Bab 70
SYT 70
4 bulan kemudian~
HARI ini merupakan kali pertama Ayyan menjalani kemoterapi. Wajahnya disaluti lesu. Pipinya cengkung, tulang pipinya sedikit kelihatan. Aku diserang sebak melihat dia terbaring lesu di atas katil.
Air mata mahu mengalir tetapi, aku tahan.
Aku berdiri lama memandang dia dari jauh. Hendak menegur dia, bimbang aku mengacau dia. Mungkin dia tahan sakit kerana kesan daripada kemoterapi. Aku dengar daripada mak cik belah mak, kemoterapi itu sakit sangat. Seluruh badan akan melemah, rambut kemudiannya akan gugur perlahan-lahan.
Aku pejam mata. Ya Allah, kuatkan suamiku.
Aku perlu meluahkan dan mengadu semuanya kepada Ilahi, untuk mendoakan kesembuhan buat suamiku yang paling aku sayang dan cinta.
...
"Ya Allah, Ya Tuhanku. Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kau sembuhkanlah penyakit suamiku. Kau kuatkanlah dia daripada sakit yang dia hadapi, Ya Allah. Kau hilangkanlah sel-sel kanser yang ada di dalam tubuhnya itu. Ya Allah, Ya Tuhanku. Aku mohon sesungguh hati, jika sakit yang suamiku hadapi tidak dapat ditanggung, berilah..." Aku tekup bibir, aku tahan esak yang mahu bergema. Aku tidak mahu Ayyan dengar esakan aku. Ya Allah. Kuatkan aku.
"Ya Allah, andai sakit yang dia hadapi tidak terperi, Kau berilah sakit itu kepadaku. Biar aku yang menanggungnya, biar aku yang rasa kesakitannya, Ya Allah. Ya Allah, aku mohon sesungguh hati. Berilah kesembuhan kepada suamiku. Aku mohon Kau ampunkan dosa-dosa suamiku, dosa dia yang lepas atau dosa-dosa yang dia lakukan akan datang. Ya Allah... Ampunkan dosa dia... Aku mohon, berikan dia kekuatan, Ya Allah. Berikan dia kekuatan untuk melawan sakitnya itu. Ya Allah, bantulah aku. Sesungguhnya Kau Maha Pengampuan dan Maha Penyembuh segala penyakit."
Aku menyapu tangan ke muka dan tekup mulut sekuat hati. Telekung yang melekap aku lucutkan laju, segera aku bergegas ke bilik air, untuk melempiaskan tangisanku.
...
Setelah sedikit reda, aku membasuh muka seraya keluar. Dada yang sesak tadi aku usap perlahan, zikir-zikir aku alunkan di bibir untuk menyalurkan ketenangan di dalam hati.
Aku menapak ke arah Ayyan. Dia nampak tenang di ulit mimpi. Tiada kerutan di dahinya seperti semalam. Mungkin, berkat doaku tadi. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya Allah.
Aku duduk di birai katil. Memerhati dia. Mahu menegur tidak mungkin aku lakukan. Aku risau andai aku merosakkan ketenangan dia.
Jam di dinding aku kerling, pukul 9 malam. Kebiasaannya, waktu ini Ayyan belum tidur. Rindu pula hendak mendengar suaranya menyapa aku. Bagaimana Ya Allah, walaupun tubuhnya ada di sini, aku masih rindu. Bagaimana pula jika sekujur tubuhnya meninggalkan aku? Bagaimana untuk aku tanggung rindu ini?
Aku tertunduk, dan dalam kesepian aku memujuk hati. Jangan bersedih, Allah ada.
"Sayang... buat apa tak tidur lagi?" Kedengaran suara Ayyan serak menyapa aku.
Aku sedikit tersentak. Tidak menyangka Ayyan akan menegur aku.
"Takde apa, abang tidurlah. Reen nak ke bawah kejap." Dalihku, padahal hatiku tengah merintih melihat mata itu layu dan sayu. Mungkin dalam diam, dia meringis sakit. Sebab itu, suram dan kelam sahaja seraut itu terpamer.
"Sayang... abang haus, tolong buatkan air oren untuk abang?" Permintaan Ayyan aku turuti, tetapi sebelum itu aku mendekati tubuhnya. Entah kenapa, mendengari permintaan itu sungguh meluluhkan hati aku. Bila lagi, permintaan Ayyan akan kembali menjengah diriku nanti?
"Abang... abang tunggu ye, Reen buatkan air... Abang jangan tidur dulu..." Aku ambil tangannya, da belakang tangannya aku cium. Setitis air mata jatuh tanpa sengaja.
Aku gigit bibir, bodohnya aku! Kenapa aku menangis! Jangan! Tahan dulu!
Kepalaku seperti biasa disalut penuh kasih. Aku ditusuk rasa mahu menangis kembali. Ya Allah, kuatkan aku.
"Sayang... Abang janji tak tidur dulu. Dah, jangan nangis..."
Aku angkat wajah, merenung sekitar parasnya. Di bibir pucat itu ada senyuman.
Daguku ditarik sedikit, ubunku dikucup pula. Aku tersentuh menerima kehangatan kasih Ayyan untukku. Tetapi, mengapa sukar benar untuk aku tinggalkan dia? Hatiku seakan tidak rela untuk berpisah dengan dia, sekarang ini?
...
"ABANG!" Panggilku setelah aku membuka pintu.
Ternampak mata Ayyan tertutup. Aku ditimpa rasa gelisah. Laju kakiku melangkah menghampirinya. Dadaku berdebar kencang saat ini.
"Abang... Bangun... Reen dah buatkan air oren ni." Sedaya upaya aku cuba kawal suara daripada meninggi. Aku percaya, dia hanya tertidur. Ya, tertidur sahaja. Bukan sengaja tidur. Atau... Tidak mungkin...
Dia diam tidak bereaksi. Tidak menunjukkan tanda-tanda untuk bangun. Aku sudah diserang gelisah. Air mata mula mengalir. Ya Allah. Tolong beri peluang dia minum dahulu sebelum meninggalkan dunia ini. Kasihan dia, Ya Allah. Aku mohon.
"Abang... jangan tinggalkan Reen... bangun abang..." bahunya aku goncang sedikit.
Aku pejam mata. Sabar, mungkin dia tidur lena sangat. Cuba kupujuk rawan di hati.
"Sayang... Sorry, abang tertidur lena. Abang mimpi indah, sayang..."
Pantas, aku buka mata. Ya Allah, syukur! Suamiku masih hidup. Terus, tubuhnya aku rangkul. Aku peluk erat, aku mula teresak-esak. Mahu menangis kerana bahagia aku masih masih diberi peluang untuk mendengar suaranya lagi. Terima kasih, Ya Allah.
"Sayang... Abang mimpikan Maira. Humaira. Anak kita." Dia mengadu kepadaku sambil tangannya mengusap belakang tubuhku.
Aku terkejut mendengar mimpi itu. Ternyata Ayyan tidak sabar menimang cahaya mata. Nama pula sudah diberikan seawal 1 bulan kandunganku. Dia kata dia mahu puteri. Dia mahu anak perempuan.
Aku rungkaikan pelukan dan mengambil air oren di tepi meja. Aku hulurkan pada dia. Dia tersenyum dan menghirup air oren buatanku perlahan-lahan, dan akhirnya habis melalui celah kerongkongnya. Terlalu dahaga agaknya suamiku ini.
Aku meletak semula cawan ke tepi, perhatianku kini khusus untuk dia. Ingin mendengar lebih lanjut kisah mimpinya. Hujung bibirnya aku kesat sedikit.
"Sayang tutup lampu dulu. Kita baring, abang nak peluk sayang sambil bercerita."
Aku angguk dan suis lampu terus ku tekan. Gelap gulita bilik kami, dan hanya dihiasi cerah lampu bilik. Dengan gerak berhati-hati, aku duduk sebelah Ayyan.
Dia menarik sedikit pinggangku supaya menghimpit tubuhnya. Lalu, di peluk pinggangku dari tepi.
"Er, tak berat ke Reen ni?" soalku gusar.
"Tak, sayang... Abang rindu nak peluk sayang..." Bisik Ayyan penuh romantis. Aku tersenyum senang lalu ku lentokkan kepala ke bahunya.
"Berbalik pada mimpi abang tadi. Abang mimpi abang sambut Maira lahir. Maira menangis je, abang azankan. Dia diam sekejap... Abang dukung dia, dan abang cium pipi anak abang..."
Sebak. Hanya itu merantai segala perasaanku. Ayyan terlalu mengharapkan untuk berjumpa anaknya sampai termimpi-mimpi. Rasa simpati tertumpah dalam aliran perasaan. Ya Allah, kuatkan hati dia. Kau berikan dia peluang untuk menatap anaknya nanti, ya Allah.
Perut aku tiba-tiba menerima usapan lembut daripada tangan sasanya.
Aku biarkan dia memegang cahaya matanya itu. Walaupun hanya luaran, mesti Maira. Anakku tahu ayahnya sedang menyentuhnya.
"Kita sama-sama doa ye, abang dapat jumpa Maira. Humaira." Sedikit bergetar suaraku keluar di bibir. Berat sekali untuk aku ungkapkan nama yang diberi oleh Ayyan sendiri. Dia kata dia suka nama Humaira. Pipi kemerah-merahan. Dia kata, Maira macam aku. Suka blushing. Mutiaraku jatuh jua, menoda ruang pipiku lagi.
"Sayang... Abang tak sabar nak tengok Maira. Tak tahu kenapa, abang dah sedia nak jadi ayah. Abang nak peluk anak abang, nak cium anak abang, nak didik anak abang biar jadi anak yang berguna untuk ibu dan ayah dia. Kalau boleh, abang nak anak abang muka macam sayang. Lembut, cantik... Dan sikap dia pun macam sayang... Baik, penyayang dan penting sekali hormat ibu bapa. Abang tak nak anak abang perangai macam abang. Jahat, degil."
"Apa abang ni. Mana ada abang degil, jahat. Abanglah suami paling baik, paling penyayang dan paling penting sekali paling kacak, tau!"
"Abang tahu abang kacak sangat. Takde siapa lebih kacak daripada abang, kan?" Ayyan menyambut usikanku. Dia menghadiahkan kucupan mesra di pipiku dan aku turut membalas. Biarlah aku simpan sisa memori ini di dalam ingatan.
"Hmm, abang penat. Abang nak baring, ye?"
Aku angguk dan menolong dia baring.
Lama suasana menyepi. Aku memandang siling, kosong fikiranku kini. Kepalaku tiba-tiba menerima sentuhan tangan Ayyan.
"Meh tidur atas lengan, abang." Ajak Ayyan.
"Nanti abang sakit tangan. Takpelah, abang."
"Taklah sayang, meh sini."
Aku mengalah dan jatuhkan kepala di atas lengannya. Wajahku kembali menghadap wajahnya. Aku tersenyum memandang dia.
Ayyan mengucup dahiku lembut. Hangatnya sentuhan itu mengalirkan sejuta sendu dalam hatiku. Aku hanyut dalam sebak.
"Maafkan abang kerana tak dapat hidup lebih lama untuk membahagiakan sayang..."
Ayyan berbisik halus dekat dengan telingaku. Setiap bait itu merobek-robek jantungku kejam. Aku tak sanggup kehilangan dia. Esakan aku semakin bergema. Tak dapat ditahan.
"Jangan cakap macam tu, abang," luahku bersama emosi yang tidak dapat dibendung.
"Nanti, kalau abang dah takde. Jaga diri, jangan menangis. Selalu senyum, tau sayang. Lagi satu, jaga anak kita. Humaira, cakap dengan anak kita. Ayah Humaira sayangkan Humaira sangat-sangat. Pesan pada dia juga, jaga ibu. Jadi anak yang baik."
Aku peluk erat tubuhnya, aku menangis semahunya di dada bidangnya. Kenapa, aku rasakan Ayyan bakal tinggalkan aku nanti?
"Jangan nangis, sayang... Abang dodoikan sayang, ye?"
Aku diam, mengesat air mata dalam kedukaan.
"Disaat ku tiada nanti, tiada lagi disisimu
Jangan kau bersedih dan menangis
Engkau insan yang ku sayang
Yang paling ku kasih dirimu
Amat bererti dihidupku..."
Linangan ini makin deras, habis basah lencun baju Ayyan. Tanganku menggenggam erat pinggangnya.
"Nanti diakhir nafasku
Lihatlah ku buat kali yang terakhir
Doa doakan la aku
Disaat aku menghadap-Nya..." Esakan Ayyan pula kedengaran. Ubunku dicium bertalu-talu.
"Abang minta maaf, sayang..."
"A-bang tak salah..."
Esakan kami bersatu. Kami berpelukan lama sebelum kami beradun ke alam mimpi.
...
Writer's commet : Jgn lupakan Ayyan. Hero paling kuat, melawan sakit demi isterinya, Nur Arina. ^_^
29 dec 2019
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top