Part 1

7 TAHUN LEPAS

KRING!

Akhirnya, tamat sudah peperiksaan besar! Kelihatan seorang pelajar lelaki menuju ke arah beg sekolahnya yang digantung di tombol pintu.

'Alamak dia nak datang pulak!' Si gadis cepat-cepat memasukkan sesuatu ke dalam beg pelajar lelaki tadi. Kalau lambat, melepas.

Siap! Tak menunggu lama, terus dia berlari ke arah rakan-rakannya yang lain.

"Weh, Fareez! Cepatlah! Kata nak balik!" jerit salah seorang murid di situ. Lelaki yang dipanggil Fareez itu tergesa-gesa berlari mengambil beg sekolahnya.

Sedari tadi, ada sepasang mata hazel yang memandangnya dengan pandangan hampa. Gadis itu tersenyum tawar.

'Tak apalah. Nanti kat rumah mesti dia tengok juga, kan.' bisiknya sendiri cuba menyedapkan hati. Tidak sanggup rasanya menahan rindu. Tetapi, apakan daya.

SEKARANG

Seorang gadis tergesa-gesa melangkah keluar dari kereta. Sebaik saja tiba depan pagar yang tidak berkunci, matanya menangkap figura seseorang di depan pintu.

"Ya Allah, Fatin!" Gadis itu berlari menerpa ke arah Fatin. Tubuh yang hampir saja menyembah bumi lantas didakap erat.

"Saya dah kata, awak perlukan rawatan tu! Kenapa degil? Tengok apa dah jadi. Saya tak kira. Kita kena pergi hospital!" Tanpa membuang masa, gadis itu terus memapah rakannya masuk ke dalam kereta.

Berkerut-kerut dahi Fatin menahan kesakitan.

"Tolong saya, Zia..."

"Tak! Awak diam. Kita dah nak sampai." Gadis yang dipanggil Zia tersebut cuba untuk fokus dengan pemanduannya.

Tiba saja di hospital, Fatin terus saja dimasukkan ke wad. Zia tidak mampu untuk bertenang ketika menunggu di luar wad. Ke hulur, ke hilir, tak mampu berdiam diri.

Gelisah.

Risau.

"Keluarga Nurul Fatin binti Ismail?" Doktor yang baru sahaja keluar dari dalam wad bertanya. Lagak mukanya tenang tetapi hal itu tidak berjaya menenangkan perasaan Zia tika ini.

"Saya kawan dia. Er... ibu dan ayah dia sudah meninggal dunia." Zia membalas kemudian tangan dibawa menggosok belakang lehernya.

"Maaf. Awak boleh masuk untuk menjenguk Fatin. Saya ingatkan di sini, tolong kawal emosi sebaik mungkin memandangkan hal itu boleh menyebabkan gangguan untuknya."

***

Kubur yang masih merah itu dipandang sayu. Terasa hendak meraung, tetapi mampukah raungannya merubah kenyataan yang ternyata perit? Sungguh dia tidak menyangka teman baiknya ketika di kolej sudah pergi untuk selamanya. Masa terasa pantas berlalu.

Zia tahu, dia tidak sepatutnya mengharap lebih. Setiap yang bernyawa pasti akan mati kerana mati itu pasti.

Longlai kakinya dilangkah menuju ke arah kereta. Tiba-tiba, dia teringatkan sepucuk surat yang diberi oleh arwah sebelum menghadap Ilahi.

Zia memandu laju menuju ke rumah. Sepucuk surat di atas meja solek dicapai. Terketar-ketar tangan itu sewaktu membuka lipatan kertas.

Assalamualaikum, sahabatku, Zia
Ainnur,

Semasa awak membaca surat ini, ketahuilah, saya mahu awak redha dengan pemergian saya. Jujur saya katakan, awak merupakan sahabat sejati saya. Sejak ibu dan ayah saya meninggal, awak yang selalu di sisi saya. Di saat semua orang tidak lagi peduli, awaklah yang sentiasa ada. Saya minta tolong supaya permudahkan perjalanan saya di sana. Jangan ratapi saya. Hanya doa yang mampu menghubungkan kita.

Zia,

Maaf terlebih dahulu sebelum saya katakan tentang ini. Permintaan saya, tolong jadi pengantin perempuan di hari pernikahan saya dan Fareez tidak lama lagi. Saya tahu, awak mampu bahagiakan Fareez Ilham. Hanya awak yang mampu. Lupakan kisah pahit tentang awak dan dia. Maaf andai kata saya menjadi penghalang hubungan kalian selama ini. Terimalah segala kekurangan dia. Binalah dan pertahankan rumahtangga kalian kerana saya tidak mampu. Penyakit saya membataskan segalanya.

Dia baik, Zia. Dia cuma nakal dan ego. Jaga dia untuk saya. Saya sayang dia. Saya sayang awak juga, Zia Ainnur. Assalamualaikum.

Yang benar, sahabatmu,
Nurul Fatin

Surat dari Fatin dilipat kemas. Senyuman diukir, cuba untuk menahan sebak dan air mata. Namun, dia tidak mampu. Dia hanya insan yang lemah.

Tangisan Zia akhirnya memecah kesunyian di rumah teres dua tingkat itu.

Fatin, bersemadilah kau dengan tenang.

***

Terhinjut-hinjut bahu Puan Maria menahan tangis. Encik Farok di sebelah hanya memandang sepi surat itu.

"Maaf, makcik, pakcik. Saya sendiri keliru. Sama ada saya perlu turutkan permintaannya iaitu menjadi isteri kepada Fareez, atau hanya menjalani hidup seperti biasa." Zia bersuara dalam hening. Jantungnya berdebar saat bertentang mata dengan ibu bapa Fareez Ilham. Rasa bagai mahu terkeluar jantungnya.

Kedengaran Encik Farok menghela nafas yang agak berat.

"Pakcik tak kisah kalau Zia setuju. Lagipun pakcik dan makcik dah kenal kamu sejak di sekolah." Sejurus menghabiskan ayat, dia memandang wajah isterinya.

"Kalau itulah permintaan terakhir arwah, makcik setuju. Tapi, Fareez macam mana? Semua orang boleh nampak yang dia ikhlas sayangkan arwah. Mampukah untuk dia terima?" Suara Puan Maria kedengaran risau.

Zia hanya menunduk. Tidak tahu hendak membalas apa. Semua ini terlalu complicated. Ah, payah!

"Zia, perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main. Zia sudah maklumkan pada mama dan papa Zia?" Pertanyaan Encik Farok dibalas dengan anggukan.

"Mereka setuju dan tak sabar mahu mendapat menantu." ujar Zia sambil tersenyum pahit.

Encik Farok dan isterinya mengangguk. Sejujurnya, berat hati untuk menjadi isteri kepada Fareez Ilham. Semuanya dilakukan hanya untuk Fatin.

Dan untuk dirinya juga.

Mampukah Zia menghapuskan segala kenangan yang sepahit hempedu? Kalau dihapus pun, pasti akan ada kenangan pahit baru yang bakal meruntuhkan sang hati.

***

Rambut yang basah dilap menggunakan tuala kecil. Seluar jeans hitam dan t-shirt kosong disarungkan. Niatnya hendak keluar berjumpa dengan rakannya, Aeman. Puas dengan penampilan diri, langkah diatur menuju ke ruang tamu.

"Hah, Reez! Kenapa tu, monyok aje muka?" Encik Farok menegur anaknya.

"Tak ada apalah, ayah. Reez nak keluar jumpa Aeman ni."

Fareez mengambil tempat di sisi ayahnya di sofa. Jam di tangan ditilik kemudian muka diraup kasar.

"Mana Fatin ni, tak angkat-angkat call. Fareez mesej pun tak balas. Haih, merajuk ke? Dah seminggu macam ni." Telefon bimbit di tangannya dipandang sepi.

Tersentak Puan Maria yang sedang menggubah barang hantaran Fareez. Majlis yang akan berlangsung dalam tempoh beberapa hari lagi tetap akan diteruskan. Bezanya, cuma pengantin perempuan yang ditukar.

Kejamkah dia sebagai seorang ibu, merahsiakan hal sebegini?

"Alah! Kau ni gelabah sangat kenapa? Muka dah macam kucing jantan beranak." Aisy Ryan berkata selamba.

Buk!

"Ha, tu makan dia. Sedap?" Kusyen dibaling kuat sebelum leher Ryan dipeluk kasar. Tangan kanan pula menyekeh kuat kepala adiknya.

"Aduh, sakit woi! Alah, I gurau-gurau manja pun tak boleh. Benci!" Ryan menghentak kaki kuat sambil badannya digoyang-goyangkan gedik.

"Ala, merajuk ke, sayang?" Mendengarkan kata-kata Fareez, terus Ryan menolak kuat muka abangnya.

Astaghfirullahalazim.

Niatnya mahu mengusik tapi tak sangka pula Fareez melayan.

"Gelilah, gila! Dasar tak lurus! Gay!" jerit Ryan.

"Kau lah! Tak sedar diri!" Mengekek Fareez ketawa. Encik Farok menggelengkan kepala melihat gurauan anak-anaknya.

"Ya Allah, budak-budak ni. Meremang bulu roma ibu dengar. Dah, dah. Fareez, cuba tanamkan sifat penyabar dalam diri. Biar apa pun terjadi, tak kira baik mahupun buruk, semua boleh dibawa berbincang. Ingat tu." Matanya bertembung dengan mata Encik Farok.

"Apalah, ibu ni. Fareez kan cool orangnya. Kacak lagi bergaya pula tu. Berotot ni pula kira bonus. Adui! Bertuahnya, Fatin dapat Fareez." Habis saja memuji diri sendiri, terasa jentikan pada dahinya.

Ryan!

Terus punggung diangkat dan kaki melangkah laju ke kereta.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top