33
Hujung baju milik Erfan digenggamnya. Gadis berumur 15 tahun itu mengeluh perlahan apabila mereka tiba di hadapan rumah milik keluarga Rian itu.
"Abang. Apa kata kita balik je." bisik Erika perlahan. Dia mengerling ke arah Rian dan Gina yang berpegangan tangan di hadapan. Kedua-duanya baru saja setahun mendirikan rumah tangga selepas kepergian Puan Kalsum, ibu kepada Gina.
"Tak baiklah. Paksu dah ajak kita makan malam dekat rumah keluarga paksu." bisik Erfan kembali. Sekaligus menegur sikap gadis remaja itu yang suka mengikut kepala sendiri saja.
Erika menarik lengan abangnya agar jejaka itu memandangnya. Dia menyilangkan tangannya ke dadanya. Tidak gemar apabila dirinya harus mengikut telunjuk orang lain sedangkan dia ada pendiriannya sendiri.
"Kau tahu kan keluarga paksu tu memang tak suka kita? Buat apa kita menyibuk lagi datang sini? Tempah bala namanya." ujarnya sakit hati.
Keluhan dilepaskan. Mula dah Erika membuat perangai. Erfan sudah masak dengan sikap gadis itu yang sering memberontak.
"Suka atau tak tapi paksu dah pelawa. Kita ikut je. Keluarga maksu, keluarga kita juga." Kedua belah tangan diletakkan di atas kedua belah bahu Erika. Erfan cuba untuk mengubah buah fikiran gadis itu berkaitan keluarga mentua Gina.
Erika menepis tangan abangnya. Panas hatinya apabila jejaka itu tidak ingin mendengar apa yang dibicarakannya sebentar tadi.
"Sejak bila pula keluarga paksu jadi keluarga kita? Kita ni orang luar tahu tak? Jadi kita kena sedar diri. Orang tak suka, buat apa tunjuk muka lagi? Kau lupa ke yang dia orang pernah cakap buruk pasal kita?" protesnya geram.
"Adik. Cukup." Erfan memberi amaran.
"Sakit hatilah aku dengan kau ni, bang. Baik hati sangat pun susah juga." herdik Erika lagi.
"Erfan. Erika. Kenapa tu? Jom, masuk. Keluarga paksu mesti dah tunggu." panggilan daripada Rian itu mematikan pergaduhan yang tercetus di antara dua beradik itu.
"Jom." ajak Gina pula. Pasangan suami isteri mula melangkah masuk ke dalam kediaman keluarga Rian itu.
Erika tidak ada niat untuk berganjak. Dia hanya berdiri di luar pagar itu sambil memeluk tubuhnya. Wajahnya masam mencuka saja.
"Jom, dik." Erfan menarik tangan gadis itu.
"Tak nak."
"Jom." Remaja 18 tahun itu menarik paksa adiknya untuk melangkah masuk ke dalam pekarangan rumah itu. Langkah dibawa ke arah pintu utama rumah.
Sebaik saja mereka melangkah masuk, kedua-duanya sudah mendapat pandangan dingin daripada keluarga Rian itu. Erika ingin berpatah balik tetapi Erfan menahannya. Memaksa gadis itu untuk menyalam tangan Puan Fatimah, ibu kepada Rian. Dia pula berjalan ke arah Encik Said, suami kepada wanita itu.
Erika memutarkan bola matanya apabila melihat Puan Fatimah yang merenungnya dengan pandangan yang tidak suka. Apabila dia mendapat jegilan mata daripada Erfan, dengan rasa malas dia menyalam jua tangan wanita itu. Namun, belum sempat dia mencium hormat kekura tangan wanita itu, Puan Fatimah sudah terlebih dahulu menarik tangannya. Malah dilap pada baju.
Gigi diketap rapat. Erika benar-benar sakit hati melihat sikap wanita itu. Dia menoleh ke arah Gina. Sepertinya, ibu saudaranya itu perasan dengan sikap Puan Fatimah. Dia menggelengkan kepalanya ke arah Erika agar gadis itu tidak melawan.
"Hish!" Erika menyilangkan tangannya kembali ke dada.
Apabila seorang demi seorang mula berjalan ke arah meja makan, Erika akhirnya mengikut jejak yang lain juga. Dia berbalas pandangan dengan Puan Fatimah yang menjelingnya. Wanita itu kembali sibuk mencedok nasi dan lauk ke dalam pinggannya.
"Erfan. Erika. Makanlah." arah Rian dengan senyuman apabila dua beradik itu masih tidak mencedok lauk lagi.
"Baik, paksu." sahut Erfan lalu mula mencedok lauk ke dalam pinggannya. Dia juga membantu Erika yang hanya menayang wajah masam.
"Rian." panggil Puan Fatimah.
"Ya, ma." sahut Rian dengan senyuman.
"Kenapa kau bawa budak-budak datang sini sekali? Mama ajak kau dengan Gina je." perli Puan Fatimah tanpa berselindung.
Terhenti suapan seisi meja apabila mendengar kata-kata tersebut. Erika sudah ingin bangkit tetapi ditahan Erfan. Tidak mahu gadis itu membuat hal.
"Erfan dengan Erika kan dah jadi anak saudara saya, mama. Ke mana saya pergi mestilah bawa dia orang sekali." balas Rian lembut. Dari bawah meja dia menggenggam tangan Gina. Cuba menyabarkan isterinya itu.
"Mama fahamlah yang dia orang dah jadi anak saudara Rian tapi takkanlah setiap kali datang rumah ni dia orang kena ikut sekali. Betul, tak?" Puan Fatimah memandang ke arah Riana, kakak kepada Rian. Gadis itu juga mengangguk setuju.
"Betul tu, ma. Buat apa kau nak bawa budak-budak ni, Rian. Dia orang pun dah besar. Pandai jaga diri." celah Riana selamba lalu menyuap nasi ke dalam mulutnya.
Encik Said yang memberi pandangan amaran kepada isteri dan anaknya itu hanya dihiraukannya. Dia memandang ke arah Gina. Menantunya sepertinya sedang menahan marah.
Erika ingin bangkit berdiri tetapi tersentak apabila Gina menghentak meja dan bangkit berdiri. Kelihatannya Gina benar-benar marah.
"Saya tak kisah kalau mama dengan Kak Riana nak cakap buruk pasal saya, saya masih boleh sabar. Tapi saya paling tak suka bila ada yang bercakap pasal anak-anak saudara saya." marah Gina. Tangannya menepis tangan Rian yang cuba menariknya untuk kembali duduk. Dia sudah tidak mampu sabar lagi.
"Jaga mulut kau tu, Gina. Mama dah cukup baik terima kau dalam keluarga ni. Tahu tempat kau dekat mana, Gina." bidas Puan Fatimah lagi.
"Cukup, Timah." Encik Said bersikap tegas apabila dia merasakan isterinya sudah melampaui batas.
"Saya tahu tempat saya dekat mana. Tak bermakna saya tak berani pertahankan hak saya dan anak-anak saudara saya. Dia orang keluarga saya. Darah daging saya sendiri. Mama tak ada hak nak cakap buruk pasal Erfan dan Erika." ujar Gina lagi. Rian yang masih cuba memujuknya untuk kembali duduk tidak dipedulikannya. Sudah cukup lama dia bertahan.
"Yang kau nak marah sangat ni kenapa Gina? Bukan cakap pasal kau pun." celah Riana.
"Akak pun sama. Jaga mulut akak. Saya benci bila ada yang sibuk nak herdik anak-anak saudara saya."
"Kau ni!" Riana sudah bangkit berdiri ingin meluapkan kemarahannya.
"Mama dengan kakak cukup!" marah Rian apabila mereka berdua benar-benar tidak mampu dihalang lagi.
"Sekarang kau nak bela budak-budak tu pula ke, Rian?" sela Puan Fatimah dengan wajah yang jelas tidak suka.
Gina pantas menarik tangan Erfan dan Erika untuk keluar dari rumah tersebut. Rian tidak membalas kata-kata Puan Fatimah tetapi lebih memilih untuk mengejar langkah isterinya itu.
"Sayang. Mama dengan kakak tak fikir dulu sebelum cakap tu. Jangan bergaduh macam ni. Kita bincang elok-elok." tutur Rian cuba memujuk.
"Saya dah penat bertahan dalam keluarga awak, Rian. Keluarga awak tak hormat saya dan anak-anak saudara saya. Dulu pun bukan main susah dia orang nak terima saya dalam keluarga awak." ujar Gina kepada Rian.
Rian menggenggam kedua belah tangan Gina. Dia dapat melihat kesedihan di sebalik pandangan yang dingin itu. Apakah dia juga antara punca bahawa wanita itu di dalam posisi sekarang?
"Saya sangat jaga harga diri saya dan anak-anak saudara saya. Bila keluarga awak sendiri bencikan kami, awak fikir saya akan duduk diam ke, Rian? Mama dan kakak awak sendiri pernah herdik Erfan dan Erika tentang dia orang kena tinggal ibu dan ayah dia orang. Awak rasa saya tak sakit hati ke? Saya yang besarkan Erfan dan Erika macam anak saya sendiri. Saya sayangkan dia orang. Saya minta maaf tapi saya akan undur diri." luah Gina kesal. Kini, dia tidak akan berselindung lagi.
"Jom." Gina kembali menarik Erfan dan Erika untuk terus melangkah.
"Gina!" Rian meraup rambutnya ke belakang apabila wanita itu tidak berpaling lagi. Dia menoleh ke arah keluarganya yang menyaksikan pergaduhan itu. Dia mendongak kepalanya ke atas. Cuba menahan air matanya daripada jatuh membasahi pipi. Hatinya juga sakit apabila dia tidak mampu melindungi wanita yang dicintainya itu daripada keluarganya sendiri.
Langkah diteruskan ke arah perhentian bas. Gina memeluk sisi tubuh Erfan dan Erika cukup erat. Air matanya tidak dapat ditahan lagi. Demi anak-anak saudaranya, dia sanggup membuat keputusan sebesar itu. Erfan dan Erika adalah segalanya buatnya.
"Maksu minta maaf. Kita balik rumah, ya." bicaranya dengan air mata yang menitik membasahi pipinya.
Erfan mengesat air mata Gina dengan ibu jarinya. Dia memeluk erat tubuh wanita itu dan adiknya. Dia ingin melindungi kedua-dua insan yang sangat penting di dalam hidupnya itu.
"Jom, balik." tuturnya. Dia menggenggam tangan Gina dan Erika menuju ke arah bas yang baru tiba.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top