04
Erfan melangkah masuk ke dalam rumah sewa yang dihuni Thaqif itu. Rumah yang boleh dikatakan seperti sebuah bilik itu. Rumah kecil yang cukup selesa dan begitu lengkap dengan dapur, ruang makan dan tandas.
"Berangan apa?" soalnya lalu merebahkan tubuhnya di atas katil Thaqif. Cukup selesa apabila seharian ini dia menghadiri kelas yang langsung tidak berhenti. Lagi-lagi apabila ada kelas ganti.
Thaqif yang sejak tadi merenung skrin komputer ribanya mula mengalihkan pandangan menatap sahabatnya itu. Badannya disandarkan pada kepala kerusi.
"Kau dah fikir nak apply intern dekat mana? Tak lama lagi dah nak habis belajar."
"Belum. Kau pula? Kau nak intern dekat sini atau balik ke negeri kau?" balas Erfan penasaran.
"Aku tak pasti." tutur Thaqif perlahan.
"Dekat sini sajalah. Kau ada aku. Kalau kau balik sana, mesti kau sunyi. Tak ada kawan." gurau Erfan cuba membuat sahabatnya tersenyum.
Thaqif tersenyum kecil. Ya, dia tidak ada sesiapa di sini kecuali Erfan, sahabat baiknya itu. Jam di dinding dilihat. Sudah hampir pukul enam petang.
"Aku nak pergi kerja. Jangan lupa kunci pintu nanti bila nak balik." pesannya sambil menukar t-shirt yang dipakainya kepada pakaian khas kerjanya.
"Okey." sahut Erfan lalu memejamkan matanya. Rasa mengantuk menguasai dirinya.
Langkah dibawa menuju ke kedai serbaneka yang dibuka 24 jam tidak jauh dari kedudukan rumah sewanya. Thaqif menarik senyuman kecil ke arah rakan sekerjanya serta rakan seuniversitinya, Atiya. Senyuman yang hampir tidak kelihatan.
Mereka berdua bertukar tempat. Atiya melangkah keluar dari dalam kaunter dan Thaqif pula menggantikannya. Kotak yang berisi dengan stok barang dibuka lalu disusun di almari di belakang kaunter itu.
"Qif."
"Hm."
"Kau nanti selepas tamat belajar, ikut aku balik, tak?" tanya Atiya ingin tahu. Dia dan Thaqif sudah kenal lama. Apatah lagi mereka dulu berada di sekolah menengah yang sama.
"Aku tak tahu lagi. Kau?" balas Thaqif. Dia begitu ralit menyusun stok barangan.
"Mak aku suruh balik. Dia suruh aku intern dekat sana saja. Hm...kau tak ada terfikir nak balik, ke?" Dengan penuh berhati-hati Atiya menyoal lagi. Dia tahu bahawa jejaka itu cukup sensitif dengan soalan sebegitu.
"Tak tahu lagi." balas Thaqif ringkas.
"Okey." Akhirnya Atiya tidak bertanya lebih lagi apabila melihat Thaqif yang bagaikan mahu tidak mahu saja menjawab. Terus saja dia meninggalkan kedai serbaneka itu. Waktu kerjanya sudah tamat.
Keluhan dilepaskan. Thaqif mengangkat kotak kosong itu untuk disimpan ke dalam stor. Kaki dibawa melangkah ke arah peti ais. Bahagian minuman yang sudah kosong mula diisi dengan stok yang baharu.
Mata mengerling ke arah dua orang lelaki yang sedang berbual sesama mereka sambil menapak ke arah peti ais itu. Thaqif tidak bersuara. Dia cukup kenal dengan kedua-duanya. Mereka ialah rakan sefakultinya dan paling penting sekali mereka tidak menyukainya.
Prang!
Thaqif tersentak apabila melihat salah satu minuman yang diisi di dalam botol kaca telah pun pecah. Kedua-dua orang jejaka itu ditatapnya.
"Bayar ganti rugi." ujarnya.
"Eh Thaqif. Kau kerja dekat sini?" Jamie, lelaki yang berkulit sawo matang itu menyoal dengan senyuman mengejek.
Thaqif tidak bersuara. Dia memandang ke arah kemalangan kecil yang sengaja dilakukan Jamie dan Hariz itu. Kedua-duanya tergelak.
Sehabis baik dia cuba bersabar. Tidak mahu bertindak lebih agar tidak berlaku sebarang huru-hara. Dia tidak mahu dia dibuang kerja gara-gara bergaduh dengan pelanggan.
"Bayar." arahnya lagi.
Thaqif terundur beberapa tapak ke belakang apabila Jamie sengaja mendorongnya. Giginya ditetapkan kuat.
"Marah, ke?" Pipi Thaqif sengaja ditepuk beberapa kali.
Thaqif menepis kasar. "Bayar ganti rugi."
"Kenapa...argh!"
Tersentak Thaqif dibuatnya apabila melihat Jamie yang jatuh melutut di atas lantai. Dia memandang ke arah belakang lelaki itu.
"Eri." bisiknya perlahan.
Erika menapak ke arah Thaqif lalu berdiri di sisi lelaki itu. Tangannya disilangkan ke dada. Dia tersenyum senget apabila melihat Jamie yang jatuh melutut itu.
"Mesti sakitkan?" ujarnya sambil menunjuk ke arah lutut Jamie itu. Apatah lagi jatuh secara tiba-tiba itu dan terhentak di atas lantai jubin.
Jamie mengetap giginya geram. Hariz membantunya bangun. Pandangan tajam dilemparkan ke arah gadis itu.
Tangan dihayun ke udara ingin menampar Erika tetapi gadis itu lebih pantas. Erika menundukkan badannya lalu menumbuk perut lelaki itu dengan sepenuh kekuatannya. Kali ini bukan hanya Jamie yang jatuh tetapi begitu juga dengan Hariz kerana Jamie yang merempuh lelaki itu.
"Eri." Thaqif menarik lengan baju sukan sekolah yang tersarung di tubuh gadis itu. Dia menarik gadis itu ke belakang.
Erika menggerakkan lengannya agar pegangan Thaqif terlepas. Dia sudah mulakan dan biarlah sehingga habis dia mempertahankan lelaki itu.
"Bayar dan blah. Aku boleh buat laporan polis yang kau orang cuba mengganggu ketenteraman orang awam." gertaknya dengan wajah tegas.
"Jamie. Bayar saja." gesa Hariz apabila mendengar gertakan gadis itu. Dia tidak mahu tidur di dalam lokap.
Jamie mendengus kasar. Duit ganti rugi dikeluarkan lalu dicampak ke atas lantai. Dia bangkit berdiri sambil memegang perutnya yang cukup merasakan perit akibat ulah gadis yang tidak dikenalinya itu.
"Kau tunggu balasan kau, Thaqif." ujar Jamie sebelum melangkah pergi.
"Biadab." cemuh Erika apabila melihat sikap lelaki itu. Kepingan wang yang berada di atas lantai dikutipnya lalu dihulur ke arah Thaqif.
Thaqif menyambut huluran lalu berjalan ke arah kaunter untuk menyimpan duit. Kemudian, dia pergi mencari mop untuk membersihkan air yang sudah tumpah itu.
"Jangan." tahan Thaqif apabila Erika cuba untuk mengutip botol kaca yang pecah itu.
Erika mematikan niatnya. Beg sekolah yang dicampak di atas lantai disandang ke bahunya. Dia memerhati Thaqif yang melakukan kerja lelaki itu. Apabila jejaka itu sudah selesai, dia mula menapak untuk mencari aiskrim.
"Eri baru balik sekolah?" soal Thaqif. Dia mengambil duit yang dihulur Erika untuk membayar aiskrim gadis itu. Bungkusan aiskrim dibuka lalu aiskrim dihulur kepada gadis itu.
Setelah kejadian dia berlakon sebagai abang tiri Erika itu, mereka tidak ada berjumpa sehinggalah hari ini buat pertama kalinya. Sudah beberapa hari berlalu.
"Hm. Ada kelas tambahan. Balik lambat. Erfan kata nak ambil tapi dia tak sampai-sampai pun." terang Erika lalu menanggalkan plastik yang membalut aiskrim tersebut.
"Erfan ada dekat rumah Qif. Mungkin dia tidur." jelas jejaka itu.
Erika berdecit perlahan. Patutlah dia tunggu tak sampai-sampai. Adiknya dibiar tersidai di sekolah, dia pula sibuk terbongkang ke alam mimpi.
Dia berganjak ke tepi apabila ada pelanggan yang ingin membuat pembayaran. Isyarat mata yang diberikan Thaqif itu difahami. Dia mula menapak keluar untuk duduk di meja yang tersedia di luar kedai serbaneka itu.
Senyuman terlakar manis apabila melihat Thaqif yang melayan pelanggan bersama senyuman itu. Kelihatan tidak sombong dan cukup ramah.
Benar-benar menarik perhatiannya melihat jejaka itu. Walaupun mereka baru berkenalan, dia sudah dapat merasakan mereka sudah rapat. Ada satu aura yang disebarkan lelaki itu sehingga membuatkan dia cukup selesa untuk berteman.
Dia hanya memerhati apabila seorang gadis yang berlari anak masuk ke dalam kedai serbaneka itu dan menegur Thaqif di kaunter. Kepalanya disengetkan sedikit.
"Thaqif. Aku tertinggal telefon." Atiya berdiri di hadapan kaunter. Jari dituding ke arah tempatnya menyimpan telefon.
Thaqif tidak membalas. Dia mengemam bibirnya sambil memandang ke arah Erika yang sejak tadi memerhatinya. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Atiya.
"Atiya. Kau boleh gantikan aku sekejap? Aku nak hantar adik Erfan balik sekejap." pinta Thaqif. Tidak betah untuk membiarkan gadis itu menantinya cukup lama.
Kepala Atiya menoleh ke arah tempat yang dipandang Thaqif. Kelihatan seorang gadis memakai baju sukan sekolah sedang duduk di luar kedai.
"Oh okey." balasnya bersetuju. Mereka berganti tempat.
"Eri. Jom, Qif hantar jumpa Erfan." ajak Thaqif apabila dia sudah berdiri di hadapan gadis itu.
Erika menganggukkan kepalanya bersama senyuman manis. Dia mula bangkit dari duduknya lalu mengejar langkah jejaka itu.
"Lain kali jangan buat macam tadi lagi tahu. Pukul orang macam itu. Bahaya. Lagi-lagi lelaki. Takut dia orang ada dendam dengan Eri." pesan Thaqif sedikit risau.
"Eri nak selamatkan Qif saja. Lagipun Eri belajar taekwondo. Jangan risau. Eri mahir." jawab Erika. Tali beg yang sedikit melorot jatuh dari bahunya dibetulkan.
Thaqif hanya menggelengkan kepala saja.
"Qif."
"Hm."
"Kalau Qif ada dalam masalah macam tadi itu, biar Eri tolong Qif. Biar Eri lindungi Qif." ucapnya ikhlas. Dia tidak tipu. Dia ingin membantu dan melindungi jejaka itu. Apatah lagi Thaqif pernah membantunya. Walaupun hal sekecil itu, tetapi cukup bermakna buatnya.
Tawa kecil jejaka itu terlepas apabila mendengar apa yang diutarakan Erika itu. Dalam nakal gadis itu, masih ada rasa peduli buatnya.
Mereka berdua masuk ke dalam bangunan bertingkat itu. Kaki menapak menaiki tangga menuju ke tingkat dua. Thaqif memulas tombol pintu.
"Itu Erfan." tunjuknya.
Segera Erika berlari mendapatkan abangnya dengan perasaan geram.
"Erfan Danial! Aku tunggu dekat sekolah itu bukan main lama! Kau boleh tidur dekat sini? Kau bangun sekarang!" Kaki menendang-nendang betis Erfan yang berada di atas katil itu.
Thaqif melepaskan tawanya. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya dan menapak pergi. Dia perlu menyambung kerjanya.
Erika menoleh ke belakang apabila dia tidak lagi melihat kelibat Thaqif. Pasti jejaka itu sudah pergi.
"Kacaulah kau ini." Erfan menghayunkan tangannya memukul kaki adiknya itu.
Pandangan kembali dialihkan ke arah Erfan. "Bangun!"
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top