XVIII: Soal Siasat
SATU jam sudah berlalu. Sepanjang satu jam ini, aku mengambil inisiatif untuk membersihkan diriku seadanya seperti yang disarankan oleh pegawai polis yang bernama 'Æriz', lalu menyarung baju banduan. Selesai menunaikan solat zohor, aku menarik kerusi besi yang sudah senget itu lalu melabuhkan punggungku. Daguku ditongkat sambil fikiranku menerawang jauh memikirkan segala kemungkinan. Baru satu jam lebih aku duduk di kompartmen Tahanan ini, kepalaku sudah terasa pening dengan bau-bauan yang memekat dan terpekung didalam bilik kecil bilik setor. Tekakku terasa sedikit loya.
"Apalah nasib badan duduk terperuk dalam bilik yang maha sempit ini. Dengan bau pekung yang menusuk ke rongga hidung lagi." ujarku dalam hati sambil mengeluh perlahan.
Sedang aku termenung jauh, tiba-tiba, kedengaran bunyi derapan tapak kasut seakan-akan anggota polis sedang melakukan latihan kawad diluar bilik tahanan ini. Bunyi berkenaan diikuti dengan bunyi seakan mangga sedang dibuka daripada bahagian luar. Kemudian, pintu besi bilik tahananku dikuak daripada bahagian luar. Kelihatan, tiga orang anggota polis yang memakai pakaian seragam berlainan warna muncul terpampang daripada muka pintu besi berkenaan.
Pegawai polis yang mempunyai tag nama 'Æzran' memanggil namaku sambil memegang sekeping kertas seakan sepucuk surat rasmi. Pegawai polis itu mempunyai kulit yang agak sawo matang tetapi sedikit rendah berbanding anggota-anggota polis yang menahanku pagi tadi.
"Mungkin anggota pelatih." getusku dalam hati.
"Ædrian bin Ædha, kami diperintahkan oleh Komander Æzarnoush untuk menyoal siasat anda. Oleh itu, anda diminta untuk mengikuti kami ke bilik siasatan." nada suara anggota polis dengan tag nama 'Æzran' itu kedengaran tegas namun jelas.
Aku bingkas bangkit daripada kerusi besi buruk yang senget itu, lalu melangkah keluarlah kaki daripada bilik tahanan yang berbau tengik itu. Lega rasanya dapat menghirup udara yang sedikit bersih, segar dan tidak berbau pekung. Kedua belah pergelangan tanganku kemudiannya digari. Aku diarahkan untuk berada di belakang pegawai polis yang bernama 'Æzran', manakala dua lagi pegawai dengan tag nama 'Æbby' dan 'Æcap' mengikuti rapat daripada belakang. Jikalau aku tidak mengikuti apa sahaja prosedur yang diarahkan oleh Komander Æzarnoush seperti yang tertulis dalam surat rasmi terbabit, pastinya aku akan menghadapi masalah yang lebih besar.
Ketiga-tiga pegawai polis itu kemudiannya membawaku terus ke sebuah bilik yang dinamakan sebagai 'Bilik Siasatan' pada luar pintu. Dalam bilik siasatan itu, dapat diperlihatkan sebuah meja empat segi yang bersaiz sederhana, empat buat kerusi yang disusun menghadap antara satu sama lain, beberapa buah kamera litar tertutup di setiap penjuru bilik, sebuah lampu yang tergantung tepat pada bahagian meja dan juga sebuah alat penghawa dingin. Pada binaan bahagian dindingnya pula adalah terdiri daripada kaca gelap yang dibina pada sekeliling bilik siasatan berkenaan. Aku andaikan, kaca gelap itu boleh dilihat daripada bahagian luar apabila lampu dibuka daripada bahagian dalam.
"Di persilakan duduk." Pegawai polis bernama Æcap mengarahkan aku duduk di atas kerusi yang disediakan.
Sementara itu, dua lagi pegawai polis yang menjadi pengiring tadi keluar daripada bilik siasatan ini. Mereka dilihat mengambil tempat di pintu luar bilik siasatan sambil berkawal pula. Aku pula ditemani oleh anggota polis yang bernama "Æcap" yang berdiri di bahagian sisi belah kiri. Dia menyarankan aku untuk bertenang seketika serta menanti juru siasat yang akan hadir pada bila-bila masa.
Beberapa minit kemudian, dua orang individu masuk ke dalam bilik siasatan dengan memakai baju formal bertali leher. Tapi leher kedua-duanya jelas terpapar logo rasmi pentadbiran Athria-Gemilang. Salah seorang daripada individu berkenaan cukup aku kenali. Individu itu adalah Komander Æzarnoush manakala seorang lagi individu memakai tag nama "Æthan". Komander Æzarnoush memakai sehelai jaket berwarna biru gelap dan membawa sekeping fail bertulisan 'sulit' pada kulit fail terbabit. Pegawai penyiasat yang bernama "Æthan" pula memakai jaket yang berwarna khaki dan membawa beberapa keping fail yang agak tebal.
Fail-fail itu tertulis perkataan "Untuk Siasatan".
"Owh... Well well well... Kita lihat siapakah yang sudah tertangkap disini." Komander Æzarnoush melontarkan suaranya sambil tersenyum.
Aku hanya tertunduk kaku, sambil memandang ke arah lantai. Sejujurnya, aku tidaklah merasa gusar waima gugup sekalipun apabila berhadapan dengan Komander Æzarnoush. Aku harus tenang-tenang sahaja, usah tunjukkan perasaan gugup dan panik kerana perkara itu hanyalah akan menunjukkan sisi kelemahan kepada pihak pemerintah.
"Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. As clever as a squirrel jumps, eventually falling to the ground anyway!" Komander Æzarnoush merapatkan wajahnya berdekatan dengan wajahku sambil tersengih-sengih.
"Perangai seperti kebudak-budakkan!" getusku jauh di lubuk hati.
"Baik. Ayuh kita cerakinkan satu-persatu perkara yang berbangkit dan memulakan siasatan." Pegawai Penyiasat Æthan memulakan bicara. Komander Æzarnoush pula hanya duduk sambil menyilang kaki dan tangannya dibahagian bucu bilik siasatan sambil tersenyum.
"Ædrian, Mengapakah anda membuat keputusan untuk mencuri buku laporan Misi Episiklus Cakerawala LXX ini? Pegawai Penyiasat Æthan mula melontarkan pertanyaan kepadaku.
Aku hanya tunduk dan diam membisu tanpa menjawab persoalan yang ditanya oleh Pegawai Penyiasat Æthan.
"Ædrian. Mohon jawab soalan saya. Segala bukti sudah kami dapat daripada kamera litar tertutup. Kami hanya mahukan sebab daripada sang pelaku iaitu kamu untuk kami analisis sebarang bentuk hukuman yang akan kami jatuhkan terhadap kamu dan mereka-mereka yang bersubahat." Æthan mengasak aku untuk aku menjawab segala soalanya. Mahu tidak mahu, aku perlu menjawab soalannya.
"Saya... Saya pecah masuk ke kompartmen pentadbiran kerana saya... saya ingin mengetahui isi kandungan laporan Misi Episiklus Cakerawala LXX." ujarku dengan nada terketar-ketar kepada pegawai penyiasat sambil mengerlingkan pandanganku kepada Komander Æzarnoush.
Komander Æzarnoush hanya tersenyum sinis sambil menguis-guis bahagian misainya.
"Tolong... tolong hukum saya sahaja. Usah hukum rakan-rakan saya yang terlibat dengan jenayah ini. Ini semua idea saya, rancangan saya." aku merayu kepada pegawai penyiasat Æthan.
Pegawai Penyiasat Æthan melangkah ke arah Komander Æzarnoush sambil berbisik kepada Komander. Namun, aku langsung tidak mendengar pun setiap bait dan patah kata yang sedang dibisikkan antara kedua individu terbabit. Sesekali, Komander Æzarnoush menganggukkan kepalanya. Pada ketika yang lain pula, dia hanya tersenyum sinis ketika memperdengarkan bisikan oleh Pegawai Penyiasat Æthan sambil mengelus-elus bahagian misainya.
Pada waktu itu, dalam kepalaku cuma ada satu perkara sahaja. Hukuman apungan ke luar stesen angkasa Athria-Gemilang. Badanku resah, fikiranku berkecamuk. Aku tidak boleh berfikir secara waras tentang perkara lain. Ini adalah detik penentuan antara hidup atau mati. Jikalau Komander Æzarnoush telah menurunkan tandatangan pada dokumen berkenaan, maka, hukuman itu perlu dijalankan serta-merta seperti yang telah tertakluk pada undang-undang stesen angkasa Athria-Gemilang ini.
"Ædrian." Komander Æzarnoush yang sedari tadi hanya duduk bersilang kaki di satu sudut bilik siasatan terbabit tiba-tiba bersuara. Pegawai penyiasat Æthan pula kembali ke tempat duduknya dihadapanku sambil mengeluarkan sebuah sampul surat bewarna coklat yang dicop perkataan "Rahsia & Sulit".
Seluruh tubuhku pada ketika itu sudah dikuasai oleh perasan risau dan cemas. Dengan tersisa kudrat yang ada, aku memalingkan mukaku ke arah Komander Æzarnoush. Komander Æzarnoush tersengih-sengih bak kerang busuk.
"Anda mahu tahu sangat tentang bumi?" Komander Æzarnoush datang menghampiriku dan hampir-hampir sahaja menekapkan mulutnya berdekatan kuping telingaku. Terasa sedikit berdesing kuping telingaku ketika mendengarkan suara Komander Æzarnoush yang garau itu.
Aku hanya menangguk lemah. Airmataku hampir-hampir sahaja mahu berderai. Seperti tidak sanggup untuk aku mendengar bait-bait perkataan seterusnya yang bakal keluar daripada mulut Komander Æzarnoush.
"Bagaiman, kalau saya beri anda satu tawaran?" Komander Æzarnoush berbisik perlahan berdekatan kuping telingaku.
Aku termangu.
***
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top