Bab 1

Juliana berlari-lari anak mengelilingi padang mini berhampiran rumahnya. Memang rutin hariannya berjogging di padang itu setiap hari. Kali ini masuk pusingan yang kedua, matanya tertancap ke arah sesuatu yang berkilauan di tangga kecil yang menghubungi taman mini dan taman permainan. Matahari petang masih bersinar megah membuatkan objek itu berkilauan.

Dia semakin dekat dengan tangga. Objek berkilau tadi merupakan sepasang kasut. Juliana buat-buat tak nampak dan terus berlari. Tapi... tiba-tiba lariannya terhenti.

"OMG... Ari Jimmy Choo Cinderella Edit!" Juliana berteriak kecil. Orang gila manakah yang tertinggal kasut itu. Dia baru perasan label yang terlekat pada kasut tu.

Juliana pandang kiri dan kanan. Tak ada sesiapa di situ. Juliana lari mengundur perlahan-lahan menghampiri tangga. Sampai di tangga dia sekali lagi menoleh kiri dan kanan. Dia berlari setempat seketika sebelum dia pasti memang tiada sesiapa di situ. Tak taulah kalau ada makhluk yang tak terlihat.

"Aduh mak kau jatuh..." Juliana buat-buat jatuh terduduk di sebelah kasut itu. Matanya masih lagi meliar melihat kiri dan kanan.

Setelah betul-betul pasti tiada sesiapa, dia beranikan diri sentuh kasut yang berharga ribuan pound sterling itu. Dia ambil sebelah kasut dan belek dengan teliti. Kasut di dekatkan dengan matanya untuk melihat semua perincian. Taburan Kristal Swarovski menambahkan keindahan kasut. Dia hampir pengsan di situ.

"Ya Allah... betul ke ni kasut yang selalu aku tengok kat internet. Betul ke ni... bukan mimpi ke? Kata orang kalau nak tau mimpi atau tak kena cubit pipi sendiri." Pantas Juliana cubit pipinya sendiri.

"Auch sakit..." Juliana menggosok pipinya sendiri yang sakit. Kesakitan itu ada, maka ini semua bukan mimpi. Kasut Cinderella Jimmy Choo memang ada depan mata dia. Juliana sangat gembira sampai dipeluknya kasut itu.

"Saiz akulah... baik aku try dulu. Tapi kalau fikir-fikir balik takkan ada orang sengaja tertinggal kasut ni. Aku tak tau pun ada jiran yang super kaya mampu beli kasut ni. Kalaupun pemilik kasut ni keturunan SM Naza tu, takkan kasut secantik ni dibuang." Juliana membebel seorang diri sambil tangannya menanggalkan kasut jogging di kaki.

"Rezeki kaulah Juliana dapat pakai kasut ni... ooh seronoknya." Kasut Cinderella sudah pun tersarung di kaki. Juliana lunjurkan kedua belah kaki. Senyum meleret terukir sejak tadi. Terasa diri tu jutawan kejap. Tiba-tiba dia terfikir untuk menangkap gambar.

"Alahh... telefon tak bawak pulak." Juliana raba kocek seluarnya. Rasa kecewa kerana dia terlupa membawa telefon. Kalau tak bolehlah dia show off dengan kasut mahal yang entah sapa punya tu. Tuan punya kasut ni layak digelar gila. Gila sebab terlupa atau terbuang kasut itu. Juliana gelak jahat.

"Siapalah tuan kau kasut... kenapa kasut secantik dan seindah ini jadi mangsa lupa... apa aku kisah kau kena buang atau dilupakan. Lepas ni aku hantar kau pergi balai polis. Takkan nak ambik, kan. Nanti kena cap mencuri pulak. Harga kau ni boleh buat wang muka beli kereta Kancil." Juliana membebel lagi sambil mata melihat kaki.

Kasut cantik dan mahal menambahkan elegen si pemakai, walaupun hanya berpakaian sukan. Sekali lagi Juliana gelak nakal. Hatinya terlalu gembira sekarang. Dapat tengok live pun dia rasa macam dah gila. Dapat pakai memang rasa nak pengsan. Ohmai... boleh tak dibuat-buat pengsan dan bawak kasut ni balik.

"Hey... pencuri kasut!"

"Oh mak aku lawa!" Juliana terkejut bila disergah dari belakang. Dia menoleh. Ohmai... putera dari kerajaan mana ni. Sangat lawa dengan sut serba putih. Mata Juliana tak lepas dari memerhatikan wajah jejaka yang menyergahnya tadi. Pencuri kasut pun pencuri kasutlah... eh!

"Saya bukan pencurilah!" Juliana sangkal tuduhan lelaki itu yang sudah pun berdiri sambil menyilangkan tangan di depannya. Sekali lagi Juliana terpaku. Sah memang putera raja. Sangat kacak... sangat bergaya... sangat... semuanya sangat!

"Takkan kasut tu boleh berdiri sendiri tersarung kat kaki awak. Atau awak ada kuasa sakti boleh seru kasut tu tersarung sendiri. Pencuri mana nak mengaku mencuri. Kasut tu tak akan muncul secara tiba-tiba dari tanah."

Mata Juliana terkebil-kebil mendengar bebelan lelaki tu. Juliana rasa nak bangun dan cubit-cubit je bibir merah lelaki tu. Mulut tak ada insurans betul. Nasib baik dia fikirkan kasut lawanya. Kalau tak memang dia cubit je.

"Masih tak nak mengaku ke?" lelaki itu mendekatkan wajahnya ke arah Juliana. Betul-betul dekat hingga Juliana terdengar desahan nafas lelaki itu. Lelaki itu angkat kening sekilas. Di sebalik cermin mata lelaki itu, Juliana dapat rasakan pandangan yang menusuk tangkai hatinya.

"Saya tak curi..." Juliana tolak badan lelaki itu dengan jari. Perlahan-lahan. Namun lelaki itu tetap dengan posisi tadi.

"Mengaku ajelah pencuri." Tersungging sekilas senyum di bibir lelaki itu. Juliana jadi naik angin.

"Tak ada bukti ni kasut awak. Lagipun ni kasut perempuan bukan kasut lelaki. Takkan awak pakai kasut lelaki kot!" Juliana beranikan diri melawan pandangan mata dengan lelaki itu. Ini Juliana Jalil, pantang anak pak Jalil dituduh pencuri tanpa bukti.

Juliana pandang tepat pada anak mata lelaki itu. Namun akhirnya dia yang jadi gugup. Jantungnya tiba-tiba berdegup lebih laju. Pandangan lelaki itu ibarat sebilah anak panah yang meluncur tepat ke dalam hatinya. Juliana alihkan pandangan. Terlupa seketika dia tunangan orang.

"Takut..." Lelaki itu tersenyum sinis sambil menarik badannya.

"Buktinya kasut tu kat kaki awak. Lainlah kalau awak boleh bagitau berapa harga kasut tu dan beli kat mana?" tambah lelaki itu. Senyum nakal masih tersungging di bibir lelaki itu.

Juliana hanya mampu terdiam. Berusaha keras memujuk jantungnya untuk tenang. Buat seketika dia tak mampu berbalas kata dengan lelaki itu. Entah putera raja mana datang terus sergah dia. Nama pun dia tak tahu. Dahlah pakai sut petang-petang macam ni. Mungkin baru balik pejabat.

"Tak ada bukti so kasut ni saya punya." Lelaki tadi bertinggung di hadapan Juliana. Sebelah kaki Juliana diangkat dengan kasar. Kasut Ari Jimmy Choo sudah pun tercabut.

Dada Juliana berombak laju. Kalaulah ini cerita Cinderella, pastilah tuan putera yang sedang menyarungkan kasut kaca. Tapi dia terbalik pulak pakcik Cinderella ni cabut kasut dia. Padan muka kena panggil pakcik. Memang layak pun sesuai dengan mulut takde insurans dia. Boleh geng Kak Limah dan Kak Kiah buat ketupat.

"Hey... tak baik sentuh anak dara orang." Juliana kembali ke dunia nyata. Tak habis-habis dengan drama Cinderella dia.

"Saya tak sentuh. Saya cuma ambik hak saya." Lelaki itu terus bangun. Sebelah kasut ada di tangan kanannya. Juliana bertindak mencabut sebelah lagi dan terus berdiri berhadapan lelaki itu.

"Pencabul yang tak mengaku mencabul. Tak baik sentuh aurat bukan muhrim!" Juliana bertindak berani memarahi Pakcik Cinderella. Kesian pulak muka hensem macam tu panggil pakcik. Gasaklah siapa suruh membebel macam orang tua.

"Awak yang bersalah, saya pulak kena tuduh... lagipun awak kan pakai stoking tu."

Juliana tak dengar ayat seterusnya. Sibuk menilik muka pakcik cinderalla. Muka bersih comel. Tak ada sebarang cacat cela. Ni mesti pakai SK2 ni. Bibir merah macam pakai lipstik. Mata hitam bulat penuh. Cantik sangat. Edward Cullen pun kalah. Song Jong Ki dah terkeluar senarai sebab dah nak kahwin. Alangkah indahnya hidup kalau dia bangun tidur je boleh nampak rupa hensem ni.

"Ni apahal pulak ni main tilik-tilik orang. Awak ni memang betul tak ada kesedaran sivik. Punyalah berbuih saya cakap tapi satu pun awak tak dengar. Pencuri kasut... dengar tak!"

Juliana tersentak. Dia khayal lagi ke? Ni semua gara-gara pakcik ni. Juliana sepetkan mata. Dia dipanggil pencuri lagi.

"Ni semua salah awaklah... hensem sangat sampai saya hilang tumpuan. Deria penglihatan saya lebih tajam dari deria pendengaran sebab asyik tengok muka awak. Sekarang ni bukan cinta itu buta... jadi cinta itu pekak. Rupa hensem awak tu buat mata saya terlebih celik dan buat telinga saya tuli. Lebih baik awak menghilang sebelum saya paksa awak jadi pakwe saya."

Pandangan mereka berlaga. Juliana perasan lelaki itu seakan terkejut dan lontarkan pandangan pelik. Juliana tutup mulut sendiri. Rasanya dalam otak dia nak cakap lain tapi kenapa mulutnya cakap lain. Patutlah lelaki itu seakan terkejut.

"Sewel." Hanya sepatah perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu sebelum berlalu dari situ.

Juliana sengih. Padan muka. Jangan fikir mudah nak buli Juliana Jalil. Silap besarlah lelaki tu. Tapi macam mana kalau betul ini kasut lelaki tadi. Dia memang dah bersalah sebab cuba try test kasut orang tanpa izin. Juliana memerhatikan kelibat lelaki tadi berjalan hingga ke hujung padang dengan sebelah kasut di tangan. Sebelah...

"Pakcik Cinderella... kasut awak sebelah lagi ni tak nak ke?" Juliana menjerit sekuat hati. Tapi jeritannya tak guna sebab lelaki tadi dah hilang.

"Cinderella lari tinggalkan kasut sebelah untuk putera cari. Tapi aku terbalik pulak. Putera tinggalkan kasut sebelah... patut ke kita cari putera tu?" Juliana bercakap sendirian sambil kasut di tangan dia renung. Bagaikan terlihat rupa lelaki tadi pada kasut.

"Memang betul aku sewel."

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top