Bab 7

TERSEDAK Lucy. Wajah Elly ditatap dalam. Setelah beberapa tahun balik ke Malaysia, baru hari ini dia ke sini untuk bercuti bersama suami. Alang-alang bercuti, dapatlah dia berjumpa Elly.

"Seriuslah?" Mustahil Elly mengalami mimpi yang hampir sama sejak setahun yang lepas.

"Betul. Kerap pula aku mimpi. Naik seram pula."

"Kau ingat ni cerita filem ke?" Lucy ketawa terbahak-bahak.

Elly julingkan biji mata. Sudah diagak, pasti rakan baiknya itu tidak percaya.

"Menyesal pula aku cerita."

"Bukan aku tak percaya, tapi macam pelik aje. Kenapa kau dapat mimpi yang sama?"

Elly angkat kedua bahunya. Perkara itulah yang buat dia bertambah bingung. Kepalanya hampir pecah memikirkan kelibat lelaki itu. Seolah-olah mimpi itu mahu mengingatkan dia tentang dosa lama.

"Kau kenal lelaki dalam mimpi tu?"

"Mungkin aku pernah jumpa dia dulu."

Lama Elly terdiam. Bibirnya digigit perlahan. Sudah lama kisah itu kekal menjadi rahsia. Tak mungkin dia menceritakan hal ini kepada orang lain.

"Siapa?"

Elly tersenyum kelat. Air dihabiskan terlebih dahulu sebelum dia memberi perhatian kepada Lucy.

"Kau bercuti dekat sini berapa lama?"

Lucy merengus perlahan. Pandai betul Elly nak mengelak.

"Seminggu. Aku tak boleh lama cuti. Suami aku pun kerja dalam bidang perubatan."

Elly mengangguk faham. Lucy kini berkhidmat di hospital kerajaan. Rezeki kawan baiknya bertemu jodoh dengan lelaki di tempat bekerja yang sama.

Kelakar juga Lucy ni. Dulu gadis ini yang memberi cadangan supaya dia mencari pengganti Johan semasa menjalani latihan sebagai pegawai perubatan. Alih-alih, Lucy yang bertemu jodoh terlebih dahulu.

"Kau memang tak nak balik Malaysia ke?"

"Nak tak nak, aku kena balik juga. Dah lama aku dekat sini."

"Baguslah. Sampai bila kau nak kerja di sini sebagai model? Family kau tahu pasal ni?" soal Lucy.

Elly menggeleng. Selama ini papa menganggap dia menyambung pelajaran ke sini. Hakikatnya dia sudah lama berhenti dalam bidang perubatan. Itu salah satu cara dia untuk membalas dendam terhadap kecurangan papa.

"Kenapa kau tak nak jadi doktor?"

"Aku tak nak."

Lucy hela nafas berat. Tangan sahabat baiknya diraih.

"Sayangnya kau berhenti. Kau tak rasa rugi ke? Belajar lama-lama dekat sini. Lepas tu balik Malaysia buat HO, kemudian datang ke sini bekerja sebagai model."

"Cukup kau tahu aku buat semua ni untuk jauh dari orang yang aku benci."

Tak perlu Elly ceritakan semuanya kepada Lucy. Selama ini, dia terpaksa menurut kemahuan ayah kandungnya. Sekarang dia dah cukup dewasa membuat keputusan sendiri. Bekerja sebagai doktor, bukan kemahuannya.

"Bila kau plan nak balik sana?"

"Lagi beberapa bulan. Lepas kerja aku selesai." Itulah perancangan Elly.

"Kau macam tak happy aje nak balik. Sepatutnya kau happy dapat jumpa dengan family."

Elly ketawa sinis.

"Aku dah lama hilang family. Jujurnya aku balik Malaysia disebabkan seseorang."

Lucy terdiam seketika. Dia berasa tidak sedap hati dengan kata-kata Elly.

"Kau jangan cakap yang..."

"Binggo! Memang aku balik nak jumpa Johan."

Jatuh rahang Lucy. Selama ini dia fikir Elly dah lupakan Johan.

"Kau jangan buat kerja gila. Dah bertahun kau tak dengar khabar berita dia. Buatnya dia dah kahwin, tak ke haru."

"Kahwin? Mustahillah. Aku baru dapat maklumat dari penyiasat aku. Johan sekarang ada bertugas di Melaka. Dia masih bujang. Aku dah agak. Perempuan tu tak akan terima Johan."

Tak berkelip mata Lucy. Pada masa yang sama, dia takut dengan tindakan gadis itu.

"Kau jangan terlalu obses dengan Johan. Ramai lagi lelaki lain."

"Tak! Aku cuma nak dia." Celah Elly.

Cukuplah dia menahan diri dari berjumpa lelaki itu beberapa tahun. Setelah mendapat maklumat lelaki itu masih bujang, tak salah dia ke sana untuk mencuba nasib.

"Terpulanglah, Elly. Aku dah banyak kali bagi nasihat. Apa yang aku nampak, kau bukan cintakan dia. Tapi kau cuba nak puaskan hati sendiri."

Elly terkesan dengan kata-kata Lucy. Tapi dia masih ingin meneruskan rancangannya. Dia perlu mencari Johan. Matlamatnya untuk berkahwin dengan lelaki itu dan pergi jauh dari papa.


MAK Ani terdiam seketika. Baru hari ini Hadi berbual panjang dengannya. Perkara yang diberitahu oleh Hadi tadi, sangat mengejutkan dia.

"Di minta izin mak nak ke KL. Di nak cari rezeki dekat sana. Boleh ya, mak?"

"Kenapa tak kerja aje dekat sini?"

Hadi tersenyum kelat. Sesekali, jari kasarnya memicit betis emak.

"Nak harapkan kerja dekat kampung ni, berapalah sangat mak. Adik nak sambung belajar. Banyak nak guna duit."

Mak Ani hela nafas berat. Kasihan orang tua itu melihat keadaan anak sulungnya. Selepas pemergiaan Amira, ada yang mengata anakanya. Kononnya Hadi pembawa malang.

Hadi baru bekerja sebagai penebar roti canai pada waktu malam. Tapi baru seminggu kembali bekerja, kedai itu terbakar. Mengamuk pemilik kedai itu dan melarang Hadi menjejakkan kaki ke sana. Katanya Hadi pembawa sial.

Pak Ajis pula sudah lam menutup kedai makan gara-gara membawa isterinya ke Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

"Mak tak sangka orang kampung ni masih percayakan benda yang tak masuk akal. Macam orang tak ada iman."

Bergenang tubir mata Mak Ani.

"Mak..." Hadi cuba menenangkan si emak.

"Mak kecewa dengan Mak Kiah. Tergamak dia canang satu kampung tentang Di. Kononnya anak mak ni bawa sial. Ikutkan hati mak, mak nak pergi rumah dia. Biar mak sendiri tanya apa yang dia tak puas hati?"

Hadi mengusap lembut belakang tubuh Mak Ani. Bukan dia saja yang bersedih. Emak juga orang yang paling terkesan selepas arwah isterinya pergi.

"Biarlah, mak. Di tak ambil hati pun. Lama-lama nanti, Mak Kiah tu mungkin akan berlembut dengan kita."

"Entahlah. Mak dah tak berharap mereka nak berbaik dengan kita. Kalau ada rumah lain, mak nak pindah. Sakit mata mak ni, setiap kali keluar terpandang muka dia."

Hadi rasa nak tergelak. Mustahil mereka berpindah ke tempat lain. Inilah satu-satunya rumah peninggalan arwah ayah untuk mereka.

"Mak izinkan ya Di ke sana?"

"Di nak kerja apa?"

Risau betul orang tua itu. Hadi tak pernah ke sana seorang diri. Nak jejakkan kaki ke Kuala Lumpur, lagilah tak pernah.

"Di carilah kerja apa-apa pun. Meon pun ada dekat sana. Dia boleh tumpangkan rumah sewa dia."

"Meon?"

Hadi mengangguk kecil. Syukur kawan baiknya sudah mendapat pekerjaan di sana. Walaupun sekadar pekerja kilang, ia sudah mampu menampung kehidupan Meon.

"Yalah. Mak izinkan. Tapi mak nak ingatkan Di. Dekat sana, macam-macam mak dengar. Jangan pula Di buat kerja tak elok."

"Ke situ pula, mak. Insya-Allah. Di ingat mak dan adik di kampung. Dia akan jaga nama baik keluarga kita."

Mak Ani tersenyum lebar. Dia percayakan Hadi. Anaknya ini seorang yang sangat lurus dan tak pernah menyakiti hati sesiapa.

"Bila Di nak ke sana?"

"Minggu depan. Lagi cepat, lagi bagus. Sementara tu, ni duit untuk belanja mak dan adik."

Terbeliak biji mata Mak Ani. Wang yang diserahkan oleh Hadi terlalu banyak.

"Mana Di dapat duit ni?"

"Di dah jual warung cendol tu dekat orang lain."

Orang tua itu terdiam.

"Di minta maaf. Di buat keputusan tak bincang dengan mak. Di terpaksa sebab nak cari duit untuk adik sambung belajar."

Mak Ani capai tangan anaknya. Belakang tapak tangan Hadi ditepuk lembut.

"Mak doakan Di diberi rezeki yang luas. Mak hargai sangat pengorbanan Di. Paling penting..."

Dada anaknya ditekap dengan tapak tangan.

"Di dapat jumpa pengganti arwah."

Hadi tersenyum pahit. Tapak tangan emak yang melekat di dadanya diraih dan dibawa ke bibir.

"Buat masa ni, tak ada sesiapa yang boleh gantikan tempat arwah. Mungkin tak akan ada mak."

"Haish... jangan cakap macam tu. Jodoh ni rahsia Allah. Mak nak tengok Di bahagia. Ada pasangan hidup."

Hadi larikan anak matanya ke arah lain. Bercakap tentang jodoh, jujur dia sudah tiada hati untuk berkahwin. Takut jika benar dirinya pembawa malang dalam kehidupan orang lain.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top