Bab 1
ORANG lain rindukan nasi lemak, rendang dan goreng pisang. Dia paling rindukan keluarga, sahabat dan buah-buahan tempatan.
Sejak kembali ke tanah Malaya selepas hampir sedekad mencari rezeki di perantauan, kali pertama Norman Effendy Nazim, 33 ternampak si dia ialah sewaktu membeli jambu madu di MBG.
Mula-mula Norman hanya ternampak seorang wanita cantik dari sudut sisi. Wow, awek cun, bisiknya dalam hati.
Kemudian memorinya menghantar mesej ke jemalanya: wanita itu pernah dilihatnya. Gerak-geri wanita itu diamatinya dari sebalik rak yang penuh buah-buahan tempatan itu.
Wanita itu pula langsung tidak sedar kehadirannya, kerana asyik memerhatikan kelakuan tiga remaja di hujung kedai. Lalu Norman pun ikut memandang juga.
Seorang remaja, mungkin usianya mungkin 13 atau 14 tahun sahaja, berambut pacak sedang mencekak leher seorang lagi yang keding sedikit. Remaja ketiga pula sedang bercakap dengan muka garangnya.
Wanita itu menghampiri mereka. Belum sempat sampai, remaja yang sedang dibuli menerima sedas tumbukan, lalu terjatuhlah rak yang menampung berpuluh biji limau dari rak buah-buahan import yang berdekatan.
Citrus jingga nan bulat bertaburan.
Melihat sekeliling mereka sudah bersepah, dua pembuli cuba melarikan diri.
"Tunggu!" arah wanita itu, mengejutkan Norman. Pembuli-pembuli cuba lari tapi kolar baju sekolah mereka sempat dicengkam dek wanita tersebut.
"Buli orang tak bagus tau," bebelnya pada Pembuli 1 dan Pembuli 2. Si Kena Buli nampak lega.
Pengusaha kedai bergegas ke tempat kejadian. Wanita itu menerangkan apa yang terjadi lalu Pembuli 1 dan Pembuli 2 disuruh bertanggungjawab dan mengemas, manakala nombor telefon bimbit ibu bapa mereka diambil.
Wanita itu menenangkan Si Kena Buli. "Kakak hantar adik pulang, jom?" ajaknya. Suaranya seperti pernah didengar Norman. Norman datang lebih dekat lagi.
Remaja yang lega diselamatkan itu hanya mahu menelefon ibunya, yang bekerja di bangunan sebelah saja, lalu permintaan itu ditunaikan.
Selesai insiden, Norman yang asyik memandang akhirnya dapat mengecam 'Wonder Woman' itu: Cantik Jelita binti Kamaruzzaman, teman seuniversitinya dahulu!
"Jelita," tegurnya.
Wanita itu berpaling dengan beg kainnya yang penuh dengan sedozen buah pir hijau yang dihadiahkan pengurus kedai. "Eh, Norman?"
"Ingatkan dah lupa," balas Norman gembira bertemu sahabat lama.
"Muka tu tak berubah, takkanlah lupa," Jelita membalas. Dia tak menyangka akan bertemu Norman di sini, walaupun berita tentang kepulangan Norman yang hampir sedekad bekerja di UK ada diceritakan dek temannya yang bernama Nora. Norman Effendy Nazim, antara pelajar yang jadi gilaan ramai di kampus dulu, takkanlah Jelita lupa kerana dia salah seorang peminatnya.
"Awak berubah, makin lawa. Saya kena tengok lama-lama tadi nak camkan awak," puji Norman dan inilah kali pertama dia memuji Jelita terang-terangan.
Waktu di universiti Jelita terkenal kerana wajahnya yang sesuai dengan namanya. Parasnya yang rupawan tapi garang persis pelakon era 90an, Julia Rais tanpa campuran Inggeris itu membuatkan ramai lelaki terpikat, sebab itu tak berani Norman nak dekat.
(Nota khas untuk pembaca: Takutkan saingan, bukan wajah garangnya ya.)
"Ya? Terima kasih," balas Jelita. Aku silap, kau pun berubah. Makin 'charming'! katanya dalam hati.
"Dari zaman U kerja awak asyik selamatkan orang je, tadi pun masih sempat selamatkan budak sekolah," kata Norman.
Terangkat kening Jelita. Tak sangka Norman sudah lama perhatikan gerak-gerinya.
"Tak adalah. Eh, mana ada saya selamatkan orang di U? Rasanya masa belajar, lebih banyak buli orang adalah," kata Jelita, dia mula terkenangkan muka kawan-kawan lama yang pernah dimintanya belikan makanan dan temankan berjalan.
"Awak lupa? Kan awak pernah selamatkan saya. Dua kali!"
Jelita bukan pura-pura tak ingat. Tapi pada saat itu memang tak terpanggil memori sebegitu. "Ada ke?"
"Jom, minum, saya boleh ingatkan," ajak lelaki itu.
Dalam hati Jelita teruja. 'Crush' lama muncul semula, tambah segak pula tu. Hatinya kata, ikut saja!
Sambil melangkah ke restoren berdekatan, Norman meminta maaf.
"Saya tahu Nora selalu mengajak berjumpa rakan-rakan lama setiap Selasa pertama setiap bulan. Tapi saya kan baru mula kerja, sibuk. Baru saja ni dapat pengesahan jawatan."
Jelita mengangguk. "Ada Nora cerita, awak COO di anak syarikat telekomunikasi sekarang. Maaflah, saya pun tak aktif di Facebook untuk selalu berhubung, hari tu nak juga hantar tahniah, tapi tak terbuat sebab sibuk," jelasnya pula.
Sambil duduk di kerusi mereka membelek menu. "Wow, ada mee kolok," komen Norman.
"Masih rindu masakan Malaysia ya?" usik Jelita.
"Ya, dah berbulan balik dan kerja sini tapi hari-hari masih nak makan belacan dan durian," akui Norman.
Selesai memesan, Jelita menagih janji. "Kata nak buka cerita sejarah silam tadi?"
Norman ketawa. "Sebenarnya bagus juga awak lupa, sebab insiden tu memalukan saya saja," katanya.
Terus Jelita tambah berminat untuk mendengar ayat seterusnya. "Cerita apa ni, kalau betul saya pernah selamatkan awak, ceritalah cepat," mintanya.
Cerita Norman membawa mereka kembali ke zaman muda. Waktu itu Norman yang tinggi lampai itu pemain bola keranjang yang mewakili universiti.
Di suatu petang yang teramat panas, motosikal miliknya kehabisan minyak. Lalu dia jalan kaki saja ke gelanggang. Kononnya mahu terus 'warm-up'.
Silap besar rupanya berjalan 1.3 kilometer di bawah mentari El-Nino yang panas. Dah hampir sangat dia dengan gelanggang tapi, tiba-tiba dia terasa hidungnya berair. Dia duduk sebentar di perhatian bas berdekatan.
Ketika itulah Jelita yang sedang menunggu bas ternampak dia. "Norman, hidung tu berdarah, terjatuh ke tadi?" tanyanya.
"Darah?" tanya Norman kebingungan. Basah yang disangkakan peluh itu disentuh. "Alamak, darah.."
Norman terasa hendak pitam. Dia nampak saja gagah tetapi Maha Esa menjadikan dia fobia melihat cecair merah.
Jelita segera memekup hidungnya dengan tisu yang dikorek dari dalam beg bukunya. "Bernafas ikut mulut, kepala tu tak perlu dongakkan," arahnya dengan tenang.
"Ellie, tolong belikan dua tin air yang sejuk, kita kena sejukkan dia," pinta Jelita pada sahabat sekursusnya. Ellie bergegas ke gerai kecil yang bersambung dengan perhentian bas lalu membeli dua tin air Cherry Coke.
Jelita terus meletakkan setin Coke di dahi Norman. Kemudian tisu yang penuh darah dibuang. Melihatkan darah masih mengalir, dia meminta Ellie meletakkan setin lagi Coke ke belakang kepala Norman.
Tisu baru digunakan untuk ditekankan ke hidung Norman. Norman yang sudah berdebar melihat darah membiarkan saja rakannya itu mengambilalih kebajikan hidungnya.
"Patutnya darah dah berhenti lepas dua tiga minit kena tekan, tapi dah lepas lima minit tak berhenti ni. Jom kita ke klinik, Norman," arah Jelita.
Ellie menahan teksi dan mereka bertiga sampai ke klinik 10 minit kemudian. Doktor memuji tindakan cekap Jelita memulakan proses menghentikan pendarahan.
"Saya rasa segan betul nak tegur awak lepas tu, malu sebab awak nampak saya pitam darah! Lepas seminggu baru berani nak ucap terima kasih. Ingat tak?" Norman berterus-terang di akhir cerita.
"Oh.. Waktu kita di semester tiga kan? Lawaklah awak ni," balas Jelita.
"Kali kedua awak ingat?" tanya Norman makin selesa berbual.
"Ada kejadian kedua?" Jelita mula rasa dirinya yang berusia 33 tahun itu tua kerana memang dia lupa.
"Ya, masa kita disuruh belajar sembelih ayam tu?"
Jelita terdiam. Tiba-tiba mukanya merah kemudian terkeluar ketawa besarnya.
"Oh, masa kelas 'Comparative Religion' Puan Natrah kan! Yang akhirnya saya yang sembelihkan ayam awak, betul?" tanyanya, tidak dapat bersopan ala Perempuan Melayu Terakhir lagi dek teringatkan rupa Norman ketika dia pitam melihat darah keluar dari leher ayam. Juling mata kelabunya!
"Ha, ingat pun! Kalau awak tak tolong, saya hilang 15 markah. Tapi dek sebab ada 'Wonder Woman', saya dapat A- tau untuk subjek tu walaupun pengsan di akhir kelas. Terima kasih sekali lagi," ucap Norman sambil Jelita masih terkekeh di sebelahnya.
Norman ikut ketawa, geli hati melihat Jelita yang sama saja perangainya sejak mula kenal.
Beberapa lagi kisah lama mereka korek sambil menikmati juadah petang.
"Masih bujang? Biar betul! Bukan ramai yang pikat awak masa di U dulu?" tanya Norman sedikit terkejut mendapat tahu yang Jelita masih belum berpunya. Sangkanya tadi sekurang-kurangnya Jelita sudah punya 'steady boyfriend' atau tunang.
"Masa U kan sibuk belajar. Saya kena jadi contoh untuk dua orang adik saya. Bila adik-adik dah berjaya, kahwin, beranak-pinak; saya pula jadi bahan risau mak ayah sebab dua kali kecundang bercinta. Jadi bercinta dengan kerjayalah," terang Jelita tidak segan mengaku sejarahnya. Nak selindung buat apa, Norman kan teman lama. Memang Jelita suka berterus-terang orangnya.
Giliran dia pula menyoal balas. "Masa U dulu, awak yang ramai peminat, tapi cuma sukakan Ellie, kan? Tahu kan, yang dia pun masih 'single'?"
Norman ketawa. Jelita dan Ellie sekursus, pastilah rapat dan berkongsi cerita. Paling tidak, seorang lagi 'geng' mereka, Firdaus buka cerita.
"Cerita lama tu. Masa muda kan seronok main cinta monyet. Masa sambung belajar di luar negara saya pernah ada teman wanita, orang London, Natalie. Tak berkekalan. Saya yang macho ni ditinggalkan! Samalah kita, dua kali kecundang bercinta," akui Norman pula sambil menyelitkan gurauan.
Mereka berdua ketawa.
"Kalau dah boleh buat lawak tu maknanya dah boleh terima lah jodoh awak dengan mereka tak ada," ulas Jelita.
"Betul. Saya rasa kalau belum boleh terima hakikat, nak dengar nama pun tak boleh," terus terang saja Norman.
Bersembang lagi sambil makan, entah kenapa Jelita terasa seperti dia dan Norman selama ini tidak pernah terputus hubungan. Norman pula mula hairan bagaimana dia boleh menjadi begitu selesa berbual dengan Jelita yang lama tidak mencelah di akaun media sosialnya.
Kalau dikaji betul-betul sejarah mereka, yang mula-mula mendekatkan mereka pada semester pertama adalah pasangan yang hangat bercinta di zaman universiti, Nora dan Firdaus.
Walaupun Norman tidak sekursus dengan Nora, Firdaus, Ellie dan Jelita, dia menjadi rapat dengan mereka kerana dia gemar bermain dengan cat dan kanvas selain minatkan Fizik dan Matematik.
Waktu universiti, dia agak takut mendekati Jelita, kerana walaupun indah rupa parasnya, gadis itu nampak seperti lebih lasak darinya. Mana tidaknya, gadis lain ambil Seni Halus, Tekstil atau Fesyen; Jelita ambil Seni Logam! Macam jantan ganasnya dia memegang mesin-mesin besi di ruang kelas.
Memandang Norman yang sedang menikmati mee koloknya, Jelita tiba-tiba teringat saat dia jatuh suka yang teramat pada lelaki itu waktu di zaman belajar. Tak ramai yang terlepas pandang wajah tampan lelaki yang bermata kelabu jernih itu.
Jelita sendiri termimpi-mimpi sampai diketawakan Edayu dan Ellie yang sebilik dengannya! Malu juga, tapi kan perkara biasa sukakan pelajar lelaki. Lagipun suka saja, bukan cinta pun.
Tapi dalam usia muda itu Jelita cuma sekadar suka memandang dan berangan saja. Untuk betul-betul memulakan perhubungan, dia tak mahu kerana teringatkan pesanan orang tuanya agar membawa pulang ijazah dahulu baru perkenalkan teman istimewa.
Keluar universiti pula, dia dan Norman jarang berhubung, sesekali berbual di Facebook adalah. Itu pun sekadar bertanya khabar, mengusik dan menghantar ucapan Selamat Hari Raya. Tak sangka mereka boleh berbual sebegini mesra walaupun hampir sedekad tidak berjumpa.
Di hujung petang Jelita meminta diri. "OK Norman, seronoklah bersembang dengan awak, nanti datanglah ke perjumpaan hari Selasa Nora tu, ramai yang awak kenal," ajaknya.
"Eh, ingatkan nak ajak awak makan malam sama tadi," balas Norman. Dia terasa belum puas bersembang dengan Jelita.
Tersenyum Jelita mendengarnya. "Saya kena balik awal hari ini, esok kelas pertama saya 8 pagi, lambat 15 minit, pelajar semuanya lari!" guraunya. Dalam hatinya ada perasaan yang bercampur-baur. Memanglah gembira ada orang sudi mengajak 'dinner' berdua; tapi dia teringatkan sahabatnya Ellie.
Dahulu Firdaus pernah cerita yang Ellie telah menolak cinta Norman. Walaupun Ellie sendiri tidak bercerita lanjut, Jelita risau kalau-kalau ada sesuatu yang belum selesai antara mereka kedua-duanya.
"Boleh saya minta nombor telefon?" pinta Norman. Sekadar nombor telefon, Jelita tidaklah keberatan sangat. Lalu mereka masing-masing merekod nombor telefon.
Norman bergerak ke kaunter untuk membayar. Jumlahnya tak sampai RM20. Terlintas di hatinya, Nak ajak Jelita makan di tempat yang lebih menariklah.
"Bang, ada duit kecil tak? Mesin ni rosak, saya kena pakai duit sendiri ni untuk bagi baki sementara tunggu boss saya datang," rayu pelayan restoren apabila Norman menghulur RM100.
Geram mendengarnya. Norman yang sudah biasa dengan kecekapan di negeri mat salleh itu mendengus dalam hati, Kalau nak berniaga kena bersedia betul-betul.
Jelita segera menghulurkan not RM20.
"Eh, kenapa awak bayar pula, saya ajak, jadi nak belanja awak ni," kata Norman.
"Lain kali pula lah. Kesian dia," jelas Jelita.
"Ruginya nak berniaga tapi tak bersedia, minta duit kecil daripada pelanggan pula. Bukan semua orang macam awak, baik betul nak bagi muka," getus Norman.
"Bukan bagi muka, alasan dia kukuh jadi kita kena bertimbang-rasalah. Tolak ansur tu kan identiti orang Malaysia," Jelita membalas dengan muka yang sukar dibaca. Agaknya semua orang di kota London professional sangatlah ya, sampai tukang cuci tandas akan berkalih tiga langkah bila ada orang nak guna sinki? perlinya dalam hati.
"'You're right', maaf, sebab saya macam.."
"'Pompous ass'?" potong Jelita dengan nakal.
Norman terasa seperti Jelita sudah menghukumnya.
Jelita tidak menyesal langsung mengejek Norman. Dilemparkan pada teman lamanya itu senyuman ikhlas.
Lembut tapi berdesing pedasnya, bisik Norman dalam hati. Tapi melihatkan riak muka Jelita yang lurus, dia tahu rakannya itu bermaksud baik.
Lalu dia senyum kembali. "Lebih kuranglah. Maaf, ya?"
Jelita menggeleng. "Saya pun minta maaf kalau awak terasa tadi." Seriklah kau dengan aku ya Norman, putusnya.
Mereka berdua berpisah dengan ucapan salam yang ringkas, masing-masing sudah menyimpul anggapan terhadap satu sama lain.
Norman rasa, Jelita pasti jengkel dengan sikapnya. Jelita pula yakin, Norman takkan mahu lagi duduk semeja dengannya.
Jadi bila malam itu telefon Jelita berdering dan skrin pula memaparkan nama Norman Effendy, wanita itu jadi tersangat hairan.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top