Bab 8
Norman cuba menyelami apa yang terlintas di fikiran Jelita.
Jelita tidak tahu apa yang sesuai untuk dikatakan dalam keadaan itu.
Mujurlah makanan sudah hampir habis kerana mereka dua-dua jadi perlahan nak makan dek rasa canggung yang sukar ditepis ke tepi. Mereka tidak berpandangan.
Tanpa diduga seorang budak kecil terjatuh di sisi meja. Jelita dan Norman segera bangun mendapatkannya, tapi kanak-kanak yang baru berusia setahun lebih itu sudah mula berteriak.
Cucu Kak Mek pengusaha kedai rupanya, entah bagaimana terlepas dia daripada 'playpen' di ruang belakang kedai.
Lutut dan mulutnya berdarah. Air matanya mengalir laju. Norman cuba menahan pitam yang menular. Dia cuba menghulur tisu sebanyak mungkin kepada Jelita.
Jelita memujuk kanak-kanak perempuan itu sambil memberhentikan darah dari mulutnya. "Norman, maaf, tolong pegangkan tisu di kaki dia," minta Jelita walaupun dia tahu Norman sudah mula 'melayang'.
Bila Norman gagahkan juga membantu, Jelita terasa bangga melihatnya.
Kanak-kanak itu diambil ibunya yang masih bertelekung.
"Terima kasih, dia ni baru pandai memanjat, tapi ini kali pertama dia lepas, maaf ya susahkan awak berdua," terang ibunya segera.
Kanak-kanak itu dibawa pergi untuk lukanya dicuci. Norman lega walaupun pitam sudah berputik dalam dirinya. Nyaris dia tak pitam seratus peratus.
Tapi sebaik sahaja Jelita berpaling dia pura-pura lemah.
Jelita panik melihat rakannya pucat. Alamak, kesiannya Norman, tak patut aku suruh dia tolong tadi.
"Norman, awak OK?" tanya Jelita. Bila dilihatnya Norman tersandar tidak bermaya, dia bergegas membayar harga makanan.
"Jom saya hantar awak ke klinik," ajak Jelita.
Norman masih diam. Sengaja, kerana dia mahu melihat sejauh mana Jelita ambil berat padanya.
"Tunggu sini," kata Jelita kemudian dia bergegas pergi.
Alamak, ke mana pula Jelita pergi? Hati Norman tertanya-tanya, tapi dia tidak berani mengubah posisi. Nanti Jelita tahu muslihatnya.
Rupanya Jelita pergi mengambil keretanya.
"Jom Norman," ajak Jelita sambil tangan Norman ditariknya. Norman dilihatnya cuba bangun tapi masih lemah.
Pura-pura terhuyung-hayang, Norman memaut bahu Jelita. Dia membiarkan Jelita membantunya duduk di kereta comelnya.
Seronoknya Norman dapat rapat begitu dengan Jelita. Kali terakhir mereka berada dalam posisi sebegini, umur mereka sedekad lebih muda, tapi Norman sendiri tidak sangka tahap nakal dirinya sama saja.
Norman didudukkan di kerusi penumpang. Jelita terbongkok-bongkok menjangkau ke dalam kereta untuk mengenakan tali pinggang keselamatan untuk pesakit yang bakal dibawanya.
Terharu Norman. Baiknya hati kau Cantik Jelita. Dari dulu hingga sekarang jadi gadis penyelamat aku. Wanginya kau, Cantik Jelita, pakai perfume apa ya? Fragonard? Jo Malone?
Kalau Norman jahat, dia boleh tarik saja Jelita dan wanita itu akan terjatuh ke atasnya.
Tapi dia nakal, bukannya jahat. Jadi bila Jelita selesai mengenakan tali pinggang keselamatan dibiarkan Wonder Woman itu beredar ke tempat duduk pemandu tanpa disentuh sedikit pun.
Jelita segera memandu keretanya mengelilingi blok kolej. Sampai dia blok pejabat Ellie, dia pusing ke kiri untuk ke blok seterusnya.
Dilihatnya Norman sudah makin lemah. Matanya kuyu saja.
"Rasanya ada klinik 24 jam di sini Norman, bertahan ya. Jangan pengsan dulu, tolonglah. Dulu awak kurus kering. Sekarang otot sana otot sini, tak larat saya nak angkat awak ni.." pinta Jelita tanpa memandang Norman, sangkanya Norman masih separuh sedar.
"Uh, Jelita, saya.. OK.." kata Norman cuba mengakhiri penipuannya. Dia menginjak untuk membetulkan posisi duduknya.
Jelita segera menahan Norman. Tangan kirinya dilayangkan tepat ke dada lelaki itu.
"Jangan bergerak," kata Wonder Woman dengan. tegas.
Dan gemuruh yang sangat, sangat, sangat besar mencengkam jiwa Norman. Tak pastilah sebab Jelita menampannya dengan kuat atau arahan yang dikeluarkannya berbunyi begitu serius.
Tanpa melepaskan dada Norman, Jelita terus memandu ke klinik. "Awak lemah tu, baik jumpa doktor, jangan nak berlagak 'tough' depan saya," sambung Jelita masih yakin Norman belum pulih.
"Tak, saya.. OK," tergagap-gagap Norman, tambah lagi Jelita yang sibuk memusingkan stereng dengan sebelah tangan itu terus memegangnya.
Dan bila tangan yang menahan itu melurut sedikit ke rusuk kerana Jelita cuba untuk fokus pada pemanduan, Norman rasa jantung, paru-paru, ginjal.. semualah dalam dadanya itu, hampir meletup!
"J.. Je.. Jelita, saya OK. Be.. Betul.." katanya cuba menenangkan dirinya sendiri. Masa Jelita terduduk di ribanya tempoh hari dia rasa gementarnya juga, tapi kali ini teruk sangat rasa gemuruh.
Jantung Norman bergerak pantas. Dadanya yang masih melekat pada tangan Jelita itu berombak. Pitam yang tadi muncul sipi-sipi kini datang bawa kawan, namanya si 'mahu pengsan'.
"Eh, makin teruk awak ni. Jom, jom. Klinik di depan tu," kerah Jelita. Kereta dimatikan dan dia membuka tali keselamatan dia dan penumpang sekaligus.
Kemudian dia berlari pula ke pintu penumpang dan dengan tangkas membangunkan Norman yang baru sempat mengeluarkan kaki ke sisi daripada duduknya. Mudah, walaupun Norman lebih berat, sebab Jelita menggunakan teknik yang pernah dia belajar daripada seorang jururawat.
Terkejut Norman ditarik begitu. Kuatnya! Memang 'real-life' Wonder Woman agaknya.
Sekali lagi Jelita memapahnya, kali ini cuma beberapa tapak ke klinik yang kebetulannya tiada pesakit menunggu.
Kemudian, maaf, tapi yang ini memang luar biasa ya; punggung Norman diraba Jelita!
(Nota khas untuk pembaca: Memang sengaja, sebenarnya terpaksa, ada sebab kukuh ya!)
"Where's your wallet, Norman? Ada bawa kad pengenalan?" tanya Jelita.
Norman beku yang tidak berais. Dompetnya dapat dikesan Jelita di poket belakang kanannya dan lelaki itu didudukkan di kerusi klinik sebelum menguruskan pendaftaran.
Norman kali ini betul-betul rasa pitam. Selambanya kau pegang-pegang aku, Jelita! jerit hati Norman yang dalam keadaan yang sukar digambarkan.
Dia tidak sempat berkata apa-apa kerana jururawat terus memanggil mereka masuk ke dalam. Untuk kali ketiga hari itu, Jelita memapahnya, kali ini masuk ke ruang pesakit. Bila Norman dibaringkan di katil, Jelita keluar semula untuk menghabiskan urusan pendaftaran.
"Wow, your heart beat rate is off the charts, what happened to you sir?" tanya doktor yang sudah putih semua rambutnya itu. Tag namanya tertulis, KIDIR.
Norman yang terbaring tidak dapat mengeluarkan balasan.
Di mana nak mula? Jantung aku memecut laju sebab ada perempuan yang lawa macam bidadari selamatkan aku dan sentuh badan aku sesuka hati?
"I can't handle the sight of blood.." terang Norman.
".. Or being rescued by a pretty woman.." sambungnya dengan keluhan berat.
Tergelak besar doktor itu.
"Ahh.. Trying to gain her attention?"
"Not at first, then yes, lastly it backfired spectacularly.." terang Norman.
"Tensing your muscles can help you with the first problem, I'm sure you already know of this technique for fighting anxiety. Second problem is even easier to solve," kata Doktor Kidir.
Terangkat kening Norman mendengarnya. "Ya?"
"Mengaku suka sajalah," sakat doktor itu lalu ketawa seperti Mumra dalam kartun Thundercats. Terkedu Norman.
Norman disuruhnya menarik nafas panjang untuk beberapa kali sambil dia membuat pemeriksaan lanjut. Kemudian, Norman dipaksa minum air glukosa dan berehat untuk sepuluh minit.
"Kita lelaki, ada lesen untuk mula dulu, jangan bagi orang perempuan tunggu. Sekarang ni, ada yang sedang tunggu awak di luar tu. Pergilah jumpa dia, beritahu," nasihat doktor di minit kesebelas.
Norman bangun dari katil pesakit yang didudukinya. "Ubat berani ada tak doktor?"
"Saya ada sesuatu yang lebih mujarab daripada ubat. Doa," balasnya. "Saya doa yang datang pada kamu dengan dia ialah kebahagian bersama," ikhlas bunyi doa pendek sang doktor.
Norman mengaminkan sambil tersenyum. Dia menarik nafas dalam sebelum membuka pintu.
Nampak saja Norman di muka pintu, Jelita menerpa, mana tahu kalau-kalau dia masih lemah.
Terpaku Norman melihat riak muka Jelita yang risaukannya. Mula-mula rasa bersalah yang teramat melanda kerana membuat Jelita menunggunya dalam keadaan begitu.
Namun kemudiannya, tak dapat dinafikan yang hatinya terlalu suka kerana kini dia tahu Jelita sangat mengambil berat tentang dirinya.
Memang ambil berat sangatlah kalau sanggup meraba punggungnya supaya segera didaftarkan, ya? Bahagian dirinya yang paling nakal mencucuk otaknya dengan buah fikiran itu.
Jelita pula hairan lihat Norman berhenti di situ. Masih lemah agaknya si Norman ni. Bersalahnya aku suruh dia dekat dengan darah. "Doktor kata apa? Jomlah keluar, pegang tangan saya, ya?" kata Jelita dan pintu bilik doktor jadi saksi.
Berbunga-bunga hati Norman mendengarnya! Tersenyum-senyum dia, gembiranya terasa lain macam. Pandangannya penuh makna namun mereka berdua sama-sama faham.
Oops. Apa ni Jelita? "Jomlah keluar, pegang tangan saya" apanya?! Wanita itu geram sendirian kerana tidak hati-hati memilih perkataan, dia tak bermaksud mengajak Norman keluar seperti di perpustakaan dulu.
Ah, buat tak faham sajalah. Damn you, door! marah Jelita.
Norman menghulurkan tangan. Jelita membalas dengan mengangkat lengan. Gaya mereka macam James Bond dan pasangannya, cuma Norman perempuan, Jelita lelaki.
Mereka duduk menunggu ubat dan Jelita cuma bertanya sama ada dia masih pitam atau tidak, dan apa kata doktor. Norman bercerita dengan sedikit perkataan.
Bila jururawat memanggil, Norman cuba bangun tapi Jelita menyentuh ribanya untuk menahan lelaki itu bangun.
Jelita...! Kau sedar tak apa yang kau sedang buat pada aku ni? Berdebar lagi jantung Norman diperlakukan begitu.
Yang sebenarnya Jelita tak nampak langsung bahagian mana kaki Norman disentuhnya kerana bergegas bila dipanggil ke bahagian farmasi.
Ubat Norman diambil dan bayarannya diselesaikan. "Dah. Dapat MC ni. Jom, saya hantarkan awak balik. Rehat OK?"
"Rasanya dah boleh memandu ni, terima kasih ya Jelita. Susahkan awak saja," kata Norman.
"Tak susahlah. Jom," balas Jelita ikhlas sambil menghulur dompet kulit Norman yang hampir terlupa dipulangkan.
Mereka berpisah di kereta Norman yang diletak hampir dengan kolej.
"Terima kasih Jelita. Berapa bayaran tadi?" kata Norman sekali lagi.
"Sama-sama, dan jangan risau tentang bayaran. Awak pandulah, saya ikut dari belakang. Sepatutnya saya hantar awak saja malam ni. Kan tadi baru lepas pitam," balas Jelita.
Norman enggan menyusahkan Jelita lagi. Cukup-cukuplah wanita itu menyelamatkannya dia yang sebenarnya tidak perlu diselamatkan malam itu.
Tapi Jelita berkeras mahu menemani, apatah lagi bila dia dapat tahu rumah Norman dan rumahnya sehala jalannya.
Lalu Norman memandu dengan selamat pulang, dan Jelita mengekori keretanya dari jarak selamat. Sampai saja pintu pagar kediaman keluarganya, dia segera turun.
Jelita melihat Norman stabil saja rupanya turun dari kereta. Norman tinggal dengan ibu bapanya, karang keluar pula orang tua dia. Cabut Jelita, cabut! Jelita sekadar mengangkat tangan sebelum memandu pulang ke rumahnya sendiri. Norman membalas dengan mengangkat tangan juga. Kereta Jelita direnungnya hingga lenyap dari pandangan.
"Aku rasa kau sayang juga pada aku kan Jelita? Kalau tak banyak, sikit mesti ada.." kata Norman sendirian sambil membuka pagar rumah.
Dan dalam dadanya, lintasan hatinya lebih jujur daripada kata-kata. Sebenarnya aku harap sangatlah kau sayang aku banyak-banyak, sebab aku rasa aku cuma lagi sikit saja lagi nak jatuh cinta pada kau ni!
****
Sampai rumah, Jelita masih berdebar-debar. Ada-ada saja jadi kalau keluar dengan Norman. Tak boleh ke nak lepak dengan dia macam Jelita biasa keluar dengan kawan yang lain?
Kalau makan dengan kawan-kawan perempuannya, seronok saja. Tak pernah tumpah setitis pun darah sesiapa. Kalau lepak dengan geng pensyarah di kolej, baik lelaki mahupun wanita, sama juga, tidak ada yang pelik berlaku.
Dengan Norman.. Ish.. Jinx! Entahlah apa lagi yang boleh dikata. Dia menelefon Ellie.
Jelita: Ellie, sihat dah?
Ellie: Sihat memang sihat. Hati ni tak berapa sihat. Huhu.
Jelita: Aku pun rasa huhu jugalah. Esok kau masih cuti kan?
Ellie: Ya. Thank goodness.
Jelita: Masih tak mahu tengok muka boss?
Ellie: Yaaa...
Jelita: Apa cerita sebenarnya ni?
Ellie: Muka dia macam orang yang pernah aku kenal dulu.
Jelita: Ex-boyfriend?
Ellie: Bukan. Jiran sekampung masa kecil di Terengganu dulu.
Jelita: Wah, itu masa kau tadika, ingat lagi mukanya?
Ellie: Panjang ceritanya. Masa taichi nanti aku cerita?
Jelita: OK. Eh, nanti tolong tengok-tengokkan rumah aku?
Ellie: Oh ya, kau pergi Manila esok petang kan?
Jelita: Ya, Jumaat petang aku sampai KL balik. Leganya tak payah ke kolej.
Ellie: Tak nak 'lunch' dengan aku lagi lah tu ya. Aku merajuk ni.
Jelita: Eh, tak! Bukan mengelak kau. Mengelak orang lain.
Ellie: Setahu aku kau tengah mengelak Norman je..
Jelita: ..
Ellie: Dia datang cari kau di kolej? Hoi! Cerita cepat.
Jelita: ..
Ellie: Jelita.. Jelita!
Jelita: Uhh aku dengan Norman macam kena 'curse' sajalah. Panjang ceritanya juga. Lepas selesai Manila nanti aku cerita OK? Tapi kau kena cerita pasal Izzat Affan.
Ellie: ... OK deal!
****
Norman berpusing-pusing di kerusi pejabatnya. Bosan juga kerja pejabat ni. Kalau dulu dia rela turun ke ladang penternakan, pelantar minyak dan kilang demi menguruskan bahagian kejuruteraan.
Minggu hadapan barulah ada peluang turun padang. Kerjanya di syarikat telekomunikasi akan memerlukan dia ke Sarawak untuk beberapa hari, dia sendiri yang minta kerana nak melihat kemajuan kumpulan jurutera yang dihantar ke sana untuk memulakan projek hijau.
Perutnya berbunyi. Lapar. Tapi senyuman datang sendiri ke wajahnya. Dia teringat kisah petang semalam. Agaknya kalau perutnya tidak berbunyi, mesti Jelita tidak sudi keluar makan dengannya.
Dia tahu soalannya malam Sabtu minggu lepas membuatkan Jelita tidak selesa dengannya. Sebab itu jugalah hujung minggu baru-baru ini dia mengelak. Mulanya itu sekadar tekaannya. Tapi bila semalam Jelita terdiam bila Norman meminta diajak bila berjalan ke Thailand, dia jadi pasti itulah sebabnya.
Maknanya insiden pintu perpustakaan itu masih meninggalkan kesan pada Jelita, bukan dia saja. Kan?
Norman terasa seperti mahu pergi mencari Jelita lagi petang nanti, tapi melihat status Facebook Jelita pagi tadi yang menunjukkan kumpulan pelajar daripada universitinya sudah siap untuk bertanding di Manila, dia tahu Jelita sibuk.
Sudahlah malam tadi Norman menipu dia dan membuat dia penat saja menunggu di klinik doktor tua itu.
Tapi dia kan gadis penyelamat aku. Tentulah dia akan tunggu, fikir Norman sendirian.
"Tapi kalau betul kau suka dia, jangan tunggu lama-lama. Orang lawa macam dia ada je peminatnya."
Teringat pula dia pada Mirzan dengan nasihat bendulnya.
Terus dia menghantar pesanan Whatsapp kepada gadis penyelamatnya: {Jelita, jom makan sama Jumaat nanti?}
Dia terpaksa menunggu lebih sepuluh minit sebelum mesejnya dibalas.
{Boleh tak kalau awak masak dan kita makan beramai-ramai di rumah saya? Rasanya kurang sikit risiko pertumpahan darah.}
Dan Norman ketawa tak sudah-sudah hingga risau pembantu pejabatnya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top