BAB 3

"Babe... kita buat apa kat sini?" Akhirnya Mimie buka mulut. Perut pun dah menyanyi lagu keroncong. Sudah hampir 20 minit dia menemani Juliana menanti entah apa. Apabila ditanya diam saja jawapannya. 

"Jomlah kita pergi makan." Juliana terus bangun dan kibas rumput kering yang melekat di belakang bajunya. Soalan Mimie tidak dijawab. Beg galas dipeluk erat. Khazanah Pak Cik Cinderella berada di dalam beg itu. Dia duduk di situ bersama Mimie dengan harapan lelaki itu muncul. Menyimpan harta orang lain amat membebankan otaknya. Lebih-lebih lagi harta yang sangat mahal. 

"Aku nak balik hantar beg ni kejap."

"Apa dalam beg tu?"  Soalannya tidak berjawab lagi. Juliana sudah pun berlari-lari anak pulang ke rumah. Mimie menggeleng. Kenapa dia rasa Juliana sangat pelik hari ini? Pagi tadi sahabatnya itu call kata ada hal mustahak. Sebaik habis kerja, dia terus datang ke sini. Juliana mengajaknya melepak di padang. Ingatkan nak bercerita. Tapi sepatah kata pun tak keluar dari mulut sahabatnya itu. 

Selepas beberapa ketika, Mimie tersenyum. Juliana muncul tanpa beg galasnya. Mimie segera mendapatkan Juliana. Tak sabar ingin bertanya apa yang mustahak itu. 

"Apa yang mustahak tu?" tanya Mimie. 

"Kita makan dulu. Aku dah lapar sangat ni." Juliana tak jawab soalan Mimie lagi. Dia tersenyum meleret melihat Mimie angkat kening sebelah. Faham dah, mesti Mimie sedang geram dan nak cubit-cubit dia. 

"Nak makan kat mana?" Mimie tak mahu memaksa Juliana. Tambahan pula dia sendiri juga lapar. 

"Mak Tam." Ringkas jawapan Juliana. 

"Jalan kaki ajelah. Bukan jauh sangat. Lagipun kalau bawa kereta belum tentu ada parking." 

Juliana angguk. Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke Mak Tam Corner. Kedai makan yang terletak di bawah LRT. Tempat makan kegemaran Juliana sebenarnya. Sepanjang perjalanan tak banyak yang mereka bualkan. Panjang lebar soalan yang ditanya Mimie hanya sepatah saja jawapan Juliana. Akhirnya Mimie malas bertanya. Biarlah Juliana yang buka mulut. 

"Kau nak makan apa?" tanya Mimie sambil membaca menu. 

"Kau tolong order yang biasa aku makan. Aku nak pergi toilet." Juliana tolak kerusi dan bangun. 

Langkahnya terhenti apabila melihat seorang lelaki berjalan perlahan menuju ke arahnya. Saat lelaki itu berjalan suasana menjadi senyap seketika. Tiada sebarang bunyi yang Juliana dengar. Pak Cik Cinderella muncul dengan penuh bergaya. Masih dengan imej yang sama seperti semalam, mengenakan sut berwarna putih. 

Juliana jadi gugup. Macam mana lelaki itu tahu dia berada di sini? Langkah lelaki itu semakin dekat menghampirinya. Jantung sudah mula bergerak laju. Pandangan mata mereka bertemu. Juliana sentuh dada. Ohmai... Pak Cik Cinderella memang handsome! Lagi dua langkah mereka akan bertembung. Juliana pejam mata. Menanti mulut laser Pak Cik Cinderella. 

"Babe... kata nak pergi toilet. Kenapa kau berdiri kat sini lagi?" 

Juliana terasa bajunya ditarik. Matanya dibuka. Dia menoleh ke belakang. Mimie yang tarik bajunya dengan seorang pelayan lelaki berdiri di sebelahnya menunggu order. 

Juliana tersengih sambil angkat sebelah tangan. Drama apa pula yang dia buat di sini? Dia toleh kiri dan kanan. Mana pula Pak Cik Cinderella tadi?

"Pergilah toilet cepat... karang terkeluar kat sini, malu pulak." 

Merah padam muka Juliana. Malu kepada pelayan lelaki yang sedang ambil order. Mimie ni pun satu. Ketuk kepala baru tahu. Kat sini juga nak mengusiknya. Dahlah jantungnya belum tenang lagi. Tapi dia pelik. Dia pasti yang lelaki itu memang berjalan di depannya tadi. Atau... memang betul dia sedang berhalusinasi? 

"Babe!" jerit Mimie. 

"Okey... aku pergi." Juliana bergegas ke tandas. Boleh pula dia terlupa hendak ke tandas. Kelibat Pak Cik Cinderella buat rasa nak terkucilnya hilang. 

Selepas menunaikan hajatnya, Juliana terus kembali ke meja makan. Terbuntang matanya sebaik sahaja punggungnya mencecah kerusi. Sekali lagi dia terkesima. Pak Cik Cinderella muncul penuh bergaya lalu hilang bak angin yang bertiup. 

Mata Juliana terkelip-kelip. Makanan yang telah terhidang di atas meja ditatap penuh berselera. Pandangannya dialih ke hadapan pula. Dia mengecilkan mata. Kelibat lelaki yang sedang membelek menu di meja belakang ditilik lama. Betul-betul menghadapnya. Dan sekali lagi jantungnya bergerak laju. 

"Babe... makan cepat." Juliana angguk. Sekali-sekala dia menjeling Pak Cik Cinderella. Nampak tekun membelek telefon. Serius mukanya. Tapi tetap nampak hebat. Sekali-sekala jari telunjuk lelaki itu menolak cermin matanya naik ke atas. Tapi... kenapa Pak Cik Cinderella pakai baju yang sama macam semalam? Betul ke dia ni manusia biasa bukan makhluk alam ghaib? Biasanya dia tengok TV makhluk alam lain aje pakai baju serba putih. Tapi takkan makhluk alam lain minat Jimmy Choo kut? 

"Hesy!" Juliana geleng kepala. Pening sebab banyak sangat fikir. Dia tak perasan renungan tajam Mimie. 

"Puteri Juliana Sari binti Jalil... berbuih-buih mulut aku suruh kau makan. Tak berusik langsung. Kau ni dah kenapa?" Mimie tinggikan suara. Tak sabar hatinya melihat Juliana yang asyik hanyut. Dipanggil tak menyahut. Ditegur pun buat tak tahu. Akhirnya kena jerit. 

Juliana tunduk. Aduh... sibuk sangat melayan mata nakal, akhirnya dia kena jerit dengan Mimie. Pengunjung-pengunjung di meja sebelah turut terkejut dan memandang meja mereka. Tak terkecuali Pak Cik Cinderella yang sedang tekun membelek telefon bimbitnya. 

Pandangan mata mereka berlaga. Buat seketika Juliana pegun, tapi Pak Cik Cinderella kembali melihat telefonnya. Juliana menjerit dalam hati. Takkan dah lupa kut? Baru semalam mereka bergaduh. Lelaki itu dah lupakan dia ke? Apa Puteri Juliana Sari binti Jalil ni tak cukup cantik untuk lekat dalam memori ke? 

Juliana ambil garpu dan cucuk pasta di pinggan dengan kasar. Tiba-tiba dia geram dan marah kerana lelaki itu tidak ingat dia. 

"Kau makan pasta, bukan chicken chop. Yang kau nak cucuk-cucuk tu kenapa? Sebenarnya kan, aku rasa kau pelik sangat hari ni." Mimie letakkan sudu dan garpu. Diletakkan kedua belah tangan ke atas meja dan memerhatikan Juliana dengan pandangan tajam. 

"Kau..." 

"Mama aku cakap, kalau tengah makan kena tutup mulut. Nanti lalat masuk." Juliana terus potong kata-kata Mimie dengan ugutan. 

Mimie tutup mulut dan teruskan makan. Dia nampak Juliana makan dengan laju. Hatinya jadi tak senang. Apa kena dengan Juliana hari ini? Semua serba pelik. Biarlah, asalkan Juliana bahagia. Kata Auntie Shida, Juliana tengah darah gemuruh. 

Juliana perasan pandangan pelik Mimie. Dia buat tak tahu. Sekali-sekala dia menjeling ke arah belakang Mimie. Pak Cik Cinderella makan dim sum. Comelnya dia makan pakai chopstick. Sekali telan sebiji dim sum, kembung pipi lelaki itu. Juliana tahan gelak. Anak siapalah agaknya handsome sangat ni? 

Tret! Tret! Tret! 

Vivo V5 di dalam beg bergegar. Memandangkan makanannya sudah habis, dikeluarkan telefon. Memang pantang dia melayan telefon semasa makan. Ikon kunci ditekan. Jari dilarikan ke atas dan ke bawah. Ternaik sebelah kening Juliana membaca pesanan WhatsApp yang diterima.

'Assalamualaikum cik tunang. Tengah buat apa tu?'

Juliana angkat kepala. Matanya tiba-tiba bertemu dengan mata Pak Cik Cinderella. Mereka sama-sama sedang menghadap handphone rupanya. Juliana jatuhkan muka. Jari-jemari lincah menari di permukaan telefon.

'Waalaikumussalam encik tunang. Saya tengah makan.'

"Kau mesej dengan siapa?" tanya Mimie. 

"Tunang aku," jawab Juliana. 

"What??? Bukan ke..." 

Juliana angkat kening kedua-dua belah. Bibir menguntum senyum. Dia dah jangka Mimie akan terkejut. Dia pun terkejut dengan dirinya sendiri. 

"Bukan ke... eh, apa aku cakap ni?" Mimie seolah-olah kehilangan kosa kata. Terkejut teramat sangat. Adakah Juliana hilang akal atau memang sudah berubah? 

"Mama aku merayu-rayu... mama cakap Anaqie nak kenal sangat. Aku izinkanlah mama aku untuk bagi Anaqie nombor phone aku. Jangan risau... kau tahu kan gambar profile WhatsApp aku gambar bunga matahari. Bermakna dia takkan tahu rupa aku. WhatsApp dia pun ada gambar kereta aje," terang Juliana. Geram pula dengan tindak balas Mimie. Takkan sebab dia bermesej dengan encik tunang sampai boleh buat sahabatnya itu dapat short term memory loss? 

"Kalau macam tu baguslah. Sekurang-kurangnya kau dengan dia tak kekok lepas nikah nanti." Mimie menarik nafas lega. Alhamdulillah, Juliana sudah mula membuka hatinya untuk Anaqie. 

"Bila JJ balik dari kursus?" tanya Mimie lagi. "Lusa agaknya. Dah, jom balik." Juliana sudah angkat punggung. Dia lihat Pak Cik Cinderella sudah bangun dan berjalan melepasi mereka. 

"Aku nak makan keropok lekor... kejaplah..." rengek Mimie. Datang Mak Tam tak sah kalau tak makan keropok lekor kesukaannya. 

"Takpe, lain kali aje makan. Aku ada benda nak cerita ni." Juliana tarik tangan Mimie. Sebenarnya dia nak tengok Pak Cik Cinderella dengan lebih dekat. Tapi... eh, mana pula pak cik ni? Bagaikan ghaib dibawa angin lalu lagi. 

Tiba-tiba Juliana kecut perut. Ini hantu ke orang? Datang ibarat guruh, hilang ibarat angin bertiup. Seram!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top