10 | EL

         SIAO FANG yang membelek Instagram pada telefonnya hanya memerhati sahaja ibunya dan Alia sedang berborak di dapur. Entah apa yang diborakkan dua manusia itu, namun yang penting, baik tengok memes dekat Instagram terlebih dahulu.

   Alia yang hendak bergerak ke sofa bersama coklatnya terpandang ke arah Gopal dan Sina Yaya yang baru menuruni tangga. "Ha, dah bangun pun pengantin baru! Lewatnya turun!"

   Puan Finna baru selesai membasuh pinggan terkedu melihat bekas kaki di wajah Gopal. "Amboi, merahnya muka? Baru lepas bergusti ke?"

   "Tidaklah, ibu. Err..." Teragak-agak Sina Yaya ingin menjelaskan. Anak rambutnya dimain-mainkan. Sudahlah dia tertendang muka suami sendiri. Sampaikan pening-pening kepala Gopal dibuatnya.

   Gopal menyatakan keseluruhan cerita bagi pihak Sina Yaya. "Tidaklah, Sina Yaya lupa tadi dia dah kahwin. Lepas itu, ditendang muka saya, ibu. Sekarang ini pun masih pening-pening juga." Semakin lebar sengihan Sina Yaya. Maaf, kita tak sengaja!

   Sina Yaya menambah. "Yaya ingatkan lelaki mana tadi. Itulah Yaya keluarkan kaki Yaya itu. Maaf, abang Gopal."

   Siao Fang menahan tawa mendengar penjelasan itu. Dia mengalihkan telefon dari mukanya. "Nasib engkaulah dapat isteri yang ada seni taekwando dalam dada. Kalau kau curang, mahu terbalik rumah kau masa itu."

   "Oh..." Gopal menoleh ke arah Sina Yaya. Eh, sejak bila Sina Yaya mengambil seni taekwando? Zaman dia tingkatan satu dahulu, tidak pula gadis itu kelihatan berlatih dengan seni bela diri tersebut. Ini benda baru ini!

   'Susah payah aku dapat Sina Yaya, macam mana aku nak curang dengan dia pula?' Gopal membalas usikan Siao Fang itu di dalam hati. Yalah, walaupun berbadan comel... eh, seperti bintang Hollywood, dia pemalu orangnya.

   Sina Yaya mengambil periuk daripada dalam almari. Gopal pula? Memandangkan dia masih baru di rumah ini, menempel dengan isteri sahaja kerjanya. Tidak cukup dengan kaki ditepekkan ke muka lagi.

   "Nak masak apa itu?" Gopal menyoal, mesra. Dilihat sahaja segala perbuatan isterinya. Dua biji telur daripada bekas telur itu diambil.

   Sina Yaya terkedu melihat Gopal di sisinya. Macam mimpi pula. Segera dia menjawab. "Nak masak roti telur. Saya tak adalah masak se..."

   Skrin telefon Siao Fang terus menjadi hitam. Puan Finna yang ingin mengambil bakul kotor terhenti langkah di anak tangga. Ah, kod biru! Kod biru! Bahaya ini bahaya! Cuma Alia yang kelihatan polos meneguk air milo.

  "Nak saya tolong apa-apa ke? Rasa kekok pula kalau nak duduk sekali. Maklumlah saya masih baru dekat sini." Gopal cuba menghulurkan bantuan. Lagi-lagi mendengar dahulu dia putus dengan Sina Yaya gara-gara berbeza agama.

   Sudahlah Siao Fang pernah jadi bekas rakan sekelasnya dahulu. Lama tidak jumpa punya fasal, janggal makin bertambahlah.

  "Tak apa, awak tolong tengok pun kira okey." Sina Yaya membuang kulit telur yang sudah dipecahkan. Satu sudu penambah rasa dibubuh di dalam mangkuk itu. Terbeliak mata Gopal memandangnya.

   Gopal ragu-ragu ingin menegur. Lebih-lebih lagi setelah mendengar isterinya ada seni pertahankan diri. "Awak letak banya... awak pasti tak nak saya tolong? Saya boleh tolong kacau atau tolong balikkan roti."

   "Tak apa." Kali ini Sina Yaya mengeluarkan tiga keping roti Gardenia. "Lagipun ini kali pertama saya nak masak sebagai ist..."

   "Eh, eh, eh." Siao Fang yang biasanya serius itu menjadi berpeluh wajahnya. Dia memegang bahu Gopal. "Apa kata Gopal yang masak sebagai seorang suami? Lagipun semalam kita dah rasa masakan Sina Yaya, bukan?"

   "Eh, bukan isteri..." Belum sempat Alia menyambung katanya, Puan Finna sudah mencuit bahunya. Puan Finna tersenyum kekok. "Boleh tolong ibu ambil bakul kotor dalam bilik ibu? Ibu nak teman ayah, siram pokok dekat luar sekejap."

   Walaupun Alia belum habis mengunyah makanannya, Alia hanya akur sahaja. Alia menelan sisa coklat. "Okey."

   Siao Fang menolak perlahan adiknya keluar daripada kawasan dapur. Sempat menyatakan sedikit pesanan kepada Gopal. "Kalau kau nak buat satu keluarga sengsara, kau janganlah buang. Jangan risau, dia tak akan nampak."

   "Eh, kenapa pula?" Sina Yaya berasa tidak puas hati dirinya dihalau keluar daripada dapur. Dia baru hendak masakkan untuk Gopal. "Takut Gopal tak kenal pula susunan kat dapur itu."

   "Tak apa, tak apa." Akhirnya, Sina Yaya berjaya keluar daripada lantai dapur. Siao Fang berpaling ke arah Gopal. "Botol minyak dekat bawah api dapur. Garam bagai dekat almari sebelah dapur."

   "Oh, baaik..." Gopal menoleh pada setiap yang ditunjukkan Siao Fang. Tiba-tiba jawatan chef tidak bertauliah dilantik padanya. Tidak mengapa, ini masakan untuk keluarga mertua, bukan? Berusaha, Gopal!

   Gopal memegang mangkuk yang berisi telur yang dikacau itu. Dia berbisik, perlahan. "Rasa sayang pula nak buang..."

   Siao Fang menarik nafas lega kerana berjaya membawa Sina Yaya ke tempat yang selamat. Jujur dia katakan, kalau dibandingkan dengan menari dekat luar pakai singlet dan makan masakan adiknya, dia lebih lera memilih menari tarian rancak dekat halaman rumahnya. Lagipun hanya abang posmen sahaja ada peluang untuk melihat.

   Pernah Sina Yaya menggoreng nasi goreng untuk keluarganya, mahu beratur mereka bertiga sekeluarga di hadapan tandas disebabkan sakit perut. Beri peluang adik perempuannya untuk masak, ambulans bersama twit twitnya bakal menanti di luar.

   Sampaikan apabila Sina Yaya hendak membawa ikan siakap tiga rasa ke sekolahnya, Puan Finna sanggup menggoreng yang baru dan menggantikannya dengan hasil masakan Sina Yaya. Risau ada yang makan, sakit perut nanti.

   Dan, ya. Sina Yaya tidak tahu yang dia masak, tidak sedap langsung. Harap-harap dia tidak baca luahan Siao Fang pada kau oranglah. Mati penulis dengan Siao Fang kena sepak dengan perempuan itu.

   Alia muncul bersama bakul kotor yang diseretnya. Berat, hoi! "Eh, bukan Yaya yang masak ke tadi? Kenapa Gopal sahaja ada di dapur?"

   "Apa salahnya kalau suami masakkan untuk isteri? Dah, pergi letak dekat tepi mesin basuh." Siao Fang mengubah tajuk dengan menyuruh Alia ke bahagian kiri dinding terpisah dapur, di mana mesin basuh terletak.

   "Dasar penukar topik." Meskipun begitu, Alia hanya mengikut sahaja arahan Siao Fang. Bakul itu kemudian diseretkan kembali, lalu dibawa langkahnya ke mesin basuh.

   Satu lagi hendak tambah, lidah Alia dengan masakan Sina Yaya bagaikan isi dengan kuku. Masakan yang membuatkan satu keluarga merana, mampu menyebabkan Alia tersenyum teruja. Lidah apalah budak ini.

   Selepas beberapa minit bertarung bersama alat sudip di dapur, roti telur versi chef Gopal akhirnya selamat mendarat di pinggan. Banyak juga keping roti telur yang digoreng Gopal. Sepinggan roti telur itu diletakkan di atas meja.

   "Wah, macam sedap sahaja bau. Saya pergi basuh tangan dululah." Sina Yaya bangun daripada tempat duduknya tanpa sempat dihalang Gopal. Wanita itu bergerak menuju ke arah singki.

   Gopal menarik senyum. Lah, baru ingatkan hendak ambil mangkuk untuknya. Dia kalihkan pandangan ke arah Siao Fang yang membasuh tangan menggunakan tisu basah. "Lah, bukan pakai air."

   "Kalau ada bekas plastik milo ais depan mata, dah lama aku guna benda itu." Siao Fang meletakkan semula tisu basah di bawah meja kecil di hadapannya itu.

   "Oh..." Gopal duduk di atas lantai berhadapan Siao Fang. Jarak mereka dipisahkan dengan meja kecil di hadapan mereka. Tidak mengapa, Gopal. Kalau anda janggal, buat-buat perkara macam biasa sahaja.

   Apabila rasa janggal ini, teringat pula ketika kawan baiknya, Afiq terkena ketakutan sosial dahulu. Huhuhu, akhirnya Gopal sangat memahami perasaanmu, wahai sahabatku!

   "Wah, dah siap?" Alia meluru ke meja yang sudah didekati semua orang. Siao Fang yang perasan isterinya belum membersihkan tangannya, menghulur tisu basah.

   "Bismillah..." Sina Yaya menyuap roti telur ke dalam mulutnya. Rasa telur dan sedap sangat mula mencair pada setiap kunyahan. Pipi Sina Yaya merah kerana terlalu teruja.

   Memandang ke arah semua orang yang sudah merasa, Gopal membuka petanyaan. "Macam mana? Sedap?"

   "Seda..."

   Sina Yaya memintas percakapan abangnya dengan nada teruja. "Sedapnya! Saya tahu awak belajar bidang kulinari tapi tak sangka sedap rasa macam hotel lima bintang. Bestnya dapat suami macam awak ini."

   Gopal sedaya-upaya menahan rona wajahnya terlalu menonjol. Lehernya diusap, segan. "Se... sama-sama. Saya pun gembira awak suka saya jadi suami awak."

   "Eh?" Terasa berbunga juga hairan terbit di hati Sina Yaya. Eh... EH, AKU TERSALAH KATA KE SAMPAIKAN GOPAL KATA BEGITU!

   Siao Fang hanya memutarkan bola matanya dengan secalit senyuman nipis. Biasalah... pengantin baru. Tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan suara Alia.

  Sina Yaya menoleh ke arah Alia. "Kenapa ini?" Selesai mengujarkan soalan, dia lantas menolak masuk roti telur ke dalam mulutnya. Sedap sangat ini!

   "Memandangkan tak ada apa hendak dibuat? Tidak mungkin mahu makan sahaja, kan? Jadi marilah kita isi sesuatu dengan perkara yang berfaedah." Alia memulakan ayat mukadimahnya. Tangannya mengeluarkan beberapa kertas. Isi kertas itu tidak ditunjukkan kepada semua orang.

  "Jom main permainan teka siapa saya ini!"

  Siao Fang menghabiskan sisa roti di dalam mulutnya sebelum berkata. "Padanlah semalam kau macam buat Five Minutes Craft. Tak naklah main benda ini. Makan sahajalah."

   "Err, betul kata abang. Makan tidak boleh sambil main. Kalau tidak, nanti tercekik. Lagipun, baru beberapa minggu lepas kita main." Sina Yaya cuba mengelak daripada bermain permainan itu. Lagipun permainan yang dicipta oleh Alia selalunya mengarut!

   "Macam mana main dia?" Soalan dari Gopal itu menyebabkan Gopal menerima pandangan tajam daripada dua beradik itu.

   Alia dengan gembira menyebut satu persatu peraturan permainan itu. "Ada satu gambar itu akan dilekatkan pada wajah seseorang. Tak kira gambar apa, contoh, gambar itik. Kemudian kita kena bagi klu untuk orang itu te..."

   Gopal menegur setelah menyedari perubahan wajah Sina Yaya yang menjadi tidak selesa. "Kenapa macam tak suka sahaja kak Alia cadangkan permainan ini? Saya tengok macam menarik sahaja."

   Sina Yaya memperlahankan nada suaranya sementara Alia berseronok menjelaskan peraturan permainan tersebut. "Bukan tak suka. Tapi..." Sina Yaya mengemam bibirnya. "Tak menarik sangat."

   "Dan agak mengarut." Main lepas sahaja Siao Fang memberi komen.

  "Mengarut tak mengarut. Turut sahaja arahan ibu mengandung." Aduh, main pangkat ibu mengandung pula Alia ini. Alia memberi kertas melekit kepada setiap seorang. "Ha, tampal kertas pada dahi masing-masing, ya? Jangan tengok!"

   Gopal reda sahaja hidup di kalangan keluarga ini. Alang-alang ambil cuti kahwin. Kertas melekit itu ditepek ke dahinya. Saat melihat lukisan pada dahi isteri dan abang iparnya, barulah dia mengerti. 'Memang mengarut'.

  "Abang tak nak masuk lagi ke? Kalau hendak baca, baca sahajalah dalam rumah." Puan Finna menutup pili air, namun kepalanya masih menghadap encik Siao Afiq di batu.

   Encik Siao Afiq mengangkat wajahnya yang daripada tadi merenung novel itu. "Dalam rumah tak ada feel. Dekat luar kena angin, rasa sedap sedikit."

   Puan Finna menurunkan lengan bajunya. "Jangan awak intai janda dekat sebelah rumah sudahlah. Jangan tanya kalau awak kena beli khemah nanti." Wanita itu kemudian membuka seliparnya untuk masuk ke dalam rumah.

   Lelaki itu menyengih, pendek. Buat apa hendak tengok janda kalau awak pun dah mencukupi.

  Puan Finna memandang empat orang yang bermain permainan daripada dapur. Entah permainan apa yang dimainkan oleh pengantin baru dengan bakal ibu bapa itu. Dan... kenapa lukisan pada anak sulungnya itu pelik sangat?

   "Aku dah dapat! Aku dah dapat! Leher panjang, kulit berwarna kelabu. Separa zirafah dengan separa tikus, bukan?" Siao Fang bersungguh-sungguh meneka lukisan yang dilekatkan di kepalanya.

   "Tet! Salah." Sina Yaya mendepakan tangannya, menunjukkan tanda pangkah.

  "Kau mesti tak suka jawapan ini. Separa zirafah, separa kura-kura." Mendengar jawapan Gopal itu, Siao Fang laju mencabut kertas melekit itu dari kepalanya. Gambar itu mengubah air muka Siao Fang kepada bersungguh kepada menoya. Dasar...

   Pusingan kedua kemudian jatuh kepada Gopal. Klu diberikan oleh Sina Yaya, sesuatu yang tidak semua orang hendak. Klu daripada Siao Fang pula, sesuatu yang akan datang walaupun orang hendak ataupun tidak.

   Punyalah berbagai jawapan dikemukan oleh Gopal. Hampir dia menjawab perkataan kahwin. Akhir sekali, penyelesaian kepada teka-teki itu rupanya kematian. Fuh, menginsafkan betul. Mahu menyendu sebentar di hujung dinding.

   Siao Fang mengecilkan matanya sebelum tersenyum lebar. "Heh, senang kacang sahaja ini."

   "Kalau bagi dekat saya, mesti saya boleh jawab tadi." Gopal berbicara dengan penuh yakin. Melihat wajah Gopal yang begitu teruja membuatkan Sina Yaya tertanya-tanya jawapan pada teka-tekinya itu.

   "Apa? Apa benda? Dia manusia ke?" Sina Yaya menunjukkan ke arah kertas melekit yang dilekatkan kepada dahinya.

   Alia memberi klu. "Hendak kata dia manusia, tidak. Haiwan pun tidak. Yang pasti, bukan separa macam separa zirafah tadi."

   Gopal menyuap roti telur ke dalam mulutnya. Tidak sedar dia bercakap dalam mulut yang penuh. "Dia merupakan tokoh dalam peperanganlah. Dia kira macam orang Germanlah."

   "Orang German?" Sina Yaya terdiam sejenak untuk berfikir. "Hitler?"

  "Closer." Siao Fang juga turut memakan roti telur. Tinggal lima keping sahaja, membazir kalau tidak habiskan.

   "Ah, bagitahu sahajalah jawapannya." Sina Yaya sudah mengalah. Dia yang ingin mencapai kertas melekit tadi dihalang oleh Alia. Alia melahirkan senyuman sebelum bertutur. "Biar akak sebut nama dia."

   "Ehem!" Alia berdiri di atas sofa. Kalut juga Siao Fang menyuruh isterinya untuk turun. "EREEEN. IYEEGAAAH (Eren Yeager)."

   Sina Yaya menayang muka hairan. Sius otaknya terasa tidak bersambung. Dia menggaru kepalanya yang terasa gatal. "Siapa itu?"

   Gopal ketawa mendengar soalan itu. Inilah jadinya apabila bukan peminat anime bertemu peminat anime. "Taklah, watak utama dari anime Attack On Titan. Tapi nak kata watak utama tidaklah juga..."

   Sina Yaya mengerutkan dahi. "Ah, Yaya mana tengok anime!"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top