Bab 6

ELLY terjaga dari tidur. Wajahnya sudah berpeluh. Tercungap-cungap nafasnya. Mimpi yang berlaku sebentar tadi seperti benar-benar berlaku. Perlahan-lahan dia turun dari katil.

Air mineral dicapai dan diteguk sehingga habis. Dadanya masih berdegup laju. Mimpi yang muncul tadi benar-benar membuatkan Elly tidak dapat melelapkan mata kembali.

"Abang relakan sayang pergi. Pergilah dengan tenang."

Spontan dia menyentuh kedua pipinya. Basah. Kenapa dia yang menangis hanya disebabkan minpi tadi?

Pantas dia masuk ke bilik air. Wajahnya dibasahkan. Dia melihat pantulan wajahnya di hadapan cermin.

"Siapa lelaki tu? Kenapa aku rasa sedih sangat bila dia cakap macam tu?"

Walaupun wajah lelaki itu samar-samar, namun kata-kata terakhir lelaki itu sangat terkesan di hati. Tangannya ditatap dengan perasaan aneh. Masih terasa hangat genggaman tangan lelaki itu di jari jemarinya.

"Tak mungkin dia orang yang sama?"

Terbayang peristiwa beberapa tahun yang lalu. Jujur dia sudah hampir lupakan peristiwa itu. Tiba-tiba saja hari ini dia termimpikan lelaki itu.

Elly cuba sedapkan hati. Boleh jadi, mimpi itu hanya mainan tidur. Laju kakinya melangkah keluar dari bilik air. Punggung dihempas kasar di atas tilam. Laci meja ditarik perlahan. Album gambar yang sentiasa bersamanya dikeluarkan dari laci tersebut.

Sebaik sahaja album itu dibuka, tubir matanya bergenang. Terlalu rindu dia untuk mendakap tubuh wanita itu. Sampai bila-bila pun, dia tak ada peluang lagi untuk bertemu mama.

"Mama, Elly rindukan mama."

Dadanya sebak. Walaupun sudah beberapa tahun tahun berlalu, kenangan pahit itu tidak akan dia lupakan. Terpaksa berpisah dengan ibu kandung sendiri, bukan satu perkara yang mudah.

Saat dia terpandang gambar papa, wajah Elly berubah tegang. Benci dia melihat wajah itu. Lelaki yang pernah dianggap pelindung itu bukan lagi orang yang sama.

Tubuhnya direbahkan di atas katil. Erat dia memeluk album itu di dada seolah-olah dia sedang memeluk jasad mama. Tiba-tiba telefonnya berdering. Dahinya sedikit berkerut. Siapa pula yang hubungi dia sekarang?

Sebaik saja dia melihat nama yang muncul di skrin itu, Elly rasa nak baling telefon itu. Dia kenal sangat dengan pemilik nombor telefon itu. Sah lelaki itu sudah tahu kedudukannya di sini.

Ikutkan hati, dia enggan menjawab. Tapi tiada pilihan. Orang tua itu terlalu licik dan mampu membuatkan dia terpaksa balik ke Malaysia.

"Helo."

"Bila nak balik Malaysia?"

Elly putarkan biji mata. Soalan yang sama dia dengar setiap kali lelaki itu menghubunginya.

"Elly tak rasa nak balik."

Terdengar orang tua itu mengeluh kasar.

"Jangan sampai papa siasat apa yang Elly buat di sana. Papa dengar, lepas Elly tamat latihan di sini, Elly terus ke sana. Kenapa perlu terima tawaran bekerja di luar negara?! Sepatutnya Elly berbincang dengan papa."

Elly dah agak. Pasti lelaki itu tahu semua urusannya di sini. Siapa yang tak kenal dengan Dato' Rosli? Beberapa tahun yang lepas, dia selesai menjalani latihan di Malaysia. Dan selepas tamat latihan, dia terus kembali ke UK. Tujuannya untuk menjauhkan diri dari Dato' Rosli.

"Elly lebih suka kerja di sini."

"Papa bagi pilihan. Elly balik sendiri atau papa ke sana dan paksa Elly balik."

"Stop it, papa! Elly bukan budak lagi. Papa tak berhak nak paksa Elly."

"Selagi Elly anak papa, Elly perlu ikut arahan papa."

Tak sanggup mendengar alasan orang tua itu, talian terus dimatikan. Dek terlalu marah, telefon itu dibaling ke dinding.

Sekuat hati dia menjerit. Baik. Dia akan balik. Namun kepulangannya demi mencari lelaki itu. Dia akan pergunakan Johan untuk menjauhkan diri dari Dato' Rosli.


TERMENUNG Hadi di atas pangkin. Sudah hampir setahun dia kehilangan Amira. Selepas kejadian itu, hidup Hadi berubah mendadak.

Dia terpaksa menutup warung cendol disebabkan orang kampung tak berani ke sana. Semuanya gara-gara ibu mentuanya menuduh dirinya pembawa malang. Kini dia hanya mampu mengambil upah membersihkan kawasan kebun dan surau jika diminta.

Sikap Hadi berubah menjadi pendiam. Dia hanya bercakap jika perlu sahaja. Sudah tentu ahli keluarga Hadi yang paling terkesan melihat keadaan lelaki itu.

"Abang Di."

Hadi masih tidak menoleh. Dia tahu Hawa yang muncul pada waktu begini. Sekarang adiknya baru saja selesai belajar di matrikulasi.

"Ini... bekal. Mak buatkan nasi lemak."

"Letak aje dekat situ. Nanti Abang Di makan."

Mengeluh Hawa melihat keadaan si abang. Rambut sudah semakin serabai. Dengan misai dan jambang pun tak bercukur. Hendak diberi nasihat, abangnya sudah besar panjang.

"Sampai bila Abang Di nak jadi macam ni? Kesianlah dekat mak. Mak hari-hari susah hati."

"Abang Di okey aje."

"Okey apa. Muka tu dah tak nampak rupa dah. Kalau Kak Mira masih hidup, dia mesti tak suka tengok Abang Di macam ni."

Terus berubah wajah Hadi. Mendengar nama itu saja, hanya menambahkan rasa sebak di dada. Dia bukan sahaja kehilangan Amira. Malah dia turut digelar sebagai pembawa malang oleh keluarga Amira.

Lebih parah lagi, dia tidak dibenarkan melihat pengebumian isteri sendiri. Hasil siasatan pihak polis, Amira sudah lama diugut oleh seorang penduduk kampung di sisi yang terlalu obses dengan gadis itu. Patutlah Amira berkelakuan pelik beberapa hari sebelum mereka berkahwin. Dia telah diugut untuk menolak lamaran Hadi. Jika Amira enggan, Hadi akan dicederakan. Amira pergi disebabkan dia. Perasaan bersalah itu, masih menjadi beban di bahunya.

"Adik tak suka Abang Di macam ni. Adik rindu Abang Di yang suka mengusik."

Berkaca tubir mata Hawa. Hadi terkesan dengan kata-kata si adik. Kepala Hawa diusap lembut.

"Abang Di masih belum boleh lupakan dia. Semuanya berlaku terlalu mendadak. Abang Di rindu dia. Kami tak sempat pun hidup bersama."

Gugur juga air mata Hadi. Sudahlah dia kehilangan isteri. Malah dia kehilangan sumber mencari rezeki di kampung. Boleh dikatakan setiap hari dia mendengar dirinya dihina.

"Abang Di kena reda. Dah ketentuan Allah nak ambil nyawa Kak Mira. Tolonglah kuatkan semangat. Adik tak nak Abang Di terus jadi macam ni. Terimalah hakikat Kak Mira dah tak ada."

Hadi masih tak bersuara. Dia mendongak ke arah langit.

"Adik dapat tawaran belajar. Tapi adik nak tolak dulu."

Laju dia berpaling ke sebelah.

"Jangan nak memandai buat keputusan sendiri. Teruskan belajar. Abang Di mampu cari rezeki."

Hawa menggeleng lemah.

"Adik tak sampai hati tengok Abang Di bersusah payah macam dulu. Biarlah adik tangguh dulu. Adik nak cari kerja tolong keluarga kita."

Selepas arwah ayah pergi, Hadi yang bekerja keras mencari rezeki. Walaupun dia masih kecil, dia nampak pengorbanan abangnya.

"Tak boleh. Dengar cakap Abang Di. Terima tawaran tu. Pasal duit, Abang Di akan usahakan."

Hawa kecut perut mendengar suara tegas lelaki itu. Tak berani dia nak melawan.

"Balik. Kejap lagi habis kerja, Abang Di balik."

Hawa akur dengan arahan itu. Dia terus meninggalkan Hadi bersendirian di situ.

Nasi lemak yang dibawa oleh Hawa tadi dibuka sedikit. Dadanya sebak. Kasihan emak. Terpaksa berhadapan dengan sikapnya yang tak menentu sejak kehilangan Amira.

Setelah menghabiskan bekalan tadi, Hadi mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Kerja membersih di kawasan surau sudah lama siap.

Ketika melalui rumah arwah isterinya, dia terpandang kelibat ibu mentuanya. Hanya jelingan tajam yang diberi oleh Mak Kiah. Keluhan lemah terlepas dari bibirnya.

Hubungan emak dan keluarga mentuanya turut renggang. Dia kasihan dengan emak yang turut menjadi mangsa keluarga Amira.

Setiba di rumah, Hadi masuk ke bilik untuk mengambil tuala. Dia perlu membersihkan diri terlebih dahulu. Tiba-tiba dia terpandang bungkusan yang tersimpan di bahagian bawah almari.

Kaku tubuh Hadi melihat bungkusan itu. Hampir dia terlupa, arwah isterinya pernah menghadiahkan sesuatu kepadanya setahun yang lepas.

Bungkusan itu diambil dengan tangan yang menggigil. Dia duduk bersila di atas lantai. Dengan perasaan gementar, dia membuka balutan hadiah itu dengan berhati-hati.

Tergamam Hadi melihat ada dua helai baju t-shirt yang mempunyai corak yang sama. Jelas pakaian itu khas buat pasangan. Terselit sekeping nota di dalam bungkusan itu.

Terima kasih untuk perkenalan kita. Mira akui tak sabar nak jalani kehidupan kita selepas berkahwin. Bercinta selepas nikah. Manis bunyinya.

Baju yang Mira tempah ni, untuk kita bercuti nanti. Hadi dah janji nak bawa Mira jalan-jalan tepi pantai kan? Mira tuntut janji Hadi tu.

Mira sayang, abang.

Bergetar bibir Hadi menahan sebak. Titisan air mata dibiarkan mengalir ke pipi.

"Kalau ada apa-apa berlaku dengan Mira, Hadi janji akan terus bahagia. Jangan sia-siakan hidup Hadi."

Allah...

Selama ini dia lupa setiap benda di dunia ini hanyalah pinjaman. Begitu juga dengan Amira dan arwah ayah.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top