30
Erika menatap kosong ke arah bangunan-bangunan yang tersergam indah di hadapannya itu. Dia dapat melihat jelas mahasiswa dan mahasiswi yang mengisi pekarangan universiti itu.
Entah mengapa dia tidak merasakan sebarang kesoronokan atau rasa teruja sejak pertama kali dia menjejakkan kaki ke dunia barunya itu sejak dua minggu yang lalu. Skrin telefon dinyalakan untuk melihat jadual waktunya yang seterusnya. Masih ada waktu sebelum kelas seterusnya bermula. Langkah diatur ke arah kafe.
Sejak kepergian Thaqif, dia tidak lagi berhubung dengan lelaki itu. Sejak itu, hidupnya sudah kembali seperti sebelum ini. Bagaikan seorang Thaqif Aqeel tidak pernah hadir mewarnai hidupnya.
Thaqif tidak mencarinya dan dia juga tidak mencari Thaqif. Dia yang bertindak semakin menjauh dan tidak sedikit pun Thaqif tahu alasan sebenar mengapa dia mencipta jarak di antara mereka.
Katakanlah bahawa dia terlalu ego kerana mendiamkan lelaki itu, tetapi dia akhirnya hanya ingin menjaga perasaannya saja. Cukup dia kecewa dalam diam kerana mengetahui jejaka itu mempunyai tunangan.
"Senyum, Erika. Cuba lupakan dia. Mulakan hidup baru." bisiknya sendirian. Nafas ditarik dan dihembus perlahan. Kaki hanya menapak perlahan menuju ke kafe.
Sejak Thaqif pergi, ayat itulah yang sering bermain di bibirnya. Walaupun di sudut hatinya ada secebis rasa ingin Thaqif mencarinya, tetapi pantas ditepisnya.
"Jangan melebihi batas. Dia cuma sebatas kawan." bisiknya lagi.
Matanya meliar memandang ke arah pelajar-pelajar yang begitu sibuk dengan kegiatan masing-masing bersama dengan teman. Berbeza dengannya yang hanya sendirian. Sejak dulu lagi dia memang sering begitu. Hanya Keisha sahabat baiknya.
Mungkin di mata orang lain, perwatakannya terlalu kasar dan agak sombong. Hakikatnya dia seorang yang cukup ceria dengan orang di sekelilingnya yang begitu dia rapat.
"Erika Dayana!"
Pantas Erika menoleh apabila dari jauh dia mendengar seseorang menjerit namanya dengan cukup teruja. Senyumannya mula melebar apabila melihat Keisha yang berlari ke arahnya. Erika sedikit terdorong ke hadapan apabila gadis itu memeluk lehernya.
"Kau buat apa dekat sini?" Berkerut dahi Erika hairan. Setahunya sahabatnya itu ingin bersiap-siap untuk terbang ke luar negara.
"Aku belajar dekat sini. Tengok ini." Kad pelajar yang tergantung di lehernya ditayangnya dengan penuh bangga. Keisha tersenyum cukup lebar.
"Bukan ke kau..."
"Oh tak jadi. Bila fikir-fikir balik, baik aku dekat sini. Ada kau. Lagipun waktu itu aku memang dapat tawaran sambung belajar dekat sini. Cuma postpone sikit untuk uruskan dokumen. Menjadi tak surprise aku?" balas Keisha sambil keningnya diangkat beberapa kali.
Erika menendang betis Keisha geram. Begitu saja dia diperbodohkan gadis itu. Dia langsung tidak tahu menahu tentang rancangan Keisha. Sahabatnya itu memang penuh dengan kejutan.
"Sakitlah!" rengek Keisha sambil mengusap betisnya. Sahabatnya yang seorang ini memang suka gunakan kekerasan.
"Padan muka kau!" Erika kembali melangkah. Meninggalkan Keisha di belakang.
Senyuman Keisha kembali mekar. Dia berlari mengejar langkah Erika lalu leher gadis itu kembali dipeluknya.
"Nak makan apa, ya? Laparnya." Perutnya ditepuk-tepuk perlahan. Kedua-duanya mula menuju ke arah kafe.
Usai membeli makanan, kedua-duanya mula mengambil tempat di meja yang kosong. Keisha dengan pantas menikmati hidangannya. Kelihatan benar bahawa gadis itu cukup lapar.
"Eh Eri." Keisha menghentikan suapannya. Dia memandang tepat ke arah anak mata sahabatnya itu.
"Apa?" Sebelah kening dijongket. Erika mengunyah perlahan. Menanti kata-kata yang bakal dilontarkan gadis itu.
"Aku dah lama tak nampak abang tiri kau." tutur Keisha dengan wajah tertanya-tanya.
Uhuk! Uhuk! Uhuk!
"Hoi! Kau okey tak?" Dengan gelabah Keisha menolak gelas berisi air sirap sejuk itu kepada Erika.
Air dicapai lalu disedut. Erika melepaskan nafas lega apabila dia tidak lagi tersedak. Tidak menjangka dengan soalan tersebut. Dia hampir terlupa bahawa dia masih tidak memberitahu posisi sebenar Thaqif di dalam hidupnya. Bukannya sebagai abang tiri.
"Dia...dia dah balik dah. Ha dah balik." bohongnya. Suapan diteruskan.
"Balik rumah mak kau?"
"Ha ye betul." sahut Erika laju.
Entah mengapa dia tidak berani mengatakan perkara yang sebenar kepada Keisha. Kalau Keisha tahu, pasti gadis itu cukup marah kerana ditipu hidup-hidup. Sedangkan Thaqif bukanlah abang tirinya.
"Oh." Keisha kembali makan. Kembali menikmati makanan tengah harinya.
Erika melangkah turun dari bas apabila kenderaan tersebut berhenti di hadapan perhentian bas yang terletak tidak jauh dari kedudukan rumahnya. Langkah diteruskan untuk pulang ke rumah. Dia tersenyum kecil apabila melihat kanak-kanak yang bermain di taman permainan di kawasan perumahan itu.
Telefon yang sedikit bergetar dikeluarkan dari dalam poket seluarnya. Senyuman kecilnya mati apabila melihat sang pengirim mesej. Thaqif.
Pantas telefonnya kembali disimpan ke dalam poket seluarnya. Menghiraukan saja pesanan tersebut tanpa ada rasa ingin membukanya. Kaki kembali menapak.
"Abang." tegurnya apabila sebaik saja sampai di rumah, kelihatan Erfan yang baru saja menanggalkan helmetnya.
"Baru habis kelas?" soal Erfan prihatin.
Erika tersenyum dan mengangguk laju. Dia berlari ke arah jejaka itu untuk berjalan saing masuk ke dalam rumah.
"Dah kenapa?" soal Erfan pelik apabila gadis itu memegang bajunya.
"Saja." Erika tersenyum menunjukkan barisan giginya.
Erfan menggelengkan kepalanya. Dia melangkah masuk ke dalam rumah diekori Erika. Kelihatan Gina yang sedang memasak di dapur.
"Maksu tak kerja ke hari ni?" soal Erfan ingin tahu.
"Tak. Aku rasa tak sedap badan sikit." balas Gina sambil sibuk memasak. Walaupun dia kurang sihat, kebajikan anak-anak saudaranya tidak dia lupakan.
"Maksu sakit?" Erika berpura-pura terkejut. Kedua belah tangan menutup mulutnya.
"Hish!" Gina mengangkat sudip di tangannya. Bersedia ingin memukul anak saudaranya yang satu itu. Ada saja cara gadis itu untuk mencari gaduh.
Erika menjelirkan lidahnya.
Tergeleng kepala Erfan. Tubuh Erika ditolak ke dalam dapur. Sudip di tangan Gina diambil lalu diletakkan di atas telapak tangan adiknya.
"Maksu rehat. Biar Eri masak." tuturnya memberi arahan.
"Eh asal aku pula yang kena masak?" protes Erika tidak puas hati.
"Bagus. Aku dapat rehat. Kau masak betul-betul. Jangan sampai terbakar dapur aku ni." Bahu Erika sempat ditunjal dengan jari telunjuknya.
Erika memandang tidak percaya. Langkah Gina yang menuju ke bilik wanita itu diperhatinya. Pandangan tajam dilemparkan ke arah Erfan. Lelaki itu punca dia terpaksa memasak.
Bahu adiknya ditepuk beberapa kali. Kedua belah tangannya digenggam menjadi penumbuk.
"Semangat." ujar Erfan sebelum mencapai kunci motor dan helmetnya di atas meja makan. Kaki menapak pergi.
"Kurang asam betul." Pandangan dialihkan ke arah ayam yang sedang digoreng di dalam kuali.
Perlahan-lahan bibirnya menarik senyuman kecil. Gurauan yang mengisi keluarga kecil itu membuatkannya merasakan bahagia.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top