03

Pen dimainkan dengan jari-jemarinya. Erika langsung tidak fokus dengan apa yang diajar guru di hadapan kelas. Fikirannya sibuk memikirkan tentang Thaqif.

"Qif datang tak agaknya, ya?" bisik hatinya.

Risau jika jejaka itu tidak datang. Apatah lagi mesej yang dihantarnya semalam langsung tidak dibalas jejaka itu.

Kring!

Loceng tamat sesi persekolahan telah pun berbunyi. Semua rakan sekelasnya berpusu-pusu ingin pulang selepas guru mata pelajaran yang terakhir itu telah pun melangkah keluar.

Namun, tidak bagi Erika. Gadis itu masih tidak berganjak dari kerusinya. Dia tersentak apabila ada tangan yang menepuk bahunya.

"Kau tak balik ke, Eri?" soal Keisha pelik. Selalunya Erika paling laju keluar dari kelas.

"Tak. Cikgu Sarah nak jumpa family aku. Semalam kan aku bergaduh dengan si Arissa itu." Mulutnya dimuncungkan ke arah Arissa yang disambut ibu gadis itu di luar kelas.

"Oh. Aku balik dululah kalau macam itu. Takut tertinggal bas. Bye!" Tangan dilambai ke arah Erika lalu Keisha mula berlari anak keluar dari kelas.

Dengan penuh setia, Erika tetap menanti Thaqif. Pandangannya dibuang ke luar tingkap. Kelihatan Arissa sudah pun berjalan keluar dari pekarangan sekolah bersama ibu gadis itu.

Dia mengeluh sendirian. Jam di dinding dipandang. Sudah setengah jam berlalu. Nampaknya Thaqif tidak bakal datang. Terpaksalah dia bertemu guru kelasnya itu tanpa penjaga.

Beg sekolah disandang ke bahu. Suis kipas dimatikan lalu pintu kelas ditutup rapat. Kaki mula menapak meninggalkan kelas itu untuk ke bilik disiplin.

"Eri!"

Pantas tubuhnya dipalingkan ke belakang. Senyumannya mekar apabila melihat Thaqif yang melangkah besar menghampirinya.

"Maaf lambat. Kelas Qif baru habis. Selepas itu, Qif hampir sesat cari kelas Eri." terang Thaqif supaya gadis itu tidak marah. Pasti Erika tertunggu-tunggu akan kehadirannya.

Erika menggelengkan kepalanya. "Tak apa. Kalau Qif tak datang, Eri akan cuba cari alasan untuk bagitahu cikgu."

Thaqif hanya mengangguk. Kedua-duanya mula melangkah seiring menuju ke bilik disiplin.

Erika mengetuk perlahan pintu bilik disiplin itu.

"Masuk!"

Apabila sudah mendapat keizinan daripada Puan Sarah, mereka melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Meja kosong di sudut bilik dihampiri lalu kedua-duanya mengambil tempat di situ atas arahan Puan Sarah.

"Awak..." Puan Sarah memandang ke arah Thaqif dengan sedikit bingung. Wajah itu cukup asing.

Setahunya anak muridnya itu tinggal bersama ibu saudara gadis itu dan seorang abang. Dia sudah kenal kedua-duanya tetapi wajah ini baru pertama kali dilihatnya.

"Thaqif. Abang tiri saya." balas Erika laju bersama senyuman.

Berkerut dahi Thaqif sambil memandang Erika. Erika hanya memberi isyarat dengan matanya saja supaya jejaka itu mengikut saja rentaknya.

"Abang tiri?"

"Ya, abang tiri. Anak bapa tiri saya. Abang tiri saya ini datang melawat saya dengan abang saya dekat sini." bohong Erika lagi.

"Ha ya. Erfan tak dapat datang. Jadi saya wakilkan. Saya Thaqif. Cikgu..." Thaqif menarik senyuman kekok.

"Saya Cikgu Sarah. Okey, Encik Thaqif. Jadi macam ini. Saya panggil untuk berjumpa ini sebab Erika semalam baru saja bergaduh dengan rakan sekelas dia." Puan Sarah mula membuka kata.

"Gaduh?" Kepala menoleh ke arah Erika yang berada di sisinya dengan senyuman. Kakinya bergerak menendang perlahan kaki gadis itu di bawah meja.

Rasanya macam semalam yang dia dengar dari mulut Erika ialah dia diminta untuk datang ke sekolah kerana keputusan ujian gadis itu. Patutlah sejak tadi dia pelik mengapa mereka pergi ke bilik disiplin dan bukan di kelas sahaja.

"Erika ini selalu juga bergaduh dengan rakan sekelas dia. Cuma sekolah masih tak ambil tindakan kerana beberapa bulan lagi dah nak SPM. Kami tak nak dia terlepas sebarang pelajaran. Lagipun mereka tak ada lah gaduh teruk mana sampai perlu ambil tindakan gantung sekolah." terang Puan Sarah lagi.

Thaqif mendengar dengan penuh teliti. Nampaknya dia pun sudah ditipu hidup-hidup oleh gadis itu. Jadi lakonannya haruslah tetap diteruskan.

"Cuma saya harap Encik Thaqif boleh nasihat Erika untuk berubah. Dia bukanlah pelajar yang teruk. Keputusan peperiksaannya pun cukup baik. Cuma sikap dia saja yang perlu diubah."

Erika melarikan pandangannya apabila setiap kali Thaqif menoleh ke arahnya. Senyumannya ditahan.

"Selalu ke dia macam ini?" soal Thaqif ingin tahu. Alang-alang sudah berlakon jadi abang tiri gadis itu, biarlah dia ingin tahu lebih lagi bagaimana sikap gadis itu di sekolah.

"Tak kerap tapi setiap bulan sekali? Saya tak tahu apa yang Erika dan rakan sekelas dia itu bermusuh sangat sampai selalu saja bergaduh. Saya betul-betul harap Encik Thaqif boleh nasihat Erika. Saya tahu remaja, kan? Darah muda. Memang dalam fasa kuat memberontak dan ingin ikut kemahuan sendiri. Mungkin susah tapi mana tahu Erika boleh berubah."

"Baiklah kalau macam itu. Saya akan nasihat adik tiri saya ini. Biar dia berubah sikit." ujar Thaqif lalu berpamitan untuk pergi.

Erika menutup kembali pintu bilik disiplin.

"Keputusan ujian?" sindir Thaqif sebaik sahaja mereka berdua sudah pun keluar dari dalam ruangan tersebut.

Erika melepaskan tawa kecilnya.

"Terima kasih sebab jadi abang tiri Eri." ucapnya lalu menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda terima kasih.

Thaqif menggelengkan kepalanya. Tidak percaya bahawa dia sudah termakan umpan gadis remaja itu.

"Patutlah Fan kata Eri degil. Rupanya perangai macam ini." bebelnya dan cuba menyaingi langkah Erika.

Hujung kening yang tidak gatal digaru. Ha sudah. Ingatkan hanya Erfan saja seorang lelaki yang suka membebel tetapi rupanya Thaqif juga sama. Erika sudah malas hendak melayan.

"Kalau Qif nak membebel, mohon matikan niat itu. Sebab Eri tak nak dengar." Langkahnya dipercepatkan sambil kedua belah telinganya ditutup menggunakan tangannya. Perhentian bas dituju.

Thaqif menutup mulutnya. Begini rupanya perasaan Erfan apabila mempunyai Erika sebagai adik. Selama ini dia hanya mendengar keluhan lelaki itu sahaja tentang betapa geramnya lelaki itu dengan sikap Erika.

"Selepas ini kalau Eri nak minta tolong apa-apa, boleh kan Eri minta tolong Qif?" soal Erika selamba. Penipuannya kali ini berjaya. Thaqif sangat memberi manfaat buatnya.

"Eri balik naik apa?" Soalan gadis itu tidak dibalas melainkan melontarkan soalan lain. Dia teringatkan pesanan Erfan supaya tidak mendekati Erika. Mungkin inilah yang dimaksudkan jejaka itu.

Erika tersenyum senget. Nampak gaya Thaqif cuba melarikan diri.

"Bas." jawabnya lalu menuju ke perhentian bas. Pandangannya dialihkan ke sisi apabila Thaqif berdiri di sisinya.

"Naik bas juga?" soal Erika ingin tahu.

"Hm." gumam Thaqif.

Erika hanya mengangkat kedua belah bahunya. Apabila bas yang sering dinaikinya sudah tiba, dia menapak ke arah pintu bas.

"Terima kasih." ucap gadis itu ikhlas sebelum menapak naik anak tangga.

Thaqif hanya memerhati sehinggalah bas tersebut hilang dari pandangannya. Langkah dibawa ke arah motornya yang terparkir di luar pagar sekolah.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top