XX : Permintaan Terakhir

"BAGUS. Sekarang, kamu sudah faham  bukan betapa pentingnya misi kamu kali ini." nada suara Komander Æzarnoush kedengaran berubah intonasi. Aku dapat rasakan seperti Komander Æzarnoush sedikit bimbang dengan misi ini.

     Komander Æzarnoush mengambil kembali surat perjanjian yang telah aku tandatangani lalu memasukkannya kembali ke dalam sampul surat berwarna coklat. Dia kemudiannya menyerahkan sampul surat itu kepada Pegawai Penyiasat Æthan. Pegawai penyiasat Æthan pula memasukkan sampul berisi surat perjanjian ke dalam begnya. Komander Æzarnoush kemudiannya mengambil kembali pen hitam berdakwat basah yang aku letakkan di atas meja sambil menitipkan beberapa ungkapan nasihat.

     "Ædrian, kamu jangan ingat saya tidak tahu yang kamu ada menyelinap masuk ke ruang pengudaraan untuk mencuri dengar proses mesyuarat sulit kami. Kami sudah memintas segala bukti jejak-jejak rakaman yang telah kamu padam bagi menghapuskan bukti."

"Jadi, tawaran ini sebenarnya adalah hukuman yang telah kami tukar di saat akhir memandangkan pada masa yang sama, pihak pentadbiran Athria-Gemilang sedang mencari senarai calon yang sesuai yang terdiri daripada warga koloni untuk dibawa turun ke permukaan bumi."

"Dan, kamu adalah salah seorang calon yang terlintas di fikiran saya memandangkan kamu telah menunjukkan usaha-usaha luar biasa yang jauh daripada kotak pemikiran rakan-rakan seusia kamu. Jikalau tidak kerana jasa saya, kamu sudah dijatuhi hukuman diapungkan ke luar stesen angkasa pada hari ini."

    "Walaupun kamu adalah keturunan seseorang yang amat dihormati oleh seluruh koloni disini, namun janganlah kamu ingat kamu mempunyai imuniti dan boleh berbuat apa sahaja yang boleh melanggar peraturan dan perlembagaan pentadbiran koloni Athria-Gemilang."

    "Jikalau perbuatan kamu ini tidak dibendung daripada awal, kelak anak muda seluruh koloni Athria-Gemilang inipun, akan menuntut hak kesamarataan dan melakukan hal yang sama seperti apa yang telah kamu lakukan."

    "Saya tidak boleh biarkan perkara ini berlaku."

    "Lagi satu. Kamu janganlah ingat ini adalah misi bunuh diri untuk kamu. Saya yakin, kamu boleh kekal survival dibawah sana. Cuma, kami tidak pasti bagaimanakah rupa keadaannya disebabkan kesemua alat peranti bacaan tahap radiasi kita sudah lama tidak berfungsi."

    "Dan, saya tidak akan merisikokan nyawa keseluruhan koloni semata-mata untuk sesuatu yang tidak pasti. Kamulah yang akan menentusahkan keadaan di permukaan bumi itu nanti."

    "Saya mahu kamu teladani semangat moyang kamu ketika dia menjadi perintis kepada stesen angkasa ini."

Aku hanya mampu tertunduk reda apabila mendengarkan bait-bait nasihat serta justifikasi untuk menghantarku ke permukaan bumi. Bahuku ditepuk berkali-kali.

"Komander? Di kesempatan ini, saya ingin memohon satu permintaan terakhir sebelum dihantar ke permukaan bumi?" aku mencuba nasib. Manalah tahu jikalau Komander Æzarnoush berlembut hati untuk menunaikan permintaanku.

"Permintaan apa?" Komander Æzarnoush bertanya kembali kepadaku.

"Saya mahu bertemu dengan kedua orang tua saya buat kali yang terakhir sebelum berangkat. Bolehkah Komander Æzarnoush menunaikan permintaan saya ini?" aku membuat permintaan terakhir.

     Aku sedar, jikalau aku sudah diterbangkan ke permukaan bumi ini nanti, peluang aku untuk bertemu dengan kedua orang tuaku akan menjadi sangat tipis. Kalaupun permukaan bumi sudah boleh didiami kembali, aku tidak pasti berapa lamakah masanya untuk Komander Æzarnoush mengarahkan seluruh koloni Athria-Gemilang ini mendarat di permukaan nanti. Tentu sekali banyak pertimbangan lain yang akan diambil kira olah Komander Æzarnoush sebelum apa-apa keputusan berisiko dimuktamadkan oleh pihak pentadbir koloni Athria-Gemilang nanti.

Keadaan akan menjadi semakin buruk sekiranya permukaan bumi masih tidak boleh didiami lagi. Aku tidak akan dapat pernah bertemu dengan kedua orang tuaku untuk memohon ampun maaf ataupun sekurang-kurangnya menatap wajah mereka daripada jauh. Komander Æzarnoush pasti akan mengambil keputusan untuk keluar daripada orbit bumi dan pergi ke mana-mana stesen angkasa milik negara lain untuk memohon bantuan sementara berbaki oksigen dan makanan yang cukup untuk seluruh koloni.

Cetusan idea lari secepat mungkin daripada permukaan bumi setelah mengetahui planet bumi masih tidak lagi mampu untuk menampung populasi hidupan? Bukanlah semudah yang disangka, wahai rakan-rakan. Menjejakkan sahaja kakiku ke permukaan bumi, badanku akan terdedah dengan sinaran radiasi yang mampu merosakkan organ dan membakar kulit. Sinaran radiasi juga akan menyerang tisu-tisu badan paling berharga seperti jantung dan hati. Walaupun kami tidak akan mati secara mengejut, tetapi kami akan merana dan perlahan-lahan menjadi lemah lalu akhirnya terkorban.

     Komander Æzarnoush tiba-tiba diam seribu bahasa. Dia seakan-akan sedang berfikir. Nampak gayanya, dia sedang membuat pertimbangan yang serius. Lama dia memikirkan tentang permintaanku ini.

     "Okay. Baik. Saya boleh tunaikan permintaan terakhir kamu. Kamu dibenarkan bertemu ahli keluarga kamu buat kali yang terakhir. Tetapi, ada satu perkara yang saya ingin kamu bawa bersama ketika kamu berangkat menuju ke permukaan bumi." Komander Æzarnoush bersetuju, tetapi ada habuan yang lain pula. Kiranya seperti "win-win situation".

     Aku kembali bertanya. "Komander nak saya bawa apa bersama dengan saya nanti?"

    "Æthan, serahkan kotak tu." Komander Æzarnoush mengarahkan Pegawai Penyiasat Æthan menyerahkan sesuatu.

     Pegawai Penyiasat Æthan membuka begnya, lalu menyerahkan sebuah kotak berbentuk empat segi kepada Komander Æzarnoush. Kotak itu berwarna nila kandi dan tidaklah terlalu besar, cukup untuk memuat sebuah buku tebal. Komander Æzarnoush membuka kotak itu di hadapanku. Dapat dilihat dengan jelas kitab suci Al-Quran yang di tulis menggunakan dakwat emas diletakkan di atas sehelai kain jenis baldu biru.

     "Kitab suci Al-Quran?" aku sedikit terkejut apabila Komander Æzarnoush memintaku membawa kitab suci Al-Quran turun ke permukaan bumi.

     "Ya. Kitab suci Al-Quran. Daripada pertimbangan data sains dan andaian kami, kemungkinan wujud manusia yang berjaya kekal survival dibawah sana, walaupun pernyataan ini tidak dapat disokong dengan bukti yang jelas."

    "Saya suruh kamu bawa Kitab suci ini bukan sahaja untuk dijadikan sebagai pelindung diri ataupun suka-suka sahaja, tetapi sebagai panduan kamu. Saya juga mahu kamu ajarkan ilmu yang ada dalam kitab suci Al-Quran ini kepada mereka yang berada di bawah sana, seandainya wujud tamadun-tamadun manusia yang berjaya hidup dan membina peradaban kembali."

    "Kalaupun sudah tidak ada jejak-jejak kewujudan manusia sekalipun, kitab suci Al-Quran ini boleh kamu gunakan untuk bacaan kepada diri kalian sendiri andaikata ada di kalangan kamu yang ditakdirkan meninggal dunia ketika sedang menjalankan misi di permukaan sana. Kitab suci Al-Quran ini juga boleh menjadi benteng pertahanan diri bagi kalian agar terus menerus tidak sesat pada persekitaran yang baru kelak. Teruslah beriman dengan ajaran-Nya."

     "Usah kita hilangkan ritual keagamaan yang syumul ini walau di mana jua kalian berada." Komander Æzarnoush menyerahkan kitab suci Al-Quran yang diletakkan dalam sebuah kotak kepadaku.

     "Saya pasti, sekiranya wujud tamadun yang berjaya mandiri di bawah sana itu nanti, mereka pasti sudah lama meninggalkan syariat dan hukum-hakam agama Islam disebabkan oleh keadaan kemandirian persekitaran yang cukup memaksa mereka."

    Aku mengangguk faham dan menerima pemberian kotak yang terisi kitab suci Al-Quran daripada Komander Æzarnoush untuk dibawa sekali ke permukaan bumi nanti.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top