19 | EL

               AKHIRNYA tiba hari di mana umat Islam menunggu dan bangun pada pukul empat pagi, kecuali geng plastik hitam. Setiap rumah pasti sudah terbuka lampu dapurnya... tetapi kalau tidak? Positif sahajalah dia makan seorang diri dalam bilik.

   Kepada sesiapa bertanya apa nasib pada baju lingerie itu, dia masih tersimpan dalam almari. Jangan haraplah Sina Yaya hendak lakukannya.

   Gopal pula? Eh, dia sudah hidup bertahun bujanglah. Jadi bangun pagi ini tidak menjadi masalah buat dia. Cuma Sina Yaya masih tidur, sayang pula mahu kejutkan awal sangat.

   Mangkuk berkuah ayam gulai diletakkan di atas meja. Nasi pun sudah dicedokkan pada pinggan. Tinggal ada orang sahaja untuk menjamahnya. Syaitan? Syaitan semua kena ikat zaman Ramadhan ini.

   "Yaya, bangun. Sahur." Gopal menggerakkan bahu Sina Yaya yang masih lena terbongkang tidur. Sina Yaya hanya membuat bunyi kecil sebelum berpusing ke arah lain.

   "Haih... ini kalau appa aku nampak perangai aku macam ini, mahu ditarik telinga aku." Gopal mengomel seorang diri. Jadi dekat sini kita sudah tahulah kenapa Gopal boleh terdidik untuk terjaga di awal mentari.

   "Bangun, princess..." Gopal menepuk-nepuk bahu Sina Yaya perlahan. Dia kemudian menarik tubuh Sina Yaya duduk secara paksa. Yalah, nanti tidak paksa, tidak bermaya seharian berpuasa.

   "Ngantuklah..." keluh Sina Yaya. Dia menggosok-gosok matanya yang kuyu. Sesekali terlepas nguapan daripada mulutnya. Haih, hawa nafsu ini seakan-akan menariknya untuk menyambung tidurnya kembali.

   Inilah manusia, syaitan terkurung, hawa nafsu dipersalahkan.

   "Tak apa, nanti lepas perkena air paip dekat muka, segarlah. Tak akan nak sambung tidur dengan air liur basi melekat dekat pipi?" Mendengar kata-kata Gopal itu, laju Sina Yaya mengelap pipinya. Eh, mana ada air liur pun. Tahi mata adalah.

   Terpana mata Sina Yaya melihat lauk pauk terhidang di atas meja ini. Eh, ini hendak bersahur ke mahu berbuka? "Awak masak semua ini? Lah... kenapa tak kejut saya sahaja untuk bangun masakkan?"

   Air liur Gopal telan. Air basuh tangan yang masih melekat pada tangannya direnjis-renjis ke lantai. "Tadi pun awak liat benar nak bangun, nanti tertidur pula masa goreng macam mana?" Kerusi meja itu ditarik lalu punggungnya dilabuhkan di atas kerusi itu.

   "Lain kali awak simbah air ke. Sebab saya memang liat nak bangun sahur. Hehehe... setiap hari sahur selalu kena simbah air dengan abang." Sina Yaya tertawa kecil teringat zaman sekolahnya dahulu. Memang teruk Siao Fang dimarahi ibunya kerana suka hati simbah air dekat adik sendiri.

  " Awak dah baca doa makan ke?"

  Makanan sudah memasuki perut. Gopal tersengih. "Alamak, belum!"

  Sina Yaya hanya mengukir senyuman, tenang. Tangannya ditadahkan untuk membaca doa. "Ha, bacalah cepat."

   Selesai membaca doa, sesi menyuap ke dalam mulut sendiri dimulakan. Kepada yang bujang, jangan risau. Suami isteri waktu sahur tengah mengantuk, jadi sesi suap menyuap yang melukakan hati orang memakai singlet tidak ada. Orang sahur sibuk penuhkan perut untuk berpuasa nanti.

   "Oh. Alaaa..." Gopal mengangkat muka memandang wajah isterinya yang tiba-tiba berubah montok. Makanannya yang dimasak tidak sedap ke? "Kenapa ala?"

   "Taklah. Saya lupa. Semalam pukul 2 pagi saya terjaga lepas itu saya lupa saya datang bulan. Lepas tukar, saya terus tidur balik. Ala, tak boleh puasa hari pertama." Sayu sahaja Sina Yaya meluahkan. Padanlah rasa macam ada benda pada seluar dalamnya.

   Fuh, rasa ini lebih sakit daripada tidak dapat duit raya. Eh, rasanya tidak dapat duit raya lagi sakit.

  "Lah, kesiannya. Saya boleh solat terawih." Sengaja Gopal mengusik Sina Yaya yang tengah bersedih. Tengok, sempat lagi suap makanan ke dalam mulut.

   Sina Yaya mencebik mendengar kata-kata Gopal. "Sampai hati kata macam itu. Sampai hati."

   "Kisah pula saya." Seronok pula kacau orang datang bulan. Eh, Gopal ini. Dia berani-berani mengacau harimau pada hari pertama dia lapar. Melihat wajah Sina Yaya yang seperti merajuk, cepat-cepat Gopal berdalih. "Ah, gurau sahaja. Tak apa, nanti lain kali saya kejut awak pagi sahur kalau awak nak masakkan untuk saya."

   Sina Yaya menguis-nguis nasi dengan mulut yang masih lagi memuncung. Ikat jadi mulut itik baru tahu. "Janji?"

   Gopal mengangguk-angguk sebagai janji. Tidak sopan mahu bercakap dengan mulut yang penuh. Tersembur nasi ke muka isteri nanti.

   "Eh, awak kerja lagi ke bulan puasa? Kan tak ada orang order makanan bulan-bulan puasa," soal Sina Yaya. Tangannya membawa pinggannya yang masih bersisa butir-butir nasi. Tak adalah makan sampai licin.

   Gopal menempatkan pinggan yang sudah dicuci itu ke arah rak pinggan. "Mestilah kerja, princess hoi! Nanti siapa nak bagi awak makan? Lagipun kita kan hidup berbilang bangsa, mesti ada bukan Muslim nak order makanan."

   "Tapi kalau Melayu yang order, ha, itu sudah lain macam itu."

   "Hahaha, minta-mintalah tak ada. Kalau ada, awak boleh buka ceramah dekat dia orang." Sina Yaya mencapai span basuh pinggan berjaring di penjuru singki. Lengan bajunya ditarik bagi memudahkan kerja membasuhnya.

  "Saya tak adalah tinggi sangat ilmunya sampai kena buka ceramah." Gopal memperlahankan suara pada permulaan ayat. Gopal menoleh ke arah Sina Yaya saat teringat sesuatu. "Eh, bukan perempuan kena sengugut  ke hari pertama dia puasa? Risau pula saya nak tinggal awak masa berkerja."

   Sina Yaya membalas. "Oh? Saya tak sengugut."

   Kening Gopal bercantum. "Eh tak sengugut? Boleh ke macam itu?" Sina Yaya lelakikah?

  "Adalah perempuan yang tak kena sengugut, macam sayalah. Ibu saya pun tak sengugut, kira saya ikut genetik ibu sayalah." Sina Yaya sengaja menyentuh hidung pipi Gopal dengan sabun basuh pinggan yang masih ada pada tangannya.

   "Ala, kita okeylah kalau tidak sengugut. Amma pun..." Mata Gopal tertancap pada parut di lengan Sina Yaya. Rupanya pun seperti baru lagi. Lengan Sina Yaya digenggamnya, lembut. "Kenapa ini?"

   Sina Yaya pantas merentap tangannya. Lengan itu ditutup dengan bajunya. "Tak... tak adalah. Ahad hari itu ada kemalangan masa tadah air panas. Itu terkena itu. Maaf kalau buat awak ri..."

   "Tak akanlah kalau kemalangan kena lengan, boleh kena lengan sepatutnya kena tangan."

   Walaupun suara Gopal langsung tidak tegang mahupun marah, ianya cukup membuatkan bagi Sina Yaya rasa bersalah mahu menipu. "Tak, bukan. Masa tengah ada kopi panas dekat meja. Saya err... uh, terlanggar..." Sina Yaya menekup mukanya. "I'm sorry. I can't take this anymore."

   "Hey, hey. Kenapa ini? Cuba bagitahu saya." Gopal memegang bahu Sina Yaya, cuba menenangkan wanita itu. "Jangan kata..."

   "Tapi awak jangan marah 'dia'. Dia masih lagi ahli keluarga awak." Sina Yaya merayu dengan penuh harapan. Dia menunduk seraya mulutnya bercerita. "Masa itu saya tak sengaja kena air kopi puan Sarindi. Sebab itulah lengan saya melecur."

   "Kenapa Yaya tak bagitahu saya? Kalau jadi apa-apa? Nanti susah pula." Gopal cuba mengawal suaranya supaya tidak kedengaran seperti marah. Walaupun dia sedang marah kerana Sina Yaya langsung tidak memberitahunya.

  "Masa puan Sarindi datang tu... dia nak kita bercerai..."

   Rasa terbakar hati Gopal mendengarnya. Padanlah ada kesan roda di dalam rumahnya. "Jadi, awak nak ke?"

   Sina Yaya menggelengkan kepalanya. Perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya. "Tak nak."

   Terkedu Gopal mendengar jawapan itu. Sampai kena melecur tangan pun masih lagi setia padanya. Dia apa sahaja yang ada? Kalau perempuan lain, pasti sudah lari meninggalkannya. "Kenapa awak tak nak?"

   "Sa..."

   Saya pernah cintakan awak dahulu.

   "Saya minta maaf sebab susahkan awak." Sina Yaya sudah menitik air matanya. Rasa benci pula pada bibirnya sendiri. Dia mahu meluahkan, tetapi berat lidahnya untuk katakan. "Tapi awak jangan marah, Puan Sarindi. Dia dah tua."

   "Tak, tak. Saya tak marah. Lagipun awak tak susahkan saya pun." Gopal menarik Sina Yaya ke dalam pelukannya. Rambut isterinya diusap beberapa kali kemudian barulah dileraikan pelukan itu.

   "Dah, tak payah nangis dah. Nanti buruk jadi muka. Silap-silap lipas keluar dari dapur boleh masuk balik dalam almari kalau nampak."

  "Mana ada buruk." Sina Yaya menafikan. Comel pula 'budak kecil' ini lap air mata dia.

   Azan berkumandang.

  "Sudahlah, mari solat. Eh, awak tak boleh solat, bukan?"

   Maaf, Yaya... aku tak marah pāṭṭi . Aku cuma nak 'tegur' dia.

...

   PUAN Jivanta menggosok-gosok rambut puan Sarindi yang basah dengan tuala. Puan Sarindi sudah meningkat usia, tambahan pula dengan keupayaannya yang tidak seberapa, jadi Puan Jivantalah yang mengurus makan dan minum wanita itu.

   "Ma'mmi." Panggilan itu langsung tidak disahut. Usahkan panggilan, ucapan terima kasih pun tidak pernah sekali meniti di bibir tua itu. Memandang puan Sarindi yang tidak memberi respon, puan Jivanta menyambung bicaranya. "Ma'mmi tak rasa bersalah ke dekat Yaya?"

   "Buat apa kau rasa bersalah? Bukan aku pergi tikam dia pun. Biasalah budak zaman sekarang, baru kena macam itu pun dah keluar air mata macam drama." Bertalu-talu sumpah seranah dilemparkan oleh puan Sarindi seraya tangan tua itu menyikat rambutnya sendiri. 

   Puan Jivanta duduk di hujung katil. "Ma'mmi, zaman sudah berubah. Itu dahulu, ini sekarang. Budak-budak itu bukan hidup di zaman kita. Mana boleh bandingkan cara hidup dulu dengan cara hidup sekarang."

   "Habis tu kalau dekat masa hadapan banyak makan tahi, kau pun biarlah makan tahi juga? Aku cakap demi kebaikkan. Entah-entah budak... apa entah nama dia? Yoyo? Perempuan itu bukan baik mana pun, kahwin pun mungkin sebab nafsu sahaja." Puan Sarindi langsung tidak berasa menyesal dengan fitnah dilemparkan kepada Sina Yaya.

  "Ma'mmi! Kalau ma'mmi cakap macam itu dah kira fitnah, tahu atau tidak? Kenapa ma'mmi jadi macam ini sejak Gopal masuk Islam?" Puan Jivanta berasa berasap mendengar setiap tohmahan itu.

   "Kau pun satu, kenapa tak halang dia? Entah Tuhan mana yang disembahnya. Hidayah konon. Dia kata agama dia bawa keamanan tapi pada akhirnya mencarut juga dekat aku," kutuk Puan Sarindi. Dia melempar sikat itu ke arah Puan Jivanta. "Kalau aku tahu menantu aku macam ini, baik aku tak payah pilih kau jadi menantu dulu."

   "Pin! Pin! Pin!"

  "Ha, dengar, bukan? Kau tengoklah dekat luar. Tak akan nak suruh aku yang lumpuh lari jenguk pula?" Puan Sarindi menghalau Puan Jivanta daripada biliknya. Mentang-mentang anak lelakinya tiada di rumah, sedap-sedap dia membuli menantunya.

  Hon motor itu kini dimainkan melalui irama Despacito. "Pin! Pin! Pin! Pin! Pin pin pin pin pin..."

   "Siapa pula yang main hon depan rumah ini?" Puan Jivanta menarik langsir ke tepi untuk melihat keadaan halaman rumah. Riak wajahnya sengaja dibuat-buat garang melihat Gopal membuat isyarat jari 'peace' kepadanya. Kalau dicabut topeng muka, boleh tengok lebar sengihannya bukan main!

   "Kamu rupanya, Gopal. Ganggu jiran sebelah sahaja. Kenapa datang seorang diri dengan pakai baju kerja sahaja? Err... uh, mana Yaya?" Puan Jivanta terjengul-jenguk kepala mencari Sina Yaya. Kalau ada, bolehlah dia memohon maaf atas kekacauan yang dibuat ibu mertuanya.

  "Yaya dekat rumah. Lagipun puasa puasa dengan Covid ini tak pergi mana, pun?" Gopal turun daripada motornya lantas ditongkatkan motor berwarna kuning itu. "Mana ... ehem! Mana puan Sarindi?"

   Puan Jivanta berubah pucat. Jangan-jangan Gopal sudah tahu apa yang terjadi? "Kenapa nak cari pāṭṭi?"

   "Ahad hari itu, puan Sarindi datang kacau isteri Gopal masa Gopal pergi kerja. Sampai melecur lengan dia. Setahu Gopal, puan Sarindi seorang sahaja minum kopi panas." Gopal menerangkan dalam masa yang sama terselit sindiran di dalam. "Gopal tak salahkan amma, tapi tahulah salah siapa?"

   "Oh, pandai pula perempuan itu mengadu, ya?" Puan Jivanta mengalih tubuhnya tatkala suara puan Sarindi menyapanya dari belakang. Masam sahaja wajah nenek itu bertemu semula dengan cucunya.

   "Habis itu, tak akan kena diam sampai mati? Kalau Gopal tuang air panas pada muka puan, mesti puan akan minta tolong, bukan? Lagipun itu kali pertama puan datang jejak kaki ke rumah saya." Gopal bertutur lantang. Ini kalau jiran penulis, pasti penulis akan datang menjenguk drama ini.

  Puan Sarindi mengoyak senyuman sinis. "Aku tak sangka kau besarkan anak kau untuk jadi syaitan, Jiva. Tak hormat kepada orang tua."

   "Kalau puan tak hormat isteri saya, macam mana saya nak hormat puan?" Gopal sudah berpeluk tubuh.

   "Jadi, apa yang kau nak lakukan? Lawan berbalas mulut dengan aku, tidak jadi apa. Tapi siapa nak percayakan kau kalau kau tuduh aku buat isteri kau? Setakat kena air panas pun nak menangis. Baik kau ceraikan sahajalah isteri manja kau itu." Suka hati Puan Sarindi sahaja menyuruh Gopal menghancurkan rumah tangga sendiri.

  "Ma'mmi!"

  "Gopal nak bagi amaran pada puan, jangan pernah kacau Yaya. Kalau puan masih berdegil nak kacau dia, jangan tanyalah kalau esok bangun kerusi roda itu dah patah." Gopal mengugut Puan Sarindi. Jam telefonnya berbunyi menandakan waktu berehat telah pun tamat.

   "Kalau puan masih rasa diri itu manusia, bersikaplah macam manusia."

   "App aai ghalya! (Kau memang anjing!)" jerkah Puan Sarindi. Ini kalau Puan Sarindi boleh berjalan, memang sudah ditampar pipi Gopal itu. "Baliklah! Keluarga aku tak akan terima kau!"

   "Amma rasa baik kamu pergi, Gopal." Puan Jivanta memberi pandangan, menggesa anaknya untuk meninggalkan kawasan perumahan ini. Lagipun makin meracau pula api kemarahan puan Sarindi.

   Gopal menjatuhkan kepala tanda akur. Dia menolak tongkat motornya dan memulas enjin motor. Laju dia meninggalkan tempat itu serta jauh daripada hinaan Puan Sarindi kepadanya.

   'Kau sayang sangat isteri kau, bukan? Kau tunggulah kalau dia tak ada dara!' desis hati Puan Sarindi.

...

   Sina Yaya menutup pintu keretanya. Selesai pun buat sesi penghantaran. Topeng mukanya dibuang daripada mukanya, akhirnya dapat juga bernafas dengan tenang. Tidak sabar mahu minum air, hehehe... dasar, mentang-mentang tidak puasa.

   Kereta itu bukannya dipinjam daripada Gopal namun kereta itu milik Sina Yaya sendiri. Apa? Ingat buat bisnes tudung tidak dapat beli kereta ke? Lagipun kereta ini dikira 'Raja' dekat Malaysia, tahu!

   "Meow..." Sina Yaya berpaling ke belakang saat telinganya menangkap bunyi kucing mengiau berdekatannya.

   Kelihatan seekor anak kucing berbulu coklat bertompok hitam. Warna bulunya cantik cuma  dipenuhi dengan kotoran. Badannya juga kurus seperti tidak pernah makan selama berbulan-bulan!

   "Ah, kesiannya sayang. Kenapa sayang datang sini?" Sina Yaya mencangkung kemudian membelai kucing itu. Pada mulanya kucing itu kelihatan takut tetapi lama kelamaan kucing itu memberi tangan wanita itu menyentuh bulunya. Rasa macam belai tulang, tidak belai isi!

  "Sayang dahaga ke? Kejap, ya? Saya ambil air sekejap." Sina Yaya bingkas bangun lalu membuka pintu pagar. Kucing itu hanya menunggu, maklumlah badan lemah dan tidak bermaya.

   Bekas jenama tupperware kecil diletakkan di hadapan anak kucing itu. Tengok, tuan-tuan dan puan-puan. Kalau perempuan tahap cintakan kucing, sampaikan bekas tupperware sanggup digunakan. Meskipun begitu, jangan guna bekas tupperware orang rumah pula.

   Sina Yaya memerhati sahaja kucing itu menjilat-jilat air tersebut. Dia memang seorang pencinta kucing, sayangnya ayahnya ada alahan dengan kucing jadi impian hendak membela binatang comel itu terkubur sahaja.

   "Aku lama nak bela kucing, kalau aku nak bela kau, agak-agak Gopal bagi atau tidak?"

   Seekor lipas yang ibarat penyewa tidak berbayar hanya melihat daripada atas siling. Tequila bersilang kakinya semasa menonton 'siaran langsung' itu. Air kopi dihirupnya. Eh, tidak puasa! Tidak adil betul!

  "Nampaknya tuan rumah ini ada kucing baru."

   Jam sudah mencecah pukul enam petang, barulah terlihat bayang-bayang Gopal di halaman rumah. Lipas yang berada melihat kemunculan Gopal serta-merta masuk ke dalam rumah. Suka hati nenek engkau sahaja keluar masuk, keluar masuk rumah orang.

   "Assalamualaikumwarahmatullah." Gopal memberi salam tatkala kakinya menjejak masuk ke dalam rumah. Baru sahaja dia mahu menutup pintu, dia dikejutkan dengan Sina Yaya yang menunggu di belakang pintu. "Bah!"

   "Mak engkau!" Gopal terundur ke belakang lantas dadanya diurut. Orang baru balik daripada kerja, dikejutkan jantungnya. "Yaya! Eh, makhluk Allah yang mana pula ini?"

  "Waalaikumussalam." Yaya meletakkan kucing itu ke bawah semula. Kucing itu nampak seronok sahaja dengan bermain bola benangnya. Sudahlah, janganlah buat penulis rasa cemburu kerana tidak dapat membela kucing.

   "Saya jumpa kucing kurus itu dekat luar tadi. Awak... boleh tak kita bela? Saya lama nak bela kucing." Sina Yaya tidak segan meminta. Yalah, peluang membela kucing ini jarang sekali muncul di hadapan mata.

   "Bela? Mana tahu dia ada tu... ah, kalau tidak ada tuan tidak mungkin badan dia macam itu sekali." Gopal membebel sendiri atas kesilapannya. Masalahnya, dia tidak berapa gemar dengan haiwan. "Tapi kalau dia berak macam mana?"

   "Sebab itulah saya tunggu awak balik, sebab saya nak beli pasir untuk dia. Bolehlah, awak... bolehlah." Sina Yaya tersenyum-senyum memujuk. "Saya janji buat apa sahaja untuk awak..."

   Tolonglah, demi kucing... huhuhu! Nanti katakanlah jika ada perintah kawalan pergerakan, bolehlah ada kucing menemani. Haih, ini mesti kes tengok kucing comel dekat Instagram ini.

   "Apa sahaja?" Gopal mendekatkan mukanya dengan wajah Sina Yaya, sampaikan terasa hembusan nafas pada kulit isterinya.

   "Err, ya. Apa sahaja. Ma... macam ini." Lambat-lambat bibir merah jambu itu mendarat pada pipi Gopal. Masa seakan terhenti bagi mereka berdua.

   Anak kucing yang sibuk bermain bola benang tadi terlepas permainan itu dari telapak kakinya. Bola itu bergerak menuju ke arah dinding, di mana seekor lipas sesat berada. Kucing itu hanya memandang aneh pada lipas itu.

   "Sudah kenapa pula kucing ini pandang aku?" Rasa terancam Tequila rasakan apabila kucing itu memandangnya dengan perasaan ingin tahu. Begini rupanya encik lipas rasakan semasa orang hendak menyembur dia dengan racun.

   "Tap!"

   Kamera dia bertukar menjadi gelap sekelip mata. Terkebil-kebil Tequila di sebalik topeng anynomousnya. Eh, boleh pula kucing itu pergi rosakkan alat pengintipnya. Ketawanya terletus, geli hati.

   "Nampaknya aku kena tukar rancangan akulah."

  



✨✨✨

Cara Gopal kejut Sina Yaya bangun sahur: *sweet*

Cara aku kejut adik bangun sahur:

Aku: *simbah satu gelas air pada adik*

Adik: *terbangun* *pandang aku*Akaaaaaaaa...

Aku: SAHUR!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top