SYT 46

Syt 46

"NAMA ayah saya Adam Lee Bin Zahran. Er, kenapa mak cik tanya?" Kening Ayyan mula bertaut.
Aku dipagut rasa keliru. Aku fikir Ayyan juga begitu.

Puan Suraya memejam matanya seketika, kemudian dibukanya perlahan. Kelihatan matanya sedikit memerah.

Aku perhati dadanya berombak kencang, tongkatnya bergoyang sedikit seperti Puan Suraya mengalami situasi yang genting.

"Mama kamu ada lagi? Nama dia... na...ma...dia siapa?" Terketar-ketar bibir Puan Suraya menyoal. Getaran suaranya membuatkan aku diserang kebimbangan. Apakah ini? Adakah Ayyan ini? Ya Allah. Tak mungkin!
Paras Ayyan dan Puan Suraya aku teliti bersilih berganti. Tak sama!

"Dia... Saya rasa tak perlu mak cik tahu... Hal peribadi saya," jawab Ayyan dengan nada kurang selesa.
Ayyan mula menghabiskan kerjanya terbengkalai tadi. Dituang isi dalam tin itu kedalam jag berisi air susu.

"Nama mama kamu Suraya Zulaikha binti Muhammad Shahril, kan? Betul kan, Ayyan?"

Ayyan tergamam. Aku juga tergamam. Benar, itu nama mama Ayyan? Ya Allah, adakah memang benar Puan Suraya ini mama Ayyan yang dia cari selama ini? Kecilnya dunia.

"Macam mana mak cik tahu nama dia?" Keras Ayyan menyoal. Dia menghadap lebih dekat dengan Puan Suraya. Rautnya yang tegang itu aku pandang. Aku pasti Ayyan sudah dapat mengagak apa yang berlaku.

"Ayyan... anak mama..." lemah suara Puan Suraya menyentuh deriaku.

Aku dicarik rasa hiba. Air mata jatuh setitik demi setitik di wajah tuanya. Sebaknya perasaan yang mengalir turut mengusik hatiku untuk turut serta merasainya.

"What? Anak mama? Apa mak cik merepek ni?!" Naik seoktaf suara Ayyan.

Aku tak menyangka Ayyan akan menengking dalam nada kasar begitu. Aku ingin menenangkan Ayyan tetapi, itu masalah mereka berdua, perlukah aku ikut masuk campur?

"A...yan... a... nak... ma...ma..." Suaranya tersekat-sekat. Tangisannya mula bergema memenuhi ruangan dapur ini. Mulutnya ditekup dengan tangan, cuba menongkah tangisan yang sedang menggila.

Aku tidak dapat mengawal rasa hiba, air mataku juga jatuh. Aku berharap Ayyan tidak terlalu berkeras dengan mamanya walaupun dalam mata Ayyan kini bergelut dengan api amarah yang bila-bila masa sahaja akan meletup.

"Saya bukan anak mak cik. Mama saya dah lama mati!" Ayyan menjerit lantang. Emosinya juga aku kira sudah hampir melepasi tahap kritikal. Tangannya aku capai, supaya dapat mengurangkan beban perasaan yang ditanggung olehnya.

Aku dapat rasakan genggamanku dibalas. Tetapi, makin lama makin kejap. Aku tahankan sahaja sakit perit genggaman itu.

"Mama hidup lagi, Ayyan. Jangan macam ni. Mama, ada simpan gambar ayah dengan mama kalau Ayyan tak percaya." Puan Suraya menyelongkar isi begnya dan mengeluarkan dompet. Tangannya menggeletar menarik isi gambar dalam dompet, kemudian terhulur depan Ayyan.

Ayyan pantas menarik gambar itu dengan kasar. Aku lihat matanya kian lama kian membesar dan disirami bahang marah tatkala gambar itu ditenung berkali-kali. Matanya beralih memandang Puan Suraya semula dan mengulang kembali memandang gambar.

Kemudian, dia tergeleng-geleng lemah. Matanya terpejam rapat. Urat pelipis timbul mencanak. Dahinya berkerut seribu.

Serta merta, tangan sebelah kiri menumbuk kuat meja dapur, sampai berkocak bunyi air didalam jag. Aku telan liur yang semakin mengalir pahit. Sakitnya menyucuk hatiku melihat dia berperang dengan emosi. Ya Allah, kau berikan kekuatan buat dia, Ya Allah.

"Ayyan. Ma...ma... min...ta... ma... af..." Suara tangisan Puan Suraya semakin menjelajah perasaanku. Aku terus ditebuk perasaan sebak, air mataku jatuh lagi.

"Saya takde mama! Mama saya dah mati! Sejak saya lahir lagi! Dia dah mati!" Jeritan Ayyan sungguh memeranjatkan kami semua.

Gambar itu dikoyak sehingga menjadi cebisan. Puan Suraya memegang bahu Ayyan, tetapi pantas ditolak tubuh itu sehingga hampir terjatuh. Mujur juga mak sempat memapah Puan Suraya.

"Ayyan. Please, jangan macam ni. Tu mama Ayyan, kesian dia." Nasihatku agar dia kembali tenang walaupun untuk seketika. Matanya mencerlung membalas renunganku. Merah padam mukanya menahan marah. Rambutnya juga sudah berselerak tidak lagi kemas seperti tadi. Genggaman pada tanganku dilepaskan.

Tanpa bersuara, dia mengatur langkah meninggalkan kami. Mama terjatuh layu, menangis teresak-esak. Mak pula memeluk erat tubuh mama. Aku terkesima menghadapi situasi yang tidak pernah aku sangka akan berlaku. Tidak menyangka sama sekali Puan Suraya dan Ayyan mempunyai pertalian darah sebagai anak dan ibu.

"Adik ikut Ayyan tu, dia perlu tenangkan diri. Jangan sampai dia buat perkara buruk."

Aku pantas mengorak langkah, lebih tepat berlari untuk mendapatkan Ayyan. Aku keluar setelah membuka pintu rumah, ternampak kereta Ayyan beransur bergerak luar pagar. Persis lipas kudung, aku bergerak laju. Namanya aku laung sekuatnya.

Dia pandang aku sebentar, cermin kereta yang terbuka dia naikkan.
Aku tidak kira, keselamatan aku tidak aku kesahkan lagi. Pantas tubuhku menghalang laluan Ayyan sampai kereta terhenti hampir mengena tubuhku. Aku pejam mata rapat kerana terkejut dan aku mengecilkan tubuhku secara drastik.

"Apa Reen ni? Nak sangat mati, ke?!" herdik Ayyan memarahiku. Terhenjut badanku menahan tempias tengkingan dia.

Mata terus ku buka. Tubuhku juga melurus kembali. Tangannya aku capai dan usap lembut. Berharap tingkahku dapat menyimbah amarah Ayyan. Jelas aku takut melihat api dimatanya, sungguh berbeza pandangan Ayyan waktu ini. Pantas aku buang jauh-jauh rasa gerun yang terlorek dalam lakaran hati. Jangan, takut.

Ini bukan Ayyan, cuma syaitan yang merasuki diri dia.

"Reen minta maaf... Reen ikut Ayyan, boleh? Reen takut terjadi perkara buruk nanti. Boleh?" Pintaku dengan mataku merenungnya penuh mengharap. Tangan kananku pula naik mengusap pipinya. Berusaha memujuk Ayyan.

"Nak ikut buat apa? Ayyan tahulah nak jaga diri macam mana! Duduk rumah aje, nanti kalau perempuan tua tu berambus baru Ayyan balik. Faham, tak?" jerkah Ayyan masih tidak reda marahnya. Kedua-dua tanganku ditolak kasar. Nafasnya kedengaran kuat bergelombang didadanya.

"Please... Reen nak ikut, kalau Ayyan tak kasi Reen ikut Reen tak nak bercakap dengan Ayyan sampai bila-bila! Reen tak main-main ni!"

Mukaku tayang garang agar Ayyan termakan dengan ugutan aku. Dia meraup wajahnya berkali-kali. Rambutnya yang sedia kusut diserabaikan lagi.

"Okay, fine! Nak ikut, masuk cepat!" arah Ayyan terus berpusing untuk masuk semula kedalam perut kereta. Tanpa berlengah, terus aku mengekori dia dan duduk di tempat penumpang.

Sebelum dia menghidupkan enjin kereta, beberapa kali stereng kereta menjadi mangsa hentakannya. Aku urut dada bagi menghilangkan kaget. Ayat kursi menjadi peneman bibirku tika ini.

Beberapa saat berlalu, dia kembali memandang hadapan. Kereta dihidupkan semula dan bermulalah perjalanan serba mengoyahkan jiwa ragaku.

Macam nak terbang nyawa aku dengan kelajuan serupa orang drift. Aku pegang erat tali pinggang keledar. Ngerinya laju begini. Ya Allah, tolong aku.

"Ayyan..." seruku lemah.

Sepi. Tidak bersahut.

"Ayyan... jangan laju-laju, akak takut..."

Terlepas perkataan akak dihujung bibir. Aku toleh pelan-pelan kepala. Dia masih macam orang gila bawak kereta. Tidak terkesan dengan perkataan yang baru aku sebut tadi. Nasib baik. Baru aku hendak menghembus nafas agar dapat dikawal udara yang menyempit direngkung dada, suara Ayyan melantun ke pinggir telinga.

"Don't forget, ada satu denda Reen dapat malam ni."

Aku terkedu seribu bahasa.

AYYAN keluar dari perut kereta tanpa mengajakku. Aku lepaskan keluhan lemah apabila belakang tubuh Ayyan sudah menjauh ke hujung sana.

Mataku meliar memandang sekeliling, lagi sekali dan waktu yang berbeza, mood yang tersangat berbeza daripada sebelum ini membuatkan kami berdua menjejakkan kaki ke sini. Taman rekreasi yang menjadi rahsia aku dan Ayyan.

Kaki terus melangkah merapati tempat biasa, kami. Kelihatan Ayyan tersandar lemah dibelakang pokok rendang itu. Mataku fokus jatuh dibangku kosong, kemudian bergerak merenung bawah bangku itu.

Di situlah rahsia aku tersimpan kemas. Masihkah ada lagi lembaran kertas mini itu? Ataupun sudah dihapus pergi oleh makhluk lain?

Lamunanku terus terpecah tatkala telingaku disimbah dengan bunyi tumbukan kuat pada pokok. Desahan kuat turut kedengaran.

Aku dipagut kebimbangan apabila menyedari itu datangnya daripada bibir Ayyan.

Tubuhnya aku hampiri. Mataku terus terbuntang luas kerana ada titisan darah mengalir di celah jari jemarinya.

"Aku benci perempuan tu! Aku benci! Aku benci! Dia bukan mama aku! Dia bukan! Dia bukan! Mama aku dah lama mati! Dah mati! Dah mati! Dah mati!" Persis orang tidak waras, Ayyan menjerit seorang diri. Penumbuk belah kirinya yang masih berdarah dihentam kembali pada pokok. Kali ini, penumbuk belah kanannya dikepal pula, hendak menjadikan pokok itu habuan rasa amarah yang berperang hebat dalam jiwanya. Dia tidak hiraukan pedih yang mencengkan deria rasanya yang semakin melarat.

Aku yang bimbang terus melekatkan diri dihadapan Ayyan. Penumbuknya aku tekap dengan kedua-dua belah tanganku. Matanya meliar ke kiri dan kekanan tanpa arah, seakan berlari daripada membalas renungan simpatiku.

"Ayyan... Reen ada untuk Ayyan, jangan hukum diri macam ni. Just luahkan pada Reen tentang perasaan yang mencakar dinding duka Ayyan. Reen sentiasa ada untuk Ayyan. Jangan lukakan diri lagi, please..." pujukku dengan seikhlas hati.

Tangannya aku elus lembut, dadanya yang berombak kasar aku usap lembut.

Matanya tepat menghunus anak mataku. Kali ini, matanya berkaca-kaca. Riaknya tidak setegang tadi tetapi tersangat muram durjana.

Aku terseksa membaca alur-alur duka yang tergenang lebat dalam kolam mata itu. Sakitnya melihat orang yang tersayang merana dan terseksa begini. Aku tahu, bagaimana rasanya jiwa lelaki bernama Ayyan.

Seorang anak yang terlalu dambakan kasih sayang seorang ibu dari kecil lagi. Tetapi, ditinggalkan tidak bertali tanpa dapat dia rasai walau secebis rasa kasih sayang itu.

Dan... tiada amaran, tiba-tiba sahaja insan bernama ibu itu memunculkan diri tanpa diundang dan mengaku sebagai mama? Adakah sesiapa mampu berlagak biasa dan menerima semua ini dengan hati terbuka? Tidak mungkin, bukan?

"Ayyan benci dia. Dia bukan mama Ayyan... Reen, tolong Ayyan... Ayyan sakit sangat, sakit sangat dalam ni! Terlalu sakit, tak terperi... Macam ditikam berkali-kali, ditabur racun hati ni, Reen. Tolong Ayyan, sakit sangat..." Bibir Ayyan terketar-ketar menghamburkan perasaan sakit itu, matanya akhirnya tertewas. Air jernih berjaya juga menoda pipi bersih itu. Jatuh perlahan menyelusuri lekuk pipi dan akhirnya jatuh mengena tepat atas tudungku.

Aku terus mendakap tubuhnya. Tidak dapat aku tahan sebak yang merantai. Belakang tubuhnya aku usap-usap perlahan. Empangan air mataku turut pecah. Tidak terkawal.

"Reen ada. Reen tahu Ayyan sakit sangat, Reen tahu. Ayyan sabar ye, Reen tahu Ayyan sakit..."

Pelukanku dibalas erat. Terasa bahuku basah dengan air mata Ayyan. Esakan Ayyan semakin menyucuk halwa telinga.

"Ayyan nangislah puas-puas. Reen ada...Reen ada kat sini... Reen akan teman Ayyan sampai sakit Ayyan tu kurang... Reen ada..."

Aku mengulang-ngulang ayat itu agar dia tahu dia tidak bersendirian menanggung beratnya rasa sakit sengsara itu. Aku sedia menjadi teman setianya selagi nyawaku masih tersisa.

Jika dapat aku ambil sedikit perit lukanya itu, sudah pasti akan aku ambil semuanya. Biar aku seorang yang sengsara.

"Dia... tak layak mengaku dia mama Ayyan! Dia tak layak! Selama ni Ayyan hidup ke mati ada dia fikir!? Dia hidup dengan kemewahan, sedangkan Ayyan sengsara! Perempuan apa macam tu! Lebih baik Ayyan anggap mama dah mati daripada anggap perempuan macam tu ialah mama, Ayyan!"

"Dia pun sengsara, Ayyan!" Apabila teringat kembali cerita dari kisah Puan Suraya, aku cuba bersuara bagi pihak Puan Suraya. Bukan untuk menambah luka, hanya sekadar untuk memperbetulkan sedikit tanggapan negatif Ayyan terhadap mamanya.

"Sengsara? Sengsara apa kalau dia hidup mewah?! Dia bahagia dengan kekayaan dia sampai tak pernah langsung dia jejakkan kaki kerumah kami? Dia tu perempuan penipu, sengaja nak tunjuk sikap berpura-pura, kononnya dia turut sengsara padahal apa yang selama ni dia hajatkan dia dah dapat! So, apa masalah lagi kenapa dia nak mengaku Ayyan ni anak dia lagi? Dia patut butakan mata daripada sedar kehadiran Ayyan ni! Dia patut buat macam tu!" Nada Ayyan melarat tidak terkawal.

Aku usap lagi belakang badannya. Aku rasa aku perlu kuncikan bibir, dan dengar sahaja luahan amarah daripada Ayyan.

"Ayyan...Benci dia!" Luah Ayyan diselaputi emosi.

"Sampai bila-bila Ayyan takkan terima dia lagi!" Bentak Ayyan lagi.

"Dia tak layak jadi mama Ayyan! Dia tak layak!" Dan, kali ini suaranya mengendur disirami dengan bunyi esakan.

Pelukan ikatan ini makin erat, Ayyan masih lagi tenggelam dalam tangisan manakala aku... Setia di sini... Ya Allah, janganlah kau jauhkan mereka berdua. Leraikan rasa dendam itu dan hapuskan ia pergi daripada lubuk hatinya... Ya Allah, aku mohon...

Writer's comment : serius, susah tulis bab ni. Huhu, sorry kalau feel tu kurang.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top