BAB 5
"Haziq Anaqi!" Awal pagi suara Zuheyr sudah bergema lantang, memenuhi setiap sudut pejabat. Mujur di aras itu hanya khas untuk jawatan tertinggi yang menempatkan mereka tiga sahabat.
Haziq yang sedang duduk santai di atas sofa ruang utama terkejut. Tubuhnya terangkat sedikit. Dia memandang ke arah Zuheyr yang sedang bercekak pinggang.
"Kau makan aiskrim aku kan?" Mata Zuheyr mencerlung tajam, tidak puas hati.
"Apa aku pula? Kau takde bukti nak tuduh aku," jawab Haziq dengan wajah selamba.
Jari telunjuk Zuheyr menuding ke arah tong sampah berdekatan meja Haziq. Buat kerja tak bersih. Jelas-jelas plastik aiskrim kegemaran Zuheyr di dalam itu. Tidak cukup bijak seperti maksud namanya.
Haziq hanya mampu tersengih. Tangan mula menggaru kepala yang tidak gatal.
"Alaa semalam panas sangatlah. Aku malas nak keluar beli aiskrim. Nanti aku gantilah balik aiskrim kau."
Jawapan Haziq tidak diendahkan. Tanpa berlengah Zuheyr terus meluru ke arah Haziq dan menolak tubuhnya sehingga terbaring di atas sofa. Rambut Haziq ditarik.
"Ahh, Iman! Sakit woi!" jerit Haziq kuat. Haziq cuba melawan, tangannya cuba menarik rambut Zuheyr.
Maka bermulalah pergelutan sengit di ruang pejabat itu. Sekejap Haziq berada di atas, cuba meloloskan diri, namun dengan pantas Zuheyr menariknya semula, membuatkan mereka berdua berguling-guling di atas sofa. Gelak ketawa bercampur jeritan kedengaran, membuatkan pejabat yang tadinya tenang menjadi riuh.
"Iman, ahhh! Aku minta maaf!" Haziq cuba menolak tubuh Iman tetapi gagal.
"Ayyan!"
"Ay..yan Faqih! Tolong selamatkan aku daripada anak buas kau ni!" Jerit Haziq dengan suara yang terputus-putus.
Ayyan Faqih, yang sejak awal hanya memerhati di sebalik meja kerjanya sekadar menggeleng kepala. Dia sudah terbiasa dengan tingkah laku dua sahabatnya itu.
"Korang ni tak pernah matang," Ayyan mengomel perlahan, walaupun dia sebenarnya terhibur dengan aksi mereka.
Haziq cuba menjerit lagi, tetapi suaranya tenggelam timbul. Mulutnya ditekup oleh tangan Zuheyr. Tangannya terkapai-kapai meminta bantuan tetapi Ayyan hanya bersandar di kerusinya, enggan masuk campur.
"Ayyan tolong! Boleh mati aku macam ni!" rayu Haziq dengan penuh dramatik sambil cuba menolak tubuh Zuheyr yang berada di atasnya. Walaupun fizikal Zuheyr paling kecil antara mereka bertiga tetapi Zuheyr bukannya kosong. Black belt taekwondo kut!
Ayyan mengeluh perlahan. Dia juga yang kena masuk campur. Ayyan bangkit dari tempat duduknya lalu menarik tubuh Zuheyr dan dijauhkan daripada Haziq.
"Iman," panggil Ayyan dengan lembut.
Zuheyr pandang Ayyan dengan mata berkaca-kaca.
"Dia selalu buat macam ni, Ayyan. Asyik makan aiskrim aku je." Dengan nafas yang termengah-mengah Zuheyr berkata.
"Halah mengadu pula dia!" Perli Haziq sambil membetulkan rambutnya yang kusut.
"Kau diam, Haziq." Tegur Ayyan dengan jelingan.
"Nanti Haziq belikan kau aiskrim apa pun yang kau nak, okay? Banyak mana pun tak kisah." Pujuk Ayyan lembut. Haziq yang berdiri di tepinya disiku.
"Eh, dia CEO kut. Boleh je beli sendiri," bidas Haziq.
Zuheyr menggigit bibir perlahan. Matanya yang sudah berkaca memandang Haziq.
"Kau CFO kan? Banyak duit," balas Zuheyr.
Ayyan memicit dahi sekejap. Nampak gayanya, sambung pusingan kedua pula dua budak ni.
"Eh yang banyak duit tu syarikat. Bukannya aku."
"Tak kira, kau pun banyak duit."
"Dasar CEO, aiskrim pun nak berkira."
Ayyan duduk menyandar di sofa. Bersilang tangan memerhati drama episod kedua pula. Selagi mereka tidak bercakaran sudah cukup baik.
"Kau yang berkira bukan aku huh!" gumam Zuheyr dengan muka merajuk.
Haziq tersenyum nakal.
"Macam mana kau boleh jadi CEO manja macam ni?" Jelingan Zuheyr membuatkan Haziq ketawa. Tak seram langsung.
"Ish kau ni Haziq! Cubalah pujuk betul-betul. Nangis budak tu nanti." Tegur Ayyan. Kenal sangat dengan perangai Haziq yang gemar mengusik Zuheyr.
"Tulah kau, manjakan sangat dia."
"Aik, aku pula kena."
Pandangan Ayyan beralih kepada Zuheyr. Melihat Zuheyr yang sudah mencebik, Ayyan mencuit paha Haziq.
Haziq ketawa kecil. Dia faham maksud cuitan Ayyan. Kepala Zuheyr diusap kasar.
"Untuk kau, satu kedai aiskrim pun aku boleh belikan."
"Janji?" Soal Zuheyr dengan mata bersinar. Senyuman lebar terukir di bibirnya.
"Hello, ni Haziq Anaqi tau. Mana pernah mungkir janji."
"Kalau kau buat lagi, aku tarik rambut kau sampai botak," ugut Zuheyr.
Haziq angkat sebelah tangan gaya berikrar. "Janji tak buat lagi. Rambut aku berharga, okay."
"Dah habis drama korang?" tanya Ayyan dengan gelengan kepala. Macam-macam kerenah dua sahabatnya ini.
Diam. Kedua-duanya hanya menayang sengihan tidak bersalah.
Haziq dan Zuheyr turut duduk menyandar di sofa. Masing-masing melepaskan lelah. Suasana yang tadinya riuh kembali tenang.
"Tiba-tiba aku teringat, dulu susah giler nak kawan dengan Iman. Sekali kena umpan dengan aiskrim terus melekat," ujar Ayyan dengan tawa kecil.
"Kalau tak sebab aku, kita takkan berkawan tau tak," celah Haziq.
"Yelah, kau yang paling bersungguh nak kawan dengan dia. Aku pun pelik mula-mula. Tapi serius cakap, aku tabik giler cara kau approach Iman dulu," puji Ayyan. Siapa sangka, Haziq Anaqi yang kuat mengusik Zuheyr Iman sekarang, tetapi dulunya paling beria nak jadikan Zuheyr kawan. Usaha dia sangat tak main ye!
Zuheyr hanya tersenyum mengenangkan kisah lama mereka.
Flashback
Haziq sejenis manusia yang mesra mula mencari kawan baru pada hari pertama persekolahan. Ada muka yang dia sudah kenal memandang sudah tahun ketiga dia di sekolah tersebut. Namun, ada beberapa wajah asing di matanya. Dia menghampiri satu wajah asing di dalam kelas itu.
"Hai, nama aku Haziq Anaqi. Nama kau apa?"
Zuheyr senyap membisu, terkebil-kebil memandang budak lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Tanpa menjawab soalan Haziq, tiba-tiba Zuheyr melarikan diri, meninggalkan Haziq terpinga-pinga.
Haziq menoleh, memandang ke arah sahabatnya yang baru sahaja muncul.
"Ayyan, muka aku seram sangat ke?"
"Agaklah, macam nak makan orang," gurau Ayyan.
Haziq menyekeh kepala Ayyan.
"Aku serius ni."
Ayyan hanya ketawa.
Sudah seminggu sesi persekolahan bermula tetapi Zuheyr masih belum mempunyai kawan. Dia lebih suka menyendiri, berbeza dengan Haziq dan Ayyan yang sentiasa berkepit ke sana sini. Dan seminggu itu juga Haziq dan Ayyan memerhati Zuheyr.
Waktu rehat, Zuheyr tidak akan ke kantin kerana dia tidak suka bising. Mujur sekolah itu mempunyai banyak pondok kecil di sekitarnya. Dia selesa berseorangan. Seperti kebiasaan, hari ini pun dia duduk seorang diri di pondok itu.
"Nah." Zuheyr mengangkat kepala, memandang wajah manusia yang tiba-tiba menegurnya.
Haziq muncul dengan dua kon aiskrim bersama Ayyan di sisi. Satunya dihulurkan kepada Zuheyr. Nampak sahaja aiskrim, mata Zuheyr bertukar bulat bersinar, berkerlipan kecil, walaupun bibirnya masih terkunci. Takut-takut dia menyambut aiskrim tersebut.
"Terima kasih," ucapnya perlahan. Hampir tidak didengari Haziq dan Ayyan.
Haziq dan Ayyan mengambil tempat di sebelah Zuheyr tanpa sepatah kata. Masing-masing senyap membisu. Hanya duduk menikmati aiskrim sehingga masa rehat tamat.
Esok dan seterusnya pun masih begitu. Hari demi hari, minggu berganti minggu, perkara itu menjadi rutin bagi mereka sehingga Zuheyr kelihatan selesa dan menerima kehadiran mereka.
Hinggalah satu hari, Haziq memulakan langkah seterusnya.
"Aku nak tanya semula, nama kau apa?" tanya Haziq sekadar mencuba.
Zuheyr yang sedang asyik menjilat aiskrimnya berhenti sejenak, memandang dua manusia yang tidak berputus asa untuk mendekatinya.
"Iman. Zuheyr Iman."
"Aku Ayyan Faqih." Ayyan yang duduk diam di tepi menghulurkan tangannya sebagai tanda perkenalan dengan senyuman manis di bibir.
"Dan sekali lagi, aku Haziq Anaqi."
Maka, bermulalah persahabatan mereka bertiga dari detik itu. Tidak sia-sia Haziq dan Ayyan memerhati Zuheyr selama seminggu. Dah serupa gaya stalker mereka sepanjang seminggu itu. Demi hendak mendekati dan berkawan dengan seorang Zuheyr Iman.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top