Bab 10

Norman mencari Jelita lagi Ahad itu. Terpaksa.

Sebabnya, hatinya yang mahu sangat.

Betul, bukan dia! Kalau ikut Norman rasanya dia masih muda.

Tak perlu fikir lagi soal pasangan, percintaan dan perkahwinan. Kerjaya baru bermula semula di Malaysia. Kalau itu dikata alasan, biarlah apa orang nak kata. Seronok hidup bujang.

Tapi itu sebelum Jelita belanja mee kolok dan panggil dia 'pompous ass'.

Sebelum Jelita pakai baju kurung merah jambu dengan kasut Doc Mart dan alihkan kon untuknya.

Sebelum dia dapat tahu yang waktu di U, Jelita pernah sudi cuba 'dating' dengannya.

Sebelum Jelita suapkan kepah terakhir yang dia sendiri mahu ke mulut Norman.

Sebelum Jelita jatuh bagai bulan ke ribanya di laluan berbintangkan kelip-kelip.

Sebelum Jelita pegang dadanya supaya dia tidak bergerak dan raba pula di (toot!) dia supaya dia boleh segera jumpa doktor.

Sebelum Jelita libas bahunya dengan bunga lili dan tuala pengering pinggan.

Hati dia yang sudah memilih. Dan hatinya bukan diktator. Jantungnya sokong. Samalah juga paru-paru, ginjal, limpa, perut, rusuk.. Tengok saja, Jumaat lepas kaki dan tangannya pandai-pandai pergi bawa dia mencari Wonder Woman.

Kesimpulannya seluruh tubuhnya mahukan kasih Jelita. Tinggal fikirannya sahaja yang masih waras mengingatkan dia yang dia perlu hormat perasaan Jelita.

Ya, fikiran Norman mengingatkannya yang gadis penyelamat peribadinya perlu dipujuk dan dipikat. Ini zaman moden Norman Effendy Nazim, kalau zaman Neolitik bolehlah kau angkut Cantik Jelita Kamaruzzaman terus masuk ke dalam gua.

Esoknya dia akan berlepas ke Sarawak untuk lima hari, rasanya tak sanggup dia pergi kalau tidak bertemu Jelita dulu. Puas dia mencari alasan, akhirnya dia berterus-terang sahaja yang dia mahu Jelita menemaninya cari juadah yang dia teringin nak makan.

Jelita masih mengemas rumahnya Ahad itu ketika Norman menelefon dan mengajak dia ke Kampung Baru. Tepat-tepat itu perutnya berbunyi dan dia tergelak sambil bercakap dengan Norman. Dalam kepalanya teringat waktu Norman muncul di pejabatnya dengan perut yang lapar Isnin lepas.

Pukul 2 petang itu mereka di dalam kereta Jelita, dalam perjalanan ke kawasan gerai makanan. Jelita memandu kerana dengan kereta kecilnya, lebih mudah cari tempat letaknya nanti.

"Kita cuba kedai ni OK, ada ketupat sotong," kata Jelita. Dia sendiri tidaklah gemar sangat, tapi tempoh hari bila berbual Norman pernah berkata sekali sahaja seumur hidupnya dia berjumpa ketupat sotong, itu pun di Kota Bharu.

Di kedai sebelum duduk di meja comel berhiaskan bunga plastik Norman tunjukkan saja jarinya pada beberapa jenis kuih yang ada.

Jelita yang belum sempat makan pagi atau tengah hari itu memesan tomyam.

"Nasi?" tanya Norman.

"Diet. Kejap lagi nak rasa kuih akok awak pesan tu lagi," kata Jelita.

"Awak tak gemuk langsung lah. Makanlah nasi. Tadi kata sarapan pun belum," balas Norman.

"Kalau terduduk atas awak lepas makan nasi nanti, kena pergi jumpa Doktor Kidir lagi," Jelita berseloroh. Dia cuba untuk tidak kekok di depan Norman, sebab Jelita benar-benar suka berkawan dengan lelaki yang kelakar itu. Lagipun masa di rumah Ellie rasanya mereka semua selesa saja bersembang.

"Doktor Kidir.. Hmm, saya ada sesuatu nak cerita tentang hari kita ke klinik dia tu," kata Norman. Dah tiba masa dia patut jujur pada Jelita.

Jelita tunggu saja dia sambung.

"Sebenarnya taklah teruk sangat rasa pitam saya hari itu, tapi saya berlakon sikit depan awak.. Sebab nak awak selamatkan saya lagi."

Berkerut Jelita mendengarnya. Mamat ni nak kena belasah ni..

Norman tahu dia harus sambung kata-kata pengakuannya lagi. Berani, sebab mereka di tempat awam. Kalau berdua saja tadi rasanya kena bersedia untuk serangan balas, fikir Norman yang teringat Jelita dan gengnya ambil latihan taekwondo masa universiti dulu.

Dalam pada itu sempat jugalah Norman jauhkan vas bunga kecil di atas meja makan mereka.

"Tapi dalam kereta bila awak.. Er.. dalam kereta, saya betul-betul rasa nak pitam.. Jadi bukan seratus-peratus lakonan lah. Memang nak pitam. Jelita, saya minta maaf sebab menyusahkan awak," kata Norman.

"Kenapa buat macam tu?" tanya Jelita masih tak faham.

"Sebab nak tahu awak.. uh.. Ambil berat tak tentang saya?"

"Laah, mestilah. Kan dah lama kenal, takkanlah saya tak ambil berat tentang awak pulak." Mengada-ngadalah anak bongsu mak ni!

Di dalam dirinya Norman bergelut untuk menerangkan. "Awak ni memang Gadis Penyelamat. Dengan semua orang awak ambil berat. Malam kelmarin pun tak mahu pulang walaupun penat sebab mahu temankan juga Ellie.."

"Mestilah. Kawan kita kan," terang Jelita masih tidak pasti ke mana arahnya perbualan mereka itu, dan apakah dia perlu marah atau tidak Norman yang dari zaman muda suka menyakat.

"Saya nak jadi lebih daripada itu," kata Norman.

"Maksud awak, kawan baik? 'Best friend'?"

Tidak Jelita, TIDAK! Dalam hati Norman mahu menjerit.

"Eh, tak, maksud saya istimewa sikitlah," akhirnya setakat itu saja dia berani kata.

Jelita ketawa untuk meregangkan suasana. Rasanya dia faham maksud Norman tapi dia tidak mahu ikut menghala ke situ. Baik dia pusingan bual ke arah yang dia mahu.

"Ada-ada je la awak ni Norman. Nak pitam la. Berlakon la. Lepas tu nak pitam betul-betul pulak. Dengan saya pun nak bergurau macam tu.. Pukul nanti baru tahu. Dari kecil suka menyakat orang.."

Norman menyuap kuih ke mulutnya. Yeah, that went well. Eejit! Bagi tahu saja kan senang. Tengok, lagi sikit nak kena friend-zoned.

Jelita pula terpanggil untuk berterus-terang.

"Sebenarnya saya serik sikit melepak dengan awak ni Norman. Ada je darah menitis tiap kali kita 'hang out'. Macam saya bawa badi pula pada awak," katanya.

"Eh, janganlah rasa macam tu. Setakat ini saya rasa bertuah selalu diselamatkan awak. Kita berdua dah banyak kenangan. Nanti bila cerita pada anak cucu mesti kelakar," kata Norman cuba mengeluarkan dirinya daripada 'zon hanya kawan' yang dia sendiri buat perangkapnya tadi.

Jelita ketawa terkekeh-kekeh. "Tipis harapan saya nak bercucu Norman.."

"Kenapa pula?"

"Saya rasa saya ni takkan jejak pelamin. Cucu angkat boleh kan?"

Terdiam Norman mendengarnya. Mama, macam mana ni? Kalau papa ada, mesti katanya, tak beritahu suka sampai bila-bila pun takkan ada kemajuan. Jadi, jangan putus asa..

****

Jelita menghela nafas lega pada pukul 6 petang itu apabila Norman dan dia selamat sampai ke kawasan kondo. Sambil berjalan ke kereta Norman, Jelita pandang-pandang juga ke kiri dan kanan, mana tahu ada lagi mat motor yang teraniaya atau budak kecil lari daripada jagaan ibunya.
Ataupun, 'worst case scenario', ayam sembelih terlepas!

"Hey. Pandang sana pandang sini tu kenapa?" tegur Norman melihat gelagat Jelita.

Terperanjat Jelita. Sangkanya Norman tidak nampak. Tersengih-sengih dia membalas: "Jampi tolak bala lah."

Ketawa besar Norman. "Risau awak jadi apa-apa pada saya kan? Sebenarnya saya dah tahu macam mana nak lawan pitam darah saya tu. Doktor kata saya kena buat macam ni.." kata Norman sambil mengeraskan otot badannya.

Jelita angkat kening saja. Tahulah suka ke gim. Sebenarnya Jelita tidak suka lelaki yang terlalu sasa, berketul-ketul macam Malek Noor tu. Kalau macam badan Norman ni OK lagi, sebab dia masih di kategori kurus, nampak sihat, tak 'sado'. Cantik Jelita Kamaruzzaman, kenapa kau analisa badan si Norman ni?! Dia segera mengalihkan pandangan daripada badan lelaki itu.

"Huh, tak ada darah di sini, bolehlah berlagak, Norman," katanya cepat-cepat sebelum Norman perasan. Tapi malangnya Norman dah nampak jelingan mata Jelita tadi. Like what you see?

"Saya ni ada tak ciri-ciri lelaki pilihan awak?" tanya lelaki itu sambil beraksi lagi di laluan tempat letak kereta kondo yang lengang. Cuma ada dua kereta terparkir di bahagian pelawat.

Terlepas juga ketawa Jelita yang tahu dia memancing pujian. "Ada.. Banyak.. Dulu dah bagi sepuluh, nak sepuluh lagi?"

"Nak!" laju balasan Norman, sama macam waktu mahu mentarang rebus Pak Abu dulu.

"Huh. Suka la orang puji kan," kata Jelita.

"Suka kalau yang puji tu Wonder Woman je. Sebab banyak kali sangat awak selamatkan saya, saya rasa awak ni tak pandang saya macam 'future boyfriend material' pula," adu Norman.

Tarik nafas panjang Jelita dibuatnya. Norman ni selalu 'flirt' tak tentu hala. Syukurlah Jelita tak termasuk bawah kategori manusia cepat perasan.

"Satu, Kalau menyakat orang, pandai. Dua, kalau berlakon, pandai. Tiga, kalau 'flirting', lagilah pandai. Empat, mengarut berganda pandai.."

"Jelitaaa! Itu bukan 'sifat 20' saya tu!" marah Norman. Pura-pura saja, sebenarnya syukur teramat kerana tadinya Jelita tak marah sewaktu dia mengaku yang dia berlakon saja waktu di klinik tempoh hari.

Mereka ketawa, suasana antara mereka cukup selesa, dan kereta Norman sudah di depan mata, dekat dengan bangku taman bunga diletaknya.

"Dahlah Norman. OK, hati-hati di Sarawak tu," kata Jelita.

Dan Norman mengeluarkan bunga ros daripada tempat duduk penumpang hadapan keretanya. Jelita dengan automatiknya mundur setapak.

"Ros, sebab kalau awak pukul saya dengan bunga berduri ni kiranya memang patut pun. Sebab berlakon pitam tempoh hari. Saya tak beri awal-awal tadi, sebab akhir-akhir ni, awak macam tak berapa selesa bila jumpa saya. Macam masa di Rumah Keluarga Besar tu.."

"Oh.. Uh, saya segan sebenarnya masa tu. Sebab.. Awak minta saya ajak awak keluar sekali lagi, macam di U dulu.." Jelita rasa kalau dia betul-betul mahu selesa berkawan dengan Norman, jadi BFF lah, seperti yang dia minta tadi, baik dia terus-terang saja.

Tercegat Norman di luar pintu tempat duduk pemandu. Kencang larian jantungnya seolah-olah mahu beritahu yang Jelita juga masih terkesan dengan peristiwa di pintu perpustakaan.

Tak berselindung nampaknya Jelita. Jadi dia pun patut terus-terang saja. Bunga dihulurkan lagi pada Jelita. Masih enggan disambut.

"Saya masih menaruh harapan ni, moga satu hari nanti terbuka hati awak nak ajak saya 'dating' sekali lagi, dua kali atau tiga ke.." Ya.. Keluarkan aku dari 'friendzone' kau Jelita.. !

"Tak payahlah Norman, itu kan mainan zaman belia. Lagipun saya memang rasa bab-bab begitu, untuk orang lain saja. Bukan saya," kata Jelita tergelak sedikit sebab dia rasa lucu pula muka serius Norman itu.

"Sekali saja lagi Jelita. Please?"

"Malu lah Norman! Itu kan hal masa budak-budak. Nak ulang lagi buat apa?" protes Jelita.

"Please? Just once! Lepas tu awak tak perlu ajak saya 'dating' lagi," pinta Norman. Lepas tu aku sajalah yang ajak kau 'dating', apa salahnya kan?

Jelita diam. Ajak sekali lepas tu tak perlu ajak lagi. Apa halnya dengan si Norman beriya-iya sangat nak aku yang ajak. "Kan sama saja bila kita keluar melepak macam hari ni. Tak payahlah. Jangan tanya lagilah tentang hal ni OK.."

"Tak sama. Keluar lepak di tempat biasa-biasa, kalau dating, kena ke tempat romantik," debat Norman.

"Heh, tak ada masa saya nak fikirkan ke tempat romantik mana saya nak bawak awak, semata-mata sebab awak yang nak saya ajak awak sekali lagi," marah Jelita.

Geramnya tengok Norman ni. 'Handsome' macam mana pun kalau dilibas mesti puas hatinya. Ah, rugi pula tak sambut jambangan bunga di depan mata tadi.

"Masa awak ajak saya dulu, awak terfikir nak ke mana? Awak bawa saya ke situ sajalah. Boleh ya?" Norman masih mahu juga.

Jelita yang ganas itu menolak lelaki itu agar dia terduduk di kerusi pemandu, sebelum Norman nampak mukanya yang sudah kelabu, ungu dan biru. "Dah, dah, jangan tanya lagi. Kita jumpa lain kali saja.." Jelita teringatkan niatnya dulu mahu ajak Norman menonton wayang. Ish, malunya kalau Norman tahu!

Norman menyambar tangan Jelita yang menolak bahunya itu lalu diletakkannya ke dada. "Saya boleh tunggu, tapi jantung saya ni tak boleh. Dia baru je bisik kat saya tadi. Teringin nak 'date' dengan awak. Tahap kritikal dah ni," katanya.

"Kan betul saya kata, kalau mengarut awak ni memang pandai," Jelita segera menarik tangannya. Norman tidak melepaskan. Sisi nakalnya muncul tiba-tiba.

"Jantung saya ni organ paling penting dalam badan saya, sampai hati awak tak mahu selamatkan dia. Kan awak Gadis Penyelamat Peribadi saya?" minta Norman.

Jelita cuba berundur tapi sukar nak menapak bila tangannya masih tersangkut. "Kan betul saya cakap, kalau 'flirting' awak memang pandai, tapi rugi je awak bazirkan ayat 'corny' macam tu pada saya, haha.." Jelita ketawa 'nervous' untuk mengurangkan ketegangan.

"Saya bukan main-main ni, Jelita, seriuslah," marah Norman. Asyik mengelak saja Jelita ni.

"Saya serius lah ni. Saya tak mahu ajak awak keluar macam tu lagi," Jelita berkeras.

"Kenapa?" Norman masih mahu memujuk.

Jelita tidak tahu dari mana nak dimulakan. Banyak salahnya. Banyak tak kenanya. OK, mungkin satu saja sebabnya.

"Sebab kalau keluar 'dating' tu maknanya ada 'feelings involved'," akhirnya Jelita sebutkan juga.

"Berkeras tak mahu pun maknanya ada 'feelings involved' juga kan. Tell me, do you like me, or hate me?"

Senangnya dia bercakap, angin satu badan Jelita rasa. "Neither!" balasnya dingin.

"Tak suka. Tak benci. Maknanya sayang lah kan? OK, I'll take that for now," kata Norman lalu jambangan bunga disusupkan sebelum melepaskan tangan Jelita dengan senyuman.

Jelita terdiam. What.. is.. going on?

Dengan gembiranya Norman menghidupkan enjin, tingkap diturunkan sebelum pintu kereta ditutup dengan cermat. Perlahan-lahan dia memandu pergi dengan ucapan ringkas, "Bye, Sayang!"

Ditinggalkan berseorangan dengan sejambak bunga ros di tangan, Jelita terasa dia baru lepas menonton silap mata. Cuma, dia jadi arnab yang baru keluar dari topi hitamnya.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top