01

Tangannya disilangkan ke dada tatkala ada yang menghalang jalannya. Erika menggulingkan bebola matanya ke atas tanda menyampah. Ekspresi wajahnya jelas terbias seperti dia sudah lelah dengan manusia yang satu itu.

"Apa kau nak?" soalnya malas kepada pelajar perempuan di hadapannya itu.

"Kau yang mengadu dekat cikgu kan tentang aku ponteng kelas?" tuduh Arissa dengan pandangan mata yang tajam.

Hampir saja terlepas tawa Erika apabila mendengar tuduhan tidak berasas itu. Jari telunjuk dituding ke arahnya.

"Aku? Mengadu? Kau ingat aku budak tadika ke kerjanya nak mengadu itu ini? Kau ponteng kelas ke, terjun bangunan ke, aku tak peduli." balasnya sinis.

Setapak dia melangkah mara ke hadapan. Betul-betul berhadapan dengan Arissa. Mata bertentangan dengan mata. Senyuman senget ditarik.

"Lain kali sebelum menuduh fikir dulu. Ada otak pakai. Bukan buat perhiasan semata-mata." Tangan naik menepuk pipi pelajar perempuan itu perlahan.

Badan dipalingkan ingin melangkah pergi. Sudah malas mahu bertikam lidah lagi. Buat membazir air liurnya saja.

Arissa mengepal penumbuknya apabila dia merasakan kata-kata sindiran daripada Erika itu cukup menyakitkan hati. Apabila dia menangkap ada pelajar yang memegang botol air mineral, pantas dirampasnya tanpa banyak kata.

Kaki melangkah mengejar langkah Erika. Bahu gadis itu ditarik kasar lalu botol air mineral yang sudah dibuka penutupnya itu dihayunkan ke wajah gadis itu.

Jelas terpempan wajah Erika tidak percaya dengan tindakan Arissa itu. Air yang menitik di dagunya dikesat. Pandangannya dialihkan ke arah pelajar-pelajar yang hanya memerhati.

Tanpa kata, laju tangannya dihayunkan ke arah wajah Arissa. Wajah itu menjadi mangsa tamparannya. Senyuman senget ditarik apabila melihat gadis itu yang bagaikan terkedu.

"Ops!" Sebelah tangannya naik menutup mulutnya. Riak wajah mengejek ditayang.

"Kau tampar aku? Mak ayah aku pun tak pernah naik tangan dekat aku!" tengking Arissa cukup marah.

"Oh. Tak tanya." balas Erika sengaja ingin mencurah minyak ke dalam api yang sememangnya sudah marak. Puas hatinya apabila melihat kemarahan pelajar perempuan itu.

Arissa ingat dia akan berdiam diri dan menangis seperti seorang perempuan yang lemah? Gadis itu silap. Itu bukan dirinya. Dia cukup pantang dicabar.

"Sebab kau tak ada mak bapa perangai kau macam ini, kan? Biadab." tutur Arissa dengan nada sinis.

Senyuman Erika mati saat dia mendengar bicara pelajar perempuan di hadapannya itu. Dia cukup pantang apabila ada yang membangkitkan isu ketiadaan ibu bapanya itu. Sangat-sangat biadab baginya.

Pantas dia mencengkam kolar baju sukan yang tersarung di tubuh Arissa. Pandangannya cukup tajam dan marah.

"Kenapa? Terasa?" provok Arissa bersama senyuman sinis. Bagaikan dia sudah menang apabila mampu membuat Erika terdiam.

Erika sedar. Gadis itu sekadar ingin memancing kemarahannya saja. Senyuman yang tadi pudar kini ditarik kembali.

"Sekurang-kurangnya aku tak macam kau. Ada mak ayah pun masih lagi biadab. Cermin diri kau dulu sebelum mengata orang." balasnya kembali.

"Arissa! Erika!"

Erika melepaskan kolar baju Arissa dengan kasar apabila Puan Sarah, selaku guru kelas mereka itu menegur. Pandangan dibuang ke tepi apabila guru kelas mereka itu sudah berdiri di sisi mereka berdua.

"Bergaduh lagi?" soal Puan Sarah cukup garang. Dia sudah lelah menghadap kedua-dua pelajarnya itu yang sering saja berbalah setiap hari.

Erika mahupun Arissa hanya diam saja tidak membalas. Tidak ada seorang pun

yang bersuara. Masing-masing hanya membisukan diri dan melarikan pandangan mereka.

"Masuk bilik disiplin." arahnya.

Dengusan kasar dilepaskan. Erika terlebih dahulu membuka langkah. Dengan sengaja dia melanggar bahu Arissa dengan kasar. Kalau bukan disebabkan pelajar perempuan itu, dia tidak akan ke bilik disiplin lagi.

Setibanya mereka di bilik disiplin, kedua-duanya berdiri bersebelahan menghadap Puan Sarah. Kelihatan wanita itu mencapai dua helai kertas test pad kosong dan dua batang pen lalu dihulurkan ke arah dua orang pelajarnya itu.

"Saya dah malas nak marah-marah lagi sebab awak berdua memang tak makan saman. Marahlah macam mana pun, tak ada guna juga. Buat membazir air liur saya saja. Sekarang saya nak awak tulis surat permohonan maaf. Tulis kesalahan awak. Pastikan penuh depan dan belakang kertas."

Huluran disambut. Kedua-duanya melangkah ke arah meja yang tersedia di dalam bilik disiplin itu. Masing-masing melabuhkan punggung di atas kerusi yang kosong.

"Esok pastikan awak bawa penjaga awak ke sekolah. Jumpa saya selepas tamat sesi persekolahan." pesan wanita itu sebelum melangkah keluar dari bilik disiplin itu.

Keluhan dilepaskan berat. Erika jadi bingung sendiri. Takkan dia mahu menyuruh ibu saudaranya yang datang ke sekolah esok? Wanita itu hanya tahu menyakitkan hatinya saja.

Erfan? Abangnya itu pula sudah pernah berpesan kepadanya jika jejaka itu dipanggil lagi ke sekolah buat entah yang ke berapa kali kerana ulahnya, lelaki itu tidak akan hadir sama sekali.

"Pandai-pandailah kau nak hidup. Pandai buat masalah, pandailah tanggung sendiri."

Itulah yang dikatakan Erfan kepadanya sepulangnya mereka dari sekolah beberapa minggu yang lalu. Dia menghela nafas berat. Takkan dia mahu menyusahkan abang atau ibu saudaranya lagi?

Wajahnya diangkat memandang Arissa yang duduk di hujung meja berhadapan dengannya. Gadis itu begitu ralit menulis surat permohonan maaf itu.

Pen yang terletak di sisi kertas dipegangnya. Dia berfikir sejenak memikirkan ayat untuk menulis surat tersebut. Akhirnya, senyuman senget tersungging di bibirnya.

Saya, Erika Dayana dari kelas 5 Emerald, memohon maaf kerana telah melakukan kesalahan iaitu bergaduh.

Erika menulis dengan tulisan yang cukup besar daripada biasanya untuk memenuhi ruangan kosong di atas kertas itu. Kertas tersebut diterbalikkan.

Saya minta maaf!

Senyuman puas ditayang. Dia sudah siap menulis surat permohonan maafnya. Pen diletakkan kembali di atas meja.

Mulut yang menguap ditutup dengan sebelah tangannya. Tawanya ditahan apabila melihat Arissa yang begitu bersungguh-sungguh menulis surat permohonan maaf itu seperti menulis karangan.

Kertasnya dicapai lalu dia menapak menuju ke arah meja kerja Puan Sarah. Surat permohonan maafnya itu diletakkan di atas meja tersebut.

"Kau dah siap?" tegur Arissa tidak percaya.

"Berfikir pakai ini." Jari telunjuk mengetuk perlahan tepi kepalanya.

Arissa menggulingkan bola matanya. Menyampah apabila Erika sering saja mengeluarkan kata-kata yang hanya menaikkan amarahnya saja.

Dia kembali menghadap kertas di hadapannya itu. Mata pen bergerak kembali mencoret segala buah fikirannya di atas helaian yang sudah hampir penuh dengan tulisannya itu.

Tergeleng kepala Erika melihat betapa fokusnya musuhnya itu. Sangat membazir waktu dan tenaga. Terus saja dia melangkah pergi dari situ dan menuju ke kelas.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top