19
Buku ditutup apabila dia sudah merasakan lelah. Mendengar saja pintu rumah yang ditutup rapat, pantas dia menoleh. Kelihatan wajah Erfan yang cukup kepenatan.
Erika hanya memerhati abangnya yang mengambil tempat duduk di atas sofa. Penampilan jejaka itu juga sudah tidak serapi pagi tadi. Tali leher entah ke mana. Rambut pula sudah kelihatan serabai.
"Penat." keluh Erfan sendirian. Kedua belah matanya dipejam rapat sebentar untuk melepaskan lelahnya buat seketika.
Senyuman terbentuk apabila kucingnya, Mary menggesel di kakinya. Pantas Erika mengangkat Mary naik ke atas ribanya dan dibelai manja.
"Maksu tak balik lagi?" tanya Erfan apabila dia tidak melihat ibu saudaranya itu. Matanya dicelikkan memandang adiknya itu.
"Dah. Gina dah tidur." balas gadis itu.
Belaian Erika terhenti. Senyuman yang tadi terukir indah kian memudar. Tiba-tiba saja dia teringatkan Thaqif.
Sejak kepergian lelaki itu waktu itu, batang hidung Thaqif sudah tidak kelihatan lagi. Thaqif terus saja pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal. Lebih teruk lagi, Erfan memberitahunya bahawa jejaka itu sudah pun pulang ke negeri asalnya.
"Qif ada mesej kau?" soalnya ingin tahu.
Dia rindukan sosok jejaka itu. Untuk bertanya khabar, dia merasakan bahawa dirinya tidak sepenting itu di dalam hidup lelaki itu. Apatah lagi sejak kepergian lelaki itu, tidak sekalipun Thaqif menghantar mesej kepadanya.
"Tak. Dah lama. Mungkin dia sibuk." tutur Erfan perlahan.
Retina matanya menatap tepat ke arah siling. Pandangannya melekat di situ. Dia tidak tahu apa yang sahabatnya itu sorokkan daripadanya tetapi dia merasakan sedikit kecewa.
Bukankah Thaqif sudah berjanji kepadanya untuk tinggal di sini sehingga mereka graduasi? Tetapi mengapa sahabatnya itu pergi tanpa berpamitan?
"Kenapa tak tidur lagi? Dah lewat." ujar Erfan kepada adiknya itu. Cuba untuk melupakan sebentar hal berkenaan Thaqif itu.
Jika dia bertemu dengan sahabatnya itu, memang habis lelaki itu disekehnya. Berani-berani pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal. Geram saja dia dibuatnya.
"Baru siap study." balas Erika ringkas. Mary dibaringkan di atas karpet itu. Kelihatan kucingnya itu mula tertidur pulas.
Senyuman nipis terbentuk apabila abangnya itu cuba mengalihkan topik berkaitan Thaqif. Mereka mempunyai kekecewaan sendiri.
Dia masih tertanya-tanya tentang punca lelaki itu pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal. Mengapa sehingga kini Thaqif tetap berdiam diri? Dia fikir mereka sudah cukup dekat.
Keluhan dilepaskan. Buku-bukunya mula dikemas. Esok merupakan peperiksaan terakhirnya sebelum dia menamatkan zaman persekolahannya. Tanpa sedar Thaqif sudah cukup lama meninggalkan mereka.
"Hm. Terus tidur. Jangan main telefon. Esok nak bangun awal." pesan Erfan sambil memerhati gadis itu yang sudah mengangkat buku-buku untuk dibawa ke tingkat atas.
"Okey." sahut Erika perlahan.
"Eri."
Panggilan itu membuatkan Erika kembali memutarkan tubuhnya kembali menatap Erfan. Sebelah keningnya dijongketkan.
"Selamat hari jadi." ucap Erfan dengan senyuman nipis.
Pantas kepala Erika menoleh ke arah jam yang tergantung di dinding. Tepat jam 12 malam. Senyuman di bibirnya terukir.
"Dah naik sana." arah Erfan bersama isyarat tangan.
Erika kembali berpaling. Kaki mula menapak ke tingkat atas menuju ke bilik tidurnya. Buku-bukunya diletakkan di atas meja belajarnya.
Segera tubuhnya direbahkan di atas katil usai mematikan lampu bilik tidurnya. Telefonnya dikeluarkan dari dalam poket seluar.
Keluhan dilepaskan apabila ruangan mesej di antaranya dan Thaqif masih tidak berubah. Hanya memaparkan balasan mesej yang sudah sekian lamanya.
"Qif lupa, ke?" bisiknya sendirian.
Akhirnya, telefonnya ditutup kembali. Matanya sudah kuyu. Kedua belah kelopak mata pantas dipejam rapat untuk melelapkan mata. Tidak mahu menanti lagi.
Rambut yang basah dikeringkan menggunakan tuala. Thaqif merapikan rambutnya. Jarum jam dikerling. Lapan pagi.
Segera dia berjalan menuju ke dapur. Pasti keluarganya sudah menantinya untuk bersarapan bersama-sama.
"Selamat pagi."
Wajah Thaqif berubah dingin apabila melihat Atiya yang turut sama berada di meja makan bersama neneknya, Puan Kalsum dan ibunya, Karmila. Keluhan dilepaskan. Pagi-pagi lagi dia sudah disajikan dengan pemandangan itu.
Kaki menapak turun menuruni tangga. Sapaan gadis itu langsung tidak dibalasnya. Dibiarkan saja bagaikan angin lalu.
Dengan senyap dia mengambil pinggan dan cawan lalu dibawa ke meja makan. Kerusi kosong di sebelah Karmila didudukinya. Nasi lemak menjadi hidangan sarapan mereka.
"Kenapa tak balas Atiya tegur itu?" tegur Puan Kalsum apabila melihat sikap Thaqif itu. Kelihatan reaksi wajah Atiya yang tadi gembira kini sudah berubah mendung.
"Perlu, ke?" balas Thaqif datar.
Puan Kalsum mendengus geram dengan sikap cucunya itu. Dia sempat mengerling ke arah Atiya dengan ekor matanya. Gadis muda itu hanya menunduk. Mungkin terasa dengan sikap cucunya yang cukup dingin itu.
"Nanti Thaqif keluar dengan Atiya pergi bandar. Cari barang hantaran." ujarnya tegas. Teh panas disisipnya sedikit usai mengutarakan kata-kata itu.
Pantas Thaqif menoleh. Kedua belah matanya dipejam sebentar. Lagi-lagi topik berkaitan kahwin yang menjadi topik perbualan mereka.
"Kenapa cepat sangat, nek? Ini bukan macam yang kita bincangkan sebelum ini." ujarnya sedikit kesal.
Perasaan Atiya yang mendengarkan ucapannya itu langsung tidak dipedulikan. Bagaimana dia mahu berkongsi hidup dengan gadis itu jika dirinya langsung tidak mempunyai sekelumit pun rasa suka terhadap Atiya?
Semuanya diatur sang nenek dan kedua ibu bapa Atiya. Hanya kerana ingin menjaga hubungan baik di antara dua buah keluarga, dirinya dijadikan mangsa hubungan tanpa rasa cinta itu.
"Selepas itu, takkan nak tunang lama-lama? Nak berapa lama? Lima tahun? Enam tahun?" sela Puan Kalsum garang. Anak mata cucunya itu ditatap tajam. Cuba memberi amaran.
"Tapi..." Kata-kata Thaqif terhenti apabila dia merasakan pergelangan tangannya yang disentuh di bawah meja. Wajah Karmila dipandang.
Karmila menggelengkan kepalanya apabila Thaqif cuba untuk melawan kehendak Puan Kalsum. Dia tidak mahu ibunya itu bakal naik angin dengan sikap Thaqif yang keras kepala.
Thaqif menarik dan menghembuskan nafasnya perlahan. Sempat dia menoleh ke arah Atiya yang sedari tadi hanya membisukan diri di antara suasana yang cukup tegang itu. Pandangan dingin dilemparkan buat gadis itu.
Kepalanya menunduk memandang pinggannya. Menikmati sarapannya dengan penuh rasa kesal.
"Cepat sikit." ujarnya kepada Atiya. Terus dia bangkit berdiri apabila pinggannya sudah pun kosong. Pinggan serta cawan yang telah digunakannya itu dibawa ke singki untuk dicuci.
Thaqif kembali merapati Karmila. Tangan itu disalamnya. "Qif pinjam kereta ibu."
Karmila hanya mengangguk. Bahu anaknya itu diusapnya perlahan. Cuba memberikan kekuatan. Dia tahu bahawa Thaqif cukup tidak rela dengan hubungan yang diatur Puan Kalsum itu. Dia tidak mampu menghalang.
Kini Thaqif menghampiri Puan Kalsum pula. Tangan yang sudah berkedut kerana faktor usai itu disalamnya tanpa kata.
Atiya pula sejak tadi hanya mengekori gerak-geri jejaka itu.
Laju Thaqif menapak ke bilik tidur Karmila untuk mengambil kunci kereta. Kemudian, dia ke bilik tidurnya untuk mengambil telefon serta dompetnya.
Kelihatan Atiya yang sudah menanti di sisi kereta Proton Persona milik Karmila.
Anak matanya menangkap satu sosok tubuh gadis berambut pendek paras bahu dengan gaya rambut yang diikat half ponytail berjalan menghampiri tangga rumah. Senyuman nipisnya terbentuk.
Pantas belakang kolar baju gadis yang sedang sibuk bermain dengan telefon itu ditariknya untuk mengekorinya.
"Eh kau dah kenapa, Qif?" soal Qaseh dengan kerutan di dahinya. Thaqif mahu menariknya ke mana?
Tangan Thaqif ditolaknya. Dia berhenti melangkah.
"Teman aku." balas Thaqif.
"Ke mana?" Tangannya disilangkannya dengan wajah datar.
Thaqif memberikan isyarat mata ke arah Atiya yang sedang menanti. Wajah tidak relanya ditayang di hadapan sepupunya itu juga merangkap adik-beradik susuannya.
Bebola matanya digulingkan ke atas tanda menyampah. Lagi, lagi dan lagi. Qaseh sudah naik bosan apabila asyik-asyik wajahnya saja yang sering menemani pasangan itu.
Lengan baju panjang disingsing sehingga ke paras siku. Dia kembali menyilangkan kedua belah tangannya ke dada. Mereka berbalas pandangan.
"Aku penat, Qaseh." adu Thaqif cukup lelah. Selain Erfan, Qaseh juga menjadi tempatnya untuk meluahkan rasa. Gadis itu sering menjadi pendengar setianya.
Qaseh melepaskan keluhan. Dia kasihan dengan jejaka itu. Liku perjalanan kehidupan sepupunya itu sudah disaksikannya sepanjang mereka membesar bersama-sama. Kehidupan Thaqif tidak seindah mana.
"Jom." Lengan Thaqif ditariknya. Mereka berdua menghampiri Atiya.
Qaseh melepaskan lengan Thaqif apabila mereka berhenti di tempat pemandu. Dia sambung melangkah ke arah tempat duduk penumpang di sebelah pemandu. Belum sempat Atiya ingin membuka pintu kereta, tangannya lebih pantas menahan.
"Belakang." arahnya.
Riak wajah Atiya berubah apabila Qaseh memunculkan diri di sebelahnya. Nampak gayanya gadis itu sekali lagi mencelah di antara hubungannya dan Thaqif.
"Aku tak nak ulang benda yang sama dua kali." tutur Qaseh apabila sedikit pun Atiya tidak berganjak.
Akhirnya, Atiya mengalah. Dia memboloskan diri ke bahagian penumpang belakang. Tidak mungkin dia akan melawan gadis tomboy itu. Qaseh itu agak menyeramkan orangnya.
Senyuman tidak pernah terukir di bibir itu. Wajah datar dan sering bersikap tenang itu mampu meletuskan amarah yang cukup menggetarkan untuk sesiapa yang melihat.
Thaqif tersenyum nipis apabila Atiya mengikut arahan Qaseh. Ibu jarinya diangkat ke arah sepupunya itu.
Qaseh hanya menayang senyuman senget saja. Mereka berdua akhirnya memboloskan diri ke dalam perut kereta.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top