XXIX : Jumpaan Haiwan Misteri
SUASANA di pinggir hutan itu semakin menginjak ke waktu senja. Kaki langit yang pada awalnya tadi masih memantulkan cahaya matahari senja, namun secara perlahan-lahan bertukar warna menjadi kelabu-oren-gelap. Cahaya sang suria nampaknya semakin diulit kesamaran sedikit demi sedikit. Bunyi unggas, ungka dan juga cengkerik hutan saling bersilih ganti sambil melatari bunyi di sekelilingnya. Semakin hampir suasana menginjak ke waktu malam, bunyinya pula semakin galak. Kadangkala, kedengaran juga bunyi ngauman seakan-akan bunyi gajah yang kedengaran sayup-sayup dari kejauhan.
Usai menjalankan tugas masing-masing yakni mencari kayu api, air bersih dan juga mendirikan khemah, anggota kru sudah berada di tapak bangkai kapsul sebelum suasana semakin gelap. Disebabkan oleh kewujudan kanopi hutan belantara yang tebal, kawasan sekitar hutan itu terlebih dahulu menyambut waktu gelap walaupun matahari masih lagi memancar sinarannya. Oleh kerana kawasan bangkai kapsul terletak di kawasan tanah tinggi yang melandai ke bawah, kami dapat melihat pergerakan matahari yang perlahan-lahan terbenam di ufuk barat.
"Sekarang, masa sedang menginjak ke waktu maghrib. Waktu maghrib ditandai dengan tenggelamnya matahari di ufuk barat." aku memberitahu rakan-rakan yang lainnya ketika kami sama-sama sedang mencerap fenomena matahari terbenam.
"Cantiknya pemandangan waktu maghrib..." Ædlina memuji keindahan alam ciptaan Allah S.W.T.
Kami bersepuluh sedang asyik menyaksikan keindahan pemandangan kaki langit pada waktu maghrib buat pertama kalinya dalam sejarah hidup kami selepas selesai melakukan tugas masing-masing. Lamunanku ketika menyaksikan pemandangan indah di kaki langit terhenti seketika. Aku perasan akan kelakuan Ædith yang sedikit pelik. Riak wajah Ædith ternyata janggal dengan keterujaan kami yang sedang menikmati pemandangan yang indah matahari terbenam buat pertama kalinya dalam sejarah hidup kami. Dia seakan-akan merasa pelik apabila kami sembilan orang memandang ke bahagian kaki langit dengan penuh keterujaan manakala dia seolah-olah tidak nampak pemandangan indah yang kami sedang nikmati.
"Korang semua tengok apa kat atas tu?" Ædith bertanya kepada Ædlina.
"Ni haa. Kami tengah cerap fenomena matahari terbenam. Cantik warna kaki langit waktu ni. Cubalah kau tengok kat sana." Ædlina menjawab dengan penuh keterujaan sambil menunjukkan pemandangan indah sinaran mega di ufuk barat pada waktu senja kepada Ædith.
"Itulah fenomena matahari terbenam." Aku mencelah sambil menyaksikan lapisan awan di kaki langit yang berwarna kemerah-merahan di waktu senja.
Mimik wajah Ædith seakan-akan semakin tidak berpuas hati dengan penerangan yang aku dan Ædlina cuba sampaikan. Kedua organ mata Ædith seakan-akan tidak dapat melihat fenomena unik yang sedang berlaku di hadapan matanya itu. Aku dan Ædlina hanya membiarkan sahaja kelakuan pelik si Ædith. Mungkin, dia masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan persekitaran yang ada antara persekitaran di Stesen Angkasa Athria-Gemilang dengan persekitaran di bumi. Mungkin, boleh jadi juga Ædith masih pening-pening lalat akibat hentakan kuat semasa proses pendaratan sebentar tadi.
Sementara itu, unggun api sudahpun dinyalakan berkat usaha dan tunjuk ajar Cikgu Æzack beberapa hari lalu. Khemah sementara juga telahpun dibina berdekatan kawasan bangkai kapsul kapal pengangkut yang terdampar. Kami semua berkumpul di sekeliling unggun api sambil menyediakan makan malam. Makan malam hanyalah berupa bekalan pek makanan yang pada awalnya dipunggah ke dalam pesawat kapsul masing-masing. Pek makanan itu perlu dipanaskan diatas unggun api sambil kami semua mencerakinkan gerak kerja untuk keesokan hari nanti.
Sedari petang tadi, aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kelapan-lapan anggota koloni yang baru pulang dari melakukan kerja masing-masing seperti mencari kayu api, mencari sumber air bersih dan sebagainya. Ada bunyi-bunyian pelik yang ku rasakan amat biasa aku dengar ketika berada di stesen angkasa Athria-Gemilang mahupun ketika menonton YouTube tetapi aku tidak pasti apakah punca bunyi itu sebenarnya.
"Tengok, cantiknya pemandangan bulan terbit?" Æmilie mendongak ke atas sambil menunjukkan fenomena bulan mengambang.
Kesemua yang ada di sekitar kawasan bangkai kapal pengangkut itu juga mendongak ke arah langit malam untuk menyaksikan pemandangan bulan mengambang.
"Cantiknya!" Æyling menjerit penuh keterujaan.
"Shhh... Jangan jerit-jerit, Æyling. Kita baru sahaja berada di tengah hutan ini beberapa jam yang lepas. Kita tidak tahu risiko apa lagi yang akan tertarik dengan kita di sekeliling kita terutamanya pada waktu malam." aku mengingatkan anggota kru yang lain.
Æyling menundukkan wajahnya dengan perasaan yang bersalah. Dia mencapai sebatang ranting kecil dan seakan-akan melukiskan sesuatu pada permukaan tanah dengan ranting yang ada berdekatan dengannya itu. Riak muka Æyling kelihatan mencuka dan bibirnya di muncungkan bak burung belatuk. Aku hanya membiarkan sahaja kelakuan Æyling memandangkan semua sudah maklum bahawa Æyling seorang yang mudah terasa dan cepat merajuk.
"Ya, memang cantik. Tapi, kenapa seperti ada serangga kecil yang bersayap dua yang suka menggigit dan menghisap darah? Sakit juga dia gigit." riak wajah Ædlina yang ketika itu seperti tidak selesa dan sedang cuba untuk menepuk serangga bersayap itu dengan kedua belah tapak tangannya.
Ada beberapa ekor serangga kecil bersayap dua yang berjaya ditepuk oleh kedua-dua belah tapak tangannya. Ada yang sudah tewas sambil kakinya sudah bengkok dan ada juga yang sudah terpenyek lalu mengeluarkan darah pada bahagian badannya. Ædlina lantas membersihkan tangannya yang berlumuran darah yang datangnya daripada bangkai serangga itu dengan menggunakan air bersih yang diambil oleh Æbak petang tadi.
"Bunyinya juga amat menjengkelkan. Serangga ini suka lalu-lalang di kuping telinga." Æmilie juga mengiakan kewujudan makhluk serangga bersayap dua itu sambil cuba menghalau dengan menggunakan pengipas yang digunakan untuk menghidupkan unggun api.
"Kalau tak silap, itulah serangga nyamuk. Serangga ini tidak wujud di stesen angkasa Athria-Gemilang. Aku ada terbaca di ensiklopedia. Serangga ini memang banyak ditemui di hutan belantara seperti yang kita sedang duduki sekarang ni." aku cuba mengambil salah satu kayu yang sedikit lembap dan menghembuskan bahagian yang terbakar supaya kayu itu dapat menghasilkan asap.
"Kalian boleh menghalau serangga nyamuk dan beberapa spesies serangga lain dengan menggunakan asap unggun api ini." aku menambah sambil menghulurkan sebatang kayu basah yang sudah terbakar sedikit dan mempunyai asap yang tebal.
"Nah, ambil ni. Letak di bahagian tepi kalian. Yang penting, jangan sampai terpijak. Nanti cedera pula kaki."
"Oh, ya. Korang ada dengar tak ada semacam ada bunyi-bunyian mengiau, menyalak dan berdengking semenjak lewat petang tadi?" aku mulai membuka topik ketika semua anggota kru sudah berada di sekeliling unggun api.
Æezzul hanya menangguk setuju. Anggota kru yang lainnya cuma diam membisu sambil merenung ke arah unggun api yang sedang marak. Ada beberapa orang hanya tersenyum sinis ketika aku melemparkan pertanyaan itu.
"Sebenarnya... Sebenarnya... aku ada terjumpa haiwan ini ketika sedang melihat-lihat bunga-bungaan di hutan tadi. Kucing ini kelihatan seperti sedang sesat dan berkeadaan lemah di banir akar pokok hutan." Æzyra mengangkat seekor kucing oren.
"Kucing oren jantan itu kelihatan jinak tetapi matanya buta sebelah." Æzyra kelihatan gembira dengan penemuan haiwan peliharaan barunya itu.
"Aku namakan dia 'Oyen'. Kat stesen angkasa aku tak berpeluang nak bela seekor." ujar Æzyra sambil mengusap kepala kucing berbaka 'tabby' itu. Wajah Æzyra mengharap simpati rakan-rakannya untuk memelihara kucing berkenaan. Æmilie pula kelihatan menjauhkan dirinya daripada haiwan jinak itu dengan muka yang sedikit gelabah.
Kesemua anggota kru mulai teruja dengan haiwan peliharaan baharu itu kecuali Æmilie. Mereka mulai bersuara lalu meminta kepada Æzyra untuk memberikan kucing oren bermata buta sebelah kanan untuk diberikan kepada mereka.
"Tenang semua. Dekat bumi ini, anda tidak perlu berebut untuk membela kucing ini kerana memang bukan sesuatu yang luar biasa untuk kalian temui kucing disini." aku menenangkan anggota kru yang lainnya.
"Oh ya. Saya juga ada terjumpa dengan seekor anjing berwarna hitam dan berkepala dua tadi semasa sedang mencari kayu api. Sekarang, saya tambat anjing itu di tepi bangkai kapsul pengangkut saya sebab terlalu bising." Ælbert memberikan pencerahan tentang bunyi anjing menyalak yang kadangkala membingitkan telinga di sekitar kawasan itu.
"Ouh, patut laa ada bunyi seakan-akan haiwan menyalak di kawasan berdekatan ini. Ingatkan bunyi apa laa tadi." aku mnghela nafas lega dengan pengakuan oleh Ælbert itu.
"Kamu semua tidak marah ke?" Ælbert bertanyakan kembali kepadaku.
"Tidak. Malah, anjing itu juga boleh memberikan petanda awal dengan bunyi bisingnya apabila dia mengesan ada bahaya yang berada di sekelilingnya kerana anjing mempunyai deria hidu yang cukup tajam. Anjing itu boleh juga kita gunakan untuk menjaga keselamatan kawasan kita sekiranya ada musuh tidak dikenali mendekati kawasan ini, misalnya." ujarku panjang lebar berkat ilmu menonton di aplikasi YouTube.
"Tetapi sebagai orang Islam, kami tidak boleh memegang secara sengaja anjing itu. Memberi makanan itu tidak mengapa." tambah Æezzul mengikut sudut pandang agama pula.
Yang lain-lain mengangguk faham dengan sedikit penerangan yang dititipkan oleh Æezzul sebentar tadi.
"Saya berikan nama anjing ini, 'Blacky'." ujar Ælbert dengan penuh keterujaan.
"Blacky double-headed." Ædith berseloroh sambil diikuti gelak ketawa anggota kru yang lain.
Tiba-tiba, dengan tidak semena-mena Æbak mengangkat tangan. Kami semua memandang tepat ke arah wajah Æbak. Ada sesuatu yang ingin dia ceritakan.
"Saya juga ada terjumpa sesuatu ketika sedang mencari air bersih di tepi sungai tadi. Saya bawanya ke kawasan khemah memandang haiwan ini tidaklah terlalu ganas dan liar. Tetapi, saya tidak pasti apakah ini." Æbak menunjukkan seekor haiwan berwarna coklat. Bentuk fizikalnya tidaklah sama seperti kucing mahupun anjing, tetapi wajah haiwan itu sedikit panjang.
Haiwan itu mengeluarkan bunyi berdengking, tidak seperti anjing yang menyalak dan kucing yang mengiau. Kakinya kudung sebelah dan telinganya yang sedikit terkelepet ke atas. Badannya bersaiz besar sedikit berbanding saiz badan anjing dan tiga kali ganda berbanding saiz badan kucing oren itu. Ada seakan-akan sepasang tanduk besar yang bercabang-cabang dan memanjang ke atas lalu membentuk seakan-akan reranting tumpul berwarna coklat gelap pada bahagian kepalanya.
"Haiwan apakah ini?" hampir kesemua anggota kru yang ada berpandangan antara satu sama lain. Mereka datang mendekati haiwan yang dipangku oleh Æbak itu untuk memberikan tafsiran masing-masing tentang haiwan apakah yang Æbak temui ketika mencari sumber air bersih petang tadi.
***
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top