28
Gambar polaroid di tangan ditatapnya. Sejak gambar tersebut berada di dalam tangannya, Erika sering menatapnya tanpa alasan yang jelas.
Sebelah tangan menopang kepalanya. Anak mata masih lurus merenung ke arah gambar polaroid yang dipegang dengan tangan kanannya itu.
Tok! Tok! Tok!
"Adik." Erfan menguak pintu bilik gadis itu.
"Apa?" soal Erika malas. Dia menoleh ke arah figura abangnya yang berdiri di ambang pintu. Jejaka itu masih segak memakai pakaian seperti pagi tadi. Mungkin baru pulang.
"Dah jumpa Qif buat kali terakhir?" soal Erfan ingin tahu.
Erika mengeluh. Gambar polaroid tersebut diselitnya ke dalam salah sebuah buku yang terletak di atas meja belajarnya itu. Dia bangkit berdiri lalu merebahkan tubuhnya di atas katil.
"Tak. Malas." balasnya mudah. Selimut ditarik untuk berselubung. Matanya ditutup berpura-pura untuk tidur.
"Betul? Entah bila lagi kita dapat jumpa Qif. Qif dah lah duduk jauh. Tak menyesal?" tanya Erfan lagi inginkan kepastian.
"Hm."
"Padahal kau paling pantang kalau dengar nama Qif sebelum ini. Laju saja kau nak jumpa dia. Ini kenapa pula tiba-tiba macam ini? Kau orang gaduh, ke?" bicara Erfan prihatin. Kedua belah tangan disilangkan ke dadanya.
"Tak. Aku cuma mengantuk. Lagipun bukannya tak boleh mesej atau telefon dia nanti. Zaman sekarang dah canggih." balas Erika.
Badannya diputarkan menghadap dinding. Sengaja ingin membelakangi abangnya. Kedua belah kelopak matanya masih lagi tertutup rapat.
"Ikut kau lah." Erfan menutup kembali pintu balik gadis itu rapat. Mesej kepada Thaqif dihantar di ruangan mesej.
Erika mencelikkan matanya yang tadi ditutupnya rapat. Tubuhnya dipusingkan menghadap ke arah meja kecil yang terdapat di sisi katil. Di situ terdapat origami pemberian Thaqif tadi.
Direnung origami rama-rama itu tanpa lepas. Patung arnab yang duduk berdekatannya itu dicapainya lalu dipeluk erat.
Telefon pintarnya dicapai. Ruangan mesej di antaranya dan Thaqif dilihat. Mesej terakhir yang dihantar jejaka itu merupakan mesej beberapa hari yang lalu. Kebiasaannya Thaqif lebih suka untuk menelefonnya.
"Selalu aku yang cari dia. Kenapa dia tak nak cari aku?" gumamnya perlahan. Benteng egonya cukup tinggi. Dia tidak mahu mencari jejaka itu jikalau bukan Thaqif yang mencarinya dulu.
Erika menepuk dahinya beberapa kali dengan perlahan. Dia terlupa sesuatu. Jejaka itu tunangan orang. Apa yang masih dia harapkan? Hubungan pertemanan yang cukup akrab seperti dulu?
Sepatutnya dia sendiri yang menjaga jarak di antara mereka. Kerana dia bukan sekadar berteman tetapi melainkan menyimpan perasaan terhadap jejaka itu.
Telefon kembali diletakkan di atas meja kecil bersebelahan dengan origami tersebut. Matanya kembali dipejam rapat. Cuba untuk menghiraukan perasaannya. Dia sudah sedaya upaya menjaga jarak di antara mereka. Dia tidak ingin usahanya sia-sia. Dia tidak mahu menyimpan perasaan terhadap tunangan orang.
Thaqif menatap ke arah bagasinya yang sempat diberikan Erfan kepadanya sebelum jejaka itu pulang tadi. Sebelum ini dia sudah berpesan kepada tuan rumah untuk membuang segala barang-barangnya yang masih tersisa di dalam rumah itu tetapi dia tidak sangka bahawa Erfan yang mengambil alih menyewa rumah kecil tersebut.
Makanya barang-barangnya yang sebelum ini ditinggalnya disimpan oleh Erfan sebaiknya. Bingkai gambar yang dihiasi wajahnya, Erfan dan Erika sewaktu mereka mengunjungi taman tema hiburan itu ditatapnya. Erfan menghadiahkan buatnya.
"Ambil gambar ini. Senyuman kau dalam ini nampak lebih ikhlas. Nampak yang kau tak berpura-pura bahagia macam sebelum ini."
Senyuman Thaqif terbit dengan melebar sambil menatap bingkai gambar tersebut. Dia tidak sangka dia menemukan keluarga sewaktu dia merantau jauh demi menuntut ilmu.
"Qif. Dah belum?" Qaseh memunculkan diri di ambang pintu.
Jejaka itu mengangkat wajahnya menatap sepupunya itu. Kepalanya diangguk mengiyakan. Sekeliling rumah kecil itu ditatapnya buat kali yang terakhir.
Qaseh kembali memusingkan tubuhnya untuk kembali ke arah kereta. Membiarkan Thaqif sendirian.
"Aku akan rindukan tempat ini." ucapnya sendirian. Kenangannya bersama Erfan dan Erika bermain-main di dalam kepalanya.
Dia tergelak kecil apabila mengingati kembali pertengkaran kecil di antara Erfan dan Erika. Adik-beradik itu benar-benar mengisi dunianya yang selama ini kelam bertukar menjadi lebih berwarna.
Dia masih ingat setiap kali dia meluah segala keluh kesahnya di sini bersama Erfan. Dia juga masih ingat setiap kali Erika cuba menghiburnya dengan pelbagai cara dan pada akhirnya dia akan tersenyum dengan tingkah laku gadis itu.
Bagasinya mula ditarik untuk keluar dari rumah itu. Buat kali yang terakhir, dia menatap sekeliling ruangan itu sebelum pintu ditutup rapat dan dikunci.
Thaqif mula melangkah menuruni tangga. Sebaik sahaja di tiba di aras bawah, kelihatan dua buah kereta yang terparkir elok di hadapan bangunan yang menempatkan rumah-rumah sewa itu.
Perbualan di antara Puan Kalsum, Karmila, kedua ibu bapa Atiya dan juga Atiya mula terhenti. Hanya Qaseh yang langsung tidak mengambil peduli. Gadis itu hanya sibuk bermain dengan telefonnya.
"Dah ambil semua barang yang tertinggal?" tegur Karmila lembut.
Thaqif menarik senyuman nipis. Kepalanya diangguk sebagai jawapan. Bagasinya dibawa ke bonet kereta. Qaseh yang tadi membuat hal sendiri mula membantu.
"Aku tak tahu apa yang nenek nampak dekat keluarga itu. Aku dah bosan nak menghadap lagi." tutur Qaseh perlahan sebaik sahaja dia membuka pintu bonet kereta Karmila.
Sebelah kening terjongket mendengar keluhan gadis itu. Jarang sekali Qaseh ingin meluahkan rasa tidak puas hati tentang keluarga kecil itu.
"Nak buat macam mana lagi? Aku pun masih tak tahu untuk apa hubungan pilihan keluarga ini." balas Thaqif sambil tangannya bergerak menyimpan bagasinya di dalam bonet kereta.
"Aku muak dengan perangai Atiya. Aku tahu kau tak suka dia. Sebelum ini aku boleh tahan, makin lama aku makin tak tahan."
"Kenapa?"
"Kau tak nampak ke yang dia selalu cemburu setiap kali kau berbual dengan mana-mana perempuan? Dia akan cuba untuk mencelah. Kau tak nampak ke tadi masa kau dengan Erika berbual? Dia tiba-tiba datang sibuk panggil-panggil kau." luah Qaseh kesal.
Perbuatan Thaqif terhenti. Dia memandang ke arah Qaseh yang masih setia berdiri di sebelahnya. Kemudian, pandangannya dialihkan ke arah Atiya.
Waktu itu juga Atiya sedang menatap Thaqif. Senyumannya ditayang dengan cukup lebar. Namun, Thaqif langsung tidak membalas. Wajahnya hanya datar. Bibirnya terkatup rapat.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top