16 | EL
JARUM jam sudah mencapai angka di mana waktu rehat bagi pekerja Grabfood untuk makan mengikut jadual masing-masing. Gopal menarik pintu kaca restoran tersebut. Alhamdulilah, pertama kali tarik pintu, pintu terbuka. Sebab kadang-kadang selalu menjadi bebal dengan tanda 'push' dan 'pull' ini.
"Ting!"
"Eh, siapa pula yang mesej ini?" Gopal membuka telefonnya. Waktu orang mahu Imbas QR Codelah mahu dimesejnya. Oh, tidak mengapa, mesej daripada orang rumah rupanya. Tak jadi hendak marah.
Princess Wife❤️
Awak, saya nak keluar hantar tudung, tau.
Oh, pergilah.
Hati-hati. Ingat orang ini (emoji lengan
sasa) 💪🏻 sentiasa ada denganmu.
Princess Wife❤️
Hehehe... terima kasih, awak.
Siao Fang mengangkat tangan, memanggil Gopal yang baru selepas mengesan kod MySejahtera melalui telefonnya. "Ha, sini. Duduklah." Siao Fang menunjukkan ke arah kerusi di sebelah kirinya. Sudah orang tawarkan tempat duduk, mari kita duduklah.
"Kenapa nak jumpa ini? Ke... ada perkembangan daripada apa yang kau cakap dekat aku hari itu?" Gopal seperti dapat meneka tujuan mereka bertiga berjumpa. Mulut berbicara pun, tangan tengok buku menu dahulu.
"Ini kawan aku, Eshan. Polis kategori jenayah berat." Siao Fang memperkenalkan Eshan di sebelahnya. Eshan hanya menunduk hormat. Mana boleh salam orang, hoi! SOP!
Gopal menurunkan buku menu yang menghalang mukanya. "Oh, aku... Gopal."
Eshan tersembur tawanya. "Tidak perlu kenalkan... Siao Fang sudah kenalkan kau pada aku."
Gopal termalu sendiri. Apalah kau ini, Gopal. Tidak mengapa, Gopal. Perkara pertama sekali dalam hidup kau... "Bang," sapa Gopal kepada pelayan lelaki itu.
"Ya, nak order apa?"
"Saya nak order nasi goreng pataya dan air teh o ais, ya?"
"Ehem!" Siao Fang mula mengeluarkan suaranya seusai pelayan lelaki itu beredar dari tempat mereka. "Macam yang kau tahu, kami temui racun pada minuman kau. Tapi racun itu dalam kandungan minuman. Racun tikus itu dilap pada setiap muncung gelas kau."
Encik Eshan mengeluarkan beberapa keping gambar. Gopal memerhati pada setiap gambar. Terdapat dua keping gambar gelas yang menunjukkan kesan tindak balas kimia pada muncungnya.
Melihat Gopal yang seperti sudah menganalisis setiap gambar, encik Eshan memberi penjelasan tambahan. "Malangnya, kami tak temui sebarang cap jari pada kesan racun itu. Namun, kami ada suspek yang dekat dengan kes ini."
Gopal mengangkat wajahnya. "Suspek? Tak akanlah..."
Siao Fang menyebut nama suspek dengan kiraan jari. "Pertama, El-Amin. Kedua, Raghib. Ketiga, salah seorang pekerja dalam restoran itu. Tetapi disebabkan tidak cukup bukti, pihak polis terpaksa meneruskan siasatan dengan lebih lanjut."
"Raghib? Tak akanlah kawan baik aku sendiri sanggup racun aku. Dan El-Amin pula, aku baru jumpa dia pertama kali kot." Gopal seakan menafikan apa yang dikatakan Siao Fang.
Siao Fang mengurut pelipis matanya. "Dengar, macam aku cakap semalam... ada seorang pengintip yang dihantar oleh ER untuk membunuh kau. Silap-silap orang yang paling rapat, boleh tikam belakang kau sendiri."
Encik Eshan meletakkan gelas yang sudah selesai di minumannya di atas pinggan. "Lagipun, mereka semua berpotensi untuk jadi pembunuh. Semasa kau pergi tandas, El-Amin tak sengaja tumpahkan air kau dan diminta tukar yang baru. Tapi kami tak jumpa sebarang racun pada dia."
"Dan Raghib pula hendak minum air kau, bukan? Masa itu tertumpah, ada peluang dia lap racun pada gelas kau. Pekerja di kedai itu pun sama. Sayangnya, semua pekerja di situ pakai sarung tangan. Dan tiada sarung tangan dengan racun dijumpai."
Sementara itu, seorang sosok misteri berada di atas atap bangunan bertentangan bangunan restoran itu. Dia menjatuhkan beg besarnya ke bawah. Teropong yang digantung pada lehernya dibawa ke mata, hala arahnya ialah Gopal di dalam restoran itu.
Gopal menghela nafas berat, rasa serabut dalam kepala semakin menjadi-jadi. Lagi-lagi terhidu nafas sendiri. "Tak akan tak ada satu pun bukti yang kau orang jumpa?"
Encik Eshan menggeleng, perlahan. "Pihak kami sudah cuba sehabis baik."
"Covid-covid pun nak kacau orang. Kena Covid nanti baru tahu." Siao Fang tersenyum sinis mendengar kata-kata Gopal. Dia langsung membalas. "Kalau nyawa orang lain pun mereka tak kisah, apatah lagi nyawa diri sendiri."
"Ini dia pesanan encik." Pelayan datang menghapus ketegangan antara mereka bertiga. Dia menurunkan pinggan berisi nasi goreng pataya dan gelas teh di hadapan Gopal.
Berbalik pada manusia di atas atap tadi, kini dia mengisi peluru snipernya. Matanya ditekapkan pada skop pistol tersebut. Mencari identiti wajah seseorang untuk ditembusi peluru silvernya.
"Oh, terima kasih banyak-banyak." Gopal menurunkan topengnya sebaik sahaja pelayan itu berlalu pergi. Makan sekejap selepas berbincang. Boleh lepas stress ini!
Siao Fang memberi isyarat kepada encik Eshan untuk beredar daripada situ. Dia kemudian bangun daripada duduknya. "Kau makan. Kita orang nak pergi..." Bicaranya terhenti tatkala memandang laser merah pada antara kedua mata Gopal.
"Bang!"
"Bodoh!"
Meja itu dijadikan pelindung pada Gopal. Segala pinggan dan gelas jatuh ke lantai dan pecah gara-garanya. Peluru itu menghasilkan kesan pada permukaan meja tersebut. Semua mata memandang ke arah mereka bertiga.
"Bunyi apa itu?"
"Macam bunyi orang menembak!"
Gopal laju bangun dari duduknya. Dia memberi pandangan aneh atas tindakan Siao Fang. "Apa hal ini, Siao Fang? Bunyi apa itu?" Pandangannya beralih ke arah arah yang dipandang Siao Fang. Kelihatan seorang berpakaian serba hitam berdiri di atas atap bangunan bertentangan.
"Siapa..."
"BOOM!"
Kekecohan bertambah dua kali ganda saat bunyi letupan kedengaran di dapur. Kawasan dapur mula hangat dengan api yang menjilat kawasan tersebut. Sosok misteri tadi pun menghilang daripada atap tersebut.
"Ada bom dipasang pada setiap penjuru dinding!" Pemberitahuan salah seorang pekerja itu menambah lagi panik orang di dalam restoran itu. Lagi-lagi bom itu menyala-nyala cahaya kalimatang berwarna merah.
"Astagfirullah, macam mana tak perasan?" Encik Eshan mengerling pada setiap penjuru dinding. Baru dia perasan terdapat bom di situ. Masakan tidak, warna bom itu sama dengan cat dinding tersebut!
"LARI, SEMUA!" teriak Gopal. Pelanggan juga pekerja berebut-rebut keluar melalui pintu restoran itu. Beberapa pekerja ada yang menolong beberapa orang yang cedera parah di dalam dapur itu.
Gopal dan Siao Fang turut menolong lelaki yang sudah hancur pergelangan tangannya. Siapa tahu bilakah bom itu akan meletup? Ada yang rebah terluka siap ada yang menangis ketakutan. Yang penting, mereka semua ada niat untuk menyelamatkan nyawa sendiri.
Nasib menyebelahi mereka, bom-bom itu meletup sebaik sahaja mereka melangkah keluar daripada restoran tersebut. Cuma ada orang yang cedera parah serta terkena serpihan kaca akibat dari bom itu. Kini restoran itu tenggelam dalam api yang membara.
"Cepat telefon bomba!"
"Sakit..."
Gopal menoleh ke atas atap bangunan itu dan mengetap gigi. Gerangan itu bermain-main di fikirannya. Cuma, satu soalan yang belum terungkai di dalam mindanya.
"Siapa si bodoh itu?"
Yang pasti, dia daripada Endanger Regulation. Organisasi mafia yang ingin membunuhnya.
"TRUUUT..."
Sina Yaya yang ingin memulas kunci pintu terbantut apabila menangkap dering telefon itu. Hendak kata itu telefonnya, telefonnya pasti akan mengeluarkan suara Eleena Haris. Dia menjenguk ke ruang tamu.
"Truuut..."
"Oh, lupa rumah Gopal ada telefon rumah." Dengan pantas Sina Yaya mengangkat panggilan tersebut. Entah daripada siapa pemanggil ini. Baru sahaja diangkat, dia menerima cacian daripada seseorang. "Kenapa lambat angkat? Ke baru bangun tidur?"
Sina Yaya menjauhkan telefon daripada telinganya. Boleh pekak pendengarannya dibuatnya. Dia seperti kenal benar dengan suara ini. "Puan Sa... pāṭṭi?"
"Tak payah kau hendak gelaran aku pāṭṭi. Siapa pāṭṭi kau? Sudah bangun lambat, bagaimana kehidupan kau dengan Gopal itu? Mesti huru-hara, bukan?" Tegang sahaja nada suara Puan Sarindi. Haih, nenek ini... sudahlah panggil tiba-tiba, kuat menuduh pula itu.
Sina Yaya meneguk air liur untuk melegakan tekaknya yang terasa kering. "Gopal pergi kerjalah, pāṭṭi..."
"AKU KATA JANGAN PANGGIL AKU DENGAN PANGGILAN ITU!"
Meremang sesaat bulu roma Sina Yaya. Puan Sarindi di rumah itu okey ataupun tidak? "Maaf, Puan Sarindi. Gopal sekarang tengah bekerja dan saya pula kena hantar barang. Boleh saya letakkan panggilan?"
Puan Sarindi tergelak penuh tersirat. "Kalau kau letak, aku santau kau."
Tidak jadi Sina Yaya mahu meletaknya. "Jadi, kenapa puan Sarindi telefon saya? Ada apa yang saya boleh bantu?" Berhati-hati dia menyoal supaya hati Puan Sarindi tidak tergores. Lagipun, Puan Sarindi masih orang tua, bukan?
"Apa lagi? Mestilah aku nak suruh kau orang bercerai." Senang-senang sahaja Puan Sarindi melemparkan keinginannya. "Hari itu, aku ada sebut dekat hospital. Apa? Ke kau sebenarnya pekak? Tak ada bantuan pendengaran masa tu?"
Sina Yaya cuba memadamkan rasa sebak di dalam hatinya. "Tak, saya bukan pekak. Cuma, kenapa saya kena bercerai dengan dia? Saya tidak buat salah..."
"Tak buat salah? Kalau bukan sebab kau, rasanya Gopal itu tak akan tukar agama. Aku pun tidak tahu kenapa mak kamu mengandungkan kau. Besar besar jadi pemisah keluarga orang." Langsung Puan Sarindi tidak bersalah dengan apa yang terkeluar dari mulutnya.
"Puan Sarindi tak layak nak hina ibu saya. Lagipun..." Sina Yaya menarik nafas dalam-dalam, memadamkan api yang membara di dalam dadanya. "Lagipun saya nak pergi hantar barang ini... setakat kalau puan Sarindi nak hina saya, baik puan Sarindi jangan habiskan kredit telefon puan."
"Lah, tak sangka pula kau cepat terasa rupanya. Kredit telefon habis pun, entah-entah kau kisah pun sebab hendak kaut harta keluarga aku."
Sina Yaya menggenggam telefon, erat. "Bukan... bukan macam itu..."
Puan Sarindi menoleh ke arah cucu perempuannya yang mendekatinya, meninggalkan kata-kata akhir sebelum menamatkan panggilan. "Baiklah, perempuan teruk macam kau kan sibuk, atau sibuk bermakna. Dulu, aku suri rumah sahaja. Tak ada keluar-keluar. Heh, aku bagi amaran... kalau aku tak dengar yang Gopal kembali ke agama asal dia, baik pergi matilah kau, perempuan."
Suara Samantha ceria menyapa. "Pāṭṭi, tengok ini apa yang saya lukis!"
Panggilan serta-merta terputus. Perlahan-lahan, telefon rumah itu diletakkan kembali ke tempat asalnya. Sina Yaya mengurut dadanya sambil berzikir beberapa kali. Dalam masa yang sama, dia menahan air matanya yang akan bocor pada bila-bila masa.
"Sampai bila aku nak bermusuh dengan keluarga mertua sendiri? Mesti Gopal pun sedih dengan hina dengan keluarga sendiri. Kahwin dengan perempuan tak kenal, lepas itu ditentang pula." Fikiran Sina Yaya mula dipenuhi dengan tanggapan buruk. Rasa menyesal membuatkan Gopal terlibat di dalam masalah ini.
"Mungkin betul apa yang Puan Sarindi kata itu..."
"Eh, tapi saya tak katakan awak teruk?"
Teringatkan kata-kata itu, Sina Yaya mengukir senyum kembali. Matanya teralih ke arah beg silang pada tangannya. Dia membetulkan postur tubuhnya. 'Ya, tak semua manusia teruk dekat dunia ini. Mana tahu Puan Sarindi akan terima aku, ke? Positif, Yaya!"
"Ah, hantar barang!" Sina Yaya tersedar dari niat asalnya. Lupa pula dia ada penghantaran tudung untuk dibuat tadi!
Haih, melayan Puan Sarindi lama sangat, sampai lupa tujuan asal dia membawa beg silang ini. Bersangka baik, mungkin Puan Sarindi tiada kawan hendak diajak berbual.
...
Anak mata Gopal terarah ke sebelahnya. Sina Yaya yang sudah terlelap tidurnya menyandar pada bawah ketiaknya. Lah, budak ini. Kata hendak tengok drama Korea. Akhir sekali, dia yang tertidur dahulu.
Gopal menutup telefon Sina Yaya lalu menghadap tubuh ke arah Sina Yaya. Kepala Sina Yaya diusap seraya bibirnya berbisik doa. "Allahhumma sholli à laa Muhammad, wa à laa aali Muhammad."
Kini, siling tengok Gopal, Gopal tengok siling. Orang di sebelah mata sudah terkatup rapat namun matanya terbuka luas. Haih, sudah bosan sangat. Tahulah siapa yang dia mahu mengacau. Aplikasi What's app ditekannya.
Nada telefonnya berdering, menunggu dua pemanggil itu untuk menjawab telefonnya.
"Hey, siapa kacau aku tengok Spongebob Squarepants ini?" marah Rizal dalam nada bergurau. Orang tengah teman anak tengok kartun, boleh pula dikacaunya. Nanti anak kembarnya ini mahu main game dalam telefonnya pula.
"Tak adalah, aku bosan," jawab Gopal.
Bunyi menghirup mi kedengaran pada talian Afiq. "Slurrp... lapar masak maggi. Ini pun makan senyap-senyap masa Natasha tidur. Nanti Ramadhan nanti tak boleh makan dah. Natasha dahlah pantang aku makan maggi. Membawa maut katanya."
"Oh, lupa pula Selasa depan puasa." Gopal berkata sendiri. Mungkin efek daripada kesan letupan pagi tadi.
"Kau pula buat apa sekarang ini?" Rizal bertanya.
"Baring sebelah isteri. Tapi sayangnya isteri dah tidur." Gopal mengujarkan kata sambil menoleh ke arah wajah lembut Sina Yaya yang sedang melayari alam mimpi.
"Dah, dah tu tidur sahajalah. Tidur tutup lampu, bukan? Eh, nanti anak aku ingat aku main game nanti." Tiada siapa tahu bahawa sekarang ini Rizal sorok-sorok bercakap melalui telefonnya. Bila dapat pada budak-budak, berjam-jam mereka main jawabnya!
Malu-malu Gopal bersuara. Dia membetulkan kotak suaranya beberapa kali. "Sebenarnyalah kan, macam mana, ya... hendak pikat isteri?" Masa dia pulang daripada kerja, dia langsung tidak memberitahu fasal kejadian terbakar di restoran tadi.
Walau bagaimanapun, Sina Yaya seperti sedih sahaja hari ini. Apabila ditanya, dia jawab semuanya baik sahaja. Risau juga hati dibuatnya.
Senyap seketika perbualan mereka sebelum Rizal yang bersuara terlebih dahulu. "Hendak kata pandai bergurau, kau pun dua kali lima dengan badut sarkas jadi kira okeylah itu. Perempuan suka orang yang jaga penampilan dan kemas, bukan rupa macam fakboy. Nampak ke mak aku, mahu dibebelnya aku."
Gopal terdiam sejenak. "Mungkin kena cakap kuruskan badan ke..." Dia bercakap pada diri sendiri namun suaranya masih boleh didengari orang lain.
"Sedikitlah. Lagipun kira jaga penampilan pada masanya. Yang paling penting dengan orang perempuan, hanya jadi diri kau sendiri. Tak perlu ubah diri kau. Cinta abadi itu bukan seberapa banyak kau kata I love you, tetapi seberapa banyak kau bangunkan dia waktu kau dan dia jatuh." Itu dia, doktor psikologi Afiq sudah berbicara.
"Fuh, lupa pula aku yang Afiq ini doktor psikologi," kata Gopal. Bagaimanapun, ada benar di dalam kata-kata Afiq.
"Okeylah, dah lewat ini. Nanti esok esok anak-anak aku jadi mata panda pula. Bye." Rizal terus meletakkan panggilan. Sekarang hanya tinggal Gopal dan Afiq sahaja di dalam talian telefon itu.
Gopal menguap untuk beberapa saat. "Aku pun nak letak ini. Nak tidur. Nasib esok cuti, kalau orang ingat aku jadi Foodpanda pula sebab mata macam panda."
"Eh, engkau yang kacau aku makan maggi. Okeylah, bye."
Serta-merta borak-borak atas talian itu ditamatkan.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top