BAB 4

Hanan tercongak menanti di kaunter. Matanya kejap-kejap memandang pintu masuk kafe seperti menunggu kelibat seseorang.

"Anis, budak haritu ada datang kafe tak sepanjang aku takde?" tanya Hanan.

Anis yang sedang membersihkan meja pelanggan berhenti sekejap. Menoleh ke arah Hanan dengan raut wajah seperti sedang berfikir.

"Budak mana eh?" Pelanggan bukan seorang dua setiap hari.

"Alaa... budak lelaki yang kau kata tiap hari datang makan aiskrim sama je tu."

"Oh, budak tu. Ada je datang macam biasa." Anis meneruskan kerjanya semula apabila Hanan senyap tidak bertanya lagi.

Pintu kafe dibuka dari luar membuatkan Hanan laju menoleh. Bibirnya automatik mengukirkan senyuman. Yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Kacak berbaju kemeja biru dengan lengan yang dilipat hingga ke siku. Dan seperti biasa, mata Hanan langsung tidak berkalih. Umpama dia terpukau dengan lelaki itu.

Zuheyr memandang ke arah kaunter dengan debaran di dada. Gulp! Dah kenapa dia pandang aku macam tu? 

Dia berdehem, cuba menyedarkan gadis di hadapannya namun tiada tindak balas. Kemudian, dia mengetuk meja kaunter beberapa kali.

Hanan tersentak. Wajahnya berubah merah. Kenapa susah sangat nak kawal diri bila dengan dia, Hanan?!

"Maaf maaf. Macam biasa kan? Awak duduk dulu, nanti saya hantar," ucap Hanan kalut. Zuheyr akur berlalu pergi ke tempat duduk biasanya.

Tidak lama kemudian, Hanan datang dengan aiskrim kegemaran Zuheyr. "Ni aiskrim awak. Hari ni saya belanja."

Zuheyr mendongak memandang wajah Hanan sekilas.

"Maaf, saya tak terima." Kad banknya dihulurkan kepada Hanan.

"Haritu boleh je," ungkit Hanan.

"Haritu saya tak bawa duit, Hanan. Awak nak saya bayarkan semula ke?" Masih lembut nada Zuheyr.

Laju Hanan menggeleng. "Eh, tak payah. Saya ikhlas. Dan hari ni pun sama."

Zuheyr mengeluh perlahan. "Kalau macam tu, saya tak nak aiskrim ni." Tegas nada suaranya kali tanpa segaris senyuman di wajah.

Lain pula dengan Hanan yang murah dengan senyuman dari tadi.

"Baiklah, awak boleh bayar tapi dengan satu syarat." Laju kad bank Zuheyr dia ambil daripada tangan lelaki itu. Walaupun Zuheyr tak pandang dia, tetapi dia dapat nampak anak mata Zuheyr bergerak sekejap memandangnya dari hujung mata.

"Saya nak berkenalan dengan awak, Zuheyr."

"Saya tak berminat." Tanpa lengah sesaat Zuheyr menjawab.

Auch! Sakitnya Hanan rasakan bila ditolak mentah-mentah.

"Awak tak nak fikir dulu?" Cuba Hanan lagi.

Zuheyr menggelengkan kepala dengan yakin.

"Kalau macam tu, saya tak nak terima sebarang bayaran." Diletaknya kembali kad Zuheyr ke atas meja.

Zuheyr bingkas berdiri dan mengambil kadnya semula.

"Eh, awak nak pergi mana?" soal Hanan terkejut.

"Balik."

"Aiskrim awak?" Hanan tunjuk ke arah aiskrim yang belum disentuh langsung.

"No means no, Hanan." Tetap dengan pendiriannya.

Mencerlung mata Hanan memandang Zuheyr.

"Ish, degil! Bak sini kad tu. Saya tak kacau awak makan. Habiskan aiskrim tu." Kad di tangan Zuheyr dirampasnya dan Hanan bergegas ke kaunter untuk membuat pembayaran.

Hanan tarik nafas sebelum melangkah kembali kepada Zuheyr. Sabar Hanan, nak dapat orang comel kena banyak sabar. Kad Zuheyr dia kembalikan.

"Dah, tak payah risau. Aiskrim dah bayar. Awak boleh makan dengan tenang."

Zuheyr duduk semula di tempatnya. Manakala Hanan bergerak mengambil tempat duduk di meja tepat berhadapannya.

Zuheyr menghela nafas panjang. Entah apa masalah gadis itu pun dia tak faham. Sungguh dia tidak selesa dengan mata Hanan yang tak pernah lari daripada memandangnya.

"Afnan Hanan."

Hanan mengangkat kening. "Saya tak kacau awak pun. Saya tengok je."

"Can you just please stop looking at me? Saya tak suka. I'm not your property, Hanan," luahnya jujur dengan nada rayuan kali ini.

Hanan telan liur, sedar dengan perubahan nada suara lelaki itu menunjukkan betapa Zuheyr benar-benar tidak selesa dengan tingkah lakunya. Perlahan dia bangkit dari kerusi.

"Okay, sorry," ujar Hanan lembut lalu membawa diri ke bahagian kaunter.

Zuheyr menghembus nafas lega sebaik sahaja gadis itu berlalu pergi. Jiwanya yang tadi kacau mulai tenang.

Dari jauh, Hanan melihat Zuheyr yang mula menikmati aiskrimnya. Hanan menarik nafas panjang, menyedari bahawa dia sedang melakukan kerja gila yang tidak mudah. Setekad itukah kau Hanan?

Tapi ini Afnan Hanan lah! Tiada kata menyerah kalah dalam kamus hidupnya. Apa yang dia nak, dia akan usahakan sampai dapat. Selagi lelaki itu belum berpunya, akan dia usahakan. Dan selebihnya dia serahkan kepada Dia.


Keesokan harinya.

Matanya sibuk memandang skrin ipad di hadapannya. Jarinya lincah menconteng sesuatu di atas kertas kosong. Hanan sedang mencari idea untuk menambahbaik menu di kafenya. Juga menyahkan menu yang kurang mendapat sambutan.

Dahinya berkerut. Aiskrim matcha crunchy topping pistachio antara menu yang kurang mendapat sambutan.

Tapi... tu favourite Zuheyr. Zuheyr datang kafe dia pun semata sebab aiskrim itu. Menghapuskan aiskrim itu daripada menu akan membuatkan mereka semakin jauh.

"Let's just keep you for my own sake," bisik Hanan seorang diri dengan senyuman kecil di bibir.

Matanya terpandang figura seorang lelaki yang amat dia kenali. Berjalan menuju ke kaunter dengan santai. Kali ini, Hanan hanya memerhati dari meja berdekatan kaunter. Sekilas matanya menilik lelaki itu atas bawah. Sangat simple dengan hoodie hitam. Mata lelaki itu hampir tidak kelihatan dek kerana hoodie yang menutup kepalanya ditambah lagi dengan rambutnya yang terjuntai di dahi.

Hanan gagal menahan senyum. Nampak lebih comel lelaki itu dengan hoodie. Jantungnya mula bekerja lebih keras. Wahai jantung, betulkah he's the right one?

Matanya masih memerhati Zuheyr. Tenang lelaki itu melabuhkan punggung di tempat duduk biasanya. Bibir bergerak membaca lafaz basmalah sebelum mula menyuap aiskrim ke dalam mulut.

Zuheyr senyum. Hanan senyum lebih lebar.

Debaran di dada kian terasa. Hanan mengeluh perlahan. Hati, kenapa mudah sangat terusik? Apa istimewanya Zuheyr sehingga hatinya sebegini? Lelah dengan permainan hatinya sendiri.

Melihat Zuheyr hampir selesai makan, Hanan keluarkan sticky note kecil dari begnya. Laju tangannya menulis sesuatu. Hanan bangun dan tanpa sebarang amaran, meletakkan nota itu di atas meja Zuheyr sambil melangkah pergi.

Zuheyr terkejut sekejap, suapannya terhenti. Perlahan dia mencapai nota itu.

Your smile is my weakness.

Zuheyr kaku seketika. Terus berubah merah wajahnya. Senyuman di bibir dihapuskan. Tak perlu dia toleh untuk mencari siapa pemberi nota tersebut. Cepat-cepat dia tundukkan kepala dan menyuap baki aiskrimnya.

Hanan menahan tawa melihat reaksi Zuheyr. Tampak jelas kekalutan lelaki itu selepas membaca notanya. Hilang segala ketenangannya tadi. Terbit rasa seronok dalam hati Hanan apabila berjaya menggoyahkan ketenangan Zuheyr.

Tidak lama kemudian, laju Zuheyr menapak keluar kafe. Tanpa menoleh kiri kanan.

Hanan bergegas mengejar Zuheyr. Tetapi kelibat Zuheyr hilang dari pandangannya sebaik sahaja dia keluar dari kafe. Langkahnya dihentikan dan matanya melilau sekeliling. Takkan cepat sangat dia hilang.

"Hai, comelnya awak!"

Sayup-sayup telinga Hanan menangkap suara seseorang. Matanya dapat menangkap kelibat Zuheyr sedang mencangkung di satu sudut. Tangan kiri dihulur seperti cuba mencapai sesuatu. Perlahan Hanan bergerak menghampiri.

Hanan terpaku. Statik di tempat dia berdiri. Terbeliak mata Hanan melihat sesuatu yang Zuheyr cuba capai. Anjing woi!

"Comellah awak ni. Tapi kenapa ramai takut dengan awak? Padahal awak tak kacau orang pun kan. Kesian awak." Tangan Zuheyr bergerak seperti sedang membelai tetapi hanya sekadar atas angin.

Hanan terus memerhati dalam diam walaupun dia hanya nampak dari sisi kanan Zuheyr.

Anjing itu pula hanya senyap memandang Zuheyr tidak berkelip. Seolah dia faham Zuheyr sedang bercakap dengannya. Zuheyr mencangkung dengan memeluk lutut.

"Maaf, saya takde makanan awak sekarang. Tapi, kalau awak lapar nanti awak pergi sana tau." Jari Zuheyr menuding ke arah pejabatnya. Anehnya, anjing itu turut menoleh.

Hanan pun sama. Oh, syarikat DreamQuest. Sebuah syarikat yang terkenal dengan barang permainan dan game untuk kanak-kanak mahu pun dewasa. Mata Hanan kembali tertumpu pada Zuheyr.

"Saya kerja kat situ. Kalau lapar cari saya dekat sana." Anjing itu menyalak perlahan.

Zuheyr tersenyum dengan wajah tenang tanpa menyedari dirinya sedang diperhati oleh sepasang mata.

"Bijaklah awak ni. Saya pergi dulu tau. Awak jangan kacau orang okay. Jadi budak baik. Bye!" Tangannya dilambai perlahan sebelum mengorak langkah semula tanpa menoleh ke belakang sedikit pun.

Hanan tercengang. Matanya memandang anjing yang sedang seronok menggoyangkan ekornya, menghantar Zuheyr pergi.

"Amboi kau seronok eh," tegur Hanan sambil bercekak pinggang.

Anjing tersebut memusingkan badan. Mata bertentang mata. Ekornya masih bergoyang seolah mengejek Hanan.

"Apa? Ingat aku takut? Huh, untunglah kau. Bukan setakat dapat sembang, dahlah kena puji comel lepastu dapat tengok senyuman dia," bebel Hanan seorang diri. Sudahlah dia hanya nampak sipi-sipi senyuman lelaki itu disebabkan hoodie yang menutupi kepalanya.

"Senang kerja kau eh. Aku ni dia tak pandang langsung pun. Padahal kita sama-sama je haram. Bezanya kau tu haram yang kekal. Aku ni haram yang boleh dihalalkan. Huh!"

Hanan mendengus geram. Meninggalkan anjing yang terpinga-pinga memandangnya. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top