XXIII : Sepuluh Terpilih

SELESAI sahaja menunaikan solat Asar, aku dengan pantasnya keluar daripada bilik kompartmen kuarantin. Perasaan kelam-kabut ini bagi mengikuti segala arahan yang diberikan oleh Komander Æzarnoush, seperti yang tertulis dalam nota ringkas. Kompartmen kuarantin ini memang mempunyai kunci, tetapi aku tidak memerlukan kunci tertentu untuk membukanya memandangkan pintu itu masih boleh dibuka menggunakan kesan cap jari yang sudah didaftarkan pada awalnya sebelum aku memasuki kompartmen siasatan lagi.

     Kali ini, duniaku kembali seperti sediakala. Tidak ada lagi biasan warna yang tidak realistik terpancar daripada sisi pandangan mataku sepertimana yang berlaku dua jam yang lalu. Tidak ada lagi laluan pejalan kaki yang berputar-putar dan tonggang-terbalik. Tidak ada lagi unsur kepeningan yang menghujat ke dalam tempurung kepalaku. Semuanya sudah kembali normal dan berada pada situasi sediakala. Cuma hatiku kadangkala berdebar kencang. Mungkin, inilah kali pertama yang aku akan bertemu dengan sembilan pesalah yang lain.

     Derapan langkah kakiku terhenti dek kerana terpandang akan sebuah papan tanda dengan tulisan "Kursus Kemandirian Bumi" di hadapan sebuah pintu kompartmen. Sambil menarik nafas panjang, aku menolak pintu kompartmen berkenaan. Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati ada beberapa individu termasuklah seorang yang paling aku kenali, Æezzul.

     "Memperkenalkan, Ædrian! Individu terakhir dalam misi bunuh diri kita ke planet bumi!" Æezzul meneriak kuat sambil disusuli tepukan tangan individu yang lain.

     Jeritan kuat Æezzul itu seakan-akan pengumuman waktu berbuka puasa yang disiarkan di corong-corong pembesar suara yang diletakkan di seluruh penjuru stesen angkasa ini. Teriakan ini juga membuatkan aku hampir-hampir sahaja melatah. Nasib baiklah aku tidak di diagnos dengan penyakit jantung. Jikalau tidak, disitu juga aku sudah pengsan kerana terkejut.

     Seusai sahaja memasuki kompartmen berkenaan, aku hanya melemparkan senyuman kepada semua yang ada dalam bilik itu. Dalam kompartmen itu, aku diperlihatkan dengan pemandangan beberapa buah meja, kerusi dan papan pemuka skrin yang disusun seakan-akan sebuah kelas. Dibahagian atas meja pula, sudah tersedia beberapa alatan penting seperti beg galas, sebuah lampu suluh dengan bateri boleh dicas melalui panel solar, sebuah alat GPS, kompas yang berbentuk heksagon dengan binaan keluli hitam dan juga beberapa keping peta topografi.

     Sebagai tanda perkenalan kepada kesemua anggota misi, aku menghulurkan tanganku untuk bersalaman dengan kesemua individu yang akan turut sama dalam misi ini, kecuali Æezzul.

      "Hai. Aku Ædrian. Salam perkenalan."

    "Hai. Namaku Ædith. Salam perkenalan. Kau buat kesalahan apa sampai kena masuk sini?" Ædith yang merupakan seorang lelaki Melayu berusia lewat 20-an bertanyakan aku soalan. Perwatakan fizikalnya sedikit bengis, intonasi bahasanya sedikit kasar.

     "Kesalahan aku salah satunya adalah memecah masuk ke kompartmen Pentadbiran serta mencuri buku laporan Misi Episiklus Cakerawala LXX di meja Komander Æzarnoush. Kesalahan kau?"

    Semua yang ada dalam kompartmen itu tercengang dengan kesalahan yang aku buat. Kemudian Æezzul menyampuk,

     "...dan sayalah individu yang bersekongkol dengan segala perbuatan si Ædrian ini." sambil tersengih-sengih tanpa segan-silu.

    "Kesalahan aku adalah mengungkapkan kata-kata kesat kepada Komander Æzarnoush di aplikasi media sosial MyAthriaGemilang. Aku juga ada meludah muka Komander Æzarnoush di kompartmen siasatan yang membuatkan dia berang lalu dimasukkan aku ke sini." ujar Ædith mengkarifikasikan suasana.

    "Kental hati kau, Ædith." sambil menepuk-nepuk belakang badan Ædith.

     "Dan nama saya Æng. Saya melakukan kesalahan berat dengan mencipta bahan letupan melalui bateri terpakai." Æng yang merupakan anggota koloni berbangsa Cina menghulurkan salam. Bahasa yang digunakan juga mempunyai sedikit loghat cina.

"Nak buat apa dengan bahan letupan tu, Æng?" aku berseloroh kepada Æng. Æng hanya mengaru-garu kepalanya sambil tersengih-sengih tanda bersalah.

     Æng pada pandangan aku berusia jauh lebih tua daripada umurku, kemungkinan besar dia berusia lewat 30-an. Wajah Æng ini seingat aku agak familiar di stesen angkasa ini memandangkan dialah yang selalu menjadi tukang selenggara kepada kompartmen penyelenggaraan.

     "Hai. Nama saya Æzyra. Berusia enam belas tahun. Kesalahan saya adalah kerana menjadi anak kedua dalam keluarga saya." Æzyra yang mempunyai susuk tubuh yang kecil molek menghulurkan salam perkenalan.

     "Anak kedua? Habis macam mana awak bersembunyi sepanjang enam belas tahun ini?"  Aku amat terkejut kerana berjaya menemui anak kedua di stesen angkasa ini. Pertama kalinya dalam hidupku.

     "Saya hanya duduk dalam kompartmen kediaman sahaja. Saya tidak pernah keluar daripada kompartmen kediaman melainkan jika Komander Æzarnoush mengarahkan pemeriksaan mengejut, barulah saya akan menyorok di ruangan pengudaraan." Æzyra menjawab selamba.

     "Macam mana pulak boleh terkantoi?" Æezzul pula mencelah.

     "Ingat tak masa solat terawikh dulu. Ada kekecohan yang berlaku yang mana anggota polis berjaya menangkap individu asing tanpa identiti yang sah. Itulah saya. Saya teringin nak solat berjemaah. Ingatkan waktu tu, takdelah pemeriksaan mengejut. Rupa-rupanya, malang tidak berbau." ujar Æzyra pasrah.

"Hai. Aku Æbak. Sebab aku diletakkan dalam misi ini kerana cuba mencuri makanan di dewan makan kompartmen Pentadbiran." Æbak menghulurkan tangan tanda salam perkenalan.

     Melalui loghat bahasa, saiz susuk tubuh, warna kulit dan juga rupa bentuk rambutnya, aku dapat mengagak yang Æbak adalah berketurunan orang asli daripada suku Semai.

     "Hai. Nama saya Æyling. Kesalahan saya yang membawa diri saya ke sini adalah kerana cubaan untuk menjalankan aktiviti Exravehicular Activity (EVA) tanpa kebenaran daripada pihak pentadbir." Æyling, seorang gadis berbangsa Cina menghulurkan salam perkenalan.

     Æyling, seorang gadis berbangsa Cina ini, aku perkirakan mempunyai karakter yang ceria, happy-go-lucky serta seorang yang sukakan aktiviti lasak.

     "Saya Ænanda. Saya ditangkap kerana membuat kekacauan dan menganggu ketenteraman awam di Kompartmen Dewan Makan." Ænanda, seorang lelaki berbangsa India dan berumur lewat 20-an berjabat tangan denganku.

     "Oh, saya ingat kes ini. Pernah kecoh seketika di Dewan Makan dahulu." aku mula teringatkan kes-kes terdahulu yang pernah berlaku di Kompartmen Dewan Makan.

     "Aku Ælbert. Kesalahanku adalah mencuri tangki oksigen tambahan di Kompartmen Kejuruteraan." Ælbert memperkenalkan dirinya. Melalui corak tatu yang ada di tangannya, aku dapat mengagak yang Ælbert adalah berketurunan orang Iban.

"Bukankah tangki oksigen sudah diperuntukkan untuk setiap kediaman pada setiap bulan? Kenapa perlu mencuri lagi?" aku bertanya kepada Ælbert dengan penuh kehairanan.

Ælbert hanya tertunduk kaku. Ada sekelumit perasaan menyesal jelas terpancar pada riak wajahnya itu.

     "Dan yang terakhir adalah saya. Nama diberi, Æmilie. Saya ditangkap kerana mengadakan pesta muda-mudi ditengah-tengah malam. Komander Æzarnoush bagitahu, pesta muda-mudi adalah haram serta menganggu ketenteraman warga koloni." Æmilie, yang aku perkirakan merupakan seorang gadis yang datangnya daripada kaum Kadazandusun jikalau mendengar dengan cermat loghat bahasanya. Æmilie kelihatan agak sedih dengan situasinya kini.

     Æmilie pada pandangan mataku mempunyai alis mata yang cantik, ditambah struktur wajahnya yang paling jelita, berkarisma dan comel jika dibandingkan dengan pesalah yang lainnya.

"So, secara dasarnya, kita semua adalah penjenayah yang sedang menunggu masa untuk hukuman mati di planet bumi lah ye?" aku cuba membuat lawak hambar.

Tidak ada reaksi. Yang aku dengar hanyalah bunyi besi keluli bergesel antara satu sama lain yang sayup-sayup sahaja kedengarannya.

     Kemudian, untuk menghilangkan rasa janggal, aku mengambil tempat duduk yang berbaki tinggal satu kekosongan itu. Usai melabuhkan punggungku ke atas kerusi yang disediakan, Æezzul datang ke tempat dudukku dengan penuh keterujaan.

     "Amacam? Best tak kena vaksin dengan cecair pelali?" ujar Æezzul sambil menunjukkan lengannya yang dicucuk dengan cecair pelali.

     Aku hanya menggeleng-gelengkan sahaja kepalaku sambil memandang ke arah individu lain. Rasa bersalah bercampur menyesal masih menghantui diriku.

     "Tengok ni. Dieorang pasang pendakap kaki. Smart kan?" entah kenapa Æezzul kelihatan teruja padahal ini adalah misi bunuh diri.

     Mataku hanya mengerling sedikit ke arah bahagian buku lali kakiku sambil tersenyum sinis. Senyuman yang dibuat-buat.

"Semua orang ada peranti tu, Æezzul. Jangan rasa diri tu istimewa sangat." aku berbisik kepada Æezzul sambil menuding jariku kepada kaki pesalah-pesalah yang lain.

     "Oh ya. Tadi Komander Æzarnoush ada letak sebuah kotak berwarna biru nila kandi dalam beg galas kau, Ædrian. Dia bagitahu, kau tertinggal kotak ini di Kompartmen Makmal tengah hari tadi." Æezzul mengingatkan aku kepada kotak yang diserahkan kepadaku pada tengah hari tadi.

"Allahuakbar. Aku betul-betul terlupa. Side effects cecair pelali tu punya pasal lah!" aku kelam-kabut membuka beg galas yang ada di atas mejaku.

     Hampir-hampir sahaja aku terlupa dengan kotak berisi senaskah Kitab Suci Al-Quran ini.

                           ***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top