Bab 2
Beberapa tahun kemudian...
LAMA Elly menunggu kelibat seseorang. Dia tahu lelaki itu akan lalu di kawasan ini selepas bekerja di kafe. Selama mereka belajar di sini, dalam diam Elly sukakan Johan.
Dia sendiri tidak sangka akan jatuh hati terhadap lelaki itu. Mungkin sifat Johan sama seperti papa sebelum orang tua itu menduakan mama. Nafas dihembus kasar. Teringatkan papa, dia jadi mudah naik angin.
Dari jauh dia sudah ternampak kelibat Johan. Laju dia berjalan ke arah lelaki itu. Ketika itu, Johan sedang bercakap dengan seseorang. Langsung tidak sedar Elly sedang berdiri di belakangnya.
Belum sempat dia ingin menyentuh bahu Johan, dia terdengar sedikit perbualan lelaki itu. Bunyi seperti ada perkara yang serius. Hati Elly meradang saat terdengar nama gadis lain di bibir Johan.
Selepas Johan tamat berbual, lelaki itu masih berdiri kaku di situ. Elly memerhati gerak geri lelaki itu.
"An rindu sangat dengan Ara. An nak jumpa Ara."
"Siapa Ara?" Disebabkan rasa marah, tak sedar soalan itu muncul di bibirnya.
Johan tersentak. Laju dia berpaling ke belakang. Pipinya diseka dengan belakang tapak tangan.
"You menangis ke?"
Johan berdeham untuk betulkan suara.
"Awak buat apa dekat sini?"
"I cari you. You dah habis kerja?"
Johan sekadar mengangguk. Tanpa mengendahkan gadis itu, dia berlalu pergi dari kawasan itu.
"Sabarlah dulu. You ni sombong sangatlah dengan I." Lengan Johan disauk.
Terkejut Johan dengan aksi berani gadis itu. Pantas dia menarik tangannya.
"Jangan macam ni. Tak manis orang nampak."
Mencebik bibir Elly. Suka sangat jual mahal.
"I dengar you nak balik Malaysia. I ikut you balik kampung boleh?"
Langkah Johan terhenti seketika. Wajah gadis itu dipandang tak berkelip.
"Awak nak ikut saya balik kampung?"
Laju Elly mengangguk. "I nak balik Malaysia juga."
"Kenapa tak balik rumah sendiri?"
"I nak balik Malaysia juga. Tapi papa I masih di luar negara. Boleh I ikut you?." Bohong Elly.
Dia lebih selesa hidup seorang diri dari tinggal bersama papa. Peluang belajar ke luar negara diambil dengan tujuan menjauhkan diri dari orang tua itu.
Johan tarik nafas dalam-dalam. Dia bukannya bodoh untuk menangkap tingkah laku gadis itu sepanjang mereka belajar bersama. Sudah kerap Elly cuba menarik perhatiannya.
"Saya tak rasa itu rancangan yang bijak. Saya minta maaf. Saya tak nak timbul salah faham kalau awak ikut saya ke kampung."
Elly tenang mendengar jawapan Johan. Bagi Elly, dia takkan mengalah selagi ada peluang mendekati Johan.
"You tahu kan lelaki dan perempuan ni, tak boleh jadi kawan baik."
Bertaut kening Johan.
"I tak pernah anggap you kawan biasa tapi lebih kepada teman istimewa I."
Johan tergamam.
"I sukakan you." Kali ini Elly beranikan diri untuk berterus terang.
Johan pejamkan mata. Perkara inilah yang dia cuba elak dari berlaku.
"Saya sukakan orang lain."
"Siapa? Budak kampung tu ke?" Selamba sahaja Elly menghina gadis kesayangan Johan.
"Awak cakap tentang siapa ni?" Johan sudah tidak senang hati. Dia belum pernah lagi menceritakan tentang Raudah kepada sesiapa.
"Tak perlulah nak berahsia dengan I. I kalau dah sukakan sesuatu, I akan cuba dapatkan maklumat. Dan I tahu apa yang you buat sebelum datang ke sini. You tinggalkan tunang you sehari sebelum bernikah. Betul kan?"
Air muka Johan berubah mendadak.
"Awak upah orang untuk siasat saya. Tapi untuk apa?" Hampir ternaik suara Johan.
"Sebab I sukakan you."
Johan menggeleng tanda kecewa. Perempuan yang berdiri di hadapannya sekarang sangat menakutkan.
"Memang patut you tinggalkan perempuan kampung tu. Dia tak boleh salahkan you sebab tak jadi kahwin. You ada masa depan yang lebih baik."
"Cukup, Elly. Jangan awak nak hina dia. Dia tak bersalah. Kalau awak masih nak anggap saya sebagai kawan, tolong hentikan buat kerja bodoh ni. Jangan nak siasat tentang diri saya. Sampai bila-bila pun dalam hati saya hanya ada dia."
"Jangan jadi bodoh, Johan. Dah dua tahun you tak balik Malaysia. Boleh jadi dia dah lupakan you."
Terhenyak Johan. Memikirkan tentang hal itu, membuatkan dia berasa gerun.
"I takkan mengalah. The best woman will win." Pipi Johan dielus lembut sebelum dia meninggalkan lelaki itu.
Dalam hidup dia, tak ada yang mustahil. Dia akan pastikan Johan menjadi miliknya.
TAK menang tangan Hadi menyiapkan tempahan pelanggan. Hari ini cuaca panas terik. Sudah tentu warung cendol miliknya menjadi perhatian. Selepas arwah ayah meninggal, dialah yang mengendalikan warung kecil ini.
"Abang Di. Meja tiga nak empat ABC."
"Okey. Adik tolong ambil dua tin jagung dekat belakang."
Mujurlah hari ini adik bongsunya sedang bercuti. Dapatlah gadis itu membantu dia di sini. Nak harapkan dia dan Meon, memang tak menang tangan.
"Meon. Hantar meja dua." Laung Hadi.
"Kejap." Meon bergegas bersihkan meja sebelum mengambil pesanan pelanggan.
Hampir beberapa jam juga keadaan sibuk di warung Hadi. Setelah keadaan reda, Hawa duduk di sisi abangnya.
"Hari ni Abang Di bagi upah lebih."
Hadi menggeleng sambil menjentik dahi si adik.
"Dengan abang sendiri nak berkira."
"Eh, mestilah. Dalam dunia ni, mana ada kerja percuma."
Hadi rasa nak sekeh kepala si adik. Nasiblah dia hanya ada seorang adik. Kerja nak mengepau duit dia aje.
Tahun ini, Hawa sudah berada di tingkatan tiga. Memang gadis itu yang menjadi harapan keluarga. Nak harapkan dia, dah terlambat untuk dia belajar kembali.
Jujurnya Hadi sangat kasihankan Hawa. Ayah mereka meninggal dunia ketika Hawa masih bersekolah rendah. Ketika itu, Hadi berada di tingkatan lima. Kesan dari kemalangan tersebut, mengubah kehidupannya sehingga sekarang.
"Di, macam mana dengan niat baik kau tu? Mak Kiah terima tak?" Muncul Meon.
Hadi tersenyum malu. Hawa tayang wajah menyampah. Sebenarnya dia tak suka dengan keluarga Mak Kiah. Mujurlah bakal isteri abangnya baik. Tidak mahu mendengar perbualan dua lelaki itu, Hawa beredar ke belakang untuk menyiapkan kerja membasuh mangkuk.
"Cakaplah cepat."
"Alhamdulillah. Masa mak aku pergi merisik, mereka setuju. Sekarang aku kena kumpul dulu wang hantaran."
"Akhirnya. Kawan aku ni nak jadi suami orang juga." Bahu Hadi ditepuk lembut.
Hadi usap belakang lehernya. Kali ini dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami. Sudah lama dia berkawan dengan Amira. Sejak di bangku sekolah lagi mereka berkawan baik. Cuma sejak beberapa tahun yang lepas, hubungan mereka bertambah rapat.
Tidak mahu menjadi buah mulut orang kampung, Hadi mengambil langkah untuk melamar Amira. Ternyata dia tak bertepuk sebelah tangan. Walaupun mereka saling menyukai, mereka tak pernah keluar berdua.
"Aku ingat nak buat kerja part time. Nak cari duit kahwin."
"Kerja apa lagi?"
"Hari tu, aku ada tanya Pak Ajis. Dia nak cari tukang masak. Bolehlah aku kerja dekat sana waktu malam."
Meon yang mendengar rancangan Hadi, tegakkan tubuh. Dia sebenarnya kurang setuju lelaki itu bekerja terlalu kuat.
"Kau biar betul? Pagi kau dah ambil upah tebar roti canai. Tengah hari buka warung cendol ni. Malam, nak kerja kedai makan Pak Ajis pula. Bila masa kau nak rehat?"
"Insya-Allah, adanya masa rehat aku. Kau jangan risau."
Susah hati pula Meon. Hadi memang rajin orangnya. Dia takut lelaki itu dipergunakan. Pernah Hadi membuat kerja kampung tetapi hanya diberi upah yang murah.
"Aku suka tengok kau semangat nak kahwin. Cuma satu yang aku tak suka."
"Apa dia?"
"Bakal mak mentua kau tulah."
Hadi berdeham sedikit. Faham sangat apa yang ingin disampaikan oleh Meon.
"Mulut Mak Kiah tu tak ada insuran kalau nak mengata orang. Aku rasa, dia setuju kau kahwin dengan Mira tu, sebab dia ingat kau banyak duit. Yang tak boleh aku terima, ada ke minta wang hantaran 15 ribu. Dia tak fikir ke keadaan kau macam mana?"
"Tak baik bersangka buruk. Biasalah orang tua. Mak Kiah mesti nak yang terbaik untuk Mira. Insya-Allah, aku usaha cari duit tu. Aku akan buktikan yang aku bersungguh nak jadikan Mira sebagai isteri."
Mencebik bibir Meon.
"Aku harap, lepas kahwin nanti janganlah dia nak kawal hidup kau. Aku takut, dia cuma nak gunakan kau. Maklumlah, kau ni baik sangat."
Meon sekadar mengingatkan Hadi. Kawan baiknya ini terlalu baik. Orang mengata pun, tak pernah Hadi melawan. Malah Hadi selalu membantu orang di sini tanpa memikirkan keadaan dirinya terlebih dahulu.
"Kau doakan yang baik-baik untuk kami. Aku nak halalkan Mira. Bolehlah kami bercinta selepas bernikah."
Geli geleman Meon mendengarnya. Mana pernah dia nampak Hadi dan Amira keluar berdating. Macam manalah pasangan itu boleh sama-sama suka. Kata Hadi, mereka hanya berhubung melalui telefon. Itu pun hanya beberapa kali dalam seminggu.
"Kau bila lagi?" soal Hadi.
Meon ketawa kecil. Dia pandang ke arah Hawa yang masih sibuk menyusun mangkuk ke rak.
"Bakal isteri aku tu, tak cukup umur lagi. Tunggulah dia dah matang."
"Ha?" Bingung Hadi.
"Aku gurau aje. Belum ada jodoh. Kau pun tegas sikit lepas ni. Dah jadi suami orang, jangan nak berlembut sangat."
Hadi tergelak kecil. Bukan cara dia nak berkasar dengan sesiapa. Dia lebih suka berdiam diri dari mengeruhkan keadaan.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top