Bab 5
SUASANA di kawasan rumah keluarga Amira riuh rendah. Esok, majlis penikahan Hadi dan Amira akan berlangsung di masjid. Setelah hampir tiga tahun Hadi mengumpul wang hantaran seperti yang diminta oleh Mak Kiah, akhirnya mereka bakal disatukan.
Tersenyum ceria Hadi saat terbayangkan majlis mereka yang akan berlangsung kurang dari 24 jam lagi. Ramai juga orang kampung yang datang membantu.
"Abang Di!" Sergah Hawa.
Ternaik bahu Hadi. Mujurlah dia tidak melompat dari kerusi tadi.
"Kenapa?"
"Kak Mira nak jumpa Abang Di," bisik Hawa di telinga si abang.
Tegak terus tubuh Hadi. Wajah adiknya dipandang tak berkelip.
"Mana dia?"
"Dia tunggu dekat belakang dapur. Pergilah cepat. Nanti Mak Kiah nampak."
Serba salah Hadi. Nak tak nak, terpaksa juga dia ke sana. Risau juga kalau ada perkara yang penting. Selama mereka berkawan, belum pernah lagi mereka berjumpa di tempat yang tersorok.
Hadi keluar dari pintu dapur. Ketika itu, Amira sudah duduk di atas pangkin. Hadi sedikit gugup.
"Mira."
Amira menoleh ke arah Hadi. Senyuman manis dihadiahkan untuk lelaki itu.
"Maaf kalau Mira gangggu Hadi."
"Eh, tak lah. Ada hal penting ke nak jumpa Hadi?"
Amira mengangguk sambil tersenyum. Dia hulurkan satu bungkusan kepada Hadi.
"Ini untuk Hadi."
Berkerut dahi Hadi. Bungkusan itu diambil bersama kerutan di dahi.
"Apa ni?"
"Hadiah untuk bakal suami Mira."
Hadi tersenyum lebar sambil mengangguk. Malu pun ada.
"Kenapa tak bagi esok aje? Masa tu kita dah jadi suami isteri" Sengaja Hadi nak menyakat.
Amira tunduk menekur tanah. Bibirnya digigit perlahan. Jujur dia agak malu berhadapan dengan Hadi. Namun dia teringin berjumpa dengan lelaki itu sebelum hari esok.
"Janji dengan Mira. Hadi buka hadiah ni lepas kita dah sah jadi suami isteri."
"Ini yang buat Hadi tak sabar nak tahu."
Serentak mereka ketawa. Hadi duduk di sebelah Amira. Jarak mereka masih jauh.
"Hadi betul ke tak kisah Mira kerja di sana? Kita mungkin terpaksa tinggal berjauhan."
"Kan kita dah bincang. Hadi tak kisah. Nanti ada rezeki, Hadi cuba cari kerja dekat sana. Dapat juga kita tinggal bersama."
Itulah perancangan mereka. Hadi tak sampai hati nak serahkan warung cendol miliknya kepada orang lain. Kasihan Meon. Dengan hasil menjual cendol, dia dapat membantu Meon dan keluarganya.
"Mira sayang Hadi. Sayang sangat."
Hadi tercengang. Kali pertama dia mendengar gadis itu meluahkan perasaan kepadanya.
"Mira beritahu semua ni, sebab takut esok Mira tak sempat nak beritahu Hadi"
Hadi tegakkan kepala. Jantung Hadi berdegup laju. Terkejut dengan jawapan yang diberi oleh gadis itu.
"Mira cakap apa ni? Jangan buat Hadi takut."
Amira ketawa kecil.
"Tak ada apalah. Mira cuma nak luahkan perasaan Mira. Dalam tiga tahun ni, Mira nampak Hadi berusaha kumpul duit untuk perkahwinan kita. Mira terharu sangat."
Sebak dada Amira. Pernah juga dia mahu membantu Hadi tetapi lelaki itu menolak keras. Tak mungkin Amira menolak lelaki sebaik Hadi. Hadi seorang yang sangat sayangkan keluarganya. Rajin membantu penduduk kampung di sini walaupun diri sendiri serba kekurangan. Sikap rajin Hadi yang suka ke surau, membuatkan Amira terpaut dengan lelaki itu.
"Mira pun nak hadiah dari Hadi."
"Hadiah apa pula?" soal Hadi sambil tersenyum.
"Esok lepas dah kahwin, Mira nak panggil abang. Boleh?"
Hadi ketawa janggal. Selama bertahun mereka berkawan, tak pernah terfikir gelaran mereka bakal berubah. Lagipun mereka sebaya.
"Tak pelik ke panggil abang?"
"Tak. Panggilan abang tu sebagai tanda hormat Mira kepada Hadi sebagai suami."
Keduanya menunduk malu.
"Baik. Hadi tukar panggilan esok."
Hadi bangun dari pangkin. Agak lama juga mereka berbual. Dia tak sedap hati. Risau ada pula yang ternampak mereka di sini.
"Hadi masuk dulu. Esok kita jumpa."
"Baik." Amira turut berdiri sama.
Baru beberapa langkah Hadi meninggalkan Amira, tiba-tiba namanya di panggil. Dia menoleh sedikit ke belakang.
"Ucapan sayang tadi, Hadi tak nak balas ke?"
"Esok Hadi akan balas."
Panjang muncung Amira. Susah betul nak lihat lelaki itu bersikap romantik. Dia pantas meninggalkan rumah itu dengan wajah menahan malu.
Hadi tersenyum ceria. Tidak sabar menunggu detik mereka disatukan esok.
DENGAN sekali lafaz, Hadi selamat dinikahkan dengan pasangannya. Wajahnya diraup perlahan tanda bersyukur. Jelas wajah kegembiraan Mak Ani dan Hawa di hari bahagia Hadi.
Ketika Amira mencium belakang tapak tangannya, air mata Hadi menitis ke pipi. Setelah bertahun-tahun mereka berkawan, akhirnya mereka disatukan dalam ikatan yang halal.
"Terima kasih untuk hari ini. Mira tak akan lupa hari bahagia kita," kata Amira usai mencium tangan Hadi.
"Sama-sama. Insya-Allah, Hadi akan bahagiakan Mira." Dahi licin Amira dicium penuh kasih.
Mereka berdua saling bertatapan sebelum masing-masing menunduk malu. Setelah selesai urusan pernikahan, mereka semua keluar dari masjid. Tengah hari ini, akan diadakan majlis kenduri di rumah Amira. Mereka akan bersanding di sana.
Jatung Hadi bergetar saat menggenggam tangan isterinya. Mereka saling berpandangan seketika. Ini kali pertama mereka bersentuhan.
"Boleh tak Mira ikut Hadi balik?"
Hadi ketawa sambil mencuit hidung si isteri.
"Tak boleh. Mira kena balik rumah. Bersiap di sana. Nanti Hadi datang."
Amira rasa berat hati nak tinggalkan lelaki itu. Parah betul. Tak sampai sejam bergelar suami isteri, dia dah rindu. Macam manalah kalau dia dah balik ke Kuala Lumpur?
"Mira nak buat permintaan boleh?"
"Boleh. Apa dia? Cakap aje. Kalau Hadi mampu, Hadi tunaikan."
Wajah Amira berubah sayu. Perlahan-lahan jari jemari halusnya menyentuh rahang Hadi. Lelaki itu sedikit tergamam.
"Kalau ada apa-apa berlaku dengan Mira, Hadi janji akan terus bahagia. Jangan sia-siakan hidup Hadi."
Terus berubah wajah Hadi. Sejak semalam lagi sikap Amira agak pelik.
"Mira cakap apa ni? Mira nak tinggalkan Hadi ke?" Cemas Hadi.
Mereka berkahwin tak sampai sata jam. Tiba-tiba Amira sudah bercakap perkara yang bukan-bukan.
"Mira cuma nak beritahu Hadi, Mira bahagia dapat jadi isteri Hadi. Percayalah, hanya wanita yang bertuah aje dapat lelaki sebaik Hadi. Maaf kalau Mira tak dapat nak bahagiakan Hadi nanti."
"Jangan cakap macam tu. Hadi yakin kita boleh bahagia. Kalau Mira nak Hadi berubah jadi lebih baik, Hadi cuba. Lepas ni, Hadi akan cari pekerjaan yang lebih baik. Demi masa depan kita." Tekad Hadi.
Risau juga jika disebabkan keadaan ekonomi dia, membuatkan Amira tiba-tiba berasa tidak selamat.
"Mira tak kisah Hadi kerja apa pun. Asalkan Hadi tetap orang yang sama yang Mira kenal sejak di usia remaja."
Kali ini Amira memberanikan diri dengan memeluk tubuh sasa itu. Keras kejung tubuh Hadi. Dadanya berdegup kencang. Mujurlah tiada sesiapa di sini.
"Mira balik dulu. Mak dan abah dah tunggu dekat luar. Kita jumpa nanti."
Amira mendongak memandang wajah Hadi. Perlahan-lahan Hadi mengangguk. Entah kenapa, Hadi berat hati untuk meleraikan pelukan isterinya.
Sebaik sahaja dia ternampak kelibat Hawa, pantas dia jarakkan diri. Takut dikatakan gelojoh pula. Mulut Hawa, mengalahkan murai tercabut ekor.
Hadi dan Amira berjalan bersama sambil berpengangan tangan. Masing-masing hanya berdiam diri. Masih malu dengan kejadian yang berlaku sebentar tadi.
Hadi yang asyik menunduk ke jalan raya, tidak sedar ada kereta sedang memecut ke arahnya. Tiba-tiba terdengar suara Mak Ani menjerit namanya.
Belum sempat Hadi menoleh ke arah emak, tubuhnya ditolak kasar sehingga terjatuh di tepi jalan. Menyeringai wajahnya menahan rasa perit di lutut, siku dan di kepala.
Bum!
Terbeliak mata Hadi melihat tubuh Amira melambung ke udara sebelum terhempas kuat di atas jalan raya. Suasana bertukar kecoh. Suara jeritan dan tangisan orang di sekelilingnya bersatu.
Menggeletar tubuh Hadi melihat darah membuak-buak keluar dari mulut Amira. Pakaian putih isterinya sudah dicemari dengan darah. Bersusah payah Hadi mengensot tubuhnya untuk mendapatkan Amira.
"Mi... Mira..."
"A... abang."
Gugur air mata Hadi melihat keadaan Amira. Isterinya dalam keadaan nazak.
"Allah... tolong... tolong selamatkan dia!" Meraung Hadi.
Tangan Amira digenggam kemas. Makin ramai penduduk kampung yang cuba menghulurkan bantuan.
"Mengucap, nak. Mengucap."
Hampir luruh jantung Hadi mendengar kata-kata orang di sekelilingnya. Jelas kata-kata itu ditujukan kepada Amira. Perlahan-lahan Hadi dekatkan bibirnya ke telinga Amira.
"Mengucap, sayang. Ikut abang."
Lafaz kalimah dua syahadah meniti di bibir Hadi. Bibir Amira bergerak-gerak sedikit.
"Abang relakan sayang pergi. Pergilah dengan tenang. Demi Allah, abang sayangkan Mira." Bibirnya dilabuhkan di dahi isterinya.
Darah pekat banyak mengalir di kepala dan di mulut Amira. Usai berkata begitu, Amira menghembuskan nafas terakhir di sisi Hadi.
Tangisan Hadi semakin menjadi-jadi. Jeritan suaranya memenuhi perkarangan masjid. Pandangannya semakin kabur sebelum dia tidak sedarkan diri. Harapan Hadi, semoga apa yang berlaku hari ini, hanya mimpi buruk.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top