29

Thaqif hanya menatap ke arah meja di hadapannya. Wajahnya langsung tidak diangkat untuk menatap si lawan bicara. Perbualan di antara keluarganya dan keluarga Atiya itu langsung tidak dipedulikannya.

Qaseh pula? Gadis itu sejak awal lagi sudah melarikan diri masuk ke dalam bilik. Nampak sahaja keluarga Atiya itu, dia awal-awal lagi tidak mahu masuk campur di dalam perbincangan di antara hubungan Thaqif dan Atiya.

Kini Thaqif merasakan waktu begitu berputar lambat. Jam dinding yang tergantung di dinding ruang tamu itu dikerlingnya.

"Kalau kita pilih tema yang macam ini okey tak? Nampak simple saja." ujar Karmila memberi cadangan.

"Ini? Tak cantik. Aku rasa yang macam ini lagi elok. Lagipun takkan kita nak buat majlis biasa-biasa saja. Anak aku cuma Atiya saja. Takkan aku nak biarkan anak aku buat majlis simple saja." Faridah, ibu kepada Atiya membidas laju.

Karmila memandang ke arah Thaqif yang hanya membisukan diri. Thaqif tidak menyukai majlis yang terlalu gah tanpa mengukur baju di badan sendiri.

Pandangan lembut itu dibalasnya. Thaqif mengeluh apabila Karmila tidak lagi bersuara untuk menentang apa yang dikatakan Faridah. Ibunya bukan seorang yang reti untuk menegakkan pendiriannya. Wanita itu sering saja mengalah.

"Mahal." ucapnya sepatah.

Kini semua mata terarah ke arah Thaqif yang mula membuka mulut. Berkerut-kerut dahi Faridah dibuatnya. Dia memandang ke arah Jamal, suaminya.

"Majlis cuma sekali. Takkanlah nak buat majlis yang biasa-biasa saja." tutur Faridah tidak puas hati.

"Ya, majlis cuma sekali. Tapi kena fikir juga keadaan selepas majlis. Takkanlah nak ikat perut hanya disebabkan nak adakan majlis yang cukup gah. Saya dan Atiya graduan baru. Kami masih tak bekerja." ujar Thaqif berani.

Dia sudah lelah mengikut telunjuk orang sekelilingnya. Biar dia membidas berani mempertahankan haknya.

Pandangannya bersatu dengan Atiya. Pantas dia mematahkan renungan itu tanpa ekspresi di wajahnya. Pandangan yang cukup dingin kembali terhala ke arah wajah Faridah.

"Kamu..."

"Saya nak lambatkan majlis." potong Thaqif laju.

Semua terkejut dengan bicara pemuda itu secara tiba-tiba.

Puan Kalsum yang baru tiba di ruang tamu itu memandang tajam ke arah Thaqif. Berani-berani cucunya itu mengatakan perkara sebegitu rupa. Bukankah mereka sudah bersetuju untuk mempercepatkan majlis perkahwinan Thaqif dan Atiya? Kenapa cucunya berubah fikiran pula?

"Qif! Jangan nak memandai-mandai! Semua benda kita dah siap rancang! Barang hantaran semua dah siap beli! Tinggal nak pilih tema untuk majlis kahwin nanti saja! Takkan nak anjak tarikh lagi?" marah Puan Kalsum garang.

"Agak-agak selepas kahwin nanti Qif nak bagi Atiya makan apa? Nak tinggal mana? Nak ke mana-mana naik apa? Qif masih tak kerja. Takkan semua benda Qif nak harapkan duit semua orang? Bagi Qif cari kerja dulu. Bila dah ada kerja stabil, barulah Qif mampu untuk tanggung Atiya." ujar Thaqif panjang lebar.

Suasana di ruang tamu itu mula tegang. Puan Kalsum terduduk di atas sofa. Pening memikirkan dengan tingkah cucunya itu.

"Pak cik Jamal pun tak mungkin nak biarkan Atiya hidup dengan saya yang masih menganggur, kan? Mampu ke lepaskan anak pak cik dekat tangan lelaki yang langsung tak ada apa-apa? Tak ada rumah, tak ada kereta dan langsung tak ada pendapatan." Thaqif cuba memanipulasikan fikiran sosok-sosok yang mengisi ruangan itu.

Dia sehabis baik untuk melambatkan majlis perkahwinan yang sepatutnya diadakan enam bulan dari sekarang. Dia tidak bersedia dan dia tidak cintakan Atiya. Satu perkara mustahil buatnya untuk hidup sebumbung bersama gadis itu.

"Saya rasa apa yang Thaqif cakap betul. Atiya anak saya. Saya tak nak hidup dia kucar-kacir selepas berkahwin. Kita terlalu tergesa-gesa untuk buat majlis perkahwinan ini. Sedangkan masih ada banyak masa. Biarlah dia orang fikirkan dulu masa hadapan dia orang. Lagi-lagi Thaqif. Thaqif yang akan sara hidup Atiya selepas kahwin nanti. Biar dia cari kerja dulu." balas Jamal bersetuju dengan pendapat Thaqif.

Faridah menatap wajah suaminya dengan mata yang membulat. Tidak percaya dengan keputusan suaminya itu. Padahal mereka sudah membuat persediaan sejauh ini. Takkanlah mahu melambatkan lagi majlis?

"Abang!"

"Sudah, Idah. Awak pun nak ke hidup anak kita nanti tak terurus selepas berkahwin? Thaqif lelaki. Dia yang akan jadi ketua keluarga dan bimbing Atiya nanti. Biarlah dia cari kerja dulu. Sediakan rumah dan kereta untuk keselesaan anak kita selepas berkahwin." Lembut saja tutur kata Jamal.

Dalam diam, Thaqif tersenyum nipis. Akhirnya, ada yang berdiri di belakangnya dan berani bersuara menyokong pendapatnya.

Puan Kalsum tidak mampu berkata-kata. Dia menatap tajam cucunya. Pantas dia bangkit berdiri untuk kembali ke dalam bilik tidurnya.

"Mak!" Karmila bangkit berdiri.

"Qif minta maaf, ibu." bisik Thaqif perlahan. Dia tahu Puan Kalsum kecewa dengan tindakannya.

Karmila tersenyum manis. Bahu Thaqif sempat diusapnya perlahan. Kepalanya digeleng perlahan.

"Kata-kata Qif ada betulnya. Biar nenek itu ibu yang pujuk. Anak ibu ada hak untuk tentukan hidup sendiri." kata Karmila dengan suara perlahan. Hanya dirinya dan Thaqif yang mendengarnya.

"Kami balik dulu. Nanti bila hati Mak Kalsum dah sejuk, kita bincang semula. Biar semua fikir masak-masak dulu dengan apa yang Thaqif dan saya cakapkan tadi." Jamal bersuara mematahkan suasana tegang itu.

Tangan Faridah ditarik lembut untuk mengikuti langkahnya. Jamal langsung tidak gentar dengan api kemarahan isterinya itu.

"Saya minta maaf dengan apa yang terjadi." ucap Karmila merendah diri.

Jamal hanya tersenyum. Manakala Faridah sudah menarik muka tidak berpuas hati. Thaqif dijeling geram.

"Atiya. Mari balik." ajak Jamal.

"Mak dengan abah balik dulu. Atiya nak berbual dengan Thaqif sekejap." ujar Atiya.

Kepala diangguk dengan permintaan si anak. Jamal kembali menarik Faridah untuk mengikut langkahnya. Takut-takut isterinya itu menyerang Thaqif. Bukan boleh percaya isterinya itu. Di mana-mana saja boleh meletuskan kemarahannya.

"Ibu nak pujuk nenek sekejap." pamit Karmila kepada Thaqif sebelum membawa langkahnya ke arah bilik tidur Puan Kalsum.

"Qif." Atiya mula merapati Thaqif yang masih mengekalkan posisinya di atas sofa single itu.

Atiya mengambil tempat duduk yang tadinya diisi oleh Karmila. Betul-betul di sebelah Thaqif. Sisi wajah tunangnya itu ditatapnya.

"Kau sengaja lambat-lambatkan majlis supaya tak berkahwin dengan aku, kan?" soalnya sayu.

"Kau tahu tapi kau berpura-pura tak tahu." balas Thaqif dingin. Dia langsung tidak menoleh ke arah Atiya yang masih setia menatapnya tanpa lepas.

"Jahat sangat ke aku dekat mata kau? Seburuk itu ke aku pada pandangan kau? Kenapa kau kejam sangat, Thaqif?" tanya Atiya dengan kedua belah mata yang sudah berkaca. Sejak tadi dia hanya menahan perasaannya saja.

Thaqif tersenyum sinis. Pandangan itu dibalasnya dingin.

"Kalau aku kata kau jahat, kau terima, ke? Ya, kau jahat. Aku dah kata yang aku tak sukakan kau tapi kau masih nak teruskan majlis perkahwinan ini. Pada pandangan orang lain, aku yang nampak jahat tapi hakikatnya kau lebih jahat. Kau paksa aku untuk terima hubungan ini. Sedangkan sikit pun aku tak ada rasa suka dekat kau." ujarnya lagi.

Bibir diketap kuat. Atiya tidak mampu menahan air matanya yang mengalir tanpa esakan itu. Pandangan dan kata-kata Thaqif itu cukup dingin. Terlalu dingin sehingga mampu melukakan hatinya.

"Tak mungkin. Atau semuanya berpunca daripada budak tu? Adik si Erfan. Kau rapat dengan dia. Mesti kau suka dia, kan? Sebab tu kau tak nak dengan aku." tuduh Atiya tanpa selidik. Nada suaranya jelas cemburu.

"Cukup, Atiya. Aku dah cakap yang aku dengan dia tak ada apa-apa. Jangan babitkan sesiapa dalam hal ni. Perkara ni cuma antara kau dan aku. Bukan sesiapa." sanggah Thaqif laju. Tidak terima dia dibuatnya apabila sesuka hati Atiya ingin membabitkan Erika yang tidak tahu menahu tentang hubungannya dan Atiya.

"Habis tu?"

"Kau cuma fikirkan diri kau. Kau cuma kisah tentang perasaan kau tapi kau tak kisah tentang perasaan aku. Aku tak suka kau, Atiya. Tak pernah ada sekelumit pun rasa suka tu. Tapi kau tak peduli tentang semua tu. Kau tak pernah tanya aku. Kau nampak tak siapa yang lebih kejam sekarang?" Senyuman sinis kembali ditarik oleh Thaqif.

Air mata membasahi pipi Atiya laju. Tangan naik menyeka air matanya. Pantas dia bangkit berdiri. Terus kakinya menapak meninggalkan rumah milik Puan Kalsum itu.

Qaseh yang memerhati dalam diam sejak tadi tersenyum puas. Akhirnya Thaqif mampu untuk meluahkan segala isi hatinya.

"Akhirnya kau pandai untuk lontarkan pendapat kau." pujinya lalu melangkah mendekati Thaqif. Punggung dilabuhkan di atas sofa yang bertentangan dengan sepupunya itu.

"Sebab tak ada sesiapa lagi yang berani berdiri depan aku untuk pertahankan aku." balas Thaqif dengan senyuman nipis.

Wajah Erika terngiang-ngiang di dalam kepalanya. Hanya gadis itu yang sering berdiri di hadapannya untuk mempertahankan dirinya. Entah mengapa kini dia merindukan gadis itu. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top