BAB 2
"Aku dah sewel... aku dah sewel!" Juliana ulang berkali-kali perkataan itu sambil bergolek-golek di atas katil. Memang dia sewel sebab asyik teringatkan tuan punya kasut. Kasut Cinderella tersimpan elok di dalam laci yang berkunci. Takut kalau tiba-tiba mama masuk bilik dan nampak kasut tu, apa pula dia nak jawab.
"Jangan jatuh cinta Ju. Kau dah ada tunang... lagi dua minggu nak kahwin." Juliana bergolek-golek lagi. Perasaannya kusut sangat sekarang. Dia berhenti bergolek. Kepala dijuntaikan ke bawah di birai katil. Rambut panjangnya terurai menyentuh lantai. Kaki dirapatkan ke dinding.
"Kau tunang orang Juliana... lupakan dia. Lupakan dia." Juliana pejam mata. Cuba buang imej Pak Cik Cinderella yang bertandang. Namun dia gagal, senyuman dan renungan tajam Pak Cik Cinderella menari-nari di depannya.
"Aku dah kena jampi ke apa ni? Aduh... kenapa asyik ingat muka dia!" Juliana menekup wajahnya dengan kedua belah tangan. Cuba menyingkirkan wajah tampan pemuda itu.
"Juju..." Pintu terbuka. Juliana lihat kaki mamanya. Dia berpusing dan terus bangkit. Dah sah dia akan kena bebel dengan mama sekejap lagi. Buat perangai gila waktu malam macam ni. "Ya Allah... kenapa ni?" Puan Shida terkejut melihat keadaan Juliana. Dia melabuhkan punggung di sebelah anaknya. Risau pula lihat Juliana tiba-tiba diam. Takkan lagi dua minggu nak menikah baru sekarang nak buat hal?
"Senaman malam," jawab Juliana selamba.
"Mama faham... Juju mesti takut nak bergelar isteri, kan? Kalau ada apa-apa, luahkan kat mama. I'm not just your mother but your friend." Puan Shida mengusap rambut Juliana. Anak rambut yang terjuntai diselitkan ke belakang telinga.
"Mungkin..." jawab Juliana ringkas. Sebenarnya dia resah kerana hatinya sudah mula dicuri.
"Memang semua pengantin baru rasa macam ni. Darah gemuruh aje." Juliana angguk. Mengiakan saja kata-kata mamanya. Tak mungkin dia akan beritahu mama hatinya asyik memikirkan lelaki lain. Ini akan membunuh keterujaan mamanya untuk menyambut menantu.
"Mama minta maaf..." Puan Shida tiba-tiba berasa sebak. Melepaskan Juliana menjadi isteri orang bukan sesuatu yang mudah. Juliana yang manja dan suka mengada-ada bakal menjadi isteri. Entah bagaimana anaknya ini akan menyesuaikan diri nanti.
"Mama..." Juliana bersuara.
"Mama terpaksa minta Juju berkorban demi arwah papa."
"Mama... semua ni kehendak Juju juga. Sebagai anak, Juju mahu arwah papa tenang di akhir hayatnya. Bila JJ tolak cadangan papa, Juju tahu ini peluang Juju untuk berbakti pada arwah papa. Mama jangan salahkan diri sendiri. Mungkin ini jodoh Juju. Tak payah susah-susah nak cari. Jodoh datang sendiri." Juliana memeluk mamanya.
Puan Shida membalas pelukan puterinya. Untuk seketika mereka berpelukan. Bila Juliana sudah jadi isteri orang, mungkin mereka tak boleh berbuat begitu selalu. Anaknya akan berada dalam pelukan orang lain. Puan Shida melepaskan pelukannya. Juliana mengusap air mata di pipi mamanya.
"Juju tak nak jumpa tunang Juju ke?" tanya Puan Shida. Itu sebenarnya tujuannya masuk ke bilik Juliana. Puas dipujuk anaknya untuk bertemu dengan tunangan anaknya itu, tetap juga Juliana tak mahu.
"Jumpa masa nikah ajelah. Lagi 2 minggu, kan." Juliana menolak. Bukan dia tak tahu, tunangnya Anaqie baru sahaja tamat pengajian. Baru 2 bulan pulang dari Korea. Dia menolak untuk mengetahui semua soal tunangnya. Apa pekerjaan tunangnya, dia pun tak tahu. Kata mama, kerja tunangnya berkaitan komputer dan IT.
Dia langsung tak kenal keluarga angkat arwah papa. Setahunya sejak kecil papanya tiada sesiapa. Tiba-tiba muncul pesanan daripada arwah ibu angkat papa yang mahukan tali persaudaraan bersambung kembali. Akhirnya papa dan adik-adik angkatnya berpakat untuk menjodohkan Jeffri dengan Mellisa. Namun Jeffri menolak dan enggan menunaikan permintaan arwah papa. Akibat penolakan Jeffri, arwah papa jatuh sakit.
Mama yang begitu risaukan papa meminta dia menggantikan tempat Jeffri dan berkahwin dengan Anaqie, anak adik angkat papa yang bongsu. Tanpa banyak soal, dia bersetuju. Anaqie juga bersetuju. Papa gembira sangat. Sebaik sahaja mereka bertunang, papa menghembuskan nafas terakhirnya.
"Dia handsome tau." Puan Shida memancing minat Juliana. Permintaan bakal menantu sukar untuk dia tolak. Awal-awal lagi Anaqie maklum akan permintaan Juliana. Namun, entah mengapa tiba-tiba bakal menantunya mahu berjumpa dengan Juliana. Takut kalau mereka melakukan kesilapan sebelum berkahwin.
"Takpe, lepas nikah tiap-tiap hari jumpa." Juliana tetap menolak. Biarlah mereka kenal lepas bernikah.
"Kalau dia nak WhatsApp Juju, boleh tak? Dia minta nombor telefon Juju."
Juliana diam. Bersungguh-sungguh betul bakal suaminya. Mama pun begitu bersungguh-sungguh meminta bagi pihak bakal menantu. Akhirnya, untuk tidak mahu mengecewakan mama Juliana mengangguk juga.
"Terima kasih sayang..." Puan Shida mencium pipi Juliana kiri dan kanan. Dia begitu gembira apabila Juliana bersetuju. Tak perlulah diberi berita hampa kepada Anaqie. "Juju sayang mama."
"Kalau macam tu, pergi tidur. Bakal pengantin mesti cukup rehat."
Juliana angguk. Dia bangun untuk mengiringi mamanya keluar dari bilik. Selepas Puan Shida keluar, cepat-cepat dia mengunci pintu. Disandarkan badannya pada pintu. Dia tak mahu jumpa encik tunang kerana takut hatinya berubah. Namun sekarang pun, hatinya sudah mula goyah dengan Pak Cik Cinderella. Inikah namanya cinta pandang pertama?
Juliana bergerak ke meja solek. Ditarik kerusi dan duduk. Seterusnya diambil anak kunci dari dalam cawan bercorak bunga matahari yang terletak di atas meja. Anak kunci dimasukkan ke lubang kunci dan dipulas. Laci ditarik perlahan. Kasut Cinderella dikeluarkan dan diletakkan ke atas meja. Lampu meja dihidupkan. Sengaja mahu menikmati kilauan batu kristal Swarovski.
"Cantik... tuan kau pun handsome." Juliana seolah-olah berbicara dengan kasut di hadapannya. Sayangnya hanya ada sebelah sahaja. Kalau ada sepasang kan bagus. Dia akan jadi manusia yang paling gembira. Memang bertuah siapa yang dapat kasut Cinderella dan juga tuan kasut ini sekali. Mesti Pak Cik Cinderella seorang yang penyayang. Membelikan sesuatu yang begitu mahal untuk orang yang disayangi.
"Tapi... kenapa tuan kau tak perasan dia bawa sebelah kasut aje?" Juliana terfikir sesuatu. Kasut ini begitu mahal, takkan Pak Cik Cinderella tak perasan dia cuma pegang sebelah? Atau memang Pak Cik Cinderella tak perasan sebab mulutnya cabul sangat paksa lelaki itu jadi pakwenya?
"Kau memang sewel Puteri Juliana Jalil." Juliana jatuhkan muka ke atas meja.
"Ini semua sebab kau, kasut! Cantik sangat sampai aku terpegang, terusik, terpakai... Hesy! Boleh jadi gila kalau terus macam ni." Fikiran Juliana tambah kusut apabila asyik terbayangkan Pak Cik Cinderella.
"Dalam cerita Cinderella, putera raja menjelajah ke seluruh pelosok negara untuk mencari pemilik kasut. Takkan aku kena cari Pak Cik Cinderella ni untuk pulangkan kasut dia? Mana aku nak cari dia? Kuala Lumpur ni bukannya kecik."
Tret! Tret! Tret! Telefon Vivo V5 milik Juliana yang terletak di sebelah kasut Cinderella bergetar.
Juliana jeling jam di dinding. Tepat jam 12 tengah malam. Siapa pula yang menghubunginya lewat malam begini? Dicapai telefon. Ada satu pesanan WhatsApp dari nombor yang tak dikenali. Tak ada gambar profile pun.
'Assalamualaikum cik tunang.'
Terkaku seketika mendapat pesanan itu. Pertama kali dia dihubungi oleh encik tunang selepas hampir setahun pertunangan mereka. Juliana masih berfikir sama ada mahu membalasnya ataupun tidak. Tidak dilayan, encik tunang pasti sudah terlihat double blue tick. Nampak sangat tak beradab sopan pula kalau tak dibalas.
'Waalaikumussalam. Saya dah nak terlelap ni. Besok aje kita chat, okey. Assalamualaikum.'
Kasut Cinderella disimpan kembali ke dalam laci. Setelah laci dikunci, cepat-cepat Juliana menuju ke katil dan tarik selimut. Dia terdengar telefon berbunyi lagi. Mungkin daripada encik tunang. Besok sajalah dia baca.
'Waalaikumsalam.'
Agak lama Anaqie menunggu double blue tick, namun tak muncul-muncul. Dia yakin yang cik tunang mungkin sudah tertidur. Diletakkan telefon ke kepala katil. Setelah sekian lama memujuk bakal ibu mentua, barulah kali ini dia dapat berhubungan dengan tunangnya. Entah apa peraturan pelik yang tunangnya berikan. Cik tunang hanya mahu berjumpa selepas bernikah. Dia pula mahu mereka berkenal-kenal sebelum kahwin.
Anaqie tarik laptop. Di skrin terpapar Facebook cik tunang.
"Puteri Juliana Sari binti Jalil... awak cantik sebenarnya. Tapi kenapa awak sombong sangat?" Anaqie tenung gambar profil cik tunang. Juliana yang mengenakan baju kurung berwarna pink sedang tersenyum manis. Dari apa yang dia tahu, gambar itu diambil semasa hari raya yang lepas.
Dari pengamatannya Juliana berwajah agak sederhana. Namun senyuman gadis itu yang begitu memikat buat dia tak keruan. Mereka selalu berjumpa semasa remaja. Tapi Juliana tak pernah mengenalinya. Dia dan Juliana sama-sama mewakili sekolah masing-masing dalam acara olahraga. Dia minat nak kenal dengan Juliana tapi tak pernah berkesempatan.
Saat mama tunjuk gambar Juliana dan mahu menjodohkan mereka, dia rasa bulan jatuh ke riba. Memang dia berterima kasih kepada abang Juliana yang menolak untuk bertunang dengan Mellisa. Dari saat itu dia tak sabar-sabar untuk bergelar suami kepada Juliana.
"Agaknya... lepas nikah nanti awak sombong tak?"
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top