🔮 Bab 19

-Raja Andhika Sadewa-

"Beta seru namamu, dikaulah permaisuriku."💍

Bella POV

Aku menguak mata perlahan-lahan. Di sampingku kosong, tiada baginda. Mana baginda pergi? Kedengaran bunyi sesuatu yang sedang berlegar di dalam bilik. Mata terpandang baginda yang sedang ke hulur ke hilir bersiap. Tiada yang membantu. Iya lah kan, kami kan sedang menyamar, mana la ada suri-suri istana. Namun aku dapat lihat baginda begitu cekap menguruskan diri sendiri.

"Selamat matahari terbit wahai permaisuri beta."

Tak perlu menoleh pun baginda sudah tahu aku sudah bangun. Barangkali menyedari dirinya sememangnya diperhatikan oleh seseorang.

"Selamat pagi, tuanku."

"Tuanku mahu ke mana?"

Baginda menoleh menghadapku.

"Ke gudang pesakit."

"Oh..." Tak tanya aku nak ikut ke tak pun. Tak boleh jadi ni. Segera aku turun dari katil lalu menghampiri baginda.

"Saya nak ikut."

"Tidak bisa Bella, bahaya."

"Habis tuanku? Tidak bahaya?"

"Beta kebal daripada sebarang jangkitan."

"Betul ke?" Aku membuat reaksi tidak percaya. Baginda tersenyum lucu memandangku.

"Benar."

"Nak ikut juga. Saya janji saya duduk jauh-jauh. Saya cuma bosan duduk sorang-sorang di sini."

"Bella, tubuh Bella tidak terkesan dengan kuasa sakti setiap uguwan di sini termasuk beta sendiri. Beta tidak dapat melindungi Bella dengan kuasa beta, andai Bella dijangkiti wabak tersebut. Beta lagi gundah andai terjadi sesuatu kepada Bella kerana ubat penyakit aneh ini pun masih belum ditemui penawarnya."

"Bagaimana pula dengan uguwan-uguwan istana yang membantu tuanku?"

"Mereka juga ada jampi yang melindungi mereka daripada jangkitan. Usah dirisau."

"Habis itu, mengapa rakyat di kota ini tidak mampu melindungi diri mereka daripada dijangkiti juga? Bukankah mereka juga uguwan sakti?"

"Tidak semua uguwan sakti ada kuasa yang sama. Setiap uguwan kesaktian mereka berbeza-beza."

"Jadi mereka juga tidak semua yang ada kuasa melindungi diri daripada penyakit?"

"Hampir kesemua di sini tiada." Tenang baginda menjawab.

"Tuanku. Izinkanlah saya ikut." Pantas aku merapati baginda dan merangkul lengan baginda.

"Saya janji, saya duduk jauh-jauh. Saya tak masuk ke gudang itu pun." ujarku sambil mengangkat tangan ke sisi seperti berikrar.

"Bella sungguh degil."

Tidak semena-mena wajahku bertukar cemberut mendengar kenyataan baginda. Degil sangat ke aku ni?

"Baiklah, Bella bisa ikut tapi jangan buat beta risau,ya?"

Laju aku mengangguk.

"Baik!"

↪↪↩↩

Kami sudah sampai di gudang pesakit. Aku memerhati di sekitar luar gudang pesakit ini. Adakah tempat ini sebenarnya hospital? Besar juga ya gudang ni. Gudang yang dibina daripada khemah besar, nampak begitu kukuh. Sekelilingnya bercahaya dengan obor-obor yang kelihatan seperti magik. Siang-siang pun nyalakan obor-obor ya?

"Saudara Sadewa, syukur saudara segera kembali ke kota ini. Hamba begitu tertunggu-tunggu kemunculan saudara." seuguwan lelaki menyapa Raja Andhika. Aku di belakang baginda hanya memerhati. Uguwan-uguwan istana juga berlagak biasa, tiada suasana formal seperti yang termaktub dalam protokol. Pasti uguwan lelaki yang sedang menegur baginda tidak tahu siapa baginda sebenarnya.

"Ya, Temenggung Pangah, hamba sudah menyelesaikan urusan di kampung hamba, jadi hamba datang kemari untuk membantu apa yang hamba bisa."

"Hamba dengar tuan hamba ada membantu salah seuguwan penduduk kota Titran semalam. Terima kasih hamba ucapkan. Jika tiada pertolongan tuan hamba, entah apa yang terjadi kepadanya."

"Eh, tidak mengapa tuan hamba. Usah berterima kasih kepada hamba, lagipula yang berusaha merawat si gerangan penduduk yang sakit itu ialah saudara hamba ini. Dia digelar pawang Maudu di perkampungan hamba. Sangat handal mengubati penyakit cuma itulah pawang Maudu juga rungsing kerana tidak berjaya merawat sepenuhnya penyakit si gerangan penduduk tuan hamba semalam." ujar Raja Andhika dengan penuh rendah diri.

Aku yang memerhati dan mendengar dekat belakang ini hanya mampu menahan ketawa. Pandai sungguh tuanku berlakon ya.

"Tidaklah, hamba biasa-biasa sahaja sebenarnya. Saudara Sadewa saja yang terlebih memuji. Benar, Temenggung Pangah, hamba juga rungsing dengan penyakit kulit aneh yang menyerang penduduk-penduduk di kota ini. Jadi, rasanya eloklah hamba menyiasat dan mengenali penyakit ini dengan lebih lagi agar hamba bisa membuat penawarnya." ujar pawang Maudu pula.

"Baguslah begitu, pawang Maudu. Terima kasih juga saudara Sadewa kerana begitu banyak membantu kami di sini. Haih, entah apa la yang dibuat Raja di istana. Sudah banyak kali laporan dihantar, namun satu wakil uguwan istana pun tidak hadir menjenguk. Bagaimana sang raja begitu tidak peduli sama rakyatnya?"

"Jaga kata-kata kamu wahai rakyat!"

Tersentak! Semua mata memandang ke arahku. Baginda memberi pandangan amaran. Allah! Aku terlepas kata la pulak. Entah kenapa entah aku rasa marah sangat mendengar luahan yang begitu tak beradab daripada temenggung itu. Walaupun dia tidak tahu siapa sebenarnya yang berdiri di hadapannya namun usahlah bicara begitu lancang terhadap raja sendiri.

"Ma-maafkan hamba. Hamba sudah melampui batas dalam berkata-kata. Hamba tidak berniat sebenarnya cuma rasa kecewa di dada ditambah memikirkan nasib rakyat di kota ini membuatkan hamba terlepas kata mempersoalkan kewibawaan sang Raja kita." ujar Temenggung Pangah dalam nada kesal.

"Tidak mengapa temenggung, kita uguwan, biasa saja andai tersilap bicara. Memang benar apa yang tuan hamba perkatakan, sepatutnya raja menghantar wakil istana untuk menyelesaikan masalah ini juga bukan hanya menyerahkan bulat-bulat kepada tuan hamba dan rakyat."

"Baginda diraja sudahpun menghantar wakilnya. Tidak lama lagi bakal tiba."

Sekali lagi semua mata terarah kepadaku. Kali ini aku tidak gentar dengan pandangan baginda. Seronok sangat ke biar diri sendiri dihina? Tuanku sudah bersusah payah sebegini tapi biar rakyat menghina tuanku begitu saja? Tidak tahu jasa tuanku?

"Apa benar tuan hamba? Tuan hamba siapa? Daripada mana tuan hamba tahu akan hal ini?"

"Hamba terdengar berita tapi hamba yakin berita itu benar kerana hamba tahu raja hamba bukan seuguwan yang tidak bertanggungjawab, bahkan baginda ialah raja yang paling mulia sepanjang abad pemerintahan Langkasakti." ujarku sambil memandang baginda tanpa senyum.

"Syukurlah andai begitu."

"Lagi sekali, tuan hamba ini siapa ya?" Temenggung Pangah menyambung.

"Hamba..." belum sempat aku nak menjawab, Raja Andhika sudah terlebih dahulu memotong.

"Saudari ini adinda hamba." ujar Raja Andhika kepada Temenggung Pangah.

"Oh, dia adinda tuan hamba. Maaf, maaf kerana hamba tidak mengetahuinya. Hamba tidak menyangka tuanku mempunyai seuguwan adinda yang begitu cantik jelita seperti ini."

"Terima kasih temenggung Pangah atas pujiannya."

"Eh lupa pula hamba untuk menjemput ke dalam. Maafkan hamba ya tuan hamba sekalian. Jemputlah ke dalam gudang. Minta maaf kerana membuatkan tuan hamba sekalian berlama-lama di sini."

Baginda menoleh ke belakang.

"Adinda jangan masuk ya. Jangan risau ada Manis,Lili dan Teratai yang akan menemani adinda di luar."

Aku terdiam. Baginda boleh belagak tenang ja? Baginda tidak marah ke? Tapi tunggu sekejap, adinda? Adinda tu bukan adik ke?

Aku menoleh ke sisi ingin bertanya kepada marcaperkasa wanita yang mengiringiku ini. Jadi sekarang mereka ini kawan-kawan aku lah kan?

"Kamu tahu tak adinda itu apa?"

"Adinda itu saudara yang lebih muda dalam pangkat saudara-mara kandung."

Betullah adinda itu adik!

"Jadi, tuanku raja memperkenalkan saya sebagai saudara kandung baginda ya sebentar tadi?" bisikku kepadanya.

"Iya, benar. Tuanku." bisiknya juga kepadaku.

Aku menggenggam kedua-dua belah tangan. Geramnya. Kenapa tak bagitahu aku ni isteri baginda ja? Rasa nak merajuk pula.

↪↪↩↩

Aku sedari tadi hanya duduk di luar gudang pesakit. Nasib baik ada banyak kawasan rumah kayu berbumbung dan ada tempat duduk. Boleh aku melangut sambil duduk dekat sini. Rumah kedai di sini banyak yang sudah tutup disebabkan wabak penyakit kulit itu. Daripada mana aku tahu? Marcaperkasa Manis yang cerita, aku juga sudah sempat berkenalan dengan ketiga-tiga daripada mereka cuma yang seuguwan aku sedikit kurang ajar hari tu, tu lah aku tak nampak dia. Mungkin dia sertai kelompok utusan diraja ke arah yang lain mungkin.

Disebabkan rasa marah dengan tuanku, aku tak nak bergerak ke mana-mana pun. Aku kalau boleh nak baginda cepat-cepat keluar dari gudang tersebut dan bercakap dengan aku. Kalau baginda panggil aku adinda, habistu tidak akan la aku nak panggil baginda Andhika seperti yang dia suruh semalam tu kot. Ish! Mesti la rasa tak kena gaya la!

Setelah hampir berjanggut aku menunggu. Marcaperkasa Lili menegur aku memberitahu Raja Andhika sudah bergerak keluar dari gudang pesakit. Pantas aku memerhati baginda dari jauh, berjalan ke arahku. Riak wajahnya tenang, tampak biasa. Aku segera berdiri menunggu sosoknya tiba di hadapanku.

Baru saja aku ingin bersuara saat langkah baginda sudah menghampiriku, baginda sudah terlebih dahulu memberi titah.

"Bella, ikut beta." Laju dia berjalan di hadapan sampai tidak terikut aku dibuatnya. Nak ke mana ni? Kenapa jauh sangat berjalan.

"Tuan..." tidak sempat aku memanggil baginda, baginda sudah menoleh ke belakang dan menarikku ke satu laluan sunyi.

"Kenapa tuanku bawa saya ke sini?"

"Apa janji Bella sebelum ikut beta ke gudang pesakit?"

Aku terdiam.

"Jangan buat tuanku risau."

"Iya. Dan apa yang Bella telah lakukan?"

"Membuatkan tuanku risau."

"Jadi mengapa?"

"Ha?" Aku memandangnya bingung.

"Mengapa perlu melanggar janji?"

"Saya cuma tidak suka tuanku dihina, itu sahaja."

"Itu bukan perkara besar, Bella. Menjadi seuguwan raja sememangnya perlu bersedia untuk mendengar kata-kata rakyat walau bagaimana sekalipun bunyinya. Biar bunyinya baik mahupun bunyinya tidak enak di pendengaran."

"Tapi tuanku, tuanku sudah bersusah payah ke sini, sudah cuba menolong dengan tenaga tuanku sendiri cuma temenggung Pangah yang tidak tahu. Itu baru temenggung Pangah, rakyat-rakyat yang lain, mana kita tahu mereka lebih berprasangka terhadap tuanku."

"Mana yang lagi penting? Melaksanakan tanggungjawab atau mendapatkan penghargaan?" soal baginda tanpa memandangku.

Aku terdiam tanpa mampu menjawab. Melihat diriku tanpa reaksi untuk menjawab, baginda ingin melangkah pergi.

"Tuanku." Panggilanku menghentikan langkah baginda.

"Mengapa memperkenalkan saya sebagai adinda tuanku?"

"Sebagai hukuman."

"Hukuman?"

"Hukuman kerana melanggar janji."

Zap! Tak pasal-pasal air mata aku bertakung. Baginda marah ke dekat aku? Huwaaaa. Aku cuma nak bantu bersihkan nama baik baginda saja.

Aku hanya mampu memerhati belangkang tubuh baginda yang kian menjauh meninggalkan aku di sini. Sedih sangat.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Bibirku ketap kuat. Kalau tuanku boleh marah, saya pun boleh marah. Laju aku menonong berambus dari situ. Aku tak ikut jalan yang dilalui oleh baginda tapi aku main aci redah ja mana hati aku nak pergi sampailah beberapa minit aku berjalan, akhirnya aku berada di tengah-tengah kota. Kawasan di tengah-tengah pekan kota ada banyak sangat uguwan membuatkan suasana kelihatan begitu sesak sekali. Aku memerhati wajah-wajah mereka. Semuanya tiada sinar, jelas wajah yang sedang kerisauan dan kebingungan. Semuanya sibuk ke hulur ke hilir dengan urusan masing-masing.

"Tolong-tolong! Ibu hamba!" Tersentak aku saat terdengar satu suara yang meminta tolong tapi tiada yang memberi pertolongan disebabkan uguwan-uguwan yang lain juga sedang sibuk dengan ahli keluarga mereka yang sedang sakit. Lantas laju aku bergerak ke arah seorang gadis yang sedang meminta tolong itu.

"Ya tuan hamba? Ada apa? Kenapa dengan ibu tuan hamba?"

"Tolong hamba, saudari. Ibu hamba seperti semput. Barangkali terlalu penat dengan kesakitan yang ditanggung. Ibu mudah penat kalau jatuh sakit. Bantu hamba saudari."

"Umm...kalau begitu, mari kita bawa dia ke gudang pesakit."

"Saudari, hamba tiada wang untuk ke sana. Kos rawatan sangat mahal."

"Tidak mengapa, rawatan akan dapat secara percuma. Mari-mari." Segera aku membantu gadis itu untuk memapah ibunya. Aku cuba mengingati semula jalan ke gudang pesakit itu namun lupa. Adoii! Aku pun sesat, ni nak bawa uguwan ke sana pula.

"Err...apa tuan hamba tahu jalan ke sana?"

"Ya, hamba tahu."

"Kalau begitu tunjuklah jalan."

Kami mula berjalan mengikut arah yang dibawa oleh gadis ini. Ibunya kelihatan begitu tenat sekali. Apakan daya boleh tolong papah macam ini saja, nak bawa dengan kereta hisan, kereta hisan pun tidak ada. Tiba-tiba, kami bertembung dengan Lili iaitu marcaperkasa yang menjagaku tadi.

"Tuan..." belum sempat dia menghabiskan panggilannya aku segera memberi isyarat jaga-jaga.

"Saudari Bella!" Lekas-lekas dia menukar panggilan.

"Apa yang sudah terjadi ini, saudari?"

"Ibu gadis ini juga salah seuguwan yang dijangkiti penyakit kulit itu dan dia sedang tenat kerana sudah tidak mampu menanggung kesakitan. Kita kena bawa dia ke gudang pesakit dengan segera."

"Baik, saudari. Mari, biar Lili yang memapahnya." Aku mengalihkan tangan ibu gadis itu ke tengkuk Lili agar dia dapat memapahnya. Sebaik saja kami hendak melangkah, satu tangan kecil menarik tanganku.

"Kakak! Kakak! Bantu hamba. Bantu hamba." Terkejut aku dengan suara kekalutan kanak-kanak yang sedang menangis sambil meminta pertolonganku ini.

"Kenapa adik?"

"Kakanda hamba! Kakanda....isk...iskk..."

"Ikut hamba...ikut!" Kuat dia menarik tanganku.

"Ya, baik-baik. Kakak ikut."

"Mengapa saudari?" Lili bertanya gundah.

"Lili bantulah gadis ini bawa ibunya ke gudang pesakit dahulu. Bella mahu mengekori kanak-kanak ini. Nampaknya dia memerlukan bantuan, kakandanya dalam masalah."

"Kalau begitu biar Lili sahaja yang mengekori kanak-kanak ini dan..."

Laju aku memotong.

"Tak apa, Lili uruskan hal itu, biar Bella yang selesaikan hal ini. Mari adik." Tidak mahu melengah-lengahkan masa lagi, aku mengabaikan balasan Lili dan mengekori adik ini.

Lama juga berjalan dengan tanganku yang utuh ditarik oleh kanak-kanak ini. Kasihan sekali kamu anak kecil. Bersungguh-sungguh kamu cuba mencari insan yang dapat membantu saudara kangdungmu. Aku mula sedikit risau apabila aku dibawa ke dalam sebuah hutan. Saat terpandang sebuah pondok, baru aku mengerti pasti itu rumah kanak-kanak ini.

Saat melangkah mendekati rumah itu, tanganku dilepaskan. Aku hanya berdiri menunggu pintu runah dibuka.

"Arghhhhhh!!"

↪↪↩↩

Andhika POV

Prang!

Satu dulang tembaga yang tiba-tiba terjatuh di sisi kaki membuatkan daku berasa tidak sedap hati. Petanda apa ini? Aku memandang sekitar ruangan gudang pesakit ini. Pesakit yang sedang daku rawat lukanya ini masih terbaring lesu. Dulang yang terbalik ke bawah itu dicapai olehku. Satu persatu kain kapas yang mengandungi kesan nanah dan darah diletakkan semula di atas dulang. Tiba-tiba sosok marcaperkasa Milan datang kepadaku dalam keadaan tergesa-gesa.

"Ada apa Milan?" tenang daku menyoal. Pantas marcaperkasa Milan mendekat dan berbisik kepadaku.

"Tuanku, permaisuri Bella tidak dapat dijejaki."

Prang!

Tangan yang memegang dulang juga menjadi longlai begitu saja.


"Jika ini takdirnya, maka aku pasrahkan sahaja." 💘

|Bella Amanda|

2225 Words

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top