PROLOG
Kakinya melangkah laju meninggalkan rumah itu. Tanpa menoleh ke belakang, dia terus berlari, meredah hutan tebal. Ranting-ranting pokok yang tajam menyakiti batang tubuhnya, meninggalkan kesan calar yang pedih.
Rasa sakit dia abaikan. Dia tahu, ini mungkin satu-satunya peluang untuk melarikan diri. Namun, langkahnya semakin perlahan. Tenaganya mula hilang, seperti dilarikan oleh setiap helaan nafas yang berat.
Dia berhenti sekejap, tunduk memegang lutut sambil tercungap-cungap mencari nafas. Matanya melilau sekeliling. Dari tadi, yang dia nampak cuma pokok-pokok, semuanya sama, semuanya membingungkan.
Perlahan-lahan, dia melangkah lagi tanpa arah. Dia tidak tahu ke mana dia pergi. Yang dia tahu, dia hanya mahu balik. Balik ke rumah. Bersatu dengan keluarganya semula.
Setengah jam berlalu. Hutan masih tidak menunjukkan sebarang jalan keluar. Matahari semakin rendah di ufuk, cahayanya makin pudar. Tubuh kecilnya akhirnya mengalah, memohon untuk direhatkan.
Dia duduk bersandar pada sebatang pokok besar. Nafasnya turun naik, dan dia memejamkan mata rapat-rapat. Matahari semakin menghilang. Hari semakin gelap.
Dia penat.
Dia lapar.
Dia takut.
Seorang budak lelaki berusia 12 tahun itu kini sendirian di tengah hutan, ditemani bayang-bayang gelap yang semakin pekat. Langit juga seakan tidak memihak kepadanya. Guruh mula berdentum kuat, seperti amaran dari sesuatu yang tidak mampu dia fahami.
"Ummi... baby takut..." Perlahan suara itu terluah bersama linangan air mata. Telinga kecilnya ditekup dengan tangan, cuba melindungi diri daripada bunyi yang mengancam ketenangannya. Bahunya terangkat-angkat setiap kali guruh mengaum di langit.
Tidak lama kemudian, titisan hujan mula membasahi wajahnya. Hujan lebat turun tanpa belas kasihan, memukul tubuh kecilnya yang semakin menggigil kesejukan. Dia memeluk lutut erat, menangis dalam diam.
"Ummi... baby nak balik..."
Suara kecilnya tenggelam dalam bunyi deras hujan. Kepalanya ditekup ke lutut, tubuhnya menggigil hebat. Air mata dan titisan hujan bercampur menjadi satu, menimpa tanah hutan yang dingin.
Dia terus menangis sehingga akhirnya tertidur dalam kepenatan. Doanya tidak putus-putus, berharap esok membawa keajaiban. Harapannya cuma satu, untuk kembali ke pangkuan keluarganya.
Keesokan harinya.
Cip cip cip.
Kicauan burung memecah keheningan pagi, menyedarkan dia dari lenanya. Tubuhnya terasa berat, kepalanya pening. Perlahan-lahan, dia membuka mata, membiarkan cahaya pagi menembusi penglihatannya.
Seekor burung merpati putih hinggap di bahunya, kepaknya melipat dengan anggun.
Cip cip.
Dia menggosok mata beberapa kali, cuba memastikan apa yang dilihatnya bukan mimpi. Burung itu terbang, berpusing di hadapannya, mengepak sayap seperti cuba menarik perhatian.
Dia berdiri perlahan-lahan, mengikut gerakan burung itu dengan matanya. Burung itu kelihatan terbang ke satu arah, kembali dan mengepak di hadapannya, seolah memintanya untuk mengikut.
Dia teragak-agak, namun langkah kecilnya mula bergerak. Kakinya menggigil, tapi rasa ingin tahu dan harapan menguatkan hatinya. Burung itu terus terbang rendah, memimpin jalannya.
Setelah beberapa minit berjalan, dia terlihat sesuatu di antara celahan pokok. Jalan tar yang kecil, memuatkan sebuah kenderaan sahaja, mungkin jalan sehala. Dadanya mula berdegup kencang.
"Jalan raya..." suaranya perlahan, nyaris tidak kedengaran.
Dengan terhuyung-hayang, dia meneruskan langkah dengan baki tenaga yang ada. Pandangannya kabur, kepalanya semakin memberat dan akhirnya, dia rebah di tepi jalan, tidak sedarkan diri.
***
Matanya dibuka sedikit demi sedikit, pandangannya yang berbalam perlahan-lahan semakin jelas. Wajah seorang budak perempuan bertudung muncul di hadapannya.
"Abah! Dia dah bangun!" jerit budak perempuan itu.
Matanya melilau sekeliling. Jelas kelihatan keliru. Tempat ini terlalu asing buatnya. Badannya terasa sakit dan tekaknya terasa kering. Dia tidak pasti dia berada di mana. Lengannya yang luka sudah berbalut.
"Awak, nak aiskrim?"
Suara lembut itu menyapa kesedarannya. Kepala ditoleh ke tepi. Seorang budak perempuan mungkin sekitar belasan tahun, tersenyum lebar dengan dua kon aiskrim di tangan. Satu hanya tinggal kon manakala satu lagi kelihatan masih baru.
"Dua-dua ni saya punya, tapi sebab awak dah bangun saya bagi awak satu," sambung budak perempuan itu sambil menghulurkan aiskrim yang belum disentuh. Manakala satu lagi dia habiskan kon tersebut.
Dia menelan air liur, rasa takut menjalar di hatinya. Matanya hanya memandang aiskrim itu dan wajah budak perempuan itu silih ganti.
"Tangan awak sakit? Nak saya suap?" Budak perempuan itu terus berceloteh.
Dia cuba untuk bangun dari pembaringannya. Namun, tubuhnya terlalu lemah. Bibir diketap menahan sakit yang menjalar seluruh tubuhnya. Mata dipejamkan sekejap dengan nafas yang memberat.
"Awak nak bangun ke? Kejap tau, tunggu abah datang." Lembut suara itu memujuknya. Budak perempuan itu menjenguk ke luar bilik, menanti kehadiran abahnya dengan wajah risau.
Tidak lama, budak perempuan itu kembali duduk di kerusi di sisi kanan katil.
"Hmm.. awak makanlah ni dulu." Dihulurnya aiskrim di tangan ke bibir budak lelaki yang sedang baring terlantar itu. Dengan harapan untuk menenangkan dan melupakan rasa sakit walaupun sekejap.
Matanya merenung ke dalam anak mata hitam pekat milik budak lelaki itu.
"Jangan takut, saya baik." Tenang dia cuba meyakinkan budak lelaki tersebut.
Perlahan dan penuh waspada budak lelaki itu mula menjilat aiskrim yang dia hulurkan.
Sekali jilat. Dia berhenti memandang budak perempuan itu. Seperti masih takut-takut.
"Sedap kan? Makanlah."
Mungkin lega tekaknya berasa sejuk, laju budak lelaki itu menghabiskan aiskrimnya meninggalkan kon sahaja sebelum dia berhenti makan.
"Kon tak nak?" tanya budak perempuan itu.
Dia menggelengkan kepala. Dengan selamba, budak perempuan itu menghabiskan kon aiskrim yang telah dia makan tadi.
Selesai menghabiskan kon aiskrim, dalam diam memerhati budak lelaki yang hanya senyap dari tadi. Dia tertarik dengan anak mata hitam pekat itu. Matanya ditautkan.
"Mata awak cantik..." luahnya.
"tapi kosong," sambungnya lagi. Kosong-sekosongnya seolah menyembunyikan sesuatu yang besar.
Dia mengerdipkan mata beberapa kali, cuba memahami kata-kata budak perempuan itu.
"Nama saya Afnan. Nama awak apa?"
Diam. Budak lelaki itu tidak menjawab. Hanya matanya terus berkelip memandang budak perempuan di sisinya.
"Takpe kalau awak tak nak jawab." Masih lembut suara budak perempuan itu. Tidak mahu menakutkan budak lelaki di hadapannya.
"Iman." Hampir tidak kedengaran suaranya. Sejujurnya, matanya terasa memberat. Dia penat. Penat sangat.
"Awak. Iman!" Kedengaran suara panik budak perempuan itu apabila dia mula menutup mata perlahan-lahan.
"Abah! Cepatlah abah!"
Dan dunianya berubah gelap dan senyap.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top