SYT 7
SYT 7
"Dah habis gelak?" aku menyindir, mukaku masam kalah pelam muda.
Mak tersenyum-senyum, Ayyan pula tayang gigi putihnya kepadaku. Dah penat gelaklah tu.
"Mak ni sporting, Ayyan suka dengar celoteh Mak," ujar Ayyan mesra. Dia mengambil lepat pisang, lalu sumbat kedalam mulut.
Laparlah tu lepas gelak terus makan, kang aku doa tersedak padan muka. Nasib aku tak jadi doa. Ada orang kata mulut aku ni masin, masin tahap lori tumpah! Hahaha.
"Sporting ikut mood tau Ayyan. Mak ni suka berbual dengan kamu."
Ayyan angguk-angguk kepala. Dia menghirup air teh pula. Entah apa yang nak diangguk-anggup sangatpun tak tahulah.
"Mak nak tanya satu benda ni, boleh tanya ke tidak?" sambung Mak lagi. Matanya kerling aku sekilas dan tatap semula wajah Ayyan.
Aku yang mendengar soalan Mak, jadi tak senang duduk. Apa lagi agaknya Mak nak tanya ni. Jangan tanya bukan-bukan sudah.
"Boleh, mak. Tanya aje apa-apa yang mak suka. Ayyan akan jawab selagi Ayyan mampu. Asalkan jangan tanya Ayyan dalam Bahasa Korea sudah," jawab Ayyan. Riak wajahnya dimaniskan semanis kurma Yusuff Taiyob.
'Keenakan buah kurma dari timur tengah, Yusufff Taiyobbb,
Kelazatan buah kurma yang tiada bandingannya, Yusufff Taiyobbb,
Buah kurma Safia, Wasem, Safina, dan banyak lagi,
pastinya menjadikan pilihan anda setiap masa,
pilihan eksklusif , Yusufff Taiyobbb...'
Ya Allah, apa kena dengan aku ni? Yang pi teringat iklan kurma Yusuff Taiyob tu apahal?
"Sekarang Ayyan tinggal dengan siapa? Mak dan ayah ada lagi?" soal Mak, mata Mak terus-terusan merenung Ayyan. Macam nak tembus pula.
Reaksi wajah Ayyan tenang sahaja mendengar pertanyaan dari Mak.
Aku pula yang terlebih risau mengenangkan Ayyan pasti berat untuk menjawab soalan sebegitu. Dari dulu Ayyan cukup mengelak untuk bercerita berkaitan ibunya.
"Ayyan tinggal dengan ayah dan abang je. Ibu tinggalkan saya sejak dari kecil... Saya pun tak tahu dia pergi mana, mak..."
Ayyan berjeda sebentar, aku tahu dia rasa sebak sekarang ini...
"Saya sendiri tak ingat bagaimana wajah Mak saya... Dari kecil, saya tak pernah rasai kasih sayang seorang ibu..." sambung Ayyan, lirih sahaja suara itu meluahkan kisah hidupnya.
"Ayyan, mak minta maaf sangat-sangat... Mak tak tahu, kalau tahu mak tak tanya soalan begini pada Ayyan..."
Mak bersuara menyatakan rasa bersalahnya. Kulihat seraut wajahnya berubah muram.
"Takpe mak, saya okay... Ayah saya tak pernah beritahu sebab apa ibu tinggalkan saya... Sejak kecil lagi, saya dah tanam benci pada ibu saya sebab saya anggap dia curang dan tinggalkan kami sebab hidup kami susah..." cerita Ayyan lagi tanpa dipinta.
Rasa sedih menyerang jiwaku kini. Aku tak bias mendengar cerita Ayyan, kerana dari dulu lagi aku tahu semua ceritanya. Setiap masa, Ayyan akan cerita tentang kisah hidupnya, perasaan sakit hatinya, kesunyiannya kerana ibunya tiada di sisi seringkali menjadi tatapan deria telingaku. Aku sangat memahami duka lara di hati Ayyan. Sangat memahami. Dan paling sadis tentang abangnya...
"Abang saya dulu suka sangat pukul saya, mak. Bila ayah kerja siang malam, dia hari-hari lepaskan perasaan pada saya. Hidup saya macam neraka... Hinggalah saya jumpa dengan kakak..."
Dia pandang aku, dengan pandangan yang aku sukar mengerti. Aku sebak, air mata sangat memberat di tubir mata.
"Kakaklah penyelamat hidup saya...Hari-hari bersama kakak buatkan hidup saya kembali bersinar... Hari-hari dia rawat luka saya, sebab tu saya sayang sayang dengan anak Mak..."
Bibir Ayyan terukir senyuman sangat indah, mata itu tidak langsung mengalirkan air mata. Tabahnya dia!
"Mak tak sangka pula itu ceritanya, tak sangka juga si Arina ni dapat buat kamu bangkit dari derita..."
Mak usap pipinya yang ada setitik air mata jatuh. Cerita Ayyan memang menggundang air mata sesiapa sahaja.
"Adik cuma nasihat dia dan dengar cerita dia, mak. Ayyan memang dah kuat, dia kuat sangat. Kalau adik yang kena hadap semua tu, adik dah tak dapat teruskan hidup lagi dah..."
Aku mencelah, itu hakikat yang tidak bisa disangkal. Ayyan memang seorang yang kuat dan tabah. Aku turut kagum dengan ketabahan dia menghadapi semua ini. Menjalani hidup tanpa kasih sayang seorang ibu, tidak akan mudah sama sekali...
"Akak yang sentiasa di sisi adik... Sebab tu adik kuat..." ulas Ayyan perlahan.
Aku tersenyum, wajah Ayyan aku tatap. Ingin sahaja aku mengusap belakang tubuhnya, supaya dapat mengurangkan beban perasaan yang berat ditanggung olehnya. Tapi, aku siapa? Hanya seorang kakak angkat yang tiada darah pertalian.
"Abang Ayyan sekarang macam mana? Masih lagi berperangai macam tu ke?" tanya Mak lagi, mesti Mak meronta-ronta untuk mengetahui kisah hidup Ayyan selanjutnya.
"Dia dah okay sekarang... Dia kerja sebagai mekanik... Sejak saya masuk UTM, dia dah berubah... Saya pun tak tahu kenapa, tak pernah nak tanya pun..."
"Ohh, lega hati mak dengar. Kamu dah ada girlfriend ye?"
"Aah, saya dah ada. Nama dia Ainura," ceria sahaja suara Ayyan menjawab soalan itu. Mesti dia sudah terkenangkan wajah ayu dan telatah manja Ainura.
Aku diam-diam pendam luka yang kembali mula ingin melepaskan diri.
"Cantik ye Ainura tu? Bila nak kahwin, Ayyan?" tanya Mak dengan intonasi terlebih seronok.
Aku ketap bibir, emosiku sudah berubah kelam. Aku ingin melaung sekuat-kuatnya supaya hentikan perbualan tentang Ainura!
"Cantik! Cantik sangat Ainura... Nanti bila free lagi, saya kenalkan dengan mak tau. Kahwin tu, nanti-nantilah. Tapi, kalau boleh saya nak cepat-cepat sebab takut dia dikebas orang."
Hatiku bagai dicarik-carik kasar! Sekali lagi hatiku hancur berderai, adakah benar mimpi tadi akan menjadi kenyataan? Ya Allah, tolong aku!
"Haa... elok sangatlah tu kahwin cepat-cepat. Bercouple lama-lama pun tak elok, bila berdua ada syaitan nanti."
"Betul tu, mak. Saya kalau boleh, esok nak kahwin." Seloroh Ayyan sambal tergelak kecil. Bahagia sahaja irama gelak yang dia lepaskan.
Ya Allah! Aku genggam penumbuk, kuat-kuat. Lawak itu menambah percikan api dalam bara cemburuku. Tega sungguh kau Ayyan? Sanggup kau bahagia atas derita aku?
"Mak panggil tok imamlah macam ni. Nak tak?"
"Nak!"
Ketawa mereka memenuhi ruang dapur. Hanya aku yang menganyam duka perih di hati. Mengapa mereka sanggup buat aku begini?
"Ayyan datang ni nak jumpa arina kan? Hadui, mak pula yang kacau korang. Dah lah, mak nak sambung buat kerja. Kamu berbuallah ye."
Mak bangun dari duduk. Dia pergi ke singki dan membasuh tangan ala kadar.
Ayyan mencari wajahku, aku pantas pandang ke arah lain. Menyampah!
"Kalau saya nak pinjam anak mak sekejap boleh?"
Aku tersentak dengan permintaan Ayyan. Kenapa pula nak pinjam aku? Hish, mak jangan bagilah, adik tak sudi nak keluar dengan dia!
Mak menuju ke arah kami seusai membasuh tangan.
Aku pandang muka mak, mukaku dikerutkan, sempat jariku membuat tanda pangkah. Aku tak nak keluar dengan Ayyan yang jahat tu!
"Elok sangatlah tu... Mak pun tengah risau dengan si arina, siang malam tadi menangis. Kamu pujuklah dia ye. Yang penting sekali jangan balik lewat malam. Mak kikis kulit kamu nanti!"
Mak! Sampai hatilah buat orang gini. Orang tak naklah keluar dengan budak yang suka sakitkan hati orang ni!
"Kakak ada masalah ke?"
Aku buat dek je. Tak nak layan, tak nak jawab!
"Hmm, baiklah mak. Ayyan janji tak balik lambat sangat tau. Jangan risau, Ayyan pakar dapat bab pujuk orang ni."
Ayyan tayang gigi lagi.
Aku rasa nak patahkan aja gigi dia. Dari tadi, nak menunjuk gigi dia. Ingat iklan serbuk Arang gigi Dherbs ke?
'Serbuk Arang gigi Dherbs, dua kali sehari? Dherbs, dherbs!'
Aduhai, aku tergelak tanpa sedar bila terbayang iklan anak Aliff Syukri buat. Sumpah, lawak gila! Ya Allah, kemana duka aku tadi pergi?
...
"Kenapa kak? Gastrik lagi?" soal Ayyan, suara bernada prihatin.
Aku hanya mengangguk kepala, tangan kananku laju menekan-nekan perut yang mencucuk-cucuk. Senak lagi, rasa azab gastrik memang tak tertanggung. Itulah siapa suruh tak makan nasi semalam, inilah akibatnya. Salah sendiri juga terlalu ikutkan perasaan, akhirnya aku sendiri yang merana.
"Ayyan balik ajelah, akak nak rehat..." ujarku lemah.
Aku bangkit perlahan-lahan. Badanku masih membongkok dengan tangan kanan menekan di situ.
"Ayyan hantar akak pi kliniklah..."
Dia menghampiri aku, tangannya naik memegang bahuku. Mungkin ingin membantu aku berjalan.
Tetapi, aku segera tolak tangannya. Aku ni bukan Ainura! Sesuka hati biar lelaki sentuh aku! Ayyan ni kadang-kadang melebih betul, dia ingat aku ni kakak kandung dia ke?
"Tak yah sentuh akaklah! Malas nak pergi klinik, gastrik aje pun. Bukan akak nak mati pun!"
Kasar sekali aku lontarkan kata pada Ayyan. Aku kalau dah sakit, memang nak naik hangin aje. Aku luruskan kembali badan bila sakit berkurang sedikit.
"Akak jangan cakap pasal mati boleh tak?!"
Tiba-tiba, Ayyan melenting! Aku sempat menangkap matanya yang tajam menikam aku. Apehal entah nak marah aku pulak, dia tu yang menyibuk dekat sini sampai aku sakit hati, sekarang dia pulak nak marah.
"Biarlah, kalau akak matipun Ayyan bukan kisah kan? Lagi bahagia hidup Ayyan takde akak... Ayyan pun dah ada Ainura sekarang!" lantang aku lepaskan sakit hatiku selama ini.
Kulihat Ayyan seperti tergamam, mungkin tak menyangka aku sanggup berkata begini kepada dia? Aku sendiri tidar sedar sama sekali nama Ainura akan meniti dibibirku.
"Sampai hati akak cakap macam tu... Ayyan...Ayyan..."
Dia tidak menyambung kata, matanya berkaca-kaca.
Rasa tak tertelan air liur menyaksikan air mata itu bakal mengalir di pipi bersih itu. Sungguhkah dia terasa dengan kata-kataku? Aku berkasar sangat ke? Rasa bersalah menginap dalam hati menjadikan aku turut ingin menitiskan air mata.
"Dahlah, akak naik dulu... Ayyan baliklah dulu..."
Aku sebut satu persatu, terpaksa. Aku tak sanggup menghadapi Ayyan dengan air mata. Nanti aku kalah juga. Aku mengorak langkah menjauhi dia... Berat sekali... Untuk meninggalkan dia amat berat sekali untuk aku lakukan.
"Apa kasih sayang Ayyan selama ni tak bernilai ke kak? Kenapa akak sanggup cakap Ayyan akan bahagia bila akak dah tak ada? Sanggup akak kan? Sanggup buat Ayyan macam ni...Ayyan..."
Lemah suara Ayyan, tersekat-sekat. Ayyan capai tanganku, menghalang aku dari pergi.
Hatiku mula hiba, terasa seperti ada air mata yang mahu gugur tetapi aku tahankan juga. Aku dah terlalu banyak menangis!
"Sorry okay... Akak tak sengaja, dahlah balik je. Akak nak rehat..."
Dingin sekali kata maaf yang terluah pada bibirku. Sekali lagi aku menghalau dia, aku tak mahu menghadapi dia lagi. Bimbang aku akan lemah. Aku harap dia faham mengapa aku menolak permintaannya. Tolong faham akak, Ayyan!
"Ayyan tak nak balik! Ayyan nak juga hantar akak pergi klinik! Kalau perlu Ayyan dukung akak pun Ayyan sanggup! Pilihlah nak jalan sendiri atau Ayyan dukung!"
Tegas sekali arahan Ayyan.
Aku membalikkan tubuh menghadap dia. Rasa amarah yang memuncak terpadam saat mata kami bertentangan. Wajahnya yang sugul dan muram itu bagaikan air menyimbah segala api marah yang sedang marak tadi. Dan mata itu yang sedang menitiskan air mata, tidak sanggup aku biarkan mengalir lagi. Ayyan, kenapa aku tak sanggup tengok walau setitikpun air mata jatuh ke pipi kau? Kenapa aku sayang sangat pada kau, Ayyan?
"Ayyan jangan suka-suka nak dukung akak eh! Jangan lupa dalam rumah ni ada mak, tak pasal-pasal kalau mak tengok dia suruh Ayyan kahwin dengan kakak baru tahu! Padan muka Ayyan tak boleh kahwin dengan Ainura nanti!"
Aku membentak sedikit kasar, walaupun aku simpati terhadap dia tapi masih tega lagi menyakitkan hati dia. Aku sendiri sangsi kenapa perangaiku boleh berubah-berubah begini?
Dia ketap gigi menandakan dia geram dengan kerenah aku. Dia semakin mara mendekati aku, sehingga aku dengar desahan nafasnya kuat. Matanya terus-menerus menikam aku, aku pula diserbu rasa gerun. Aku larikan anak mata ke bawah. Memandang dada dia. Ayyan tinggi sangat sampai aku paras bawah bahu dia aje. Dadaku berdebar kerana berada dekat dengan dia. Tidak pula aku cuba menjarakkan diri.
"Kalau itu boleh buat akak dengar cakap Ayyan. Ayyan sanggup je kahwin dengan akak, asalkan akak tak sakit... Akak sanggup ke kahwin dengan budak mentah macam Ayyan ni?"
Suara Ayyan perlahan, nada berbisik.
Meremang bulu romaku mendengar setiap bait perkataan yang keluar dari bibirnya. Dadaku mula bergolak hebat. Kenapa aku hampir terkulai saat ini? Suara Ayyan romantik sangat, ditambah dengan suara serak basah dia! Ya Allah, aku hampir tergoda! Aku hanya mampu kaku tidak bergerak, hanya tenung dada dia yang bidang sampai macam nak tembus. Tak boleh nak tengok mata dia, mesti cair!
"Orang tua kata, diam tandanya setuju. Jadi, akak memang nak kahwin dengan Ayyan ye?"
Aku terkedu lagi, mengapa seakan terbuai-buai sahaja perasaan aku sekarang. Aku memang nak kahwin dengan kau, Ayyan! Ingin sahaja aku membalas kata-katanya seperti itu.
"Ok, baiklah. Ayyan angkat sayang Ayyan ni ye... Esok lusa jangan meraung kalau jadi isteri Ayyan."
Suara Ayyan kembali bergema, aku diam lagi. Perasaanku berperang sekarang, adakah betul tindakan aku mendiamkan diri? Kalau betul-betul Mak suruh aku kahwin dengan Ayyan macam mana? Macam mana dengan Ainura? Bukan ke Ayyan nak jadikan Ainura suri hati dia? Aku pulak macam mana? Takkan jadi madu? Aku segera tergeleng-geleng. Seraya aku menolak tubuh Ayyan, menjauh daripada aku.
"Ayyan ni memang sengajakan nak main-mainkan akak?"
Ayyan tergelak. Eh, orang marah dia boleh gelak pulak?
"Abis tu, akak degil sangat tak nak pergi klinik. Ayyan tak ada cara lain, itu aje cara Ayyan. Ayyan pun tak kisah jadi suami akak. Akak pun tak kisah jadi isteri Ayyan kan, sekali gus jadi madu Ainura?"
Sakan Ayyan mengenakan aku. Aku macam nak tampar sahaja muka dia. Dia ingat benda ni boleh buat gurau ke?
"Malas nak layan Ayyan! Baliklah sana!"
Aku menapak kearahnya, dan tolak bahunya sedikit kuat.
"Ya Allah, yang kau orang pi gaduh ni kenapa? Adik ni kenapa tolak Ayyan tu!" lantang suara Mak memarahi aku. Entah bila Mak muncul, aku sendir tak sedar.
Aku terkejut bukan kepalang, tak menyangka pula Mak mendengar pergaduhan aku. Jangan mak nampak adegan yang merepek tadi sudah!
"Mak, akak dia gastrik, tapi dia degil! Dia tak nak pergi klinik, mak!"
Ayyan mengadu dengan suara gediknya terlebih manja. Eh, eh! Mak siapa ni, kau manja sangat kenapa? Macam nak hempuk sahaja kepala dia!
Mak mencekak pinggang, dia mendekati aku lalu mencubit perutku.
ASTAGFIRULLAH, sakitnya!
"Mak tak kira adik pergi juga klinik. Dah Ayyan, pi heret Arina ni!"
Aku mendengus geram. Marahku berbakul-bakul sebab Ayyan. Pertama, sebab dia kenakan aku! Kedua, sebab dia buat Mak cubit aku! Ketiga, sebab aku kena pi klinik! Aku benci klinik sama macam aku benci Ayyan!
Dengan terpaksa, aku menyalami Mak. Kemudian, aku mengekori Ayyan dibelakang sambil hentak kuat-kuat kaki aku tanda memprotes. Nak tahu apa reaksi Ayyan? Dia gelakkan aku. Aku macam nak stapler aje mulut dia tu. Biar bisu terus! Ya Allah, geramnya aku!
........................................................................
Writer's comment : Hahaha, debor tak dgn Ayyan? Nakal juga Ayyan ni?
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top