Bab 8
GEMENTAR Hadi saat dia berada di pejabat yang agak besar ini. Sudah hampir sebulan dia di Kuala Lumpur. Namun sehingga ke hari ini dia masih gagal mendapat kerja.
Segan juga dia terpaksa tinggal di rumah sewa Meon tanpa bayaran. Walaupun lelaki itu tidak pernah kisah, Hadi masih tidak selesa.
Hari ini dia nekad datang ke sini setelah terbaca iklan di dalam suratkhabar berkenaan jawapan pemandu kereta. Rasanya tidak salah kalau dia mencuba. Asalkan rezeki yang halal, dia tidak kisah mengambil peluang yang ada di depan mata.
Setelah memberitahu tujuannya ke sini kepada pekerja di bahagian kaunter, dia dibawa ke tingkat lima untuk berjumpa dengan setiausaha pemilik bangunan ini. Jantung Hadi berdegup laju. Beberapa potong doa dibaca untuk menenangkan hati.
"Encik duduk sini sekejap. Nanti saya beritahu Dato'."
Hadi sekadar mengangguk. Pakaian di tubuhnya, diperbetulkan sedikit. Dadanya diurut perlahan. Cuba menghilangkan rasa debar di dada.
Tak sampai lima minit, wanita tadi keluar sambil tersenyum ke arahnya. Hadi diarahkan masuk untuk berjumpa dengan pemilik bangunan itu. Dengan perasaan gemuruh, Hadi masuk ke dalam bilik itu dengan lafaz Bismillah.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Masuk."
Hadi tersenyum kekok. Wajah lelaki yang berusia di hadapannya itu, tidaklah terlalu sombong. Malah, lelaki itu turut menghadiahkan dia dengan senyuman yang mesra.
"Duduk." Lelaki itu membetulkan kot di tubuhnya sebelum duduk di sofa.
Hadi duduk di kerusi berhadapan dengan lelaki itu.
"Nama awak... Muhammad Hadi?"
"Ya, Dato'. Boleh panggil saya Hadi."
Lelaki itu membaca maklumat Hadi. Sesekali dia melirik ke arah Hadi.
"Ehmm... umur awak sebaya dengan anak saya. Sebelum ni, pernah bekerja di mana?"
"Saya... asal dari kampung. Habis belajar setakat SPM. Tak sambung ke mana, Dato'. Saya banyak buat kerja di kampung. Pernah tebar roti canai, jadi tukang masak dan jual cendol. Jujur saya memang tak ada pengalaman kerja sebagai pemandu."
Ternaik kening Dato' Rosli. Dari mata orang tua itu, Hadi nampak lurus orangnya. Fail lelaki itu diletak ke tepi.
"Awak memang nak sangat ke bekerja sebagai pemandu?"
"Nak, Dato'. Memang niat saya nak cari pekerjaan yang lebih baik dari sebelum ni."
Dato Rosli mengangguk sedikit. Kedua tangannya diletak di atas meja.
"Kerja sebagai pemandu saya, awak anggap pekerjaan yang lebih baik dari sebelum ni ke?"
Hadi tersengih sedikit.
"Semua pekerjaan tu baik, Dato'. Cuma saya anggap, pekerjaan sekarang dapat ubah masa depan keluarga saya di kampung."
Dato' Rosli suka mendengar bicara anak muda itu. Malah dia nampak kejujuran dari mata lelaki itu.
"Betul awak tak kisah bekerja dengan saya? Saya ni, sangat cerewet. Mungkin akan ambil masa yang lama untuk awak sesuaikan diri dengan saya."
"Insya-Allah, saya boleh." Yakin Hadi memberikan kata putus.
Tersenyum Dato Rosli. Suka betul dia melihat semangat anak muda ini.
"Dah berkahwin?"
Hadi berdeham sedikit.
"Pernah."
Berkerut Dato' Rosli. "Maksud awak?"
"Saya baru kehilangan isteri. Dah lebih setahun. Kemalangan."
"Allah... maaf. Saya tak tahu."
Hadi segera menggeleng. Dia langsung tidak berkecil hati. Tidak lama kemudian, Dato' Rosli mengarahkan setiausahanya masuk ke dalam bilik.
"Ya, Dato'."
"Shima, tolong buatkan surat tawaran bekerja kepada Hadi. Saya nak dia bekerja dengan saya."
"Baik, Dato'."
Hadi meraup wajahnya tanda bersyukur. Rasa tidak percaya pula dia sudah diterima bekerja. Setelah kelibat Shima keluar dari bilik itu, Dato' Rosli berdiri. Pantas Hadi berdiri sama.
"Minggu depan, pukul 7.30 pagi, awak dah boleh bekerja. Nanti awak baca skop kerja awak dari Shima. Kerja awak bukan aje jadi pemandu kereta saya. Kalau ada perkara yang saya perlukan dari awak untuk tujuan peribadi, awak perlu ada."
"Saya faham, Dato'." Terima kasih sebab bagi saya peluang."
Setelah berjabat tangan dengan Dato' Rosli, Hadi keluar dari bilik itu dengan perasaan lega.
HAMPIR tersembur air yang diminum oleh Meon. Rasanya dia tidak salah mendengar. Terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Hadi sebentar tadi.
"Kau... kerja sebagai pemandu?"
"Ehmm... minggu depan aku dah start kerja. Insya-Allah, dapat gaji nanti, bolehlah aku bayar duit sewa rumah ni separuh."
Meon berdecit sedikit. Dah berbuih mulutnya bercakap tidak kisah jika Hadi duduk di sini tanpa bayaran.
"Kau tak payahlah kerja dekat sana. Ni... kawan aku baru aje bagitau ada kerja kosong dekat kilang. Kau boleh cuba."
Terhenti kunyahan Hadi. Dia meneguk minumannya sehingga habis separuh.
"Tak apalah. Aku dah tandatangan surat tawaran. Tak patut pula aku tolak kerja yang dah ditawarkan."
"Tapi..."
"Terima kasih, Meon. Aku tak sedap hati pula nak tolak kerja sekarang. Lusa aku dah mula bekerja. Kalau aku tarik diri tiba-tiba, tak ke aku menyusahkan mereka?"
Terdiam Meon. Sikap Hadi yang satu inilah membuatkan dia selalu geram. Terlalu baik sehingga tidak sanggup menyusahkan orang lain.
"Suka hati kaulah. Tapi kalau kau nak tukar fikiran, cepat-cepat beritahu aku."
"Ya. Terima kasih."
Mereka sama-sama menghabiskan bungkusan makanan mereka.
"Kau... dah okey?"
"Ha?"
"Maksud aku, kau dah betul-betul okey lepas arwah pergi?"
Hadi hela nafas berat. Jujurnya dia masih belum dapat melupakan sepenuhnya. Namun sebagai orang Islam, dia perlu reda.
"Aku tak boleh terus meratap. Aku masih ada mak dan adik. Aku anggap Allah hadiahkan ujian ni untuk kuatkan iman aku."
Meon bangga dengan Hadi. Ujian yang diterima oleh lelaki itu, datang bertimpa-timpa. Bukan saja kehilangan isteri tersayang. Malah lelaki itu kehilangan mata pencarian di sana.
Selepas habiskan makanan, Hadi masuk ke dalam bilik. Telefon dicapai. Tak sabar untuk berkongsi berita dengan emak. Pasti emak gembira mendengar dia sudah mendapat kerja di sini.
SEMUA pakaian yang ingin dibawa pulang ke Malaysia dicampak ke dalam beg. Dia terpaksa pulang lebih awal setelah mendapat berita kurang baik dari penyiasatnya. Semuanya gara-gara Johan.
Punggung dihempas dengan kasar di atas tilam. Fikirannya bertambah serabut dengan berita yang diterimanya petang tadi.
"Johan dah kahwin. Isteri dia doktor yang sama di tempat dia bekerja. Tapi sebelum ini perkahwinan mereka dirahsiakan."
"Tepat ke maklumat ni?"
"Ya, cik. Satu lagi maklumat yang saya dapat."
"Apa dia?"
"Isteri dia bakal bersalin."
"Arghhh!" Sekuat hati Elly menjerit menahan geram. Tak sangka lelaki itu berkahwin dengan rakan sekerja. Tapi boleh pula dirinya ditolak mentah-mentah. Kata setia konon!
Turun naik nafas Elly menahan marah. Kedua tangannya dikepal kuat. Senyuman sinis terukir di bibir. Dendam terhadap Johan semakin menebal. Kali ini kepulangannya bersebab.
Elly tersenyum lebar. Dia bangun dan melihat gambar-gambar Johan yang tertampal di dinding bilik. Gambar itu disentuh dengan jari halusnya.
"Tak semudah itu aku nak biarkan kau bahagia. Kau hanya akan bahagia dengan aku. Bukan dengan dia."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top