Bab 3
Pagi Sabtu itu Ellie mengambil Jelita di rumahnya. Rumah mereka tidak jauh, Ellie berumah teres di Jalan Sebarau manakala Jelita di kondo berdekatan. Kalau jalan kaki, cuma 15 minit.
"Ada jus, Ellie?" tanya Jelita sebaik saja dia masuk ke dalam Kancil emas kesayangan Ellie. Walaupun kuno, masih gagah lagi, malah kalau ke mana-mana paling senang nak cari parkir.
"Kau punya ada di tempat duduk belakang tu, minumlah," pelawa Ellie yang memang ratu jus perahan sendiri itu.
Dengan ucapan terima kasih, Jelita minum tanpa segan. Mereka akan mengikut pakcik-pakcik dan makcik-makcik di taman membuat senaman taichi sebentar lagi, baik Jelita alas perut.
Sambil bertaichi mereka menikmati keindahan alam. Dua orang wanita yang berusia 33 tahun itu bergembira membandingkan markah yang masing-masing berikan kepada jejaka-jejaka comel yang lalu di depan mereka.
Kalau ada yang mengharap mereka berjogging, silap besarlah. Jelita dan Ellie percaya kalau berjogging atau melakukan apa-apa sukan berimpak tinggi, kedutan dan gelebehan akan datang, lebih cepatlah mereka tua.
Mereka berjalan cergas mengelilingi tasik. Selesai dua pusingan, mereka berjalan kaki saja ke Restoren Bagan Datoh yang asyik memutarkan lagu M. Daud Kilau. Lempeng pisang dan ubi sambal di restoren itu sedap, jadi ia menjadi salah satu tempat berkumpul kegemaran mereka.
"Ellie, aku nak tanya kau ni. Jangan marah, OK?" Jelita memulakan topik yang sudah semalaman diperamnya bersama pesanan teks Whatsapp dari Norman yang diterima malam tadi.
Melihat Ellie mula tertarik dengan pembuka katanya, Jelita meneruskan. "Tentang Norman Effendy. Dia lama juga menaruh harapan pada kau kan? Kau.. pernah tak sukakan dia? Walau sesaat sekalipun?"
Jelita tahu sejarah Ellie dengan Norman Effendy. Walaupun tidak banyak, faktanya sama: Norman Effendy pernah jatuh hati pada Ellie Arenawati, tapi perasaan itu tidak berbalas. Kenapa, Jelita tak pasti. Sampai sekarang dia hairan kenapalah Ellie tidak terima saja lelaki itu dari dulu lagi. Sekarang dua-duanya dah berusia tapi masih belum berpunya.
Jelita rasa dia perlu tanya soalan tadi atas rasa hormat, dan dia tidak mahu terlibat dalam ketegangan yang pernah ada antara kedua-duanya rakannya.
Ellie tergelak. "Oh, Norman. Sama macam dululah Jelita. Pada aku dia kawan saja. Dia pun dah terima aku sebagai kawan dia juga," balas Ellie.
"Maksud kau, dia dah boleh terima yang kau takkan terima dia?"
"Dah lama dia tinggalkan bab yang melibatkan akulah. Dia cerita pada aku, dia pernah bercinta masa sambung belajar di UK, malangnya kecundang. Tiga bulan lepas, sebelum aku masuk kerja di tempat baru, kami ada berjumpa dan perangainya sama macam awal-awal dulu masa kita baru masuk U," cerita Ellie.
Oh, jadi Ellie dan Norman sudah berjumpa lepas Norman pulang dari UK. Lega Jelita mendengarnya. "Jadi.. dia dah 'move on'?"
"Ya. Lama dulu. Kenapa?"
Jelita tiba-tiba segan pula nak bercerita. "Manalah tahu, dia tak boleh lupakan kau. Kau kan cinta pertama dia.." katanya menutup malu.
"Kalau betul aku ni bermakna sangat dalam hidup dia takkanlah dia boleh berubah dan terima aku sebagai kawan sekarang," kata Ellie yakin.
Jelita terdiam. Sebab itulah Norman tidak minta nombor telefon Ellie, hal antara mereka sudah diselesaikan.
"Kenapa pula tiba-tiba tanya tentang Norman ni?" Ellie pula menyoal.
Jelita teragak-agak hendak bercerita.
"Uhh, aku terjumpa dengan dia petang kelmarin. Sempatlah minum bersama dan kemudian dia minta nombor telefon. Malam tu, dia telefon, berborak hal biasa," cerita Jelita.
"Semalam, dia ajak aku keluar makan tengah hari tapi kebetulan aku ada kelas ganti. Dia ajak minum petang. Mula-mula aku ingat dia saja ajak lepak. Tapi dia beri bunga pula.."
"Wah, romantiknya!" celah Ellie.
Jelita mengangguk. Kalau sesama wanita memang lazimnya akan fikir begitu, sebut bunga mesti rasa ianya mesej romantis.
Jelita tahu dia akan rasa lebih lega kalau dia berterus-terang saja pada Ellie.
"Katanya untuk berterima kasih. Um.. peliklah bagi bunga. Nak menyakat macam zaman U kot. Aku rasa bersalah pula pada kau waktu itu, sebab.. yalah.. mana tahu, kalau sekarang kau dah ada perasaan pula pada Norman seperti yang dulu Norman rasa untuk kau.." katanya sambil meneliti reaksi kawannya.
Ellie senyum macam mengejek dia saja. Lalu Jelita teruskan, "Kita kan kawan. Aku tak mahu sebab Norman, kita berdua jadi lain macam pula.. Jadi bila lewat malam tadi dia ajak aku keluar sama lagi hari ni, aku jadi serba-salah nak balas mesejnya.."
Rakannya itu cepat-cepat memotong. "Eh, jangan macam tu.. tak ada apa-apa yang perlu kau risaukan, Jelita. Kau dan Norman dua-dua bujang. Dia dah tak ada perasaan apa-apa yang istimewa pun untuk aku sekarang, malah dah lama dah pun. Jangan pula sebab kisah lama, kau dengan dia tak mahu mencuba.. Berkawan rapat... 'Dating'.. Kau faham kan?" kata Ellie, ikhlas.
Jelita dan Ellie berpandangan. Ubi rebus dan sambal yang sampai dibiarkan dulu dengan lagu 'Senyumlah'.
"Eh tapi dulu kau suka juga pada dia kan, sekarang macam mana?" Ellie menyerangnya pula dengan soalan.
Jelita ketawa apabila mengenangkan zaman muda. "Dulu memang aku suka, tapi hanya sebab dia 'handsome', bukan sebab orangnya baik atau bijak. Angau zaman muda! Keluar sahaja dari U, barulah aku rasa jatuh cinta yang sebenarnya," kata Jelita.
Ellie tahu siapa yang Jelita maksudkan. Mereka berdua berpandangan lagi, saling memahami. Ubi rebus dikongsi.
Bagi Jelita dua-dua jejaka yang sebelum ini pernah dipanggil istimewa, sudah tidak istimewa lagi. Suffi sudah lama lenyap dengan wanita pilihan ibunya manakala Ehsan tidak lagi mengganggunya, jadi Jelita sekarang sudah lega dan makin bersedia untuk meneruskan hidupnya sebagai penerbang solo sahaja.
"Jadi Norman ni cuma cinta monyet kau ya," gurau Ellie.
Tersipu-sipu Jelita. "Kalau kami memang suka sama suka, pernah bercinta di kampus layaklah dipanggil cinta monyet. Setakat aku seorang saja yang jadi peminat tegar termimpi-mimpikan dia, layak jadi cinta ikan separuh saja lah kot!" Jelita turut merapu sama, lalu kedua-dua wanita itu terbahak-bahak di meja.
Reda ketawa, Ellie menasihati rakannya. "Jelita, bagilah Norman peluang. Ikhlas aku cakap ni, dia 'gentleman'. Mana tahu, jodoh kau memang dengan cinta ikan separuh kau tu."
Tidak Jelita sangka Ellie begitu 'sporting' menggalakkannya. Malangnya dia tidak mahu cuba melangkah ke arah itu kerana dia lebih suka Norman sebagai kawan saja sekarang.
"Kau takkan rasa pelik ya, kalau terserempak aku berdua-duaan dengan dia?" sengaja Jelita mengusik.
"Sikit pun tidak. Malah aku doakan kau berdua ada jodoh! Cepatlah Jelita dan Norman naik pelamin.. Amin..." Ellie mendoakan bersungguh-sungguh.
Ellie ni memang tinggi daya imaginasinya! fikir Jelita. "Hoi, baru serempak dan lepak minum petang sama, kau dah sebut hal jodoh. Kalah mak aku!"
Sudahlah semalam ibunya telefon. Menyesal dia terlepas cakap pada adik perempuannya, Indah Nian mengenai pertemuannya dengan Norman.
"Aku sampaikan hasrat mak kau sekalilah ni. Lagipun kan dia bawa bunga, ada makna tu," balas Ellie. Jelita menggeleng kepala, terhibur dengan gelagat rakannya.
Ellie menggesa. "Hoi. Balaslah mesej Norman tu."
"Karanglah. Baru pukul 9 ni.." Jelita sebenarnya tidak tahu apa balasan yang sesuai kepada teks Norman yang berbunyi: {Jom tengok wayang? Sejak balik Malaysia belum pernah masuk panggung. Gelap tau. Kalau apa-apa jadi pada saya, Wonder Woman ada kan senang?}
"Kau nak bagi dia berubah fikiran? Jual mahal?" duga Ellie.
"Taklah, lagipun dia baru hantar satu mesej. Kalau serius mesti dia cuba lagi," kata Jelita tidak mengharap. Kan kawan lama saja.
Telefon bimbitnya dilihat sekilas, dan matanya terbeliak melihat ada lima panggilan tidak berjawab. "Eh, alamak. Lima kali orang telefon, kenapa tak berbunyi?"
Menurut senarai panggilan, semua panggilan yang tidak diangkat datangnya daripada Norman!
Ellie yang sama menyibuk untuk melihat skrin menggalakkan, "Norman ya? Cepatlah telefon dia semula!"
Tangan Ellie segera menekan nama Norman di senarai panggilan dan Jelita tidak dapat berundur lagi sebab baru dua kali berdering panggilannya sudah diangkat.
Jelita: Hello Norman, maaf tak dengar awak telefon tadi.
Norman: Tak apa, saya tahu Wonder Woman selalu pergi selamatkan manusia teraniaya. Tapi boleh kan luangkan masa hari ni dengan saya?
Jelita memandang Ellie yang terkelip-kelip matanya sambil tangannya pula memberi isyarat agar teruskan saja.
Jelita: O.. OK. Kita jumpa di mana?
Norman: Saya ambil awak di rumah? Sejam lagi saya sampai? Send location, boleh?
Jelita: Saya masih di restoren dengan Ellie. Setengah jam lagi saya send location, boleh?
Norman: Saya tunggu.
Jelita: OK.. jumpa nanti ya.
Norman: Eh Jelita..!
Jelita: Ya?
Norman: Lepas tengok wayang, teman saya ke Kuala Selangor boleh? Awak ada hal lain ke petang dan malam nanti?
Jelita: Er, tak. Nak saya temankan, boleh.
Norman: Terima kasih. Jumpa karang ya?
Jelita: OK.
Panggilan diputuskan.
Ellie mengangkat kening. Jelita mengangkat bahu.
"Tengok wayang pun nak ada orang teman?" tanya Ellie mengorek isi perbualan.
"Oh, tu.. Hmm, dia minta aku temankan dia ke Kuala Selangor lepas tengok wayang." Jelita sendiri hairan. Nak buat apa di Kuala Selangor? Pandainya kau Jelita, tadi tak tanya kenapa? Dalam hati Jelita memarahi diri.
"Dia nak makan makanan laut agaknya?" teka Ellie.
"Ah.. Mungkin juga. Semalam petang pun pergi makan ketam sebab dia yang teringin," cerita Jelita.
"Aduh. Mencabar betul kalau 'date' pertama je dah diduga makan ketam. Kalau aku comotlah," ulas Ellie.
"Sebab bukan 'dating' pun. Entah, aku tak rasa susah pula. Tapi yang terkempot-kempot makan, Norman. Katanya nak jaga imej, lawak betul," terkeluar cerita semalam dari mulut Jelita kerana agak kelakar perangai Norman waktu itu.
"Kenapa? 'Control macho' depan kau lah tu?" tanya Ellie.
Jelita dapat rasakan mukanya naik merah. "Um, katanya nak jaga imej Prince Charming depan aku, mana tahu.. Kalau.." tergagap-gagap lagi dia di depan Ellie.
"Kalau kau jatuh hati pada dia?" potong Ellie sudah teruja bagi pihak Jelita.
"Taklah dia cakap macam tu, tapi, maksudnya.. Lebih kuranglah.." Jelita mengiyakan.
"Wah, sikit lagi Pakcik Kamaruzzaman dengan Makcik Ayuni kenduri lah ya!" Ellie menggosok kedua tapak tangan.
"Hoi, berangan melebih-lebih ya."
"Hei. Kawan apa ajak 'dating' tengah hari sampai ke malam? Ha, jangan buat nakal sudah, ya," Ellie memberi nasihat sambil menyakat Jelita.
"Banyaklah kau punya nakal Ellie. Imaginasi kau tu kawal sikit, aku dan Norman kawan je," dalih Jelita.
****
"Didi keluar ni, malam pun makan di luar OK," kata Norman pada mamanya.
Papanya mengangkat muka daripada surat khabar yang dibacanya. "Tak mahu ikut makan malam di rumah Along?"
"Minggu depan harijadi Noah, Didi datang, OK?" janji Norman.
Sejak semalam dia tidak sabar hendak berjumpa Jelita lagi kerana selesa betul melepak dengannya. Dia tidak berkira bila diajak makan di gerai usang, tidak segan meratah ketam dan tidak mengetawakan Norman yang kerap perlu diselamatkan.
Norman yakin kalau dia keluar dengan Jelita lagi, pasti ada perkara menarik akan berlaku lagi.
"Kesian Kak Long kamu nak bersusah-susah masak nasi hujan panas," kata papanya lagi.
"'Dating' ke Norman Effendy?" celah mamanya.
Norman serba-salah. Kalau kata tidak, papanya akan paksa dia ikut ke rumah Along. Kalau kata ya, habislah dia di sessi soal jawab nanti.
"Nanti Didi cerita boleh? Dah janji ni. Jalan KL pun belum khatam lagi, kena pergi sekarang," dia memberi alasan.
"Jumpa yang cantik yang jelita tu ya?" usik mamanya.
Norman memakai kasut tanpa bersuara.
"Dia dah maafkan Didi ya. Kan mama dah cakap?" mamanya menambah ulasan macam tahu saja.
"Kalau ada 'date', pergilah. Tapi jangan bawa anak dara orang ke hulu ke hilir lama-lama, hormatlah dia dan ibu bapanya," nasihat papanya.
Eh, tak ada soal jawab? Nasib baik! ceria hati Norman bersalam dengan ibubapanya.
"Balik nanti ceritakan pada kami tentang orang yang cantik dan jelita tu ya," kata mamanya sebelum Norman dibiarkan pergi.
"Kawan saja, mama," kata Norman.
"Kamu tak cakap suka, memang sampai ke sudahlah kawan saja," saran papanya seperti biasa bermain perang saraf.
Niat Norman mahu bertemu Jelita sebagai rakan melepak bersama saja. Orangnya baik, straightforward dan kelakar. Senang kalau bersembang dengannya. Tapi betul juga kata papanya, kalau suka, lebih baik dia berterus-terang saja.
Sekarang ini, Norman tidak pasti apa perasaannya terhadap wanita yang kerap sangat menyelamatkannya. Rasanya dia patut segan, tapi Jelita tidak pernah memperbesarkan hal kelemahannya, jadi Norman tidak merasa diperkecilkan.
Rupanya jalan ke kawasan rumah Jelita tidak banyak berubah. Dengan mudah dia sampai.
Jantungnya berdebar kuat apabila ternampak Jelita turun daripada blok kondo miliknya dengan blaus putih, jeans biru tua dan kasut Converse.
Detak hatinya ketika itu bagaikan mahu memberitahu sesuatu.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top