Pada pagi Sabtu yang tenang, dua beradik itu sudah bangkit dari lena yang panjang. Sudah menjadi kebiasaan mereka untuk bangun awal walaupun pada hujung minggu. Hasil didikan ibu dan abah mereka.
Hanan berdiri di hadapan cermin, menyikat rambutnya yang panjang sambil mulut menggumam lagu.
"You, you memang sangat cute. So stop lah being so cute. You buat I hanyut."
Tiba-tiba, wajah lelaki comel yang dia jumpa beberapa hari lepas bermain di minda. Bibirnya mengukirkan senyuman tanpa sedar. Jantung berdegup kencang. Tidak lama kemudian, kepala digeleng beberapa kali.
"Ish astaghfirullah Hanan! Apa kau ni? Macam mana boleh teringat dia? Ini semua mainan syaitan tahu tak." Hanan cuba menepis perasaan aneh yang bertandang di hati. Usai siap menyikat rambut, Hanan menapak keluar bilik.
Serentak abangnya juga keluar dari bilik.
"Good morning, abang!" Sapa Hanan dengan ceria.
"Morning, adik." Aydan mengusap kasar kepala Hanan sehingga rambut yang tadinya terletak kemas kini menjadi serabai.
"Abang!" Hanan cepat-cepat menepis tangan abangnya. Rambutnya dirapikan semula.
Aydan ketawa kecil, seronok mengusik adik tunggalnya. Mereka berjalan beriringan ke tingkat bawah. Hanan mengekori langkah abangnya yang menuju pintu utama rumah. Saja menyibuk.
"Abang nak pergi mana?"
"Joging kat taman," jawab Aydan sambil membongkok untuk mengikat tali kasutnya.
"Nak ikut!" balas Hanan dengan teruja. Lagipun, rasa lama dah dia tak pergi membakar lemak.
Aydan menoleh ke arah adiknya. "Ishh tak boleh, abang dah janji nak jogging dengan kawan abang."
Aydan cuba menolak dengan lembut walaupun dia tahu adiknya itu keras kepala dan tak boleh dihalang oleh sesiapa pun. Kalau dia kata nak tu, memang dia akan usahakan sampai dapat.
"Alaaa nak ikut juga. Adik janji tak kacau abang. Tunggu adik siap lima minit je, okay? Kalau abang tinggal adik, siap abang!"
Belum sempat Aydan membalas, Hanan sudah pun berlari naik ke atas untuk bersiap. Aydan menggeleng kepala sambil menghembus nafas panjang.
Terbuntang mata Hanan melihat kawan yang abangnya maksudkan. Matanya tertancap pada lelaki itu. Setiap langkah, setiap gerak tubuhnya, dan setiap hela nafasnya terasa bagaikan bergerak perlahan di mata Hanan. Meski penampilannya sederhana, sekadar baju hitam lengan pendek dan seluar track hitam tetapi auranya terasa luar biasa. Jantung Hanan berdegup kencang, sama seperti kali pertama dia melihat lelaki itu, dan setiap kali dia teringat lelaki itu. Seakan-akan ada sesuatu yang memaut hatinya tanpa alasan yang jelas.
"Sorry lambat, Iman. Adik aku ni, sibuk nak ikut sekali."
Zuheyr sekadar mengangguk. Matanya memandang sekilas ke tepi Aydan untuk melihat adik yang dimaksudkan. Alisnya terangkat sedikit. Aik, macam pernah nampak je?
Aydan memandang adiknya yang tiba-tiba senyap dengan pandangan pelik. Tadi bukan main lagi becok mulutnya sepanjang perjalanan, tetapi kini diam membisu memerhati kawannya. Lengan Hanan disiku untuk menyedarkannya.
Tersentak, Hanan segera kembali ke realiti. Mukanya sedikit merah menahan malu.
"Afnan Hanan. Boleh panggil Hanan." Hanan perkenalkan dirinya terlebih dahulu.
Aydan menjongket kening. Masih memandang pelik adiknya. Sedikit terkejut dengan penggunaan nama Hanan padahal nama itu cuma dipakai untuk keluarga terdekat dan jarang sekali adiknya menggunakan nama itu di luar rumah.
"Iman," jawab lelaki itu pendek tanpa memandangnya seakan tidak berminat untuk berkenalan.
"Nama penuh?" tanya Hanan lagi membuatkan lelaki itu menjelingnya tidak puas hati.
"Zuheyr Iman, panggil Iman," tegasnya.
Bibir Hanan tersungging senyuman kecil. Zuheyr Iman, sedap namanya seperti tuan empunya badan.
"Tak nak, nak panggil Zuheyr," jawab Hanan berani.
"Tak boleh, panggil Iman je." Zuheyr menegaskan sekali lagi. Kali ini dia memandang tepat ke arah Hanan dengan mata yang sedikit tajam.
"Zuheyr!" Ulang Hanan, tidak mengalah.
"Iman!"
"Zuheyr!"
"Iman!"
Aydan yang berdiri di sebelah mereka menyilangkan tangan ke dada sambil memerhati drama di depan matanya. Keliru. Sepanjang dia berkawan dengan Zuheyr, tak pernah sekali pun dia melihat kawannya itu bertekak dengan sesiapa, lebih-lebih lagi perempuan. Dan adiknya yang tak pernah melayan lelaki, kini bertekak hanya kerana soal nama.
"Adik dah kenapa nak bertekak dengan kawan abang?" soal Aydan hairan.
Hanan meletakkan jari telunjuk di bibirnya, memberi isyarat kepada Aydan untuk tidak bersuara.
"Sukati awaklah. Aydan, jom!" Zuheyr mendengus perlahan. Malas melayan kerenah gadis itu setelah perdebatannya tidak berakhir seperti yang dia mahukan. Zuheyr terus bergerak memulakan langkahnya diikuti Aydan.
Oh yes! Hanan tersenyum kemenangan.
Satu pusingan.
Dua pusingan.
Masing masing masih santai dan kekal di posisi awal, Zuheyr dan Aydan di hadapan sementara Hanan hanya mengikut langkah mereka dari belakang.
"Jap!" Tiba-tiba Aydan berhenti mendadak. Zuheyr yang terkejut terus berhenti tanpa amaran dan memandang Aydan. Hanan yang tidak sempat menahan langkahnya terlanggar belakang badan Zuheyr.
"Ops sorry. Betul-betul tak sengaja," ucap Hanan pantas lalu mengundur ke belakang sambil mengangkat kedua belah tangannya seperti pesalah. Bimbang lelaki itu salah faham dengan tindakannya.
Zuheyr hanya memandang sekilas dengan ekspresi tenang.
"Abang dah kenapa?" tanya Hanan melihat abangnya yang memegang perut dengan wajah berkerut.
"Abang sakit perut. Korang duduk sini dulu tunggu aku tau. Bye!" Laju Aydan mencicit pergi tanpa sempat mereka berkata apa-apa.
Zuheyr terus melangkah ke meja bangku berdekatan tanpa sepatah kata.
Zuheyr duduk. Hanan duduk di hadapan dia.
Zuheyr pandang Hanan sekejap. Hanan pandang Zuheyr lama.
Tak berkalih langsung mata gadis itu merenungnya. Rasa tidak selesa membuatkan Zuheyr beralih ke hujung sebelah bangku. Hanan malah mengikut.
Zuheyr mengeluh panjang, wajahnya jelas menunjukkan tidak selesa dengan kehadiran gadis itu.
"Awak nak apa? Duduk diam je tak boleh ke?"
Hanan senyap, membiarkan soalan Zuheyr tidak berbalas. Hanan menongkat dagunya dengan kedua belah tangan. Matanya tak lari merenung Zuheyr. Kali ini dia tekad mencari punca jantungnya berdetak hebat. Riak wajah kekal tenang tetapi dalam hati hanya Hanan yang tahu.
Berbeza dengan Zuheyr yang jelas kelihatan gelisah. Jantungnya bukan setakat berdegup kencang tetapi dadanya turut terasa sempit. Renungan Hanan yang terlalu mendalam membuatkan Zuheyr rasa lemas. Kalau dibiarkan lama-lama rasanya boleh pengsan dia. Kalah dengan renungan gadis itu, Zuheyr menundukkan kepala.
Hanan tersenyum. Tidak dia sangka lelaki itu pemalu orangnya.
"Afnan Hanan, stop looking at me!" Tegas nada Zuheyr tanpa menaikkan suara.
Amaran Zuheyr umpama angin yang sekadar lalu di telinga Hanan. Marah pun soft-spoken, manalah dia takut.
Hanan terus diam. Hanya anak mata yang terus bergerak memandang lelaki di hadapannya.
Tanpa menunggu lebih lama, Zuheyr bingkas bangun. Cuba melarikan diri daripada terus direnung gadis itu. Sebelum dia pengsan lebih baik dia jauhkan diri daripada Hanan.
"Binti Umar! Afnan Hanan binti Umar! Awak dah boleh praktis siap-siap!" teriak Hanan dengan nada mengusik diikuti dengan ketawa kecil.
Terhenti seketika langkah Zuheyr. Tangannya digenggam erat menahan debaran di dada. Fuhh tenang Zuheyr! Nafas ditarik dalam-dalam dan langkah diteruskan dengan pantas.
"Eh awak! Ada aiskrim! Nak aiskrim tak?" Tepat pada masa pula pak cik aiskrim bergerak melalui kawasan mereka.
Laju Zuheyr menoleh ke belakang dan berpatah balik.
"Nakk!" jawabnya dengan teruja, membuat Hanan sedikit terkejut. Padahal tadi bukan main lagi serius dia.
"Nak perisa apa? Saya belanja," tawar Hanan.
Hanan memerhati gelagat lelaki itu. Mata yang tadi memandangnya tajam berubah menjadi bulat bersinar sambil memandang peti aiskrim di depannya. Mata bulat itu yang mencuri hatinya ketika kali pertama mereka berjumpa. Dan jantungnya semakin berdetak laju.
"Hmm vanilla je lah, nak kon tau pak cik." Nada suara Zuheyr turut berubah ceria.
"Saya coklat tapi cup ye."
Selesai membeli mereka kembali duduk di meja bangku tadi. Hanan tidak dapat mengalihkan pandangannya daripada Zuheyr, yang kini hanya fokus kepada aiskrim di tangan. Matanya bersinar dan bibir merahnya mengukir senyuman manis yang tadinya tidak ditunjukkan sedikit pun. Kelihatan seperti budak kecil yang sangat gembira setelah mendapat apa yang dia mahukan.
"Kan seronok kalau awak tengok saya macam aiskrim tu," ucap Hanan tanpa sedar.
"Hah, awak cakap apa tadi?" Zuheyr berhenti sejenak, mengangkat kepala dan memandang Hanan dengan dahi sedikit berkerut.
Hanan tersentak. Ingatkan dia luah dalam hati je tadi. Terlepas pula!
"Takde apa la. Awak memang suka aiskrim ke?" tanya Hanan. Lagipun hari-hari lelaki itu datang ke kafenya hanya untuk makan aiskrim.
Zuheyr mengangguk tanpa kata, kembali fokus kepada aiskrim di tangannya.
"Kalau macam tu senang saya nak culik awak nanti," usik Hanan dengan senyuman nakalnya. Entah kenapa dia rasa selesa dengan Zuheyr sehingga berani mengusik lelaki itu.
Zuheyr berhenti menjilat aiskrim dan menjeling gadis di hadapannya.
Terlepas tawa Hanan. Elehh main jeling-jeling macam tu ingat kita takut ke? Comel ada lah!
"Tak padan dengan badan kecik nak culik orang," balas Zuheyr selamba.
"Oii aku baru pegi kejap, korang dah dating sini eh siap makan aiskrim. Aiskrim aku takde?" sergah Aydan tiba-tiba.
"Abang ni, adik baru nak dating. Tak kasi peluang langsung. Dan sejak bila pula abang makan aiskrim, buang tabiat ke?" Hanan kenal sangat Aydan, langsung tak minat benda manis.
Aydan tersengih. "Halah gurau sikit pun tak boleh. Risaulah abang tinggal kawan abang lama-lama dengan adik. Kut adik culik dia nanti jual kat sempadan ke apa."
Sengaja Aydan memancing perhatian dua manusia itu lebih-lebih lagi adiknya. Bukan dia tidak sedar betapa lainnya pandangan Hanan terhadap Zuheyr.
Hanan memandang Aydan dengan senyuman nakal di bibir. "Abang macam tahu-tahu je kan adik nak culik dia. Tapi daripada adik jual dia, baik adik simpan dia."
Merah telinga Zuheyr dijadikan bahan usikan dua beradik itu. Diam dia membuatkan mereka semakin rancak mengusik.
"Jangan buat hal dik, anak orang tu. Tak pasal-pasal masuk penjara nanti. Abang juga yang susah."
"Kalau tak nak susah, suruh dia kahwin dengan adik."
Jawapan spontan Hanan membuatkan Aydan tercengang. Terdiam. Mulutnya ternganga, memandang adiknya dengan riak tidak percaya. Tidak menyangka Hanan boleh bergurau sampai tahap itu.
Terus tersedak Zuheyr yang sedang asyik menikmati aiskrim.
Bahkan Hanan sendiri tergamam. Terkejut dengan kata-kata yang meluncur laju dari mulutnya tanpa berfikir.
"Nak bergurau pun agak-agaklah, dik. Sampai tersedak member abang ni." Aydan cepat-cepat menepuk belakang Zuheyr dengan lembut. Jujur bagi Aydan agak melampau gurauan Hanan itu bagi dua manusia yang baru berjumpa pertama kali. Atau mungkin bukan yang pertama?
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top