SYT 18


KERANA aku patah hati, hampir tercampak handphone dari peganganku. Namun tingkahku gagal kerana ada seseorang menepuk bahuku dari belakang. Terhenjut bahuku kerana terkejut. Siapa pula cari pasal waktu ni! Gerutuku dalam hati dan aku pusingkan tubuh menghadap gerangan pengacau.

Tak terkelip mataku apabila seraut wajah wanita menjamu mataku. Wanita tadi!

"Kamu kenapa, nak? Ada masalah apa-apa ke? Mak cik tengok kamu nak lempar handphone tu."

Lontaran suara wanita itu menyentuh hatiku. Pandangan yang tersembunyi dari anak matanya dapat aku baca. Ya Allah, prihatinnya mak cik ni. Kalaulah, aku boleh luahkan segalanya isi hatiku kepada dia. Sudah pasti dapat mengurangkan barang sedikit kelukaaan yang terpendam ini. Kalaulah semudah itu.

"Tak ada apa-apa, mak cik. Saya okay, biasalah setiap kehidupan seseorang tak pernah jemu dijenguk dugaan."

Suaraku lemah menuturkan kata, bersembunyi daripada terbias duka di hati bersama terselitnya kebohongan. Bukan tidak mahu meluah, tetapi aku bimbang andai luahan aku bakal mengganggu ketenangan dia. Sedangkan aku sendiri terkapai-kapai mencari erti ketenangan saat ini, lagilah dia? Aku tidak mahu sesiapapun merasai beban yang tidak berkesudahan ini. Adakah tiada lagi sinar bahagia buatku?

"Kamu putus cinta?"

Pandangan lembut dia hadiahkan kepadaku. Seakan memujuk aku agar membuka hati bagi melakarkan apa yang bergumpal dalam relung hati. Tetapi, mana mungkin aku goyah. Aku sudah terbiasa memendam rasa, sehinggakan aku tidak pandai meluahkan pada sesiapapun melainkan Kak Mina. Dia sahaja berjaya menjadi seorang insan yang mengetahui isi hatiku, itupun bukan sepenuhnya.

Gelengan aku jadikan jawapan. Bibirku masih diam membatu. Dan, sesekali anak mataku beralih melarikan diri daripada bersabung dengan anak matanya. Aku pun takut juga aku bakal goyah nanti.

"Kalau putus cinta... mak cik nasihatkan jangan terlalu ikutkan perasaan kecewa, mungkin juga dia bukan jodoh kamu... mak cik percaya lambat laun lelaki yang terbaik bakal hadir dalam hidup kamu, menjadikan kamu wanita terbahagia. Masa tu, terimalah kamu dengan senang hati, ikhlaskan diri menyayangi dan mencintai dia sepenuh jiwa raga... jangan pernah jadi seperti mak cik... wanita yang bodoh... tinggalkan lelaki yang mencintai mak cik hanya kerana tidak tahan hidup dalam kemiskinan, dan akhirnya memakan diri mak cik sendiri," luah wanita itu penuh emosi.

Aku sendiri yang mendengarnya turut diselimuti kesedihan. Sakit yang aku tanggung mungkin tiada apa jika dibandingkan sakit yang termeterai dalam hati wanita itu. Meninggalkan kekasih yang dicintai kerana tekanan hidup itu lebih perih bukan? Penyesalan itu lebih menyeksakan!

"Mak cik cintakan dia sepenuh hati, kami bercinta sampai ke jinjang pelamin yang penuh pancaroba. Tetapi, mak cik tak reti bersyukur, sanggup mak cik gadaikan bahagia semata-mata wang ringgit. Mak cik tinggalkan dia dan anak mak cik yang lain. Dan... mak cik pisahkan si kembar sejak dari baby lagi... Ya Allah..." lirihnya dia mengungkap kisah hidupnya membuatkan dadaku sebak menampung emosi. Aku tenggelam menghayati segala titik perih yang dia catitkan pada deria pendengaranku.

Aku panggung wajah, mataku tertunak pada anak matanya yang sedang berair. Nafas lemah aku buang perlahan, sesaknya dada melihat air mata itu terjatuh pada pipinya yang cengkung. Tangan tuanya aku genggam erat bagi menyalurkan walaupun setitik kekuatan untuknya.

"Mak cik tak dapat menghubungi suami mak cik. Dia bawa diri bersama anak-anak, sehinggakan rumah kami yang dulu dia tinggalkan. Ya Allah, sungguh hancur lumat berkecai-kecai hati mak cik apabila semuanya hilang sekelip mata. Suami mak cik yang paling mak cik cinta, tak ada lagi di depan mata. Tak tahu bagaimana nak jelaskan sakit itu, nak. Anak mak cik dua orang tu pun tak dapat mak cik lihat wajah mereka. Paling mak cik terkilan, anak mak cik yang kembar itu... Mak cik tak dapat berikan dia kasih sayang sejak dari bayi lagi. Ya Allah... Mak cik berdosa..." lirih, tersangat lirih suara wanita itu meluahkan segalanya. Dia menekup mulut, menahan badai tangisan yang aku kira bakal pecah bila-bila masa sahaja. Tidak sampai hati aku melihat dia, mataku turut tercela setitis air mata. Bahunya aku usap lembut, memujuk dia dalam diam agar dapat bertahan daripada menjadi wanita lemah seperti aku.

"Setiap hari, mak cik berdoa dipertemukan suami dan anak-anak mak cik. Mak cik tunggu saban hari, setiap saat waktu, setiap detik nadi ini agar Allah memakbulkan doa mak cik. Tak pernah berputus asa."

Wanita itu tertunduk, aku lihat dia menyeka air mata yang berjuraian. Ya Allah, berikan ketabahan buat dia. Titipku satu doa untuk wanita dihadapanku ini.

Lama juga aku dan dia diselubungi kesunyian dan menyulam kesedihan.

"Maafkan mak cik sebab ceritakan kisah hidup mak cik pada kamu. Sepatutnya mak cik yang dengar masalah kamu, bukan mak cik yang cerita," ulasnya setelah tangisannya sedikit mereda. Senyuman tawar dia palitkan pada bibir, sebagai penghibur lara. Aku turut berjangkit dan mencalitkan sedikit senyuman, yang jelas tiada serinya. Tawar, setawar-tawarnya.

"Takpe mak cik, saya berdoa semoga mak cik berjumpa semula dengan keluarga mak cik. In Shaa Allah. Saya kagum dengan ketabahan mak cik... masih boleh tersenyum walaupun dunia mak cik serba kelam dan malap."

Sungguh, ikhlas aku titipkan doa bersama kata-kata kagum sebagai tanda dia wanita yang cekal dan hebat. Berbanding aku yang cengeng ini.

"In Shaa Allah, Amin. Moga Allah kabulkan doa kamu untuk mak cik. Mak cik pun berharap kamu boleh hadapi dugaan kamu dengan lebih tabah. Satu sahaja nasihat mak cik, jangan pernah berputus asa dalam rahmat Allah. Allah sayangkan hambaNya, sebab itu dia hadiahkan seberkas dugaan untuk menduga hamba mana yang lebih beriman. Dalam surah Al 'Ankabut ayat 2-5, Allah berfirman : Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan : 'Kami telah beriman,' sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta. Ataukah orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu mengira bahwa mereka akan luput (dari azab) Kami? Amatlah buruk apa yang mereka tetapkan itu. Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu, pasti datang. Dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Aku terdiam mendengar ayat-ayat terjemahan itu. Rasa terhina diri ini kerana alpa, mengapa dugaan sekecil kuman ini aku agungkan sampai menangis tidak ingat dunia? Perlukah aku bazirkan air mata kerana seorang lelaki. Ya Allah, aku mohon ampun kepadaMu kerana melebihkan menangis kerana dia daripada menangisi dosa yang aku kendong selama ini. Aku berdosa, Ya Allah. Terimbas-imbas lembaran ingatanku tentang dosa noda yang terpalit keji dalam sanubari. Dadaku sebak, mencengkam penyesalan dosaku yang lalu.

"Mak cik balik dulu ye, nak... Maaf mak cik tak boleh lama, anak mak cik dah sampai tu."

Lamunan keinsafanku tersentak, aku dongak memandang dia yang telah berdiri di hadapanku. Aku turut bangun menghadap dia. Tanpa aku duga, tubuhku ditarik dalam pelukan. Erat. Terasa ada tangan hangat mengusap belakang tubuhku. Aku balas juga pelukan hangat itu, dapat aku rasai ada salur kasih sayang sesame manusia melalui sentuhan erat ini.

"Mak cik harap kamu bertemu kebahagian. Terima kasih sudi tolong mak cik kat kedai tadi. Jasa kamu sentiasa mak cik ingat sampai bila-bila. Semoga kamu bertemu jodoh yang terbaik dan kekal sampai ke Jannah. Allahumma Amin."

Doanya yang tulus itu meruntun hatiku hiba. Aku sangat terharu menyambut hadiah doa yang seikhlas dan setulus ini. Terima kasih, Ya Allah kerana kurniakan walaupun sebentar cuma insan seperti ini kepadaku.

"In Shaa Allah, Allahumma Amin. Terima kasih banyak-banyak mak cik, mak cik banyak sedarkan kealpaan saya. Saya benar-benar terhutang budi dengan mak cik. Saya berdoa bersungguh-sungguh semoga mak cik dipertemukan secepat mungkin dengan suami dan anak-anak tercinta. In Shaa Allah, Amin. Selagi hayat dikandung badan, saya akan sentiasa mengingati mak cik, doa juga tidak putus saya hadiahkan untuk mak cik. Mak cik jangan lupakan saya ye?"

Kami leraikan pelukan. Dia anggukan kepala dan bibirnya itu terlukis senyuman manis, cantik sekali wajah itu aku tenung. Jari jemarinya menyentuh pipiku, diusapnya penuh kasih. Aku turut melakukan hal yang sama.

"In Shaa Allah, mak cik takkan lupa. Mak cik pergi dulu ye," lembut bicaranya terhulur sebelum kakinya mengorak langkah meninggalkan aku.

Sebak merantaiku melihat belakang tubuhnya yang sedikit menjauh. Tanpa pamitan aku merapatinya, tangan kananya yang tidak bertongkat aku pegang erat, membantu dia berjalan di sisinya. Dia menolehku sebentar bersama senyuman tidak putus-putus, aku membalasnya tanpa jemu.

Langkah kaki kami terhenti sisi kereta honda cx berwarna merah. Seorang lelaki terlihat keluar dari perut kereta. Aku memfokuskan pandangan pada lelaki itu yang sedang menunduk membetulkan topi di atas kepala. Gaya macam korean idol di airport! Muka bertutup dengan mask hitam, cermin mata pula hitam. Eh, tak panas ke tengahari terpacak atas kepala pakai macam tu?

Habislah peluang aku nak tatap muka dia, mesti dia handsome sebab mencuri kecantikan ibu dia. Tetapi, sayang seribu kali sayang. Peluang itu sudah tergantung sepi.

"Mama, siapa dia?"

Lelaki itu bertanya setelah dia mendekati mamanya. Aku hanya membatu, dengan mata masih cuba mengintai-intai mata dia yang tersembunyi dari cermin mata gelapnya itu. Kemudian, mataku mengimbas lelaki itu atas bawah. Ketinggian lelaki macam korean guy juga, dengan pemakaian kemeja berwarna purple. Seluar slack hitam dan kasut sneakers? Alamak, kurang sedikit peratus perfect untuk lelaki itu. Kenapalah pakai kasut sneakers? Kan helok kalau pakai kasut untuk kepejabat tu. Entah nama kasut tu boleh terhilang dari kamus ingatanku. Tetapi, tetap kacak pada pandangan mataku.

"Dia kawan mama. Baru je jumpa tadi. Kenalkan ni eh... Mama pun tak tahu nama kamu. Nama kamu siapa?"

Terletus tawa dari bibir lelaki itu. Aku dan wanita itu juga turut tertawa. Iyelah, rasa kelakar pula kami tidak saling kenal nama sedari tadi.

"Nama menantu mama pun tak tahu... Ini ke calon menantu yang mama idamkan ni?"

Terhenti ketawaku demi perkataan menantu. Apa benda dia merepek ni? Kalau nak bergurau pun agak-agaklah.

Bahu dia kulihat ditampar oleh mamanya. Aku tidak tahu untuk pamerkan reaksi apa. Serius, aku terpinga-pinga.

.......................................................

Writer's comment : trtambah satu lagi saingan Ayyan xD

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top