XXVII: Berlepas ke Permukaan Bumi
"SATU langkah kecil bagi kami, adalah satu langkah pertama untuk kemaslahatan koloni Athria-Gemilang!"
Ædith masuk dahulu ke dalam kapsul kapal pengangkut, diikuti Æng, kemudian Æzyra pula. Æbak, Æyling, Ænanda menyusul di belakang. Ælbert, Æmilie, Æezzul dan aku adalah insan terakhir yang memasuki ruangan kapsul kapal pengangkut itu. Kami duduk di kerusi yang sudah ditandakan dengan nama masing-masing. Beberapa minit kemudian, aroma bau-bauan yang datangnya daripada bahagian kerusi dan kawasan sekitarnya dapat dihidu. Semuanya berbau seperti alatan baru. Aroma itu seakan-akan bau getah pada setiap alat yang ada dalam kapsul kapal pengangkut. Kami hanya berdiam diri dan tidak berkomunikasi sesama sendiri oleh kerana mahu mendengar arahan demi arahan yang seterusnya. Arahan-arahan itu datangnya dari pusat kawalan.
Kami memandang ke arah perkakasan komputer dan juga alat telekomunikasi yang berada di setiap hadapan kami. Semuanya berada pada kedudukannya dan berkeadaan baik. Beberapa saat kemudian, pintu kapal pengangkut itu ditutup. Suasana di sekeliling tidaklah terlalu gelap oleh kerana ada pancaran skrin komputer di bahagian hadapan kapal pengangkut itu.
"Sila pakai tali pinggang keselamatan masing-masing. Anda akan berlepas dalam masa 120 saat lagi. Kira detik secara menurut dimulai daripada sekarang!" ujar satu suara pengumuman yang datangnya daripada peti pembesar suara yang ada di sebelah tepi kapsul kapal pengangkut itu.
Kami semua memakai tali pinggang keselamatan masing-masing. Tali pinggang keselamatan itu mestilah diikat dengan ketat bagi menahan badan daripada terhentak ke sekeliling kapal pengangkut ketika proses pelepasan berlangsung. Kira detik pelancaran secara menurun bergema pada suara latar kapsul kapal pengangkut itu.
Pada kira detik ke-90, kami diperingatkan oleh pusat kawalan untuk mengetatkan tali pinggang keselamatan oleh kerana sebelum memasuki atmosfera bumi nanti, pesawat pengangkut ini akan mengalami proses pemisahan kepada sepuluh kapsul yang berbeza. Pada kira detik ke-60, semua sistem enjin dan elektronik diletakkan dalam keadaan bersiap siaga. Deruman enjin pada bahagian sisi kiri, kanan dan belakang mula bergema kuat. Bunyi gema deruman enjin ini menyebabkan bahagian dalam kapsul kapal pengangkut ini sedikit bergegar. Kami hanya berdoa semoga semuanya berjalan lancar.
Pada kira detik sepuluh terakhir, pusat kawalan mengucapkan selamat maju jaya kepada kami. "5... 4... 3... 2...1... Berlepas!" bunyi suara daripada pusat kawalan pelepasan berteriak kuat. Kapal pengangkut ketika itu dapat dirasakan maju ke hadapan dengan daya pacuan dan pemecutan yang cukup pantas. Gema enjin yang pada awalnya menderum kuat beserta gegaran diseluruh kapal pengangkut itu mulai reda seketika. Aku memandang ke arah luar tingkap di bahagian sisi sebelah kiri tetapi ianya kelihatan gelap sahaja. Kapal pengangkut yang kami naiki ini nampaknya sudah terpisah daripada badan stesen angkasa Athria-Gemilang.
"Beberapa minit sahaja lagi, kamu akan memasuki atmosfera bumi. Proses pemisahan kapal pengangkut menjadi sepuluh kapsul kapal yang lebih kecil akan berlangsung pada fasa ini. Sila bersedia!" bunyi suara daripada corong speaker bergema kuat dan mengingatkan kami kepada proses pemisahan kapal ini.
"Jumpa lagi kat bawah kalau kita masih terselamat!" aku menjerit kepada mereka yang ada dalam kapal pengangkut itu sambil disambut gelak ketawa. Keadaan kapal pengangkut yang pada awal tadi hanya senyap sunyi, tiba-tiba meriah dengan bunyi gelak ketawa walaupun pada masa itu, kami bersepuluh sedang menaruh nyawa.
Pada fasa ini, apa sahaja boleh berlaku. Kapal terbakar ketika memasuki atmosfera bumi, proses pemisahan yang tidak berjalan dengan lancar ataupun proses pendaratan yang tidak smooth boleh mengundang kehilangan nyawa kepada kami semua.
Beberapa minit kemudian, pintu pemisah yang diperbuat daripada bahan keluli dengan cermin lutsinar bulat antara kami bersepuluh diaktifkan. Ketika mencampakkan pandangan aku ke bahagian luar tingkap, aku dapat melihat cahaya melengkung berwarna kebiru-biruan yang dipercayai merupakan planet bumi sambil dilatari gemerlapan bintang-bintang dan juga kegelapan vakum angkasaraya. Gegaran pada kapal pengangkut menjadi semakin menguat. Lampu amaran yang berwarna merah turut berkelip-kelip. Aku dapat merasakan bahagian abdomen dadaku terasa seperti sedang dihempap oleh sebuah objek yang bersaiz besar. Pada saat ini jugalah, aku dapat merasakan bahagian saluran pernafasanku seperti tersekat-sekat dek kerana tekanan yang diterima oleh jasad badan terlalu tinggi.
"Pemisahan menjadi kapsul dalam kiraan 3... 2... 1.... Kapal pengangkut terpisah menjadi kapsul!" bunyi amaran pemisahan itu diikuti dengan bunyi kuat seakan besi keluli yang bergesel antara satu sama lain. Pada waktu ini, kami sudah berada dalam kapsul masing-masing. Aku berada pada keadaan separuh sedar ketika kapsul ini sedang memasuki bahagian atmosfera bumi. Bunyi geseran yang kuat diikuti dengan bunyi siren dan lampu amaran berwarna merah turut dapat dilihat di sekeliling kapsulku.
Semakin lama, aku dapat merasakan kepalaku sedikit pening dan berkeadaan separa sedar oleh kerana pergerakan kapsulku ini yang berpusing-pusing dan bergolek. Pergerakan kapsulku ini dapat dirasakan semakin laju, mungkin disebabkan oleh tarikan graviti bumi yang cukup kuat. Perkara terakhir yang aku ingat adalah aku ada memandang kembali ke luar tingkap. Aku dapat melihat sekeliling kapsulku diselubungi dengan warna kebiru-biruan cerah. Tetapi, pemandanganku masih berpusing-pusing. Kapsulku masih lagi bergegar kuat dan bunyi suara automatik "payung keselamatan diaktifkan". Pada saat itu, aku terus berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
***
Segalanya berlaku terlalu pantas. Tika aku membuka kelopak mataku dan tersedar yang diriku ini sudah berada di satu tempat yang begitu asing - bukan lagi dikelilingi oleh kegelapan vakum angkasa sambil diiringi bergemerlapannya bintang-bintang. Bukan. Melalui pemerhatian pada bahagian tingkap kapsul, aku dapat melihat warna kehijauan serata. Sesekali, pandanganku sedikit dikaburi dengan kepulan asap yang menebal. Kadangkala, bunyi seakan objek besi yang roboh juga turut kedengaran.
Dengan berpakaian sut angkasawan yang berperanan juga sebagai sut hazmat yang diperbuat daripada bahan plumbum, aku membuka tali pinggang keselamatan yang mencengkam dadaku. Rasa sakit pada bahagian tulang belakang dan kaki masih lagi terasa. Kesakitan itu dipercayai terjadi akibat impak yang begitu kuat tadi. Menjengah ke bahagian tingkap kaca kapsulku, aku dapat melihat warna kehijauan asing yang berada di sekelilingku. Punat merah yang berada di tepi pintu aku pulas. Maka, terngangalah bahagian pintu kapsul lalu menampakkan pemandangan kehijauan, seakan-akan templat warna tumbuh-tumbuhan yang ada di kompartmen pertanian. Cuma, yang berbeza kali ini adalah warna kehijauan itu melata di sekeliling kami, tidak seperti di kompartmen pertanian yang hanya terlihat pada sudut tertentu sahaja.
Aku cuba untuk berdiri berkali-kali tetapi nampaknya agak sukar, tidak seperti keadaan berdiri tegak di stesen angkasa Athria-Gemilang dahulu. Aku gagahkan juga otot kakiku untuk berdiri dan melangkah. Dalam beberapa detik, akhirnya aku berjaya juga gagahkan segala otot kakiku untuk berdiri walaupun pada hakikatnya tidaklah dapat berdiri dengan sempurna.
Sambil perlahan-lahan menapak keluar, pertama kalinya dalam hidupnya memijak tanih yang ditutupi dengan helaian daun-daun berwarna coklat sambil menikmati pemandangan keindahan hutan tebal. Apabila aku memandang ke bahagian belakangku, aku dapat lihat kapsul angkasaku dipenuhi dengan asap. Baunya seakan-akan minyak kerosene menyelubungi seluruh kawasan pendaratanku itu. Beberapa batang ranting pada pokok besar kelihatannya telah patah. Daunya pula tercarik-carik seakan-akan telah dilanggar dengan sebuah objek kapsul pada kelajuan graviti. Mungkin inilah dia laluan kapsul kami tadi sebelum berjaya mendarat dengan hempasan yang kuat.
Berjarak beberapa meter daripada kawasan pendaratanku, aku dapat melihat kapsul Æezzul dan lain-lain kru. Berjumlah sepuluh semuanya selepas dibilang. Mereka juga seperti aku, mempunyai masalah untuk berdiri dan cuba sedaya-upaya menapak keluar daripada kapsul masing-masing dengan memakai sut hazmat. Adakah ini kesan daripada tahap radiasi yang masih memekat di permukaan bumi ataupun kepadatan tulang kami yang tidak terlalu padat disebabkan oleh keadaan luar angkasa yang kurang gas oksigen?
Æezzul yang kelihatan agak sukar menyeimbangkan dirinya dengan keadaan graviti bumi, berjalan terhencut-hencut perlahan-lahan menuju ke tempat aku berdiri.
***
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top