berdiam diri.
Sampai di pejabat, Dato' Rosli mengarahkan Hadi mengikutnya masuk ke bilik pejabat terlebih dahulu. Sekeping gambar dikeluarkan dari laci meja.
"Ini anak saya. Ellyana Nadhirah. Lepas hantar anak saya ke rumah, awak boleh balik rumah."
"Habis tu, Dato' nanti nak balik macam mana?"
"Saya balik dengan Dato' Haris."
Hadi mengangguk faham. Gambar gadis manis di dalam gambar ini ditatap dalam. Walaupun gadis ini tidak tersenyum, namun air muka gadis ini tampak cantik. Lama anak matanya menjamah gambar itu sehingga tidak sedar perbuatannya disedari oleh Dato' Rosli.
"Cantik ke? Muka dia seiras dengan arwah mama dia."
"Err... maaf, Dato'." Tersengih-sengih Hadi menahan malu.
"Sebelum tu, saya nak ingatkan awak. Kalau Elly tu ada cakap perkara yang menyakitkan hati, awak buat pekak aje. Kerja dia memang nak saya marah 24 jam."
Tahu sangat Dato' Rosli dengan ragam si anak. Sengaja mencari pasal dengan pekerjanya untuk memulakan pergaduhan.
"Nah, duit sarapan pagi." Beberapa keping duit diberikan kepada Hadi.
"Eh, tak payah Dato'. Saya dah sarapan dekat rumah." Tolak Hadi dengan baik.
"Ambil. Saya nak awak makan dengan kenyang lepas ambil dia. Takut nanti anak saya tu ada aje cara nak kenakan awak."
Seram sejuk pula Hadi mendengarnya. Teruk sangat ke gadis di dalam gambar ini?
HAMPIR sejam dia terpacak di sini. Ikutkan hati, dia nak balik dengan menaiki teksi. Bengang sejak dari tadi dia gagal menghubungi papa.
"Hish... siapa yang kena ambil aku ni? Ke orang tua tu dah nyanyuk. Dah berapa kali aku cakap flight aku sampai sebelum pukul 10."
Elly merengus kasar. Kedua tangannya memeluk tubuh sendiri.
"Cik..."
Hadi muncul dalam keadaan termengah-mengah. Gara-gara jalan yang sesak, dia tiba di sini agak lambat. Sudahlah dia terlupa untuk dapatkan nombor telefon gadis ini. Satu kerja pula dia nak mencari anak majikannya itu.
Terkejut Elly dengan kemunculan lelaki ini. Lama dia menatap wajah lelaki di hadapannya. Wajah itu seolah-olah tidak asing dalam hidupnya.
"Maaf. Jalan sesak tadi." Dahi yang berpeluh di kesat dengan hujung lengan.
Hadi berdeham sedikit. Sudahlah cuaca panas di luar. Sekarang dekat sini, dia hampir sesak nafas melihat cara gadis itu berpakaian.
"Kau siapa?"
"Errr... saya pemandu Dato' Rosli. Dia yang minta ambil cik."
"Macam mana pula kau boleh kenal aku?"
Hadi keluarkan gambar tadi dari poket baju kemeja.
"Saya tengok gambar ni."
Nak tergelak Elly. Gambar di tangan Hadi di rampas kasar.
"Nasib baiklah aku tak buat pembedahan plastik. Kalau tak, sampai esok pun kau tak akan jumpa aku. Gambar ni..."
Gambar itu dicampak kasar ke lantai.
"Ni gambar zaman bila orang tua tu bagi."
Terkulat-kulat Hadi. Dia kutip gambar tadi di lantai. Naya. Agaknya inilah salah satu perangai tak semenggah anak Dato' Rosli.
"Lain kali jangan datang lambat. Aku pantang dengan orang yang tak tepati janji ni. Dah tahu nak ambil aku, tak reti keluar awal."
Hadi hanya mampu berdiam diri. Memang lain macam betul aura gadis di hadapannya ini.
"Mana kereta?"
"Err... dekat sana. Mari saya bawakan bagasi cik."
"Tak payah. Cepat jalan. Aku dah penat sangat ni."
Hadi sekadar menurut. Dia segera membawa Elly ke kereta. But kereta dibuka. Bagasi tadi dicampak ke dalam but kereta. Masam mencuka wajahnya kerana terlalu lama menunggu.
"Cik nak terus balik ke rumah?"
"Ehmmm..."
Pemandu kereta itu segera menghidupkan enjin kereta. Dia segera memandu menuju ke rumah majikannya. Sesekali dia pandang ke cermin belakang. Nampak sangat gadis itu masih marahkan dia.
"Maaf, cik. Saya lambat tadi sebab jalan sibuk."
"Siapa nama kau?" Cermin mata hitam ditanggalkan terlebih dahulu.
"Err... Nama saya Hadi."
Dia menilik wajah lelaki itu. Rupa ada tetapi kerja sebagai pemandu. Sayang betul.
"Dah lama kau kerja dengan papa aku?"
"Baru lagi, cik. Nak masuk dua bulan." Tersenyum Hadi. Lega kerana anak majikannya itu sudah mahu berbual dengannya. Walaupun kedengaran agak kasar, sekurang-kurangnya tak adalah gadis itu membisu.
Hampir 15 minit memandu, mereka tiba di sebuah rumah banglo. Bergegas Hadi membuka but kereta dan mengeluarkan bagasi gadis itu.
"Bagasi ni nak saya letak di mana?"
Ternaik kening gadis itu. Timbul idea di kepalanya untuk mengenakan lelaki kacak itu.
"Bawa masuk ke bilik saya, boleh?"
Tertelan air liur Hadi. Dia pandang ke sekeliling banglo ini. Dia tahu majikannya tiada di rumah. Yang ada hanya pembantu di rumah ini. Namun tetap tak manis jika dia masuk ke dalam.
"Saya letak dekat depan pintu boleh?"
"Kenapa tak depan pintu bilik aku? Tak payah takutlah. Bukan ada orang nampak pun." Jarinya sengaja dilarikan ke lengan yang berotot itu.
Meremang bulu roma Hadi. Lekas dia menjarakkan dirinya dari gadis berpakaian ketat itu.
"Cik... saya... err..." Tergagap-gagap lelaki itu. Hadi semakin gelabah. Serba tak kena jadinya.
Gadis itu terus ketawa. Pelik pula Hadi melihat gadis itu tiba-tiba ketawa.
"Sini beg aku. Kau ni gelabah sangatlah."
Bagasi itu terus dirampas dari tangan Hadi. Dia berjalan hingga ke pintu rumah. Sempat dia berpaling ke belakang melihat Hadi yang masih berdiri kaku di tempat yang sama.
"Elly."
Terkebil-kebil mata Hadi memandang ke arah gadis itu.
"Nama aku Elly. Tak payah nak panggil aku cik. Aku tak suka."
Menonong Elly masuk ke dalan rumah. Hadi bersandar di kereta. Dia masih terkejut dengan tingkah anak majikannya. Macam manalah nasib dia sepanjang gadis itu ada di rumah ini nanti?
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top